Ahad, Jun 01, 2008

Kenangan di Sekolah Menengah Hj. Zainul Abidin bahagian terakhir

Bersambung di bahagian ketujuh bahagian terakhir.

 

    Tahun 1993 telah pun tiba.  Kini, aku dan rakan-rakan sudah pun di tingkatan lima.  nampaknya, tahun ini adalah amat penting buat kami semua kerana pada tahun ini, kami semua akan menghadapi peperiksaan SPM.

    Kelas tingkatan Lima Damai terletak di tingkat atas blok A.  Pelajar-pelajar lima damai samalah dengan yang empat damai tahun lepas.  jadi, tak ada masalahlah buat kami semua untuk menyesuaikan diri kami.

 

    Tahun ini, guru kelas kami ialah guru bahasa inggeris Miss Cheah Poh Suan.  Guru ni agak tegas jugak.  Tapi, bila kelas bahasa inggeris, semuanya akan berbuat bising jugak seperti biasa.  Guru sejarah masih lagi Puan Harjid Kaur.  Guru sains ialah Puan Loo, guru bahasa melayu dan sastera ialah masih lagi cikgu Murad.  Itulah antaranya yang masih kuingat.

 

    Pertama kali aku dan rakan-rakan ke makmal, Puan Loo berkata.  "Kamu semua ni, tak pekak kan ha?"  "Jadi, kamu semua bolehlah duduk belakang."  Wah, kami pun apa lagi, duduklah belakang sekali.  Seronok bukan main lagi.

 

    Pada tahun itu semuanya berusaha bersungguh-sungguh.  Maklumlah tahun SPM.  Masing-masing mengulangkaji dengan tekun termasuklah aku.  Cuma aku ni, matematik sajalah yang aku langsung tak minat.

 

    Walau pun menyedari tahun itu adalah tahun yang amat penting, namun perangai budak-budak kat kelas kami ni tiada berbeza.  Masih releks sahaja.  Suka nak menyakat guru bertugas.  Dan seperti biasa, mereka ni, agak takut dengan guru matapelajaran bahasa melayu dan sastera iaitu cikgu Moorad.

 

    Semasa di tingkatan lima, kami terpaksalah pulak menyiapkan buku teks kami sendiri.  Guru resos baca dan kami bergilir-gilir yang tulis.  maklumlah, keadaan sudah mendesak sekarang.  Kami juga terpaksa menyalin nota-nota yang diberikan oleh guru kelas.  Kami kekurangan bahan pemelajaran.  Jadi, kenalah berkorban sedikit.

 

    masa begitu cepat berlalu.  Kini, tibalah peperiksaan percubaan SPM.  Dalam peperiksaan percubaan itu, aku lulus kira ok sahaja.

 

    Dan kini, tibalah hari-hari yang dinantikan iaitu peperiksaan SPM.  Semua pakat berdebar untuk menghadapinya.

 

    para pelajar resos akan mengambil peperiksaan dan ujian di bilik resos.  Dan begitu juga peperiksaan penting seperti PMR, SPM dan STPM.  Cuma untuk peperiksaan penting ini, ada guru luar yang datang mengawal selia kami.

 

    Setelah lebih kurang dua minggu bergelut dengan SPM, ianya pun berlalu.  Maka kini, merdekalah sudah.

 

    Pada pertengahan bulan Mac 1994, semasa aku menghadiri kursus komputer di St.  Nicholas Home, keputusan SPM pun diumumkan.  keputusan aku agak mengecewakan di mana, aku hanya mendapat Sijil Am Pelajaran SAP.  Yusof dan Rosmin telah melanjutkan pelajarannya ke tingkatan enam di Sekolah St.  John Kuala Lumpur.

 

    Segala kenangan di Sekolah Menengah Hj.  Zainul Abidin memang akan tetap segar di ingatan dan ianya tidak akan dapat dilupakan.

0 ulasan:





Arkit blog