Selasa, Oktober 28, 2008

UMNO perlu pertahan hak dalam kontrak sosial

 

UMNO perlu pertahan hak dalam kontrak sosial

Baru-baru ini Majlis Raja-Raja mengeluarkan kenyataan meminta semua pihak tidak mempertikaikan soal kontrak sosial. apa pandangan Datuk Seri?

DR. RAIS: Pandangan itu sebenarnya adalah pandangan yang telah disebut pada tahun 1958 dan juga sebaik sahaja Jawatankuasa Reid mengadakan mesyuaratnya. jadi Raja-Raja Melayu mempunyai hak-hak kedaulatan, kebesaran, kemuliaan tidak boleh disentuh. Hak-hak Melayu secara khusus keistimewaan di bawah Perkara 153 tidak harus disentuh, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Perkara 159 mesti dihormati dan dilaksanakan.

Selainnya hak agama Islam, hak beragama, hak kesamarataan dan hak-hak yang dijamin ditetapkan oleh Perlembagaan mesti dipatuhi. Ini sebaiknya tetapi undang-undang yang menjamin perkara ini mesti dilaksanakan tuntutannya. Misalnya, pencelaan yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu dalam bentuk hasutan perlu diselesaikan segera, ini sudah dua tahun kes tidak juga selesai, itu masalahnya. Ia berkaitan dengan masalah pentadbiran dan pelaksanaan. Bagi kita untuk menerima pandangan Diraja itu mudah tetapi sistem doktrinnya dalam sistem pendidikan mesti difikirkan. Saya setuju dengan pandangan Sultan Azlan Shah yang mahu sistem pendidikan itu diterima.

Ada yang bertanya kenapa secara tiba-tiba Raja-Raja bersuara, apakah situasi sudah semakin tegang?

DR. RAIS: Mereka pun melihat apa yang berlaku. Contohnya Raja Nazrin sebagai seorang intelek, baginda juga melihat dengan jelas pihak tertentu lantang menyuarakan soal kontrak sosial yang sepatutnya tidak perlu dipertikaikan. Malah ada seorang profesor hebat mengatakan kontrak sosial itu adalah suatu impian mental belaka. Tentu Raja-Raja Melayu tertanya-tanya apaka benar dakwaan itu? Sebenarnya tidak begitu. Jadi mereka membetulkan semula keadaan supaya apa yang dipersetujui menerusi Suruhanjaya Reid dihormati, perjanjian Persekutuan pada tahun 1948 kemudian Laporan Suruhanjaya Reid dipatuhi, jadi hak-hak ini sebenarnya tidak perlu disebut lagi sebaliknya kita terus mara ke depan dan semua kaum mesti menghormatinya.

Bagaimanapun jika ada hak-hak bukan Melayu yang terjejas atau kita tidak ambil berat ini perlu kita apungkan, misalnya sekarang nisbah bukan Melayu dalam Perkhidmatan Awam sepatutnya ada 10 peratus tetapi tidak ada, ini boleh kita apungkan. Selain itu kita mesti akur kepada sistem perlembagaan yang sudah disusun.

Bagaimana kita hendak memastikan status quo kontrak sosial ini kekal relevan?

DR. RAIS: Kestabilan politik mesti diwujudkan menerusi kewibawaan UMNO semula dan pemimpin-pemimpin BN perlu juga memahami apa itu kontrak sosial. Mungkin saya lihat sebahagian daripada pemimpin baru BN mereka tidak mengerti, jadi perlu diwujudkan sistem pengetahuan dan amalan kontrak sosial. Kita mesti ada penguatkuasaan undang-undang untuk menjamin supaya keharmonian ini terus wujud tidak cukup dengan Akta Hasutan sahaja. Masalah yang ada dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu masalah lain. Ada beberapa jendela hak asasi manusia yang mungkin kita harus lihat semula di bawah undang-undang tersebut. Tetapi undang-undang yang mengadunkan pelbagai ras di Malaysia mesti wujud. Semasa saya sekolah dulu saya bergaul dengan Cina, India tetapi sekarang polaritinya teruk. Anak Melayu tidak bergaul dengan anak Cina dan India. Ini bahaya besar kalau politik sahaja kita imbangi tetapi sosial di bawah tidak, kita akan menghadapi satu letupan besar nanti. Sebaik-baiknya mesti wujud pergaulan ini dari sekolah sampai membawa kepada suasana bekerja, politik dan sebagainya. Membina negara seperti Malaysia perlu diambil kira. Masih belum terlewat dan saya percaya Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan mengepalai perjuangan masa depan akan mengambil iktibar daripada keadaan ini.

Ada cadangan untuk atasi masalah ini kita hanya wujud satu sekolah sahaja?

DR. RAIS: Saya fikir kalau hendak mengungkai semula sukar kerana ia akan menimbulkan perbalahan, konflik dan sebagainya. Yang terbaik ialah mesti ada undang-undang yang mewajibkan kegiatan bersama. Sekarang ada sekolah yang dianggap sekolah elit. Itu tidak menerusi perundangan hanya menerusi pentadbiran yang perlu ialah misalnya dua kali seminggu Cina, India dan Melayu di mana sahaja bersekolah mesti mewujudkan pelbagai program. Mewujudkan program bersama ini boleh dilakukan.

Di England ada apa yang dipanggil Akta Hubungan Antara Ras. Ada disebut baru-baru ini untuk dicadang, ini harus kita fikir untuk Malaysia akan datang, kalau tidak ada kewajipan untuk mewujudkan kegiatan bersama kita tidak akan dapat memahami antara satu kaum dengan kaum yang lain.

Ada pandangan bahawa isu kontrak sosial ini sengaja dimainkan oleh UMNO?

DR. RAIS: Pelbagai pihak mempunyai pandangan sendiri. Tetapi saya tidak fikir ia soal remeh. Oleh itu UMNO mesti berada di tahap yang boleh menguasai situasi. jika tidak UMNO bukan sahaja rugi perhitungan tetapi rugi dalam pelaksanaan nanti. Justeru UMNO mesti mempunyai matlamat yang jelas dan keberanian untuk mengambil apa yang hak. Soal bahasa kebangsaan banyak mana UMNO memperjuangkan sekarang sedangkan bahasa Inggeris dipakai. Berapa orang pemimpin yang bercakap bahasa Melayu yang tidak mengadunkan dengan bahasa Inggeris. Bermakna ini adalah satu kehilangan.

Seterusnya budaya Melayu. kebudayaan kita bagaimana kita menjurus kepada pembangunan bangsa begitu juga soal agama Islam bagaimana kita menggunakannya untuk kebaikan kita. Isu-isu ini UMNO sudah jarang mempolemikkannya yang diharungi sekarang bagaimana hendak kaya dan bagaimana hendak naik ke atas dengan menggunakan duit, itu sahaja, perjuangan sudah hilang. Jadi apabila perjuangan UMNO sudah hilang maka Fasal 3 Perlembagaan UMNO sudah dilupai, apabila itu sudah berlaku jelaslah UMNO menjurus ke jurang kelemahan.

Tetapi di kalangan orang Melayu sendiri ada yang tidak begitu hendak mempertahankan hak-hak mereka?

DR. RAIS: Saya tidak fikir begitu. Kesamarataan sudah dijamin di Perkara 8 Perlembagaan tetapi dibenarkan beberapa keistimewaan jadi terserahlah kepada UMNO untuk menjuruskan perjuangan ini menurut Perlembagaannya. Tetapi seperti mana saya nyatakan apa yang hak kepada UMNO kita tidak ambil berat. Jadi kalau itu tidak dibuat apa perjuangan kita? Dalam keadaan dilema inilah saya berpendapat dengan peralihan kuasa, saya menaruh harapan iaitu Najib membawa pembaharuan dalam konteks perjuangan baru.

Kita perlu ingat bahawa UMNO perlu menyediakan barisan kepimpinan yang berkualiti dan bukannya kuantiti. Ahli-ahli UMNO harus mengutamakan kepentingan parti mengatasi segala-galanya. Saya yakin Najib mampu membawa pembaharuan bagi memastikan UMNO terus dilihat relevan bagi memperjuangkan nasib bangsa, agama dan negara

 

Sedingin salju berkata:  Semoga Malaysia terus aman.

0 ulasan:





Arkit blog