Khamis, Oktober 09, 2008

Artikal dari Agendadaily

 

Artikal dari akhbar online Agendadaily

SAH...PM tak pertahan jawatan Presiden UMNO

Jawapan kepada tandatanya mengenai pengumuman yang bakal dibuat oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi samaada nak pertahankan atau tidak jawatan Presiden
UMNO sudah jelas tergambar semasa para wartawan melangkah masuk ke bilik mesyuarat di tingkat 39 PWTC pada jam 5.15 petang Selasa.

Para pemimpin parti komponen Barisan Nasional yang hadir kelihatan relaks selepas mesyuarat yang bermula pada jam 3.30 petang itu.Datuk Sri Najib Tun Razak
pula tersenyum riang semasa berbual dengan mereka.

Perdana Menteri yang masuk semula ke bilik itu selepas keluar sebentar menceriakan lagi mood di situ dengan sikit aksi jenaka beliau sebelum memulakan
sidang akhbar yang ditunggu-tunggu oleh semua orang.

Seperti yang dilaporkan oleh Agendadaily sebelum ini Abdullah mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu Mac
depan.

Katanya beliau mengambil keputusan itu kerana mahu UMNO dan BN terus bersatu dan kukuh.

Abdullah memberitahu beliau akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Najib sejurus beliau terpilih secara rasmi sebagai Presiden UMNO kelak.

Menjawab soalan para wartawan kemudian Perdana Menteri menegaskan keputusannya tak mempertahankan jawatan itu adalah muktamad.

Kepada soalan lain Abdullah berkata kesemua para pemimpin BN menerima baik Najib sebagai pengganti beliau.- 8/10/2008

Berikut adalah kenyataan penuh Perdana Menteri yang disampaikannya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional
pada 8/10/2008.

Pejabat Perdana Menteri

1. Saya telah berkhidmat kepada negara lebih dari 45 tahun. Saya telah berkhidmat sebagai penjawat awam dan juga sebagai seorang wakil rakyat. Saya telah
bertugas sebagai ahli pentadbiran sehingga, Alhamdulillah, saya berpeluang untuk memegang jawatan yang tertinggi di dalam kerajaan. Saya telah melihat
Malaysia melangkah maju dari sebuah negara yang miskin kepada sebuah negara yang moden dan disegani.

2. Walaupun prestasi pencapaian negara adalah membanggakan, saya percaya bahawa negara kita berada di sebuah persimpangan. Kita perlu berani membuat perubahan,
kita perlu mempercepatkan evolusi dan proses pematangan. Sekiranya kita gagal membuat perubahan tersebut, segala pencapaian kita selama lebih 50 tahun
mungkin tergadai. Dalam menghadapi perubahan dan transformasi ini, rakyat perlu berdiri teguh dan bersatu hati.

3. Sepanjang tempoh perkhidmatan saya, saya sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan rakyat. Oleh itu, saya tidak akan mempertahankan jawatan Presiden
UMNO dalam Perhimpunan Agung yang akan datang. Saya tidak mahu melihat UMNO dan Barisan Nasional berpecah belah. UMNO dan Barisan Nasional perlu bersatu
dan kukuh bagi menangani cabaran-cabaran global, agar kita berjaya menjadi sebuah negara yang maju – sebuah negara yang menjamin kesejahteraan dan keadilan
untuk semua.

4. Tempoh saya sebagai Presiden UMNO akan tamat pada bulan Mac 2009. Namun, ada beberapa inisiatif yang saya ingin laksanakan sebelum saya menyerahkan
tugas dan tanggungjawab kepada bakal pengganti saya. Inisiatif-inisiatif ini adalah penting untuk membolehkan negara kita terus melangkah maju. Inisiatif-inisiatif
ini akan memperbaiki daya saing negara dan membolehkan Malaysia mengharungi cabaran-cabaran luaran yang pasti mendatang. Saya menyeru seluruh rakyat agar
bersatu bersama saya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik.

5. Pertama, institusi negara perlu diperkukuhkan:

- Badan kehakiman perlu memperkukuhkan kedudukan dan kredibilitinya di mata rakyat. Saya akan membawa rang undang-undang ke Parlimen bagi menubuhkan Suruhanjaya
Pelantikan Kehakiman. Suruhanjaya ini akan diberi mandat untuk mencadangkan pelantikan para hakim dengan cara yang telus.

- Negara juga memerlukan sebuah institusi yang dapat memerangi gejala rasuah dengan efektif. Oleh itu, saya juga akan membawa rang undang-undang ke parlimen
untuk menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang akan mempunyai kuasa penyelidikan dan penguatkuasaan yang lebih besar berbanding kuasa yang
sedia ada pada Badan Pencegah Rasuah.

- Saya juga akan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Aduan Khas bagi memperkukuhkan integriti dan keberkesanan agensi penguatkuasaan.

6. Kedua, saya telah begitu kerap dan sering menegaskan bahawa kekayaan dan hasil kemakmuran Negara perlu diagihkan secara lebih adil ke serata Negara.
Ketika membentangkan Bajet 2009 yang lalu,saya telah menjelaskan tentang komitmen Kerajaan untuk memperkukuh dan memperluaskan Jaringan Keselamatan Sosial.
Kita akan meningkatkan usaha bagi memastikan perlaksanaan inisiatif ini dapat disegerakan bagi membantu rakyat Malaysia yang miskin dan memerlukan, tanpa
mengira latar belakang, kaum atau agama. Saya juga akan bekerja keras untuk memastikan manfaat yang jelas akan dapat mula dinikmati di Iskandar, dan juga
koridor-koridor pembangunan yang lain di serata Negara.

7. Ketiga, saya ingin melihat Kerajaan dan Barisan Nasional memperbaharui komitmen mereka terhadap usaha mewujudkan sebuah Negara yang bersatu dan harmoni.
Hakikatnya, kita telah sama-sama melihat bahawa keharmonian hubungan antara kaum dan agama semakin merosot dan terhakis. Pelbagai isu telah dibangkitkan
yang berupaya meretak dan menghancurkan perpaduan yang telah kita jalin sekian lama, yang kita banggakan selama ini. Isu-isu ini perlu kita depani dengan
bijak dan matang, melalui dialog; tangani isu-isu ini secara konstruktif dan adil; bagi memastikan rakyat dapat memahami isu-isu ini dengan jelas, tanpa
sebarang keraguan; dan berikan fokus kepada aspek-aspek yang menyatukan kita dan bukannya aspek-aspek yang makin memecah-belahkan kita semua. Bagi tujuan
ini, saya akan mengadakan Konvensyen Barisan Nasional pada awal tahun depan. Ini sememangnya satu usaha jangka panjang yang saya harap dapat saya mulakan
dan akan terus saya berikan sumbangan bagi memastikan kejayaannya.

8. Saya serius dan komited untuk mencapai segala misi yang saya gagaskan, dan saya yakin bakal pengganti saya akan meneruskan usaha-usaha ini. Saya ingin
menyerahkan kepada bakal pengganti saya, Malaysia sebagai sebuah negara yang mampu untuk berhadapan dengan sebarang cabaran ekonomi global; Malaysia yang
tidak mengira atau memandang miskin atau kaya, tua atau muda, di bandar atau di desa, utara atau selatan, apatah lagi kaum atau agama; melainkan peraduan
dan keharmonian. Ini bukan masanya untuk kita berbalah sesama sendiri atau untuk kita berpolitik secara sempit. Ini adalah masa untuk memperkukuhkan peraduan
dan kerjasama antara kita Ini adalah masa untuk kita meletakkan kepentingan negara di hadapan, mengatasi segalanya.

--- end ---

0 ulasan:





Arkit blog