Isnin, November 05, 2012

Cari punca diskriminasi perkauman

Cari punca diskriminasi perkauman

Nov 4th 2012, 23:38

Artikel sebenar bukanlah artikel ini tetapi komentar saya mengenai pembangunan di Bt Caves, tetapi pihak akhbar tidak berani untuk menyiarkannya dan saya ganti dengan artikel ini. Saya cuba 'lembut' kan artikel tersebut minggu depan, InsyaAllah.

Sinar Harian 5 Nov 2012

Terbaharu, kajian pensyarah kanan Universiti Malaya (UM), Dr Lee Hwok Aun dan Dr Muhammed Abdul Khalid Universiti Kebangsaan Malayasia (UKM), mendapati bahawa ramai graduan baru Cina lebih mudah dipanggil untuk temuduga dan mendapat pekerjaan, berbanding dengan orang Melayu, amat menarik perhatian saya.

Isu ini sudah lama saya perkatakan. Saya amat yakin yang mempraktikkan polisi ini adalah syarikat-syarikat ultra kiasu, menunjukkan diskriminasi kaum semakin ketara dalam proses pengambilan pasaran buruh sektor swasta. Syarikat Melayu sendiripun ada yang mempraktikkan perkara sebegini, sebab tidak yakin dengan kemampuan bangsa sendiri.

Bertunjangkan kepada gagasan 1Malaysia, kerajaan hari ini semakin bersifat terbuka. Ramai kalangan bukan Islam telah dilantik memegang jawatan tinggi dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Petronas, CIMB, Telekom Malaysia dan sebagainya. IPTA juga tidak terlepas, Timbalan Naib Canselor sudah ada di kalangan bukan Islam. Jangan haraplah IPTS bukan Melayu akan melakukannya, kecuali jika ada keuntungan.

Maka tidak hairan jika kita lihat ramai orang Melayu, pegawai kerajaan pencen, bergelar Tan Sri dan Dato, diperalatkan untuk kepentingan bisnes mereka. Perlantikan mereka sekadar untuk mendapat tender dan kontrak. Lebih malang lagi, mereka yang digula-gulakan dengan elaun dan kerusi empuk, langsung tidak berperanan.

Kita ambil satu contoh berdasarkan maklumat rakan-rakan yang bekerja di GLC petroleum terbesar negara. Ultra kiasu yang dilantik sebagai salah seorang pengarah GLC ini begitu bermaharajalela. Kebanyakan kontrak syarikat minyak ini diberikan kepada syarikat bukan Melayu. Manakala, pekerja-pekerjanya diambil kalangan bukan Melayu. Saya tidak kata, tidak boleh. Tetapi biar berpada-pada. Jangan sampai orang Melayu terasa telah diketepikan seperti yang berlaku.

Yang peliknya, orang Melayu berjawatan tinggi di sana, hanya melihat sahaja. Tidak berani melawan menegur atau melawan bos, kerana ultra kiasu ini ‘kamcing’ dengan bos nombor satu. Bos nombor satu ini masih dengan cara hidup nafsi-nafsi. Minuman keras masih menjadi amalan. Amalkanlah sifat sebegini, suatu hari ini, kita akan tahu nasib Melayu di bumi Melayu seperti yang selalu saya peringatkan.

Ultra kiasu, walaupun bilangan sedikit, tetapi mereka amat aktif bekerja siang malam tanpa jemu. Ultra kiasu akan memastikan mereka sentiasa menang di mana sahaja berada. Lebih malang lagi ada kalangan kita yang bersekongkol dengan mereka. Sama juga di tempat saya bekerja. Orang Islam sendiri telah berpakat dengan ultra kiasu untuk menjahanamkan orang Islam sendiri.

Memang agak pelik, bila saya menulis sebegini, seorang Cina yang tidak ada apa-apa kepentingan selalu mengingatkan Melayu sehingga saban hari saya dikutuk. Tetapi apakan daya, semangat keIslaman mengatasi segala-galanya. Tidak mengapalah dikecam dan dihina. Apa yang penting, untuk memastikan umat Islam selamat. Itupun jika mereka mahu sedar.

Bayangkan di kala kerajaan dan anak-anak syarikat terus bersifat terbuka, manakala syarikat ultra kiasu terus mengutamakan kaumnya, bagaimanakah nasib Melayu Islam ini. Perkara ini perlu difikir secara serius oleh kita hari ini. Saya yakin, keadaan yang hampir sama berlaku pada syarikat GLC yang lain seperti Maybank, CIMB, Telekom dan lain-lain.

Kadangkala naik muak melihat syarikat GLC ini, berlagak tidak tentu pasal. Kita yang menyukarkan keadaan sehingga anak bangsa sendiri merempat. Isu penguasaan bahasa asing diperbesar-besarkan, sehinggakan orang Melayu yang rajin, tetapi tidak menguasai pelbagai bahasa dipinggirkan.

Maka dilantiklah orang-orang yang kononnya menguasai pelbagai bahasa. Secara tidak sedar, mereka inilah yang khianat, menjual rahsia kerajaan. Ada yang sanggup menjual rahsia kepada CIA, mengutuk negara sendiri apabila berucap atau membentang kertas kerja ketika berada di negara luar dan sebagainya.

Maka tidak hairanlah hari anak bangsa tidak mendapat tempat dan bahasa Melayu terus merempat. Jika tidak percaya, masuklah ke kedai TM Point, bacalah apa yang tertera di dinding-dinding dan banner mereka. Boleh dikatakan, tidak ada bahasa Melayu digunakan. Semuanya bahasa Inggeris. Ini baharu satu contoh. Pergilah ke GLC yang majoritinya dipimpin oleh orang Melayu. Kenapa ada dalam pemikiran bos-bos yang dilantik memimpin syarikat kerajaan ini, langsung tidak ada sedikitpun dalam kepala mereka untuk mengangkat agenda kebangsaan?

Bandingkan dengan syarikat ultra kiasu yang lain. Masuklah ke bank-bank atau syarikat kepunyaan mereka. Bahasa Melayu hanya ada pada tanda pintu keluar dan masuk. Selebihnya menggunakan bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris. Bahasa Melayu langsung tidak mendapat tempat, sebab tidak penting, tidak komersial. Apa ada dengan bahasa Melayu?

Ini dibuktikan lagi, hasil kajian mereka juga mendapati, walaupun kedua-dua graduan Melayu dan Cina menyenaraikan penguasaan bahasa Cina dan menyatakan mereka lulus dari universiti tertentu mungkin meningkatkan peluang mereka untuk dipanggil temuduga. Namun, syarikat Cina atau dikendalikan orang asing, lebih ketara cenderung memilih pemohon Cina.

Semua bukti ini menunjukkan, diskriminasi kaum begitu ketara dalam sektor swasta, terutamanya dalam industri kejuruteraan. Orang Melayu hampir pasti ditolak oleh syarikat kawalan asing, diikuti oleh syarikat dikuasai Melayu dan akhir sekali firma dikawal Cina.

Jika beginilah keadaannya, sekolah aliran kebangsaan sudah tidak relevan lagi. Jika isu bahasa mandarin terus diambil kira, bermakna, orang Melayu perlu menghantar anak mereka ke sekolah Cina dan sekolah antarabangsa bagi mendapatkan kerja di syarikat Cina. Ini menampakkan seolah-olah ada permuafakatan antara sekolah ultra kiasu dengan syarikat ultra kiasu, supaya kepentingan budaya dan syarikat mereka terjaga.

Nasihat saya, kerajaan perlu mengkaji semula sifat ‘keterbukaan’ yang dilakukan selama ini. Tidak mengapalah kalaupun berlaku ‘brain drain’, jika yang keluar itu adalah ultra kiasu tegar yang tidak boleh dipercayai. Itu lebih baik daripada menyimpan mereka, yang menjadi musuh dalam selimut.

Diambil dari: Ridhuantee

SPM menjengah lagi

SPM menjengah lagi. hari ini 5TH November, mereka yang mengambil peperiksaan SPM pasti akan berdebar-debar. Bagi yang cukup ilmu di dada, pasti tiada apa-apa. Tetapi, bagi mereka yang kosong, alahai.

Sebut pasai SPM, teringat aku pada zaman persekolahanku. Aku mengambil SPM pada tahun 1993. pada masa itu yang ambil SPM bagi pelajar buta di Sekolah menengah haji Zainul Abidin ialah aku, Rosmin Dambah, Joseph Mongijal, Arzman Razali dan beberapa orang lagi. Untuk pelajar buta, satu bilik khas diberi untuk mereka. Dan mereka juga diberi masa tambahan extra.

Seperti biasalah, kertas pertama ialah kertas bahasa Malaysia ketika itu atau bahasa melayu sekarang ini. Aha, aku cukup sukalah kertas bahasa melayu ni. Sebabnya, bahasa melayu ni, amat senang dan kacang. jadi, tutup mata pun boleh jawab.

Apabila tibanya matapelajaran yang aku tak suka seperti matematik dan lain-lain, aku menjawablah secara ekspress. Malas nak pikiak panjang-panjang.  masa yang diperuntukkan selama lima jam, aku hentam setengah jam saja, selesai semua.

Dalam SPM itu, aku mendapat yang terbaik ialah dua matapelajaran sahaja iaitu bahasa melayu dapat 6 dan sastera dapat 5.

Ahad, November 04, 2012

Mengapa saya tidak mendaftar sebagai seorang pemilih?

Pihak kerajaan seringkali mengharapkan agar rakyat mendaftar sebagai seorang pemilih. Kata mereka, itu merupakan tanggungjawab kepada negara. Undi kita merupakan penentu kepada masa depan negara kita yang tercinta ini.

Tetapi, untuk pengetahuan, saya sendiri belum lagi dan tidak akan mendaftar sebagai seorang pemilih buat masa ini. Ada sebabnya mengapa saya bertindak demikian.

Sehingga ke hari dan saat ini, saya, sebagai orang buta, masih tiada hak sepenuhnya untuk mengundi calon pilihan saya. Mana hak saya? Ya benar, oku juga layak mengundi. Tetapi, hak untuk oku penglihatan mengundi, tiada.

Bayangkan, bagi orang buta, mereka dibenarkan membawa saudara-mara atau rakan untuk pergi membuang undi. Rakan atau saudara-mara merekalah yang akan memangkah bagi pihak si buta ini. jadi, di manakah kebebasan para si buta ini untuk menentukan calon pilihan mereka?

Saya boleh membawa saudara atau rakan saya semasa membuang undi. Mereka yang akan memangkah bagi pihak. Tetapi, yakinkah kita dengan mereka? Contohnya, saya mahu dia pangkah calon BN, tetapi, dalam diam-diam, dia pangkah calon pakatan haram. Tapi bila kita tanya, dia kata pangkah calon BN. Jadi? Apa semua ini? Di manakah kebebasan si buta untuk menentukan calon pilihan kita? mana dia? Orang buta, masih tiada hak 100% untuk memilih calon pilihan semasa pilihanraya.

Jadi di sini, saya berharap, pihak SPR dan kerajaan dapatlah berbuat sesuatu supaya kebebasan hak orang-orang buta untuk mengundi pada pilihanraya akan dapat dinikmati 100% oleh orang buta dan bukannya seperti sekarang. Selagi masalah ini tidak dapat diatasi oleh pihak-pihak yang berkenaan, saya telah berjanji pada diri saya, bahawasanya, saya tidak sesekali akan mendaftar sebagai seorang pemilih untuk mengundi. Ini kerana, saya tidak diberi kebebasan penuh untuk memilih wakil rakyat saya.

Sabtu, November 03, 2012

Denko. 15 tahun dalam kenangan

Awal januari 1997, aku mula memasuki alam pekerjaan. Aku kerja kilang sebagai operator pengeluaran. Kilang tempat kerjaku diberi nama Denko HLB. Aku dan seorang lagi kawan buta, yatim bekerja di sana. Tugas kami mudah. Lipat kotak.

Di kilang itu, bukan kami saja warga oku di sana. malah, ada beberapa lagi warga oku di sana. Antaranya, oku mental dan bisu. Payah betul nak bersembang dengan orang bisu. jadi, kami pakailah inisiatif sendiri untuk sembang dengan si bisu ni.

Pernah pada suatu ketika, kilang kami mengambil seorang pekerja yang dikategorikan gila. Dia boleh kerja, tapi tiba-tiba nanti, dia boleh jerit kuat-kuat. Dia akan ditemani oleh ayahnya. Kalau ayahnya sakit, dia pun tak datang kerja. Tapi, dia kerja tak lamalah, dia berhenti. Begitu jugak dengan si bisu. kalau si ibu tak kerja di sana, dia pun tak boleh kerja. Dia bukan setakat bisu, tapi masalah lain juga. Dia juga kekadang, boleh berak dalam seluar. Kalau mak diatak ada, oi payahlah. Yang si perempuan pula, juga kes yang sama, bukan setakat masalah mental. Kadang, bila datang period, habis pakaian kena darah kotor. Dah satu kerja pulak nak pergi cuci. nasib baiklah ada kawan sudi tolong. Kira prihatinlah ni.

Terdapat dua orang oku anggota. yang sorang, dua-dua kaki bertongkat. kalau dia tergelincir jatuh, pasti terlentang. kalau tak angkat dia, sampai tahun depanlah terlentang di situ. Pernah pada suatu hari, dia pergi ke toilet. Entah macammana dia jatuh terlentang dalam toilet. Apabila ke toilet, dia akan meletakkan tongkatnya di luar toilet. Dan dengan berpegang pada dinding, dia akan berjalan perlahan-lahan masuk dalam jamban. Dalam jamban itulah dia jatuh terlentang.

Apabila begitu lama dia tak keluar dari toilet, super visor dah mengesyaki sesuatu. Bila sampai, mereka terpaksa panjat masuk dalam jamban tu untuk angkat dia bangun.

Ok yang sorang lagi pulak, cacat sebelah kaki kanan dan tangan kanan. Tapi dia ni, action bukan main. Bongkak nak mampoi. Dia ni pulak, ada penyakit gila babi. Kalau penyakit gila babinya menyerang, takut tengok.

Kilang ni bukan setakat buat kotak, dia juga mengeluarkan barangan lain. Seperti barangan plastik dan barangan kertas yang lain.

Tahun 2000, itulah tahun pertama aku menghadiri jamuan makan malam di kilang yang berlangsung di Hotel Istana kalau tak salah. Aku pergi dengan kawan. Chey, makan pun tak kenyanglah.

Tahun 2002, perniagaan kilang mula merosot sedikit demi sedikit. Tak tahulah di mana silapnya. Tetapi, setiap barangan yang datang, pasti ada yang rosak dan terpaksa dihantar balik kepada pembekal.

Tahun 2003, pengeluaran kilang semakin merudum. Akibatnya, dua orang oku anggota telah diberhentikan kerja. Sementara tinggallah beberapa lagi oku mental dan termasuklah aku. kami kerap pula diberi cuti tanpa gaji sebab barang tak ada.

Sementara itu, Yatim kalau tak salah, berkahwin pada tahun 2001. Isterinya, Rohazana. Rohazana bekerja di kilang sarung tangan Alligance yang sekarang telah dipindahkan ke Thailand khabarnya. yatim berhenti pada awal tahun 2002.

pada April 2004, kami, semua oku kecuali seorang oku wanita di kilang tu diberi cuti hingga ke suatu tarikh yang akan diberitahu kelak. Alasannya, barang tak ada. Tinggallah hanya seorang oku yang bekerja.

Oktober 2009. Aku dipanggil balik ke kilang Denko. Rupanya, nama kilang itu telah bertukar dari Denko HLB kepada Denko IPC. Sejak bila bertukar, tidaklah diketahui. Oku lain tidak dipanggil balik. Sepanjang lebih kurang lima tahun itu, kami diberi gaji tanpa kerja. Seronok no?

Rupanya, hanya aku seorang yang dipanggil balik ke kilang itu untuk bekerja. Tetapi kali ini, bukan lagi aku melipat kotak. Tetapi mengopek sampah. Kadbod itu telah di punch. Kerja aku, tarik keluar sampah yang melekat.

Apabila aku kembali semula ke kilang tersebut, rupanya, telah banyak perubahan yang berlaku. pekerja yang beratus orang, kini hanya tinggal berpuluh orang sahaja. Semua pekerja Bangla Desh kecuali beberapa orang, telah dihantar pulang. Begitu juga dengan pekerja Indonesia. Dan, mereka ambil pula pekerja dari Myanmar dan Nepal.

Tahun 2011, desas-desus telah kedengaran yang mengatakan, kilang akan berpindah ke lokasi lain. Di mana lokasinya, tidaklah diketahui. Tetapi, pihak pentadbiran cuba menghentikan khabar angin ini.

Tahun 2012, khabar angin tentang perpindahan kilang semakin kencang. Dan pada Jun 2012, berita itu sedikit sebanyak telah disahkan. Kilang itu diberitakan akan berpindah ke tanah besar. Di mana lokasinya, tidaklah diketahui. Dan pada masa itu, telah terbayang oleh aku, pastinya rezeki aku akan barakhir.

Pada penghujung September, pihak pentadbir telah memanggil satu mesyuarat. Dia memanggil kumpulan kecil. Di mesyuarat itu, pihak pentadbir telah memaklumkan bahawa, kilang akan dipindahkan ke lokasi baru di Seberang jaya. Alasan yang diberi ialah sewa tanah di Pulau Pinang amat mahal sekarang dan pihak kilang tidak mampu untuk menanggung pembayaran sewa tanah itu.

Di dalam mesyuarat tersebut, aku telah memaklumkan, jika pihak kilang sediakan pengangkutan, dapatlah aku mengikuti perpindahan itu. Kalau tak, tak boleh. Dan pengangkutan itu kalau boleh, datanglah ke kawasan tempat tinggal aku. Pihak pentadbir berjanji akan mengkajinya.

Pertengahan Oktober. Kami disuruh menghantar surat kepada pengangkutan untuk memaklumkan sama ada boleh mengikuti perpindahan kilang atau sebaliknya. Aku tetap dengan pendirianku yang asal. Aku telah menghantar surat pada pentadbir kilang menyatakan, aku tidak akan mengikuti perpindahan kilang ini kerana tiada pengangkutan disediakan. Itulah keputusan muktamadku.

31ST Oktober, merupakan hari terakhir aku di kilang. perasaan sayu dan sebak menyelubungi hatiku. namun, aku ketepikan kesemua itu. Aku tidak mahu melayannya. Setelah 15 tahun bersama Denko, kini, tibalah masa dan ketikanya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Denko. Setiap pertemuan, pasti ada perpisahan.

Apabila pulang ke rumah, perasaan sayu dan sebak masih lagi menyelubungi hatiku. Dan pada malam itu, sehingga ke pagi aku tidak tidur. Aku mengimbau kembali kenangan-kenangan pahit manis bersama Denko.

Dan kini, Denko hanyalah menjadi lipatan sejarah buat diriku. Segala jasa-jasamu tidak akan kulupakan. Selamat tinggal dan selamat berpisah Denko.

Jumaat, November 02, 2012

jalur lebar

Sebagaimana yang diketahui umum sekarang, pihak penyedia perkhidmatan internet sedang berlumba-lumba menyediakan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi kepada para pengguna dengan harga yang amat berpatutan kepada para pengguna.

Bagi para pengguna biasa, harga yang disediakan sudah tentu mampu dibayar oleh mereka. Tetapi, bagi para pengguna oku, harga pakej perkhidmatan jalur lebar dari sesuatu syarikat itu adakalanya amat membebankan.

Contohnya, perkhidmatan Unifi dari syarikat Tm. Untuk perkhidmatan berkelajuan 5 MBPS, harga yang ditawarkan ialah RM 149. Mungkin bagi orang normal, apalah sangat dengan RM 149 tu? Itu kan murah? Ya. memang benar, RM 149 tiada apa-apa bagi orang normal. Tetapi, bagi warga oku, RM 149, sangatlah besar. Ya, memang tidak dinafikan, ada juga oku yang gajinya beribu tiap bulan. Tetapi, berapa keratlah sangat orang oku yang bergaji sebesar itu? Mejoriti daripada golongan oku ni, gajinya kecil sahaja.

Dengan gaji yang kecil, golongan oku ini tidaklah mampu nak bayar harga perkhidmatan jalur lebar yang dikategorikan amat tinggi ini. Dan seperti yang kita sedia maklum, golongan oku ini, sudahlah payah nak bergerak ke sana, ke mari. Jadi, internet sajalah menjadi medeum bagi golongan oku seperti kami ini untuk berinteraksi antara satu sama lain.

Jadi di sini, saya, dengan rasa rendah diri, inginlah meminta kalau boleh, pihak TM supaya dapatlah memberikan satu harga khas bagi kami golongan oku ini supaya kami dapatlah menggunakan perkhidmatan Unifi dari TM ini. Seperti mana yang saya terangkan di atas, kami, golongan oku ini tidak mudah untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. jadi, internetlah menjadi medeum kami golongan oku untuk berinteraksi dengan rakan-rakan oku yang lain dan juga rakan-rakan biasa. Semoga dengan penawaran harga khas oleh TM bagi golongan oku ini, dapatlah kami, golongan oku ini, sama-sama menikmati kemudahan jalur lebar yang telah disediakan oleh pihak TM.





Arkit blog