Jumaat, Oktober 21, 2016

Perjalanan cirit dan hujan3.

Perjalanan cirit dan hujan3.

14TH November.

Pada hari itu, aku bangun jam 8:00 pagi. Apabila bangun, aku terus meminum hundred pluss. Di sepanjang perjalanan aku ke KL, aku hanya meminum hundred pluss sahaja. Maklumlah, dah kena cirit-birit.

Selepas mandi dan yang sewaktu dengannya, aku pun seperti biasalah melayan siaran nasionalFM. Sehinggalah pada jam 9:30 pagi, aku buka pula siaran tv2. Biasalah, ada anime.

Apabila jam 10:00 pagi. Aku cuba menghantar whatsApp kepada rakanku, Aswaz. Apabila whatsApp itu dibalas, aku dapati suara Aswaz agak lemah. Aku mula mengesyaki sesuatu. Adakah beliau sakit? Dan adakah, rancangan untuk makan KFC bersama Chee Wah pada petang ini akan terbantut? Semuanya berlegar-legar di dalam tempurung kepala aku. Untuk meredakan keresahan yang semakin bersarang di dalam hati, aku persetankan kesemuanya yang berlegar-legar di kepalaku. Aku terus melayan siaran kegemaranku, NasionalFM. Dan apabila terasa dahaga, aku terus meneguk air Hundred Pluss yang telah aku beli sebanyak tiga botol besar apabila aku datang ke Kuala Lumpur tempoh hari.

Kini, jarum jam sudah pun menunjukkan pukul 12:00 tengahari. Aku menerima satu mesej whatsApp dari rakanku Manisah. Dia beritahu, Aswaz mungkin tak dapat datang pada petang ini sebab tak sihat. Dia kata, Aswaz beritahu dia, dah sembilan kali si Aswaz ni, pergi balik dari toilet.

Aku pasrah. Pasrah menerima ketentuan dari ilahi. Kita hanya merancang, namun, tuhan yang menentukan segalanya. Namun, berita ketidakhadiran Aswaz masih belum sahih lagi. Jadi, bunga-bunga harapan tetap ada untuk Aswaz menghadirkan diri pada petang ini dan, aku, dia, manisah dan Chee Wah akan pergi makan KFC petang nanti.

Jam 1:40, Manisah telah menghantar satu lagi mesej whatsApp kepadaku. Kali ini, sahlah yang, Aswaz tidak dapat hadir pada petang ini. Jadi nampaknya, perancangan untuk makan KFC bersama Manisah dan Chee Wah, terbatal begitu sahaja. Aku pasrah menerima kesemua dugaan ini. Ini semua aku anggap sebagai ketentuan dari yang maha kuasa.

Jam 1:40 tengahari, Manisah kirim lagi mesej whatsApp padaku. Di dalam mesej tersebut, dia memaklumkan bahawa, Chee Wah sedang dalam perjalanan ke Brickfields. Dia mengarahkan aku supaya bersiap sedia untuk menunggu kedatangan Chee Wah di husein Cafe yang terletak bersebelahan dengan New Winner Hotel, tempat aku menginap.

Jam 1:50 tengahari. Manisah whatsApp aku sekali lagi. Dia memaklumkan, Chee Wah sudah hampir sampai ke Brickfields. Aku pun mula mempersiapkan diri untuk turun ke Husein Cafe menunggu kedatangan Chee Wah.

Aku sudah berdiri di luar Husein Cafe. Tok, tok, tok, tiba-tiba aku mendengar tongkat diketuk ke lantai. Serentak dengan itu juga, bunyi tapak kaki orang berjalan juga kedengaran.

Pada petang itu, pelangan di Husein Cafe begitu ramai sekali. Kelihatan tuan kedai dan para pekerjanya begitu ramah-mesra melayan para pelanggan yang hadir. Mereka tidak jemu-jemu mengukir senyuman di bibir mereka.

Sementara itu, aku menumpukan perhatian aku kepada bunyi tongkat dan juga tapak kaki orang berjalan. Nampaknya dia sudah berjalan ke Husein Cafe. Aku terus memerhati.

Selang beberapa minit kemudian, aku mengambil keputusan untuk pergi ke Husein Cafe. Lalu, tanpa membuang masa, aku terus berjalan menuju ke Husein Cafe.

“Abang, ada kawan tunggu abang”. Beritahu seorang pekerja Husein Cafe. Aku dibawa menemui orang tersebut. Kini, aku sudah pun bertemu dengan Chee Wah setelah hanya berhubung melalui surat semasa zaman persekolahan dahulu.

Aku dan Chee Wah, seperti yang dirancang, pergi menemui Manisah yang sedang tertonggok menunggu di bawah tangga rumah.

“Aswaz tak dapat datang”. “Dia cirit-birit”. Manisah bersuara hampa. “Tak apalah”. Balas Chee Wah. Aku hanya mendiamkan diri. Pasrah dengan semua ketentuan ilahi ini.

Dan, sebagai menggantikan projek makan KFC yang telah terbatal pada petang itu, aku, Chee Wah dan Manisah telah pergi ke Kedai Dat. Di sana kami pekena bihun sup. Aku bersyukur sebab di sana, tak ada seorang pun orang buta. Di sana, aku makan dua mangkok besar bihun sup. Bihun supnya tu, sangat sedap sekali.

Semasa makan, Manisah telah memberitahuku bahawa, Chee Wah pandai pergi ke Samsung Centre. Jadi, bolehlah kalau aku nak ajak Chee Wah temankan aku ke Samsung Centre tu. Sambil makan, aku pun mempertimbangkan, sama ada, aku nak pergi ke Samsung Centre atau menunggu sahaja Aswaz datang esok dan pergi bersama-sama dengannya ke Samsung Centre tu. Maka, setelah dipertimbang dan diperhitung, aku pun mengambil keputusan untuk pergi sahaja ke Samsung Centre pada hari esok bersama-sama dengan Aswaz.

Aku pun terus menghentam bihun sup dengan lahap sekali. Maklumlah, baru saja bebas dari cirit-birit. Laparnya sudah tidak terkiralah. Jadi, hentam sajalah apa dikira lagi kan?

“Ha macammana”? “Nak ke Samsung Centre tak”? Tiba-tiba Chee Wah bersuara. Aku menggigit bibir.

“Baik pergi”. “Nanti kang, esok Aswaz tak datang, susah”. Cadang Manisah. Betul jugalah apa yang si Manisah kata tu. Fikirku. Kemudian, aku membuat keputusan, mengikut sahaja Chee Wah ke Samsung Centre.

Selepas makan bihun sup, Jam sudah pun menghampiri pukul 4:00 petang. Manisah beritahu, dia tak dapat ikut kami ke Samsung Centre sebab, ada perkara yang perlu dia bereskan.

Selepas kami menghantar Manisah ke tangga rumah, maka, bergeraklah kami ke samsung centre. Kami berjalan terkedek-kedek ke KL Central. Cuaca pada petang itu kelihatan agak bersih. Awan bergerak perlahan-lahan. Matahari memancar dengan terik sekali.

Kini, kami sudah pun sampai di KL Central. Aku dan Chee Wah teraba-raba mencari tangga bergerak untuk naik ke tingkat atas. Tiba-tiba, datang seorang lelaki. Dia bertanya ke mana kami hendak pergi. Chee Wah pun memberitahu ke mana kami hendak pergi.

Lelaki itu membawa kami ke tangga bergerak. Kami pun naiklah ke atas. Dan setelah sampai di tingkat dua, lelaki itu pun menyerahkan kami kepada seorang pengawal yang bertugas di sana. Pengawal itu pun membawa kami hinggalah sampai ke ruang kedai lalu meninggalkan kami di sana.

Datang pula seorang lelaki, kami memberitahu tujuan kami. Dia membawa kami menaiki lif ke tingkat tiga. Setelah sampai di tingkat tiga, kami diserahkan pula kepada seorang pengawal yang bertugas. Pengawal itu membawa kami sampailah ke pintu Samsung Centre.

Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengawal tersebut, kami pun masuklah ke Samsung Centre itu. Di dalam centre, sudah ada yang bersedia membantu kami.

Setelah semua urusan di Samsung Centre itu selesai, kami pun keluar. Dengan dibantu oleh petugas Samsung Centre, kami dibawa sehingga ke tingkat bawah sekali. Apabila sampai di tingkat bawah, kami pun ditinggalkan di situ. Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada beliau.

Maka, kami pun mulalah berjalan untuk keluar dari KL Central itu.

Semasa hendak mencari jalan keluar, kami telah bertemu dengan seorang mat bangla. “Eh, mana mau pergi”? Mat Bangla itu bertanya. “Mau keluarlah, ikut jalan kat belakang tu. Yang ada tangga tu”. Terang Chee Wah dengan panjang lebar.

Mat bangla itu pun segera membawa kami mengikut apa yang Chee Wah beritahu. Tapi aduhai, lain yang diberitahu, lain tempat yang dia bawa. “Eh, itu belakang, mana boleh pergi”? “Itu belakang ada itu rel kereta apilah”. “Nanti jatuh, susah”. Terang mat bangla itu bersahaja. Dan akhirnya, dia meninggalkan kami berdua.

Maka, terpaksalah kami berdua berjalan seperti kura-kura mencari jalan keluar dari KL Central itu. Ada beberapa orang yang cuba membantu kami. Tetapi entah apalah malangnya kami ini, mereka semua, tidak faham dengan penerangan dari Chee Wah itu. Maka, apa nak dikata lagi, terpaksalah kami berdua mencari jalan keluar dari KL Central itu sendiri.

Setelah agak lama mencari, akhirnya kami pun menemui jalan keluar dari KL Central tersebut. Di luar, sudah kedengaran bunyi guruh yang agak kuat. Angin sejuk menampar muka kami berdua. Hujan rintik-rintik sudah mula turun.

“Wah Chee Wah, dah nak hujan”. “Sempatkah nak balik ni”? Aku bertanya. “Sempat kot”. Jawab Chee Wah bersahaja. Dia pun terus menghantar aku ke New Winner Hotel. Apabila sampai di new Winner Hotel, kami pun berpisah di situ. Aku mengucapkan ribuan terima kasih kepada Chee Wah kerana telah membantu aku pergi ke Samsung Centre.

Menurut Chee Wah, setelah kami berpisah, dia pun terus bergerak untuk pulang. Malangnya, dia tidak sempat pulang kerana hujan sudah mula lebat. Dia terpaksa berteduh untuk menunggu hujan itu berhenti. Dan, apabila hujan sudah berhenti, barulah dia berangkat pulang. Dia tiba di rumah pada lebih kurang jam 7:30 malam.

Aku terus naik ke bilik. Apabila sampai saja di bilik, kedengaran hujan lebat sudah mula turun. Aku meletakkan beg dan barang-barang yang lain di atas katil. Dan aku pun berehat sebentar. Seperti biasa aku membuka radio nasionalFM siaran kegemaran aku.

Selepas aku mandi, aku membuka tv. Nak tengok siri Crayon Shin Chan di NTV7. Sambil-sambil itu, aku membelek-belek telefon baruku. Belek punya belek, tiba-tiba, Talks di telefon Samsung Galaksi J7 aku tidak berbunyi. Aku mengambil keputusan untuk turun ke lobi hotel mendapatkan bantuan daripada petugas yang berada di kaunter.

Semasa aku keluar dari bilik, aku telah bertemu dengan Poo nam iaitu ahli SBM dari Perak. “Hey Poo Nam, you mau pergi mana”? aku bertanya dia. “Mau pergi biliklah”. “Khai Eong, you sudah makankah”? Dia bertanya aku. “Sudah”. Aku menjawab. Lif pun sampai. Aku turun ke lobi hotel.

Nasib baiklah petugas di kaunter kat hotel tahu apa itu talks dan cara untuk hidupkannya. Aku mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang di kaunter. Aku naik semula ke bilik.

Aku terus mendengar siaran nasionalFM sehingga jam 8:00 malam dan pada masa itu, aku mendengar berita Buletin Utama tv3 selama satu jam.

Sementara itu pula, di luar, kedengaran bunyi orang berjalan dengan memakai tongkat. Itu adalah ahli-ahli SBM yang datang untuk menghadiri mesyuarat AGM pada hari esok, 15TH November di Wisma SBM, Brickfields.

Kedengarannya mereka seperti diajar untuk mencari bilik-bilik mereka dan ditunjukkan jalan bagaimana nak ke bilik dan nak ke lif hotel. Siapa yang menunjukkan jalan tu, tak tahulah aku sebab, aku di dalam bilik, sementara mereka, di luar sana.

Kini, sudah pun jam 9:00 malam. Aku mendengar kembali siaran kegemaranku, NasionalFM. Sambil itu, aku berwhatsApp dengan rakan-rakanku. Dan pada hari itu, aku tidur agak lambat iaitu pada kira-kira jam 2:00 pagi.

Bersambung.





Arkit blog