Ahad, November 04, 2012

Mengapa saya tidak mendaftar sebagai seorang pemilih?

Pihak kerajaan seringkali mengharapkan agar rakyat mendaftar sebagai seorang pemilih. Kata mereka, itu merupakan tanggungjawab kepada negara. Undi kita merupakan penentu kepada masa depan negara kita yang tercinta ini.

Tetapi, untuk pengetahuan, saya sendiri belum lagi dan tidak akan mendaftar sebagai seorang pemilih buat masa ini. Ada sebabnya mengapa saya bertindak demikian.

Sehingga ke hari dan saat ini, saya, sebagai orang buta, masih tiada hak sepenuhnya untuk mengundi calon pilihan saya. Mana hak saya? Ya benar, oku juga layak mengundi. Tetapi, hak untuk oku penglihatan mengundi, tiada.

Bayangkan, bagi orang buta, mereka dibenarkan membawa saudara-mara atau rakan untuk pergi membuang undi. Rakan atau saudara-mara merekalah yang akan memangkah bagi pihak si buta ini. jadi, di manakah kebebasan para si buta ini untuk menentukan calon pilihan mereka?

Saya boleh membawa saudara atau rakan saya semasa membuang undi. Mereka yang akan memangkah bagi pihak. Tetapi, yakinkah kita dengan mereka? Contohnya, saya mahu dia pangkah calon BN, tetapi, dalam diam-diam, dia pangkah calon pakatan haram. Tapi bila kita tanya, dia kata pangkah calon BN. Jadi? Apa semua ini? Di manakah kebebasan si buta untuk menentukan calon pilihan kita? mana dia? Orang buta, masih tiada hak 100% untuk memilih calon pilihan semasa pilihanraya.

Jadi di sini, saya berharap, pihak SPR dan kerajaan dapatlah berbuat sesuatu supaya kebebasan hak orang-orang buta untuk mengundi pada pilihanraya akan dapat dinikmati 100% oleh orang buta dan bukannya seperti sekarang. Selagi masalah ini tidak dapat diatasi oleh pihak-pihak yang berkenaan, saya telah berjanji pada diri saya, bahawasanya, saya tidak sesekali akan mendaftar sebagai seorang pemilih untuk mengundi. Ini kerana, saya tidak diberi kebebasan penuh untuk memilih wakil rakyat saya.

0 ulasan:





Arkit blog