Ahad, Februari 15, 2009

SUARA BLOG

Utusan.

 

SUARA BLOG

POLEMIK peralihan kuasa di Perak terus menjadi perbualan hangat dalam kalangan penulis blog baik di pihak penyokong kerajaan mahupun pembangkang.

Malah ada di antara penulis yang begitu emosi sehingga mengeluarkan tulisan lantang, keras dan bernada tidak sopan terutama mereka yang tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi komentar bahawa sandiwara di Perak masih 'menggelikan hati' terutama perihal lompat-melompat. Menurutnya, berdasarkan demokrasi, Pakatan Rakyat masih boleh mengadakan kerajaan minoriti di Perak.

"Tetapi kerajaan minoriti lemah. Dia boleh ditumbang dengan undi tidak percaya oleh majoriti ahli Dewan Undangan Negeri, kalau Dewan bersidang. Mungkin Pakatan tak mahu ada persidangan itu," kata beliau dalam blog chedet.co.cc.

Ada yang bertanya, apakah yang boleh dilakukan terhadap kerajaan minoriti jika ia kekal dan terus merosakkan negeri?

"Keadaan seperti ini masih kelabu; tak ada peruntukan undang-undang setakat yang saya tahu," katanya.

Penulis blog Rocky Bru, rockybru.blogspot.com pula mempersoalkan ketuanan rakyat yang diuar-uarkan oleh pembangkang berhubung penentangan peralihan kuasa di Perak.

Ahirudin Attan menyoal, apakah ketuanan rakyat bermakna menyerahkan kepada Sultan untuk membuat keputusan tetapi menderhakai baginda jika keputusan itu tidak berpihak kepada pembangkang?

"Ini bukan ketuanan rakyat. Ini adalah yang boleh dipanggil ketuanan Pakatan Rakyat," kata penulis itu.

Menurutnya, jika para pemimpin pembangkang masih mahu mengheret Sultan Perak ke mahkamah untuk mempertahankan apa yang difikirkan betul berdasarkan parti mereka, biarkanlah mereka lakukan.

"Cuma satu perkara, biar beradab, jangan biadap dan tidak sampai menderhaka dan ingatlah pernyataan Rukun Negara, ia bukan hanya Kesetiaan Kepada Raja tetapi Kesetiaan Kepada Raja dan Negara."

Beliau mengajak para penulis blog supaya menyatakan sokongan kepada Sultan Perak dengan meletakkan logo "Daulat Tuanku" di laman blog masing-masing.

Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (drmaza.com) pula berpendapat, jika perbuatan melompat parti tidak dapat diterima oleh sesetengah pihak, perkara yang sama sepatutnya berlaku ketika isu lompat parti pada 16 September 2008.

Katanya, pendirian yang istiqamah atas prinsip itu hendaklah ditunjukkan dalam semua keadaan.

Apakah bantahan isu Perak ini memang benar-benar atas prinsip atau semangat kepartian semata-mata?

"Daripada segi kepentingan umat, tanpa mengira parti, kita perlu menilai; manakah kepimpinan kerajaan Perak yang lebih bermanfaat dan kurang mudarat kepada umat dan rakyat? Manakah pula yang akan membahayakan masa depan umat? Ini perlu dilihat dengan teliti," tulis beliau dalam blognya, drmaza.com

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam www.asyrafwajdi.com menulis, beliau pernah memberi pandangan bahawa tindakan Pakatan Rakyat daripada awal menguar-uarkan penubuhan kerajaan secara 'lompat-parti' adalah satu tindakan yang langsung tidak menghormati keputusan rakyat dan membelakangi prinsip demokrasi.

Namun jelas penulis ini, ramai yang membidas dan mengkritik pandangan tersebut atas alasan menghormati hak dan kebebasan setiap pemimpin berkenaan dan atas nama demokrasi tetapi apabila terkena Pakatan Rakyat, ia dikatakan tidak demokratik dan tidak menghormati rakyat.

"Sebab itulah kalau kita berpolitik secara bermaruah, prinsip kita tidak harus berubah-ubah. Kalau kita tidak suka sesuatu berlaku kepada kita, jangan pula kita melakukan perkara itu kepada orang lain.

"Prinsip inilah yang disebut dalam Islam sebagai "kama tadiinu tudaanu" bermaksud "Bagaimana kita lakukan begitulah kita akan diperlakukan".

Seorang lagi penulis Dr. Shahrizal Azwan Samsudin (drazwan.blogspot.com) turut mengulas mengenai situasi politik di Perak.

Tulisnya, sebagaimana Pakatan Rakyat menang dengan sedikit majoriti yang menjadikan kerajaan negeri ketika itu (selepas Pilihan Raya Umum ke-12) berada di dalam kejayaan seperti di hujung tanduk begitu juga dengan kerajaan BN sekarang.

Bagaimanapun pada akhir tulisannya itu, penulis berkata: "Kepada semua ahli politik kita ini, sudah-sudahlah berpolitik ini. Rakyat dah sangat-sangat bosan. Buatlah kerja.

"Dulu Permatang Pauh, lepas itu Kuala Terengganu sekarang ni Perak pula. 24 jam politik, bila nak bekerja dan berbakti kepada rakyat?" soal beliau.

0 ulasan:





Arkit blog