Rabu, Februari 18, 2009

Sultan pelindung Melayu

Sultan pelindung Melayu

TITAH Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin ketika merasmikan sidang Parlimen bagi penggal kedua kelmarin supaya menghormati Perlembagaan Persekutuan wajar mendapat perhatian semua pihak.

Yang di-Pertuan Agong antara lain menekankan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tubuh dan tertinggi di negara ini yang telah dipersetujui oleh semua pihak semasa negara mencapai kemerdekaan.

Untuk itu, Tuanku Mizan mengingatkan supaya kesepakatan itu dihormati dan tidak ada sebarang percubaan untuk mewujudkan undang-undang lain yang bertentangan dengan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

Peringatan Yang di-Pertuan Agong itu tidak dapat mengelak daripada dikaitkan dengan polemik politik semasa lebih-lebih lagi isu yang berlaku di Perak.

Sebelumnya, Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah turut melahirkan rasa kecewa kerana sikap biadab sesetengah pihak terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Walaupun kenyataan itu bersifat peribadi dan tidak mewakili mana-mana sultan negeri lain, namun ia sudah cukup untuk melambangkan betapa tercalarnya peranan sultan Melayu pada pandangan masyarakat.

Sememangnya pihak istana mempunyai sebab untuk berasa kecewa dengan sikap pakatan pembangkang mencabar Sultan Perak sehingga tergamak menyaman baginda tidak bertindak demokratik.

Pakatan pembangkang mungkin tidak menyedari bahawa Sultan Perak juga mempunyai latar belakang pendidikan dan ketokohan terutamanya dalam jurusan undang-undang.

Sikap melampau segelintir penyokong pembangkang sehingga tergamak mencerca sultan menyebabkan rakyat terutamanya orang Melayu bersatu hati mempertahankan raja-raja.

Situasi semasa juga menimbulkan kembali polemik mengenai kewajaran supaya kekebalan raja-raja dikembalikan semula.

Sejak Persekutuan Tanah Melayu diperkenalkan pada 1948, negara telah menyaksikan dua kali Perlembagaan berhubung kuasa raja dipinda iaitu pada 1983 dan 1993.

Kedua-dua pindaan itu dibuat ekoran beberapa masalah dan pertikaian yang berlaku seiring dengan senario politik pada waktu itu.

Lalu ketika isu penderhakaan terhadap sultan berlaku seperti ketika ini, ramai yang melihat kekebalan raja-raja itu perlu dikembalikan bagi membolehkan mereka memainkan peranan yang lebih penting dan berkesan.

Kekebalan itu juga bagi mengelak berlakunya peristiwa yang lebih dahsyat daripada episod penderhakaan seperti di Perak pada masa depan.

Bagaimanapun dalam membincangkan mengenai kekebalan raja-raja, perlu untuk difahami Malaysia merupakan sebuah negara yang sinonim dengan amalan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

Pemerintahan Raja Berperlembagaan ini adalah unik kerana terdapat dua peringkat iaitu persekutuan dan negeri.

Amalan sebegini tidak wujud di mana-mana negara yang mempunyai institusi beraja. Sebaliknya Malaysia mempunyai 10 orang raja yang memerintah pada satu-satu ketika.

Kedudukan itu membuktikan sistem raja berperlembagaan di negara kita sangat istimewa dan dikira sebagai bonus kepada sultan-sultan Melayu.

Walaupun sultan-sultan Melayu tidak mempunyai kuasa mutlak, namun mereka diberi kedudukan istimewa menerusi peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun dalam pemerintahan demokrasi berparlimen, raja tidak mempunyai kuasa sebaliknya rakyat diberi kuasa memilih pemerintahan menerusi pilihan raya.

Pun begitu, rakyat tidak seharusnya memperlekehkan peranan raja atau sultan dalam segala hal.

Hakikat itu berbalik kepada ikrar taat setia kepada Rukun Negara kedua iaitu "Kesetiaan kepada Raja dan Negara."

Ia juga secara tidak langsung menjelaskan mengapa isu kekebalan raja tidak harus diusul atau dipertikaikan.

Ini kerana kuasa dan peranan Raja-raja Melayu kini adalah terbaik selagi rakyat mencurahkan kesetiaan di bawah naungan baginda yang turut melambangkan negara Malaysia.

Lebih lanjut, pensyarah Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya (UM), Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad menjelaskan, adalah lebih baik peranan Raja-raja Melayu yang ada seperti hari ini dikekalkan.

Pertikaian mengenai kekebalan raja menurut beliau, bukan sahaja melibatkan percaturan politik ketika ini, tetapi turut merangkumi perubahan pucuk kepimpinan istana pada masa depan.

Walaupun kekebalan raja itu sudah tidak lagi popular di kalangan pihak istana, ia tidak menggugat pengaruh, kredibiliti dan fungsi golongan raja untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pemerintah negara dan di peringkat negeri.

Pun begitu beliau menambah, kedaulatan raja juga harus seiring dengan kedaulatan rakyat yang mana raja harus mengambil kira pandangan rakyat. Dengan itu, sultan menjadi penentu kepada kejayaan sistem demokrasi di Malaysia.

Pihak istana juga tidak boleh dibayangi oleh mana-mana parti politik bagi memperkukuhkan institusi beraja sekali gus menyangkal tohmahan dan tuduhan daripada rakyat.

"Pergolakan politik seperti yang berlaku di Perak sehingga membabitkan pihak istana hanyalah gangguan yang ditimbulkan oleh pihak yang tidak berpuas hati.

"Selagi sultan dapat mengawal keadaan tersebut, perkara yang tidak diingini dapat dielakkan kerana baginda lebih arif dengan selok-belok undang-undang dan Perlembagaan negeri," katanya.

Dari sudut sejarah, krisis antara Sultan Perak dengan rakyat bukanlah peristiwa baru. Ia pernah terjadi ketika pemerintahan Sultan Idris Shah yang kurang senang dengan pelantikan semula Tan Sri Ghazali Jawi sebagai Menteri Besar oleh Tun Abdul Razak pada 1970-an.

Ketika itu baginda tidak menolak atau membantah pelantikan tersebut, menunjukkan bahawa baginda merupakan raja berperlembagaan.

Peristiwa itu menjelaskan bahawa Perlembagaan negeri meletakkan sultan berkuasa melantik Menteri Besar.

Tetapi sultan tidak boleh melantik sesiapa selagi ia tidak mendapat sokongan sebahagian besar parti yang menguasai Dewan Undangan Negeri.

Hakikat itu jelas Noor Sulastry, membawa kepada realiti pergolakan politik yang berlaku di Perak seperti ketika ini.

Pembentukan Kerajaan Negeri Perak jelas beliau, mendapat perkenan sultan dan dibentuk oleh ahli majlis mesyuarat mengikut undang-undang yang betul.

"Pakatan pembangkang tidak seharusnya cepat melatah kerana perkara itu sudah pun diselesaikan dengan baik.

"Mereka tidak dapat membentuk kerajaan kerana terdapat kelompangan apabila ada ahli yang melompat parti dan menyatakan sokongan kepada BN meskipun atas tiket Bebas," katanya.

Malangnya perkara itu tidak dapat diterima oleh pakatan pembangkang, sehingga ada segelintir penyokongnya sanggup memperlekehkan pihak istana dan tergamak menyaman sultan.

Dalam era neo-fuedal, dapat dilihat betapa masyarakat berpegang kepada ketaatan dan keakuran kepada raja.

Sekiranya isu kekebalan menjadi persoalan utama kepada perjuangan orang Melayu terutamanya selepas kes Sultan Perak, sudah pasti akan kedengaran laungan memperjuangkan kekebalan pihak istana.

Bagaimanapun situasi semasa menunjukkan sebaliknya, yang mana orang Melayu selesa dengan kekebalan raja sedia ada.

Namun, pantang bagi orang Melayu menderhaka kepada sultan dan kemarahan itulah yang dapat dilihat daripada aksi demonstrasi yang berlaku di seluruh negara ketika ini.

Rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu melihat tindakan saman terhadap sultan adalah penderhakaan yang hebat.

Sudah semestinya, orang Melayu akan bangkit mempertahankan sultan yang merupakan pelindung kepada keistimewaan dan nasib Melayu.

Apa yang membimbangkan tambah Noor Sulastry, semacam timbul isu perkauman yang dilihat semakin menjadi-jadi apabila terdapat sekelompok masyarakat yang memperlekeh dan merendah-rendahkan kedaulatan raja.

Sedangkan jelas beliau, kemelut politik yang berlaku ketika ini bukanlah sesuatu yang terlalu kritikal. Isunya hanya berkisar tentang tindakan melompat parti sehingga meruntuhkan Kerajaan Negeri Perak sedia ada.

Namun isu ini seolah-olah dihangatkan sehinggalah terjadinya episod penderhakaan terhadap sultan.

"Sekiranya isu-isu seperti ini terus berlanjutan, ia boleh menjejaskan perpaduan di kalangan rakyat dan paling penting, peranan sultan juga akan semakin diperlekeh dan dipinggirkan," katanya.

9 ulasan:

PUTERI berkata...

Sedingin salju,

artikel yg menarik...

Tai berkata...

Terima kasih puteri. Saya ambil dari utusan, artikal ni.

PAPA GOMO berkata...

SALAM BRO....
KITA TERUS BERJUANG DALAM MENENTANG GOLONGAN PUAK BLOGGER PAKATAN RAKYAT YANG TERUS-TERUSAN MENGHINA RAJA.

PKR MENANGIS??? KENAPA???http://gomo-no1.blogspot.com/2009/02/pkr-menangis-dek-kerana-peliwat-tegar.html

amirul berkata...

Sedingin salju,
Banyaknye artikel dalam sehari... :)

Tai berkata...

Ya Gomo, semoga tuhan bersama-sama dengan kita semua untuk menghapuskan segala virus w32 ini.

Tai berkata...

Kalau dah banyak tu, saya copy paste tu.

kena tonjolkan artikal-artikal tu.

Zainab berkata...

Menderhaka dosa besar: Mufti WP
19/02/09

KUALA LUMPUR: Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata perbuatan menderhaka kepada pemerintah adalah satu dosa besar berdasarkan dalil daripada Al Quran dan Sunnah.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata sebarang perbuatan tunjuk perasaan bertujuan mencabar pemerintah adalah haram seperti dinyatakan dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Mana-mana kumpulan manusia berarak ke arah Sultan dengan tujuan merendahkannya, maka mereka akan dihina oleh Allah sebelum hari Kiamat."

Beliau berkata dengan demikian berhubung kenyataan Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria baru-baru ini mengenai kewajipan rakyat mentaati titah sultan.

Harussani membuat kenyataan itu berikutan tindakan penyokong parti pembangkang yang biadab, mencela dan menderhaka Sultan Perak Sultan Azlan Shah ketika berdemonstrasi di Masjid Ubudiah Kuala Kangsar sebelum itu. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Mutakhir/20090219183232/Article

Masa gegak gempita nak lucutkan imuniti raja2 melayu dulu, Malaysia belom ada sejor Mufti ka?

Tai berkata...

Ha ha ha ha ha. Adoi, nak tergelak aku. Takdakkah cerita orang lain yang derhaka pada raja? Pi mai pi mai, Umno jugak.

Helo encik, bukanlah tujuan Umno nak melucutkan imuniti raja cik oi, kalau dibiarkan nanti, raja juga yang susah. Apa akan jadi? Janganlah cuba hendak memutar-belit encik.

Saya nak tanya, adakah islam ajar kita berbohong? Adakah islam ajar tentang pemerintah? Adakah? Bukankah islam itu suatu agama yang baik, telus, shumul dan suci? Awat hang jadi macam ni?

Adakah dek kerana mufti memberitahu suatu kebenaran yang tidak memihak pada pembangkang, mufti itu harus dicaci-maki dan dihina? Islam mengajar itukah? Adakah islam mengajar semua para ulama dan mufti memberitahu perkara yang hanya memihak pada satu parti? Itukah ajaran islam?

Daddy berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.




Arkit blog