Selasa, Oktober 28, 2008

Sejarah bukan di sekolah saja

Artikal utusan.

Sejarah bukan di sekolah saja

Cadangan menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib di peringkat sekolah rendah amat dialualukan. Sememangnya sudah tiba masanya usaha untuk menyemai kefahaman tentang sejarah tanah air dipupuk di peringkat awal lagi.

Sejarah tidak boleh diajar seperti mata pelajaran Sains dan Matematik. Matlamat subjek tersebut diperkenalkan juga tidak boleh dikaitkan dengan peperiksaan.

Malah jika cadangan memperkenalkan subjek Sejarah dihubungkaitkan dengan peperiksaan, saya percaya usaha untuk memupuk kefahaman tentang sejarah tanah air tidak akan menghasilkan kesannya.

Murid-murid akan menghafal fakta sejarah untuk lulus peperiksaan. Mereka tidak akan memahami apa sebenarnya teladan yang boleh diraih dan dipelajari daripada deretan peristiwa yang tersembunyi dalam lipatan sejarah.

Sejarah juga tidak boleh diajar menggunakan bahasa lain. Bahasa kebangsaan mesti menjadi pengantar subjek Sejarah. Oleh kerana Sejarah akan menjadi subjek wajib di semua sekolah rendah, maka mata pelajaran tersebut mesti diajar secara berkesan di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil juga.

Penguasaan bahasa kebangsaan yang baik di kalangan murid-murid sekolah jenis kebangsaan amat perlu supaya apabila subjek sejarah diajar di situ, tiada kekeliruan atau silap faham berlaku. Proses pengajaran dan pembelajaran juga akan menjadi lebih mudah serta menarik sekali gus membuang tanggapan bahawa sejarah adalah subjek yang amat membosankan.

Penilaian berasingan yang bukan berbentuk peperiksaan mesti diwujudkan yang bertindak sebagai kayu pengukur sejauh mana murid-murid mendapat manfaat daripada subjek tersebut. Biar pun tidak menjadi subjek mesti lulus, namun penilaian guru terhadap projek-projek yang mengiringi subjek Sejarah mesti dijadikan salah satu syarat untuk murid-murid melangkah ke sekolah menengah.

Prestasi cemerlang dalam subjek Sejarah juga mesti dijadikan kriteria untuk murid-murid masuk ke sekolah berasrama penuh dan juga sekolah-sekolah terpilih.

Format pengajaran juga mesti kreatif dan menawarkan unsur-unsur interaktif. Biarpun sejarah bersifat teks dan imbauan peristiwa lama, namun proses pengajaran dan pembelajarannya mesti bersifat terkini.

Murid-murid tidak boleh dihadkan kepada ilmu yang tercatat di dalam buku teks. Buku teks juga mesti menarik perhatian murid-murid untuk membaca dan memahami isi kandungannya.

Hubung kait sejarah dengan perkembangan masa kini mesti ditonjolkan. Mempelajari sejarah bukan sekadar mengimbau apa yang berlaku di masa lampau sebaliknya apa yang boleh dilakukan oleh 'sejarah' dalam konteks masa kini paling penting diketengahkan.

Jika subjek Sains boleh diajar secara praktikal untuk lebih memahami prosesnya, maka sejarah juga begitu. Jika perpaduan menjadi teras cadangan supaya subjek Sejarah diperkenalkan di sekolah rendah, maka program-program yang mampu memupuk nilai tersebut di kalangan murid-murid mesti dilaksanakan.

Salah satu program ialah mengintegrasikan murid-murid di sekolah kebangsaan dan di sekolah jenis kebangsaan untuk menjayakan sesuatu program. Langkah seumpama itu penting kerana murid-murid yang membesar dalam kelompok masing-masing dan memahami sejarah dari sudut pandangan mereka sahaja akan mempunyai persepsi yang sempit dan terhad.

Apatah lagi jika sejarah menampilkan perihal buruk tentang sesuatu kaum, maka kegagalan untuk memahami maksud sebenar di sebalik paparan itu akan melebarkan jurang antara kaum-kaum di negara ini.

Justeru peranan guru untuk menjadikan subjek Sejarah relevan dan benar-benar dapat dimanfaatkan oleh murid-murid pelbagai kaum di Malaysia amat diperlukan.

Guru-guru tidak boleh terikat dengan kurikulum, sebaliknya mereka mesti kreatif dan menggunakan pendekatan berkesan untuk memastikan Sejarah menjadi subjek yang dapat memupuk semangat perpaduan di peringkat awal.

Seperti mana mata pelajaran sains dan matematik yang diajar menggunakan bahawa Inggeris menjadi tidak berkesan kerana kegagalan guru-gurunya menguasai bahasa tersebut, begitu juga dengan subjek Sejarah.

Mencintai

Tenaga pengajar mesti mencintai sejarah serta tahu nilai-nilai yang mesti dipupuk di kalangan murid supaya matlamat serta niat murni kerajaan tidak tersasar.

Subjek Sejarah tidak boleh diajar sambil lewa kerana nilai yang diketengahkan amat penting untuk membetulkan kesilapan kita selama ini yang mengabaikan sejarah di peringkat awal persekolahan.

Apabila sampai ke peringkat sekolah menengah, mata pelajaran Sejarah diajar dan dipelajari kerana agregat serta untuk lulus peperiksaan semata-mata.

Buku teks yang membosankan, dengan teknik persembahan kurang menarik tidak dinafikan menjadi punca mengapa mata pelajaran Sejarah tidak diminati.

Nilai serta pengajaran yang terkandung dalam mata pelajaran Sejarah juga gagal dihayati mengakibatkan terbentuknya satu generasi yang lupa diri dan tidak mempunyai jati diri.

Dan generasi itu yang memenuhi separuh daripada muka bumi Malaysia, sehingga mereka secara mudah terpengaruh dengan dakwaan serta tuntutan yang hakikatnya bertentangan dengan sejarah.

Seperkara lagi ialah peranan guru serta ibu bapa menanamkan rasa minat murid-murid melawat tempat-tempat bersejarah dan muzium yang berselerakan di merata negeri.

Anehnya di negara kita muzium menjadi tempat terakhir dalam senarai tempat-tempat yang perlu dikunjungi terutama di musim cuti sekolah.

Jika ada pun rombongan sekolah ke muzium, ia umpama air lalu yang tidak meninggalkan sebarang kesan. Peranan muzium itu sendiri gagal ditonjolkan. Petugas-petugas muzium juga tidak mempunyai pengalaman serta gagal menjadi daya penarik generasi muda untuk mengunjungi tempat tersebut.

Keadaan ini berbeza di negara-negara maju. Muzium dibanjiri pengunjung, ibu bapa mengheret anak-anak ke muzium di hujung minggu. Petugas muzium terdiri daripada gadis-gadis manis dan jejaka tampan yang arif tentang sejarah.

Orang ramai yang datang ke muzium diberi penerangan dengan cara amat menarik, menyebabkan pengunjung terpesona dan faham apa sebenarnya yang ingin disampaikan.

Pengalaman mengunjungi beberapa buah muzium di Paris, Istanbul, The Hague dan Amsterdam cukup membuktikan bahawa muzium sebenarnya mempunyai tarikan yang tidak boleh diperkecilkan terutamanya kalangan kanak-kanak.

Pentadbir muzium juga mesti kreatif menonjolkan tema-tema berbeza untuk menarik minat pengunjung. Hakikatnya, usaha untuk menjadikan subjek Sejarah sebagai alat perpaduan tidak boleh dihadkan di sekolah semata-mata.

Peranan ibu bapa, pertubuhan bukan kerajaan dan agensi-agensi seperti muzium serta arkib amat penting. Gerakan besar-besaran mencakupi peranan semua pihak amat perlu supaya sejarah berjaya menjadi alat untuk memupuk perpaduan.

 

Sedingin salju berkata:  Semoga generasi akan datang, lebih memahami sejarah.

0 ulasan:





Arkit blog