Pekerja OKU cemerlang tak terpinggir
KUALA LUMPUR: “Tak sangka saya akan menang. Saya bersyukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada pengurusan dan kementerian kerana memilih saya sebagai pemenang.
“Tiada rahsia tertentu, cuma komitmen saya dengan majikan dan terbabit dengan pelbagai aktiviti. Saya mampu buat seperti mana orang lain dan tidak merasa rendah diri dengan kekurangan ini,” kata penerima Anugerah Pekerja Cemerlang 2011 bagi kategori Orang Kurang Upaya (OKU), Mahadzir Derani, 40.
Katanya, biarpun menghadapi masalah penglihatan sejak lahir, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang meneruskan hidup seperti insan lain kerana sejak dulu lagi sudah biasa dengan pelbagai tugasan, termasuk aktif di dalam kesatuan dan sukan.
Dia yang mula bekerja di Bank Pembangunan sejak 1992 turut mencatat sejarah tersendiri apabila dipilih menjadi Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Perdagangan bank berkenaan selama dua penggal bermula 2006 sehingga kini.
Lebih menarik, operator telefon selama 15 tahun itu pernah mewakili negara dalam Sukan Para Asean pada 2005, 2008 dan 2009 dalam acara catur selain muncul pemenang peringkat Kebangsaan pada 1997.
Bapa empat anak itu berkata, setakat ini dia tiada masalah berhubung dengan rakan sekerja, malah jawatan disandang membolehkan dia berhubung dengan banyak pihak.
Menurutnya, golongan OKU tidak harus rasa terpinggir dan kecewa dengan keadaan diri, sebaliknya perlu reda dengan menjadikan kecacatan itu sebagai perangsang untuk terus hidup dan berjaya.
sumber: harian matro
Cacat penglihatan tak halang beri khidmat terbaik
2011/05/08
KUALA LUMPUR: Tinggal jauh dari tempat kerja dan terpaksa menggunakan kemudahan awam kerana cacat penglihatan sejak kecil tidak menghalang Mahadzir Derani@Abdul Ghani berkhidmat cemerlang sehingga dipilih penerima Anugerah Pekerja Cemerlang kategori Orang Kurang Upaya (OKU) sempena sambutan Hari Pekerja 2011 di sini, semalam.
Mahadzir, 40, tahun yang bekerja sebagai Operator Telefon di Bank Pembangunan terpaksa berulang alik menggunakan bas dan komuter dari Rawang ke Kuala Lumpur serta bersesak dengan penumpang lain, untuk mencari rezeki.
“Cabaran di tempat kerja tidak banyak kerana majikan sentiasa menyediakan kemudahan bagi memudahkan kerja saya selaku operator telefon,” katanya ditemui sempena sambutan Hari Pekerja di Stadium Putra Bukit Jalil di sini, semalam.
Beliau menerima piala, wang tunai RM5,000 dan sijil penghargaan yang di sampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, kerajaan sentiasa meneruskan inisiatif memastikan rakyat negara ini mendapat pekerjaan dan memastikan landskap pasaran buruh cekap supaya potensi pekerja dapat dioptimumkan.
“Kita patut bersyukur kerana inisiatif kerajaan membolehkan negara kita mengekalkan tahap guna tenaga penuh dengan mencatatkan kadar pengangguran kurang daripada empat peratus setiap tahun sejak 1995. Ini satu pencapaian membanggakan walaupun negara melalui krisis ekonomi global,” katanya.
Selain anugerah Pekerja Cemerlang kategori Orang Kurang Upaya (OKU), lapan lagi kategori anugerah untuk pekerja cemerlang diberikan. Anugerah Pekerja Cemerlang kategori Eksekutif dimenangi Penolong Pengurus Bahagian Operasi Rangkaian Kawasan Selatan, Telekom Malaysia (TM) Pawziah Yunos manakala kategori Pekerja Cemerlang kategori Bukan Eksekutif diterima Abdul Aziz Shawab juga kakitangan TM.
sumber: berita harian
0 ulasan:
Catat Ulasan