Sabtu, November 29, 2008

Anak pangkat pegawai, ibu bapa jadi pengemis

Berita Harian Online

Anak pangkat pegawai, ibu bapa jadi pengemis

Oleh Rashidi Karim
bhnews@bharian.com.my

Warga emas Thailand antara ditahan JKM di pasar malam

KANGAR: Sepasang suami isteri yang anak mereka berkhidmat sebagai pegawai kerajaan kumpulan A adalah antara sembilan pengemis dan kutu rayau yang ditahan dalam 'Ops Menyelamat' Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bandar ini, kelmarin.


Dua daripada tujuh lagi yang ditahan adalah warga emas dari Thailand yang memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial semata-mata untuk mengemis manakala yang lain warga tempatan.


Timbalan Pengarah JKM Perlis, Mastura Abdul Rahim, berkata pasangan suami isteri berusia dalam lingkungan 60-an dari Kodiang, Kedah itu ditahan ketika mengemis di pasar malam berhampiran Stadium Utama Negeri di sini, jam 8.45 malam.


"Selain mempunyai seorang anak yang bekerja sebagai pegawai kerajaan kumpulan A, pemeriksaan mendapati pasangan itu turut menerima bantuan bulanan JKM.


"Kita sedih apabila siasatan mendapati anak yang berjawatan tinggi tidak mempedulikan ibu bapa dan membiarkan mereka mengemis," katanya pada sidang media selepas operasi itu. Pasangan itu diserahkan kepada waris mereka.


Mastura berkata, selain memberi kaunseling kepada pengemis terbabit, pihaknya mengadakan perjumpaan dengan waris masing-masing bagi mengetahui punca mereka mengemis.


Operasi itu disertai 40 anggota dari polis, Jabatan Imigresen, Jabatan Agama Islam Perlis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).


Mastura berkata, dua warga emas lelaki dari Thailand yang ditahan itu diserahkan kepada pihak Imigresen .


Seorang kutu rayau dihantar ke rumah kebajikan manakala yang lain diserahkan kepada waris masing-masing.


"Warga Thailand itu menggunakan pas sempadan untuk masuk dan mengemis di pasar malam di sini.


"Perbuatan mereka dipercayai didalangi warga tempatan yang memperoleh komisen hasil kegiatan itu," katanya.

0 ulasan:





Arkit blog