Bersambung lagi.
Di kelas 1IP1, aku telah mula mengenali kawan-kawan celik. Mereka ini, sangat peramah dan suka membantu kami yang serba kurang ini.
Antara rakan yang masih kuingat nama mereka ialah Norhayati, Normada, Amal Wati, Ambal Wadi, Silvaraj, Lee Chung Pui, Koo Teng Soon, Chong Sing, Ronidian, Fauzi Mohd Nor, Zulfakar Hj. Nikmat, Khazda, Yu Lin dan banyaklah lagi. Mereka semuanya rajin membantu.
Guru-guru yang mengajar juga memberikan komikmen penuh kepada kami. Mereka mencuba sedaya-upaya untuk membantu kami semua. Mereka semua sangat didikasi.
Di sekolah, aku adalah salah seorang pelajar resos yang amat lemah dalam matematik. Untuk penggal pertama, aku hanya dapat 25 markah untuk matapelajaran tersebut. Kemudian, sehinggalah ke tingkatan lima, aku dapat 0 dalam matematik. Sebab tak minatlah.
Semasa di kelas, kami akan memberikan tumpuan penuh semasa guru mengajar. Murid-murid resos akan duduk di bahagian depan sekali. Jadi senanglah bagi kami untuk memberikan perhatian terhadap apa yang diberitahu oleh guru tersebut.
Apabila guru menulis di papan hitam, maka akan ramailah mereka yang ingin menolong. Mereka amat suka sekali menolong kami. Ada yang menolong sebab kadang tu malas nak tulis nota kat papan hitam. Jadi, mereka pun tolonglah kami dengan membacakan nota untuk kami. Tapi tak apalah, sebab memang mereka rajin menolong. Jadi kami taklah bermasalah sangat.
Kadang-kadang, guru kelas akan memberikan nota kepada guru resos untuk dibraile kepada kami semua. Guru yang jaga kami ialah Mrs. Thiru dan Miss Campos.
Di resos ni pulak, ada guru yang menjaga tingkatan yang tertentu. macam kami tingkatan satu, guru yang mengawasi kami ialah Mrs. Thiru dan Miss Campos. Untuk tingkatan dua Mr. Gregory Rajan. Untuk tingkatan tiga, Mr. Yu Ah Tit. Tingkatan empat dan lima ialah Mrs. Wong.
Jadi, kesemua mereka ini akan mengawasi murid-murid resos di tingkatan masing-masinglah. Kalau ada apa-apa yang berlaku, mereka akan mengambil tindakan yang sewajarnya.
Apabila tiba sahaja matapelajaran seni lukis, maka kami akan diberi kebenaran untuk balik ke bilik resos. Yalah, manalah orang buta boleh melukis? Jadi, lebih baik balik ke bilik resos sahaja. Dan di bilik resos, kami akan menghabiskan kerja-kerja rumah yang diberikan oleh guru kelas. Kami juga akan berada di bilik resos apabila tiba matapelajaran pendidikan jasmani.
Masih kuingat pada suatu petang, sewaktu rehat, aku telah meminta rakanku Soo Leng untuk membelikan mi goreng kepadaku. Tetapi entah macammana, aku telah terlanggar sudu yang tercacak tegak di atas mi tersebut. Akibatnya, mangkuk mi itu terpelanting. habis semua mi itu jatuh dan tumpah ke lantai. Akibatnya, aku tidak makan hari itu. Aku hanya minum sebungkus air sasi.
Kami pelajar-pelajar resos ni, tak makan di kantin. Kami akan makan di luar pintu bilik resos sahaja. Di kantin ni, orang ramailah. Waktu rehat kami, adalah sama dengan waktu rehat pelajar-pelajar normal.
kami pelajar-pelajar resos akan diberi kelonggaran untuk balik awal ke bilik resos apabila tiba matapelajaran terakhir. Ini adalah untuk mengelakkan daripada kesesakan apabila loceng balik berbunyi.
kelas kami bermula pada jam satu setengah petang dan berakhir pada kira-kira jam 6:50 petang dari Isnin sampai Khamis. Pada Jumaat, kelas akan bermula pada kira-kira jam dua setengah petang. Pada bulan puasa, kelas bermula awal iaitu pada jam satu tengahari dan tamat jam 5:45 petang. Waktu pada hari jumaat ialah dua setengah petang. Balik, 5:45 minit petang.
Kini, sedikit demi sedikit, aku telah dapat menyesuaikan diri dengan pelajar-pelajar normal. Aku berasa seronok berkawan dengan mereka. Kadang-kadang, bila kelas tak ada guru, kami tumpang bising sama. Ketua kelas juga sama serupa sahaja.
Pada pertengahan tahun 1988, guru sejarah telah bertukar. Guru asal iaitu Miss Cheng telah ke sekolah lain kalau tak salah dan ia digantikan dengan Puan Yow Chong Ho. "Siapa bising, nanti saya bagi rotan." Itulah kata-kata pertama beliau apabila masuk ke kelas.
Di suatu hari, sedang Puan Yow mengajar sejarah, tiba-tiba ada perkataan "laksamana." Jadi dia sebut tak berapa nak kena. Perkataan "laksamana," dia sebut "lak saa mana." "laksa di kantin cikgu." Tiba-tiba seorang murid buat loyar buruk. "Ha, pandai awak, saya cakap laksamana, awak cakap laksa di kantin." "Nanti saya sepak awak, baru awak tau." Marah beliau.
Di satu hari pula, hujan turun dengan agak lebat apabila matapelajaran sedang berlangsung. Pada hari tersebut, mood guru sejarah agak baik. Jadi, biasalah, budak-budak. Dia sedang rancak mengajar di depan, di belakang, murid buat benda lain. Jadi, suasana menjadi agak bising. "Saya takkan teruskan sehingga semua orang tutup mulut rapat-rapat." kata cikgu tersebut. Suasana senyap-sunyi. jadi, pelajaran dapat diteruskan.
Ok, cerita pasal peperiksaan dan ujian pula. Apabila peperiksaan atau ujian berjalan, semua pelajar oku penglihatan akan membuatnya di bilik resos. Ini adalah kerana, kami akan diberi tambahan masa untuk menjawab soalan-soalan yang diberikan. Jadi, kami taklah kelam-kabut. Soalan-soalan akan dibrailekan oleh guru-guru resos yang bertugas.
Ok ini cerita macammana kami membuat kerja-kerja rumah yang diberi oleh guru. Setelah guru kelas memberikan latihan, kami akan braille latihan tersebut. Selepas itu, kami akan menghantarkannya kepada guru resos untuk menjalani proses transcribing. Dalam proses ini, guru yang bertugas akan ikut menulis apa yang kami braile itu. Apa sajalah yang kami braile. Kalau salah, salahlah. Dia ikut saja.
Selepas proses transcribing itu selesai, maka kami akan menghantarkan kerja tersebut kepada guru kelas. Ada di kalangan guru yang bertugas akan hantar terus kerja kami pada guru kelas kami.
Pejam celik pejam celik, kini, tibalah hari-hari terakhir persekolahan. Bila keputusan periksa keluar, keputusanku memang sungguh tidak memuaskan. Aku di tempat terakhir di kalangan murid tingkatan satu. Dan, kelas kami juga ada membuat majlis perpisahan. Kami pergi jugak.
Tingkatan satu tahun 1988 berakhir dengan penuh kenangan pahit-manis.