Selasa, Februari 24, 2009

Melayu jangan menang sorak tanah air tergadai

http://www.bharian.com.my/Tuesday/Rencana/20090224065627/Article/print_html
Berita Harian Online 
--------------------------------------------------------------------------------
 
Melayu jangan menang sorak tanah air tergadai
Oleh Md Shukri Shuib
 
BELUMPUN reda polemik politik di Perak yang menyaksikan kejatuhan kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang, kini negara perlu pula menyaksikan satu
lagi pertarungan baru dalam aplikasi demokrasi berparlimen. Dengan 'dua bukit' bakal memperlihatkan detik bukan saja pertandingan, malah lebih daripada
itu ia dilihat sebagai detik penentu kepada pengundi untuk menjadi penganalisis dan penentu kepada situasi politik negara yang rencam hari ini.
 
Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang diadakan berikutan penyandangnya daripada Pas, Roslan Shaharum, 50, meninggal dunia, akibat serangan jantung,
manakala kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau, kosong berikutan peletakan jawatan V Arumugam. Satu lagi 'bukit' juga kemungkinan mengundang satu
lagi pilihan raya kecil berikutan peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Bukit Lanjan, Elizabeth Wong yang berdepan isu penyebaran gambar
separuh bogel, tetapi Parti Keadilan Rakyat (PKR) belum menerima peletakan jawatannya itu.
 
Untuk itu, negara seolah-olah 'dibebani' oleh ketidaktentuan dan polemik berpanjangan serta berlaku bertali arus dan ini pastinya berlaku disebabkan oleh
percaturan pengundi yang seolah mencari haluan baru pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu. Akibat percaturan mencari haluan baru itu, maka ia memberikan dampak
besar kepada peralihan corak pentadbiran serta mempengaruhi perspektif politik dan keselamatan serta kestabilan negara.
 
Terlalu ghairah untuk mencorakkan kononnya 'pembaharuan' maka berslogankan tindakan untuk melakukan 'perubahan kerajaan' atau 'regime change' maka dogma
itu menjadikan pengundi berfantasi sehingga lupa akan keperluan strategik negara. Akibatnya, soal siapa calon pembangkang yang diletakkan pakatan terbabit
langsung dianggap sebagai ikon perubahan, atas sifat dan sentimen tidak menentu yang 'anti-BN'.
 
Tidak pasti kenapa sentimen 'anti-BN' itu menjadi ketara hinggakan pengundi seolah gelap mata dalam membuat pilihan. Sebab itulah timbul pelbagai isu serta
tahap kelayakan sebenar seseorang wakil rakyat, terutama daripada pihak pembangkang apabila saja kemenangan berpihak kepada mereka.
 
Selain itu, juga sentimen 'anti-BN' pengundi pada pilihan raya umum lalu, secara automatik memberikan ledakan yang tidak seimbang dari segi perwakilan
dalam badan legislatif yang secara majoriti terpilih menjadi kerajaan.
 
Lihat saja dalam kes Perak, pembangkang dilihat tidak seimbang perwakilannya dalam badan legislatif, apatah lagi dalam hal merujuk kepada perwakilan sesuatu
kaum bagi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
 
Sebelum Pakatan Rakyat tumbang, kekuatan Melayu dan bukan Melayu dalam Pakatan Rakyat adalah bernisbah 9:21, justeru tidak hairanlah dengan Pas menyandang
jawatan Menteri Besar, namun keanggotaan Exco didominasi bukan Melayu menerusi DAP dan PKR. Bagi BN pula, dominasi Melayu menerusi Umno menjadi ketara
dan kini sebagai sebuah kerajaan negeri, ahli legislatif Perak yang berpihak kepada BN adalah Melayunya seramai 29 ahli dan hanya dua bukan Melayu, iaitu
satu MCA dan satu lagi Bebas.
 
Kini negeri Perak terpaksa berdepan realiti politik baru, sementara menanti Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan mendepani dua situasi sama ada dengan BN sebagai
kerajaan yang didominasi Melayu atau terus membiarkan Pakatan DAP-PKR dan Pas dengan dominasi tentunya berpihak pada DAP sebagai punca kuasa yang semua
ahli legislatifnya adalah bukan Melayu.
 
Ingatan jelas kepada umat Melayu di negeri-negeri Melayu bahawa menerusi demokrasi dan undi diberikan, sekiranya tidak benar-benar diperhalusi, maka kepentingan
survival Melayu mampu tergadai. Perak saja sudah lebih 10 bulan berada di bawah dominasi bukan Melayu sebagai kuasa pentadbir, pastinya faham akan kewujudan
polemik politik baru yang berpaksikan kepada kerakusan kuasa daripada khidmat sebenar sebuah kerajaan kepada rakyat.
 
Dalam konteks demokrasi, undi adalah 'kuasa rakyat' dan adalah juga sebagai 'amanah'. Bagi umat Islam, amanah yang dipikul dan diseru untuk ditunaikan
itu perlulah ditunaikan dalam kadar mempertimbangkan kepentingan siasah agama, bangsa dan negara melebihi mana-mana aspirasi taklik politik berunsur ideologi
dan kepartian.
 
Apa gunanya sibuk dengan membangkang, namun negeri tergadai di tangan sendiri. Tangan yang mengundi adalah tangan 'pembina' atau juga tangan 'pembinasa'.
Inilah kepentingan 'undi' dalam konteks permainan demokrasi masa kini. Sifat 'anti' tanpa sebab harus dihentikan, malah pengajaran lalu terutama di Perak
dan juga dalam konteks Bukit Selambau harus menjadi pedoman.
 
Disebabkan sifat 'anti' yang wujud, maka perwakilan yang dipilih terbukti tidak bersifat sebagai pemimpin bermoral patut dijadikan pengajaran. Ini bukti
bahawa demokrasi yang melaungkan 'hak' dan kebebasan juga mampu membawa kebinasaan. Kini aspirasi nasional wajar menjadi keutamaan, di sebalik usaha menstabilkan
situasi politik negara seiring masa krisis ekonomi yang menuntut persepsi baik dunia antarabangsa terhadap Malaysia.
 
Jika segala-galanya taklik dengan demokrasi dan kebebasan serta kononnya adalah hak individu untuk memilih, maka dengan itu juga kepentingan survival generasi
masa depan bangsa ini tergadai, maka 'dosa-dosa' ditanggung umat ini kerana menjadi 'tangan pembinasa' kepada agenda agama, bangsa dan negara itu sendiri.
 
Dalam politik Malaysia, asas demokrasi perlu dilihat bangsa Melayu sebagai aset strategik kelangsungan negara ini untuk berada di bawah pentadbiran anak
watan bangsa Melayu itu sendiri. Bukan hanya Melayu itu menjadi boneka politik, di mana gambarnya digantung di segala pelosok pejabat sebagai kenangan
jawatan bagi sesuatu institusi, malah ia perlu disertakan keupayaan strategik 'berkuasa' dalam menjaga kepentingan dan survival anak watan negeri dan negara
ini.
 
Tragedi politik Perak harus menjadi pengajaran dalam iktibar aplikasi demokrasi dalam erti pemerkasaan strategi bangsa menghadapi percaturan baru politik
dunia semasa. Jika masyarakat Melayu masih alpa dan leka, serta lebih gemar menjadi hero politik berpaksikan bangkangan sebagai wadah percaturan politiknya,
maka susutlah 'aset bangsa' dan berpecahlah nilai 'kuasa' yang ada.
 
Sementara pada satu pihak pula, jika masih sibuk dengan sikap dan peranan elitis mereka dengan mengejar pangkat dan darjat serta melihat politik sebagai
wadah 'kontrak' serta wang berjuta, maka Melayu yang terbina kekayaannya ibarat 'hamba' di bumi sendiri sedang dengan wang berjuta, negeri tergadai dan
rakyat binasa.
 
Pepatah 'biar mati anak jangan mati adat' yang kini dianggap tidak relevan dengan situasi sudah menyebabkan 'derhaka' dianggap sebagai hero dan sanjungan
sedang yang 'taat' sebagai kerdil dan ketakutan.
 
Inilah dogma politik yang jika dibiar, negara akan runtuh sistem kestabilannya. Negara yang terbina sistem dan aplikasi politik sejak 51 tahun lalu, bahkan
sejak 1940-an lagi sudah digerakkan pembinaan bangsa dan negara, kini di ambang krisis.
 
Krisis yang berlaku wajar segera diperbetulkan. Wadah 'undi' adalah saluran utama dalam aplikasi bernegara di Malaysia dan hak undi kepada negara lebih
utama daripada hak undi bersifat individualis. Rasionalisasi politik lebih utama daripada membina ketaksuban sehinggakan fikiran strategis bangsa tergadai
selama-lamanya.

2 ulasan:

blogresipi.com berkata...

Saudara Sedingin Salju,

Orang Melayu agak taksub dalam berpolitik. Kadang-kala sampai buang saudara.

Mereka juga mudah termakan janji-janji manis. Apatah lagi jika janji manis keluar daripada mulut orang yang petah berbicara. Sebab itulah penjual ubat boleh cari makan di Malaysia.

Cuma kadang-kala mereka terlupa ada agenda lain yang lebih penting daripada politik. Mereka lupa tentang kepentingan untuk mengangkat martabat bangsa melalui pendidikan dan kekuatan ekonomi.

Tai berkata...

ya, betul sangat tu kunang-kunang. mereka ini terlalu taksub.





Arkit blog