Rintihan bahasa Melayu
SUDAH 51 tahun bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan Malaysia. Dalam tempoh itu berbagai perubahan berlaku di dalam sistem pelajaran dan pentadbiran bertujuan mendaulatkan bahasa kebangsaan. Rakyat berbilang kaum fasih berbahasa kebangsaan. Sistem pentadbiran kerajaan berjalan lancar tanpa gangguan serius.
Namun tidak dapat dinafikan wujudnya beberapa kelemahan berpunca dari transisi bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Tetapi ia bukanlah sesuatu yang boleh membantut kelicinan pentadbiran dan pembangunan negara. Sebagai contoh ratusan ribu kalaupun tidak jutaan pelajar Malaysia yang berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara dan mendapat kejayaan cemerlang.
Sebagai sebuah bekas jajahan British, ramai rakyat negara ini khususnya golongan lama yang besar di zaman penjajahan berasa satu macam nostalgia terhadap bahasa Inggeris. Lantaran itu seringkali kedengaran rintihan tentang merudumnya taraf bahasa Inggeris di kalangan generasi muda termasuk pegawai-pegawai kerajaan. Ini tidak dapat dinafikan.
Tetapi dalam banyak hal ia dibesar-besarkan oleh berbagai pihak dengan berbagai sebab tertentu. Antaranya oleh orang Melayu sendiri. Setiap hari akhbar-akhbar dipenuhi dengan rintihan dan tangisan tentang betapa lemahnya bahasa Inggeris khususnya di kalangan pegawai dan pelajar Melayu.
Tetapi tidak ada orang Melayu yang tidak mahu pandai dalam bahasa Inggeris. Cuma sistem pembelajaran sahaja yang kurang berkesan. Malahan orang Melayu menerima hakikat bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa kedua negara. Kalau sistem lemah ia perlu dikaji semula. Namun martabat bahasa kebangsaan tetap dipelihara.
Perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan boleh disamakan dengan konsep mobiliti yang pernah penulis pelajari lebih 30 tahun lalu. Umpamanya anak seorang penoreh getah memasuki universiti, apabila tamat belajar dan bekerja, cara hidup dan pemikirannya berubah. Sudah pandai makan bersudu dan paling penting sudah ada tandas di dalam rumah tidak seperti ketika kecil-kecil di kampung.
Perbezaan ini semakin ketara apabila anak orang kampung ini berkahwin dan mendapat anak. Anak-anak yang dilahirkan di bandar-bandar sudah tidak mahu makan belacan dan tempoyak kerana busuk. Mereka juga lebih senang bercakap bahasa Inggeris sesama sendiri meskipun kadang-kala tak ubah macam rojak atau pasembur Pulau Pinang.
Ketika bahasa Thai, Indonesia dan Tagalog digunakan dengan menyeluruh di dalam dan luar negara, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan semakin dipersoalkan. Agak kaget apabila melihat sekumpulan belia Indonesia keturunan China bercakap bahasa Indonesia sesama sendiri di sebuah pasar raya di Los Angeles, baru-baru ini.
Akhbar Melayu
Berdasarkan kepada loghat Amerika yang tebal (ketika bercakap dengan juruwang di kaunter) penulis rasa mereka bukannya lahir di Indonesia. Kemungkinan juga mereka datang ke Amerika ketika masih kecil. Tetapi apa yang menarik meskipun dilahirkan di Amerika mereka masih berbahasa Indonesia sesama mereka. Tiba-tiba sahaja penulis rasa rindu dengan Lagu Ayah dan Ibu nyanyian Allahyarham Sudirman.
Seperti mana anak kampung yang lebih selesa makan dengan sudu (baik juga untuk kesihatan), kecintaan orang-orang Melayu terhadap bahasa kebangsaan nampaknya semakin tipis. Ini jelas kalau dikaji dari jumlah akhbar-akhbar Melayu yang dijual setiap hari. Ini adalah andaian yang paling mudah.
Penulis amat terkejut apabila membaca satu rencana di akhbar ini beberapa hari lalu yang jumlah jualan harian setiap akhbar utama Melayu hanya kira-kira 200,000 naskhah. Ini sesuatu yang tidak dapat dipercayai dibandingkan dengan jumlah orang Melayu yang dianggarkan kira-kira 16 juta dari 26 juta penduduk.
Kalaulah sepuluh peratus orang Melayu membeli akhbar-akhbar Melayu sudah pasti jumlah akhbar-akhbar yang dijual melebihi 1.5 juta sehari. Bagaimana pula sikap orang-orang UMNO terhadap Utusan Melayu/Malaysia umpamanya yang sering dianggap sebagai lidah rasmi UMNO.
Dewasa ini ahli-ahli UMNO dianggarkan seramai 3.2 juta orang. Kalau 10 peratus orang UMNO membeli akhbar-akhbar terbitan Utusan Melayu sudah pasti jumlah yang dijual melebihi 320,000 naskah. Ini tidak termasuk rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Apakah orang-orang UMNO sendiri tidak membeli akhbar-akhbar yang dianggap sebagai lidah rasminya.
Selain daripada itu, Ahli-ahli Parlimen dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang beratus-ratus orang itu tidakkah teringin melanggan akhbar-akhbar Melayu untuk kegunaan balai-balai raya, perpustakaan dan sekolah-sekolah di kawasan masing-masing. Berapalah sangat harga akhbar-akhbar tersebut dibandingkan dengan undi dan sokongan yang diberi.
Bagaimana pula dengan bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan UMNO sendiri. Tidakkah mereka juga berhasrat melanggan akhbar-akhbar untuk kegunaan masyarakat di dalam bahagian masing-masing. Apa salahnya beli kalaupun tak suka dengan berita-berita yang disiarkan. Setidak-tidaknya boleh dibuat bungkusan goreng pisang atau untuk melindungi dari hujan sekiranya terlupa membawa payung. Harganya pun bukanlah mahal sangat.
Ini satu fenomena yang amat malang. Pejuang-pejuang Melayu di zaman menuntut kemerdekaan bermati-matian berjuang untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Sehingga ia diterima dan termaktub di dalam perlembagaan negara dan dasar pelajaran kebangsaan.
Ekoran itu penulis sekali lagi ingin menekankan betapa pentingnya matapelajaran sejarah diajar di sekolah-sekolah dari peringkat rendah dalam apa sahaja aliran (sains atau sastera) hingga ke peringkat universiti. Selain daripada itu matapelajaran politik dan sistem pemerintahan hendaklah dijadikan matapelajaran wajib kepada pelajar-pelajar menengah tinggi dan universiti.
Bahasa khususnya bahasa kebangsaan bukanlah sesuatu yang hanya cantik untuk dijadikan hiasan sebaliknya dipraktikkan. Ia adalah identiti sesebuah negara. Setiap negara di dunia mempunyai bahasa kebangsaannya sendiri dan bahasa ini digunakan seluas-luasnya baik di sekolah, universiti atau pentadbiran seharian. Masalah tidak akan selesai sekadar mencampuradukkan satu dua mata pelajaran di dalam bahasa asing.
Dalam konteks Malaysia isu pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris masih diperdebatkan. Ada di kalangan orang Melayu sendiri khususnya di bandar-bandar yang mahukan kedua-dua matapelajaran ini terus diajar di dalam bahasa Inggeris. Pokoknya setiap dasar hendaklah memenuhi kehendak majoriti dan berfaedah kepada negara. Paling penting setiap pelajar hendaklah berlumba di atas padang yang sama rata.
Mungkin benar juga kata pepatah Melayu "Lain padang lain belalang". Begitu juga dengan cita rasa generasi baru termasuk orang-orang Melayu sendiri yang dibesarkan dalam suasana mewah hasil perjuangan orang-orang terdahulu. Nampaknya sistem pelajaran yang dikatakan tempang ini berjaya membuka minda dan membolehkan rakyat berfikir dengan lebih kritikal.
Lalu penulis terfikir panjang kenapa Allahyarham Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan pemimpin-pemimpin terdahulu memilih bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan tidak bahasa Inggeris umpamanya. Sedangkan sebelum merdeka bahasa Inggeris adalah bahasa rasmi. Bukankah lebih mudah terus menerus menggunakan bahasa Inggeris. Paling menarik mereka adalah berlatarbelakangkan sistem pelajaran Inggeris.
Sedingin salju berkata: Adakah bahasa melayu akan berkubur?
0 ulasan:
Catat Ulasan