Cabaran untuk PKR
Pada tahun ini Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengadakan kongres tahunannya dalam suasana berbeza. Ini kerana selain mempunyai 31 anggota di Parlimen, parti tersebut juga memerintah Selangor dan mentadbir Perak serta Kedah bersama-sama Pas dan DAP.
Sudah pastilah kejayaan berkenaan yang dicapai melalui tsunami politik yang berlaku pada 8 Mac lalu dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 dianggap sesuatu yang memberangsangkan bagi sebuah parti baru seperti PKR.
Namun begitu persoalannya mampukah pencapaian berkenaan dikekalkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti? Ini kerana mandat yang diberikan oleh rakyat kepada wakil-wakil rakyat PKR boleh dianggap sebagai satu ujian untuk melihat sejauh manakah parti yang sentiasa melihat Barisan Nasional (BN) buruk dalam segala segi melaksanakan pentadbirannya.
Setakat ini selepas tujuh bulan mentadbir Selangor dan menghantar 31 wakilnya ke Parlimen, PKR dilihat masih belum mampu memenuhi impian rakyat yang menyokong mereka.
Malah ketaksuban pemimpin-pemimpin parti itu untuk menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang tetapi akhirnya hanya menjadi satu mimpi dikatakan turut menjejaskan imej PKR.
Pelbagai kemelut yang berlaku dalam pentadbiran negeri itu yang diketuai oleh PKR di Selangor juga turut menjadi perhatian rakyat.
Mereka melihat hakikatnya pemimpin-pemimpin PKR hanyalah bijak berpolitik tetapi tidak mampu memenuhi apa yang diharapkan oleh rakyat.
Langkah melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas kerajaan pusat diterajui oleh Barisan Nasional (BN) pula hakikatnya tidaklah menguntungkan parti berkenaan. Ini kerana rakyat sekarang sudah bijak menilai, apatah lagi PKR pernah meletakkan rakyat negara ini berada dalam kedudukan tidak selesa apabila mengembar-gemburkan kononnya sebuah kerajaan baru akan ditubuhkan pada 16 September lalu.
Tetapi kesudahannya, apa yang dilihat oleh rakyat hanyalah satu pembohongan dan satu impian yang sampai ke bilapun tidak akan menjadi kenyataan. Namun begitu pemimpin PKR masih belum mahu berputus asa dalam soal berkenaan. Sehingga ke hari ini masih lagi kedengaran usaha untuk menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang dan sasaran terbaru dikatakan akan bermula di Sarawak pula.
Dalam soal ini, PKR seharusnya tahu bermuhasabah dan tidak melihat ia adalah sebuah parti yang cukup sempurna dalam semua segi. Tindakan terlalu menyerang kerajaan BN seolah-olah parti komponen itu tidak pernah melakukan kebaikan kepada rakyat boleh memakan diri sendiri.
Sama ada hendak diakui atau tidak, kejayaan PKR dalam pilihan raya umum lalu bukanlah kerana parti itu atau pakatan pembangkang lebih baik daripada BN, sebaliknya kejayaan berkenaan adalah kerana nasib semata-mata.
Ini kerana rakyat membuat keputusan tidak mengundi BN bukan kerana mereka benci kepada parti tersebut tetapi sekadar ingin memberi peringatan apabila segala janji-janji yang dibuat pada Pilihan Raya Umum Ke-11 tidak ditunaikan.
Mendabik dada
Kini BN sedang memperkukuhkan semula kedudukan manakala PKR pula boleh dikatakan masih 'berbulan madu' dengan kejayaan yang dicapai dalam pilihan raya umum lepas. PKR tidak harus terlalu mendabik dada mengatakan bahawa mereka adalah sebuah parti yang kuat kerana setakat ini sudah wujud pelbagai masalah sama ada dalam parti itu atau di negeri yang mereka tadbir bersama pakatan pembangkang yang lain.
Keadaan menjadi lebih buruk lagi, apabila Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus berdolak-dalih soal penubuhan kerajaan baru sehinggakan ada di kalangan ahli PKR sendiri menganggap kepimpinan parti itu berbohong.
Atas sebab itulah, ketika berucap di kongres berkenaan, Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Melaka, Zamzirul Nordin mengingatkan PKR agar mengutamakan usaha untuk memantapkan pentadbiran di kelima-lima negeri di bawah pakatan pembangkang daripada terlalu menumpukan perhatian kepada usaha mengambil alih pemerintahan kerajaan pusat. Beliau mungkin memahami bahawa rakyat akan menilai prestasi pemimpin-pemimpin pembangkang berkenaan sebelum memutuskan akan membenarkan mereka terus memimpin atau menolak mereka dalam pilihan raya umum akan datang.
Selain itu sebagai parti yang terlalu melaung-laungkan soal membanteras rasuah dan melahirkan pemimpin yang bersih serta sering melihat pemimpin BN kesemuanya buruk, cadangan Wanita PKR supaya mana-mana wakil rakyat parti itu terlibat dalam rasuah disingkirkan perlu diberi perhatian.
Tetapi dalam soal ini, sudah ada cakap-cakap yang mengatakan bahawa kepimpinan PKR tidak akan berani berbuat demikian biarpun ia benar-benar berlaku terutamanya di peringkat negeri yang dikuasai oleh pembangkang. Ia kerana sebarang tindakan menggugur atau menyingkirkan mana-mana pemimpin PKR yang rasuah akan memungkinkan pentadbiran pembangkang berada dalam keadaan terumbang ambing terutamanya di Kedah dan Perak.
Dalam soal ini, sudah pasti cadangan Wanita PKR hanya akan menjadi catatan perhimpunan sahaja dan ia tidak akan sama sekali direalisasikan kecuali mahkamah menentukan seseorang wakil rakyat PKR itu bersalah.
Turut menjadi perhatian ialah sejauh manakah hubungan antara pakatan pembangkang mampu dikekalkan kerana pada masa ini PKR dilihat lebih selesa bekerja rapat dengan DAP berbanding dengan Pas. Walaupun parti itu sering mendakwa pakatan pembangkang mempunyai kerjasama yang kukuh tetapi ia hakikatnya ibarat ada api dalam serkam yang sedang membara.
Pelbagai isu yang tercetus di Selangor contohnya sudah memaparkan dengan jelas bahawa kehadiran Pas dalam pakatan berkenaan hanya sekadar untuk memastikan pembangkang tidak hilang kuasa di negeri-negeri yang dikuasai oleh mereka kecuali di Kedah.
Sebenarnya, sudah ada perasaan tidak puas hati di kalangan ahli-ahli Pas sendiri berhubung tindak tanduk PKR ini yang dilihat lebih suka memenuhi impian DAP berbanding parti itu. Isu penjualan arak secara terbuka di Selangor sudah menjadi bukti bahawa Pas seolah-olah tidak mempunyai apa-apa kuasa sebaliknya hanya mengikut sahaja.
Mungkin sekali lagi, kita akan dituduh cuba memecah belahkan kerjasama antara pakatan pembangkang tetapi dalam masa yang sama kebenaran tetap kebenaran. Ia akan terserlah juga apabila tiba masanya.
Justeru adalah lebih baik jika setiap pandangan dan kritikan yang dilemparkan kepada PKR atau pembangkang diterima sebagai input dan bukannya dilihat dari sudut negatif semata-mata. Janganlah menganggap seolah-olah pakatan pembangkang terlalu sempurna kerana Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pun menganggap pakatan itu ibarat bayi yang baru lahir.
Mengisytiharkan
Cabaran untuk membina sebuah gabungan seperti BN hakikatnya terlalu getir untuk PKR dan pakatan pembangkang yang lain. Tidak kisahlah apa pun tuduhan pembangkang ke atas parti komponen itu tetapi apa yang pasti rakyat masih tetap berkeyakinan bahawa BN masih parti pemerintah yang terbaik.
Malah UMNO masih dianggap parti yang menjadi pelindung kepada orang Melayu dan Islam. PKR seharusnya perlu mengakui ketaksuban mereka untuk mencari kuasa politik telah menyebabkan orang Melayu menuduh mereka sebagai pengkhianat bangsa itu.
Ini jelas apabila ada pemimpin-pemimpin PKR terus bersuara lunak biarpun ada pemimpin bukan Melayu melakukan tindakan yang bertujuan menggugat kepentingan bangsa itu dan Islam.
Justeru tidak hairanlah sehingga ke hari ini, sebahagian besar orang Melayu berasa kecewa dan marah dengan PKR yang dianggap sanggup mengorbankan kepentingan Melayu demi mencapai cita-cita politik mereka. Mungkin pemimpin PKR tidak mempedulikan semua itu kerana mereka akan melakukan apa sahaja untuk meraih sokongan kaum-kaum lain tetapi seandainya orang Melayu melihat kedudukan mereka tergugat sudah pasti ia akan menjadi bahaya yang cukup besar kepada parti berkenaan.
Hakikatnya, kejayaan dalam pilihan raya umum lalu bukanlah melambangkan kekuatan sebenar parti berkenaan sebaliknya ia berlaku kerana senario politik negara ketika itu. Justeru banyak perkara yang harus dilakukan oleh PKR jika ia mahu dilihat mempunyai kekuatan sendiri seperti DAP dan Pas. Kedua-dua parti berkenaan dianggap 'musuh tradisi' kepada BN berbanding dengan PKR yang boleh dianggap masih tercari-cari apakah 'harapan baru' yang hendak diberikan kepada rakyat.
Kini rakyat sudah sedar dan sedang menilai kesilapan yang mereka lakukan. Tidak mustahil PKR akan kehilangan kekuasaan di Selangor dan majoriti ahlinya di Parlimen dalam pilihan raya akan datang, jika kepimpinan parti itu merasakan ''merekalah parti paling sempurna''.
0 ulasan:
Catat Ulasan