Khamis, April 23, 2009

‘Hidup saya berubah’





Oleh FUAD HADINATA YAACOB
hadinata@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: "Sebelum ini saya tidak tahu mengenai tulisan braille, tetapi selepas lima bulan di MAB (Persatuan Orang Buta Malaysia) hidup saya berubah.

"Sepanjang di sini saya bukan saja boleh membaca dan menulis dengan tulisan itu, tetapi turut diajar mengaji al-Quran serta mengikuti kelas fardu ain," kata Shafinatul Afida Kosni, 31, wanita cacat penglihatan berasal dari Manjung, Perak.

Anak sulung lima beradik itu berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kelas Bimbingan Rohani 'Komuniti Disayangi' dan Orang Kurang Upaya (OKU) di Kompleks Pusat Islam, di sini, semalam.

Program anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) itu bertujuan membina asas akidah dan bimbingan rohani serta memberi pemahaman dan penghayatan mengenai ajaran Islam.

Program yang bermula sejak 2000 itu mensasarkan golongan seperti cacat penglihatan dan pendengaran, pekerja seks, penghidap HIV/Aids serta penagih dadah.

Shafinatul berkata, selama hampir 30 tahun, dia menetap dan bersekolah di rumah, namun apabila mendapat bimbingan serta bantuan pihak berwajib, hidupnya bertambah ceria.

"Banyak perkara saya pelajari, termasuk bimbingan rohani dan jasmani daripada pelbagai pihak. Saya bersyukur masih ada pihak sudi membantu golongan seperti saya," katanya.

Rakannya, Norlaili Muhiyiddin, 21, berkata peluang itu sangat bermakna untuk golongan sepertinya, sekali gus dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik.

"Saya baru empat bulan di Semenanjung, sebelum ini saya bersekolah di Sekolah Pendidikan Khas di Ranau, Sabah dan peluang mengikuti kelas secara khusus ini meningkatkan kemahiran saya, terutama dalam tulisan braille.

"Selain pendidikan jasmani dan rohani, saya dididik dengan ilmu agama," katanya yang menetap di MAB sejak Januari lalu.

Bagi Maznah Idris, 43, yang disahkan penghidap HIV pada 2007 akibat pemindahan darah berkata, pendidikan agama yang diberi menguatkan semangatnya untuk terus menjalani kehidupan seperti biasa.

"Tahun ini masuk tahun kesembilan saya di PT Foundation dan sepanjang di sini pelbagai program saya ikuti, termasuk keagamaan. Kami diajar bersolat dan mengaji selain ditiupkan semangat untuk terus hidup," katanya.

Selain Jawi, program itu mendapat kerjasama Persatuan Orang Pekak Kuala Lumpur (KLSD), Persatuan Ibu Bapa dan Penjaga Anak-anak Pekak Kuala Lumpur (Pesiba), Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis), Rumah Sinar Salam dan PT Foundation.

2 ulasan:

Mohammad Roslan berkata...

Salam Ss,
Lama tak dengar berita...apa khabaq...Masalah OKU di negara ini dipandang ringan.Kurang dapat perhatian dari masyarakat..kerana dalam masyarakat Malaysia OKU seprti taboo yang sukar dibincangkan.Mass media perlu memainkan peranan.Mamak harap Ss pertingkatkan lagi penyedaraan masyarakat tentang masalah OKU.Mamak cadangkan Plus Toll beri peluang pada golongan OKU yang cuma duduk dan beri ticket toll itu..ini orang sempurna anggota dijadikan seprti OKU buat apa?...tiap-tiap kali lalu Toll juru ke KL teringatkan Sedingin salju......wassalam.

Tai berkata...

Ya mamak, salam sejahtera. Agak sibuklah sekarang.

Ya memang benar. kerajaan mahu pun pembangkang, sama saja. Pembangkang tu, lagilah nak ambik kesempatan bilamana dia tengok kerajaan tak pedulikan oku. jadi, sesuatu perlu dilakukan. Saya rasa, BPN boleh membantu.





Arkit blog