Jumaat, Februari 15, 2008

Kenangan di SRK St. Nicholas bahagian enam. Terakhir


Bersambung di bahagian keenam dan terakhir.



Di darjah lima, dua orang budak baru telah masuk. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Yang lelaki bernama hamdan Hamid sementara yang perempuan bernama Sapura Syed Mansor. Kedua-duanya adalah dari Kedah. Sapura ni pandai menyanyi. Begitu juga dengan Hamdan. Dan, kedua-dua mereka berada di darjah limaC.



1987, kini aku sudah darjah enam. EnamC. Semua yang darjah limaC akan automatik naik ke darjah enamC. Kali ini, guru kelas kami ialah cikgu Nafishah sementara guru kelas enamR ialah Mis Cheong Choi Lin.



Kelas darjah enam terletak berhampiran dengan kelas muzik. Tingkat ataslah. Dan, tingkat bawah ialah perpustakaan dan bilik komputer.



Guru bahasa inggeris kelas kami ialah Miss Beh Sai Kim sementara guru matapelajaran alam dan Manusia ialah Mrs. Thiru. Guru yang mengajar keraftangan ialah Mr. Tan Beng Lee. Mr. Tan ni, orang Kelantan. Guru bahasa inggeris serta Alam dan Manusia untuk enamR samalah dengan kami.



Di darjah enam, aku telah membuat satu perkara yang agak nakal. Aku ni ada satu hobi iaitu suka nak rakam-merakam. jadi aku telah membuat satu kerja yang sangat nakal di mana, aku pergi ke perpustakaan dan ambil semua casset kemudian, rakam. Aku rakam di tempat yang kosonglah.



Aku ni macam orang butalah, anggap orang sekelilingnya buta juga. Aku buatlah kerja nakal itu tanpa menyedari ada orang tengok. Akhir sekali, Mrs. Thiru panggil.



"Ha, apa kamu buat Khai Eong?" "Kamu ni, tak taukah, depa ni, penat-penat mari rakam untuk kamu dengar, penat-penat datang menghabiskan masa untuk buat semua kerja-kerja ni, lepas tu, kamu senang-senang pergi rosakkan." Syarah Mrs. Thiru padaku. Aku hanya mendiamkan diri.



Kemudian, Miss Campos pun datang. "Why?" Dia bertanya Mrs. Thiru. "He take all the tape, and record, spoil now." Beritahu Mrs. Thiru.



"Saya ta mo hantar awak ke form 1 lah Khai Eong." "Awak banyak dashatlah." "Awak banyak dashat." "Sumua awak kasi rosak." Miss Campos memarahiku.



Akibat perbuatan aku, aku tak dapat masuk perpustakaan lebih kurang dua bulan rasanya. Tapi tak kisahlah. yalah masa tu budak-budak.



Masa darjah enam, seorang lagi budak baru masuk. namanya Alexander. Dia ni, budak india. Dan, oleh kerana tiada meja, maka, terpaksalah dia berkongsi meja dengan Eng Hong rakanku.



Di satu hari, Alexander telah keluar kelas tanpa pengetahuan cikgu Nafishah. Akibatnya cikgu Nafishah dipanggil ke pejabat gurubesar. Dia pun bawalah si Alexander tu balik. Dia sebat macam sebat lembu. Wah, marahlah dia.



"Kamu tau tak sebab apa Miss Campos panggil saya?" "Ha, pasal kamu saya kena marah." Leter cikgu Nafishah. Alexander hanya mendiamkan diri sahaja.



Semasa darjah enam juga, kami sekali lagi dibawa melawat ke Bukit Bendera. kami dibawa oleh Brother Petric. Orang yang ikut ialah Miss Tay, cikgu Simon, Thanga Velu dan Nambu Raja.



Tapi perjalanan kali ni best sikit di mana kami hanya menaiki sebuah kereta api saja. Bila sampai di stesen tengah, kami berjalan kaki pula mendaki bukit itu sebab kami hendak menuju ke banglo tempat penginapan. Kami akan menginap semalam di situ.



Jalan punya jalan, kami telah tersesat. Kami mengambil masa empat jam untuk sampai ke banglo tersebut. Seorang rakanku Euu Gene hampir nak menangis kerana kepenatan.



Bila kami sampai di banglo itu, kami pun berehatlah puas-puas. malam itu, kami makan agak sedap jugak. Bekalan makanan kami bawa dan masak sendiri.



Kami pergi pada tengahari hari Sabtu dan balik pada petang Ahad. Semasa balik, tak ada apa-apa sebab ada seekor anjing yang pandu kami untuk ke stesen kereta api.



Ada satu peristiwa telah berlaku di mana semasa matapelajaran kokurikulem, aku dan beberapa orang rakan telah berpakat untuk membuat satu lakonan. Tiba-tiba pada hari tu, aku entah macammana tak buat. jadi, aku beritahu supaya tunggu sementara aku pergi cari balik kertas skrip tu.



Tiba-tiba cikgu Nafishah dah naik angin kat enamR. "Ha, mana dia Khai Eong tu." Dia bertanya. Selepas itu, semua kena berdiri atas meja. "Amboi, saya suruh kamu buat, kamu tak buat." "Kamu main-main dengan saya no?" Dia dah mula berleter. Semua orang diam.



Suatu hari semasa matapelajaran Alam dan Manusia, Mrs. Thiru pun bagilah nota untuk ditulis. Mrs. Thiru ni, suaranya perlahan, dia baca pula, laju. Jadi, adalah yang tak dapat ikut. "Wey apa dia wey?" Kedengaran suara bertanya. "Kamu semua ni, pekakkah ha?" mrs. Thiru bertanya agak marah. Bila dah habis, dia pun terus keluar dari kelas.



Satu lagi kejadian di mana, pada hari tersebut, matapelajaran Alam dan Manusia merupakan waktu akhir. Jadi waktu sebelumnya, tiada guru. kami pun turunlah ke perpustakaan. Di perpustakaan, Mrs. Thiru sedang sibuk membraile buku.




mrs. Thiru kalau brailing, memang dia champion. Sehingga sekarang, tiada siapa pun yang boleh menandingi kehebatannya dalam brailing. memang tiada.



Tidak lama kemudian, sampailah waktu matapelajaran Alam dan Manusia. kami ingatkan Mrs. Thiru tak naik kelas sebab dia sibuk membraile. Tiba-tiba bunyi machine braille hilang. Kami tak syak apa-apalah sebab ingatkan dia pergi ambil kertas.



Aku pun naiklah ke kelas. Aku dapati, semua orang dalam kelas diam. Dan kelas menjadi senyap-sunyi dan semua orang tekun membaca buku.



"Ha, Khai Eong, kamu pergilah jalan-jalan, tak payah naik kelas." kata Mrs. Thiru menyindir. Aku pun duduklah tempat aku. Tidak lama kemudian, Rashid pula naik. "Ha, ini sorang lagi, pergilah jalan-jalan." Kata Mrs. Thiru.



Di penghujung penggal tiga, Miss Beh Sai Kim telah membawa kami pergi berkelah di Batu Feringgi. Guru yang ikut ialah cikgu Nafishah, Mis Cheong dan beberapa orang pembantu. Kami berasa amat seronok sekali pergi berkelah pada hari itu.



kami makan dengan amat kenyang sekali dan pada petang itu, kami balik dengan menaiki van. Van itu dipandu oleh cikgu Nafishah. kami semua berasa amat letih sekali.



Di penghujung tahun, seperti biasa, majlis penyampaian hadiah diadakan. Aku kekal di tempat ketiga. Tak berubah semenjak darjah duaC.



Dan pada penghujung tahun itu juga, seorang sahabat kami dari Brunei iaitu Razali Sulung telah meninggal dunia. Sebabnya aku tidak berapa pasti.



Itulah dia antara kenangan di St. Nicholas. Dan yang pastinya, kenangan itu tidak akan luput di dalam ingatanku sehingga bila-bila pun. Sebenarnya ada banyak lagi cerita. Kalau nak tulis, tak habis.



Tamat


0 ulasan:





Arkit blog