Isnin, Mei 11, 2009

Buta tidak halang sertai konvoi berbasikal





Oleh JUNHAIRI ALYASA
junhairi.alyasa@kosmo.com.my

SEBAHAGIAN daripada OKU cacat penglihatan dan ahli Pradas sebelum berlepas dalam program Jom Kayuh 2 di Desa Mentari, Petaling Jaya semalam.

PETALING JAYA - Walaupun Nazri Sahmad, (gambar kecil) 31, cacat penglihatan namun kegiatan berbasikal bukan perkara asing kepada dirinya.

Malah aktiviti tersebut menjadi sebahagian daripada dirinya setelah mencubanya sejak tahun 2000 dan kekal menjadi minatnya sehingga dianggap model kepada orang kurang upaya (OKU) lain di negara ini.

Walaupun dibantu oleh seorang pengayuh yang normal dengan menggunakan basikal tandem yang boleh dinaiki oleh dua orang penunggang namun semangat yang ditunjukkan harus menjadi contoh kepada orang lain.

"Walaupun saya dibantu oleh pengayuh yang normal tetapi cabaran datang dalam bentuk mental dan fizikal, jika mental tidak kuat fizikal lemah, mustahil saya boleh melakukan aktiviti ini," katanya ketika ditemui Kosmo! di Desa Mentari di sini semalam.

Nazri yang juga seorang guru merupakan salah seorang daripada 15 OKU cacat penglihatan dan 150 pengayuh basikal sempena program Jom Kayuh 2, anjuran Persatuan Peminat Komunikasi Radio Dua Hala Selangor (Pradas) serta Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Kesemua peserta terbabit akan menggunakan laluan yang telah ditetapkan sepanjang 180 kilometer dan dijangka sampai ke Melaka dalam tempoh 11 jam.

0 ulasan:





Arkit blog