Khamis, Januari 03, 2008

Kerja oh kerja


Pada 31 Disember 2007 yang lalu, Paul Keong telah membawa aku ke kilang Public Packagers untuk cuba meminta kerja. Kami pergi pada lebih kurang jam dua setengah petang. Sesampainya kami di sana, kami dibawa masuk oleh pengawal keselamatan ke pejabat.



"Hello, awak berdua nak cari siapa?" Tanya seorang lelaki dalam bahasa hokkien. Lelaki itu agak separuh umur dah. "Ha, hello, saya nak jumpa Mr. Khooi Chew Kang." Paul Keong membalas. "Ya saya." Balas lelaki separuh umur itu.



"Ya, sila duduk." Mr. Khooi membawa kami ke kerusi dan kami pun duduk. "Ya, ada apa yang boleh saya bantu?" Mr. Khooi memulakan bicara. "Mr. Khooi, saya nak minta jasa baik Mr. Khooi supaya memberikan pekerjaan kepada kawan saya ini." "Dia ni, Mr. Khooi jangan takut." "Dia ni, berdiseplin tinggi, datang tepat pada waktunya dan dia boleh buat kerja." "Dulu, dia bekerja di kilang Denko IPC." "Dia kerja lipat kotak." "Tapi sekarang, dah tak kerja dah." Terang Paul Keong dengan panjang lebar. "Jadi saya berharap, agar Mr. Khooi dapatlah membantu dia ini." Paul Keong menyambung keterangannya.



"Ok baik." "Saya cubalah." Mr. Khooi menjawab. Dia pun mengambil nombor telefonku. Dan selepas itu, kami pun baliklah.



Dan pada petang tadi, pihak Public Packagers menelefon aku dan memberitahu buat masa, kerja kosong tiada lagi dan kalau ada, baru mereka nak panggil dan dia memperkenalkan saya pada kilang See maa. Kilang itu membuat kerja kraftangan.



Aku menelefon Paul Keong dan memberitahu hal ini. Dia perkenalkan pada saya sebuah lagi kilang buat kotak. Aku kurang ingat namanya. Tapi kilang itu ada menyimpan rekod buruk tentang orang buta di mana, dia pernah buang orang buta sebab orang buta itu selalu datang lambat dan selalu ponteng kerja.



Paul Keong memberitahuku bahawa St. Nicholas taknak terima aku bekerja di sana. Aku memang tahu sebabnya. Sebabnya, aku selalu membidas mereka melalui tulisan-tulisanku. Aku tidak kisah semua itu. Mereka tak pun bagi duit kat aku, bagi makan padaku dan bagi apa peluang pekerjaan padaku. Jadi kalau aku nak kritik atau bidas pun, tiada hal.



Tapi, aku cukup benci dengan segelintir orang buta yang mengutuk kerajaan. Ya sebab mereka ini tak menghargai langsung bantuan yang diberi oleh kerajaan. Dari kecil sampai besar mereka dibantu. Bila bantuan datang, yang mengutuk dan mencaci inilah akan dengan cepat pergi ambil bantuan itu. Yang tak kutuk nilah yang akan terkebelakang.



Aku tidak sekali-kali akan kutuk pemerintah yang ada sekarang sebab mereka banyak membantu aku. Orang memberi, kita merasa, orang berbudi, kita berbahasa. Tak salah kalau nak sokong orang lain, tapi ingat siapa yang banyak membantu. Jagalah imej kita sebagai si cacat. Jangan mudah lupa daratan. Jangan ibarat kata pepatah, kacang lupakan kulit.


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.




Arkit blog