Khamis, Oktober 16, 2008

Hormati penduduk asal Nusantara

Nota penulis:  Fahamilah sejarah Malaysia yang tercinta ini.  Artikal dari Utusan.
 

Hormati penduduk asal Nusantara

SEJARAH tidak dapat diubah sewenang-wenangnya. Oleh sebab itu, asalusul setiap kaum di negara ini mesti sentiasa jelas difahami oleh segenap lapisan masyarakat tidak terkecuali kalangan ahli politik.

Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Apa sahaja berkaitan orang Melayu termasuklah kedudukan mereka sebagai penduduk asal negara ini pun kerap benar dicabar dan dipersoalkan.

Hakikatnya, bagi Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan, orang Melayu bukanlah pendatang memandangkan Malaysia sendiri adalah sebahagian daripada lingkungan Nusantara yang merupakan wilayah kebudayaan Melayu. (Utusan Malaysia, 14 Oktober 2008)

Oleh hal demikian, kenyataan 'buta' sejarah hanya mengguris hati dan perasaan masyarakat Melayu. Malah, seakan-akan mahu memadam konsep Dunia Melayu yang telah lama digunakan dalam kerangka epistemologi antropologi oleh sarjana antarabangsa.

Sebelum kedatangan penjajah serta wujudnya sempadan geopolitik seperti hari ini, seluruh rantau Nusantara ini dihuni dan dimiliki oleh orang Melayu secara total. Wilayah gugusan kepulauan Melayu (The Malay Archipelago) yang diduduki oleh rumpun bangsa Melayu ini sebenarnya mempunyai banyak persamaan dan memiliki ciri keperibadiannya tersendiri dari segi asal-usul, bahasa, adat istiadat, sastera dan budaya. Ini semua berbeza benar dengan ciri-ciri budaya orang lain yang diwarisi dari China dan India hari ini.

Menurut Wan Hashim Wan Teh (1991), sejak awal kurun Masihi lagi orang Melayu sudah memiliki sistem pemerintahan tersendiri bermula dari Kerajaan Campa (kini Kemboja) dan Funan (selatan Vietnam) sehinggalah ke Langkasuka, Sriwijaya, Pasai, Temasik, Melaka, Johor-Riau dan Acheh.

Pemerintahan

Sekitar awal abad ke-16 pula, Tome Pires dalam bukunya Suma Oriental juga sudah menyebut tentang pemerintahan raja-raja Melayu Langkasuka dan Pattani.

Kini, dunia Melayu merangkumi Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Kemboja serta wilayah selatan Siam dan selatan Filipina.

Malahan menurut sarjana Guillermo Q. Roman dalam kertas kerjanya yang dibentangkan di Seminar Dunia Melayu Ketiga pada 1988 menyifatkan rakyat Filipina bukan sahaja mempunyai hubungan dengan dunia Melayu bahkan sebahagian daripada dunia Melayu itu sendiri. Tokoh kebanggaan Filipina iaitu Jose Rizal itu sendiri pun merupakan orang Melayu.

Begitu banyak bukti dan kajian terperinci daripada pelbagai sudut yang membuktikan orang Melayu adalah penduduk asal wilayah Nusantara ini. Sebaliknya, tidak pula ditemui kajian konkrit oleh para sarjana terdahulu mengatakan bahawa orang Melayu adalah golongan pendatang sama seperti kaum Cina dan India.

Apa pun alasannya, para pemimpin terutamanya bukan Melayu perlu lebih halus budi pekertinya, tidak menyinggung perasaan, peka dan menghormati sensitiviti orang Melayu. Mereka perlu 'belajar' untuk tidak bersikap kurang ajar seperti mana desakan mereka agar orang Melayu menghormati kedudukan mereka sebagai rakyat negara ini.

Mengapa apabila orang Melayu bercakap isu kaum kita dianggap sebagai perkauman sedangkan sekiranya orang lain bercakap hal yang sama tidak pula dianggap begitu?

Sukar benarkah untuk memahami perasaan orang Melayu dengan sedia bertolak ansur dan saling menghormati?

Oleh itu, para pemimpin bukan Melayu diseru agar berfikir terlebih dahulu sebelum melontarkan kata-kata. Paling penting, mereka juga harus memahami dan menghargai kebudayaan orang Melayu sebagai penduduk asal dan pentakrif jati diri negara bangsa ini, bukannya diremehkan sesuka hati.

0 ulasan:





Arkit blog