Doa harga minyak jadi senjata politik
BARANGKALI ada sesetengah pemimpin pembangkang sanggup berdoa semoga harga minyak mentah di pasaran dunia terus mahal.
Sebabnya mudah. Mereka tahu bahawa harga minyak yang mahal memberi tekanan kepada ekonomi negara dan bajet kerajaan serta menjejaskan kehidupan rakyat.
Semakin tinggi harga minyak mentah, kian bertambah kegelisahan politik. Rakyat yang tidak berpuas hati akan mencari sesuatu untuk disalahkan, dan proses itu memberi keuntungan kepada pembangkang.
Malangnya, sejak beberapa minggu lalu, harga minyak mentah di pasaran dunia terus merudum, yang memberi peluang kepada kerajaan untuk menunjukkan kasihan belas dan kasih sayang kepada rakyat dengan menurunkan harga minyak.
Dalam tempoh 14 minggu lalu, kerajaan telah menurunkan harga petrol dan diesel tiga kali iaitu pada 23 Ogos, 24 September dan kali terakhir pada 15 Oktober. Harga petrol diturunkan daripada RM2.70 seliter kepada RM2.30 manakala harga diesel daripada RM2.58 kepada RM2.20 seliter.
Pada satu peringkat minggu lalu, harga minyak mentah di pasaran dunia merosot sehingga AS$62 setong sebelum meningkat semula kepada sekitar AS$69 setong semalam. Harga itu jauh lebih rendah berbanding harga AS$147 setong yang dicatatkan pada Julai.
Ada sebuah penerbitan picisan minggu ini menyiarkan satu laporan sensasi berkaitan harga minyak kononnya kerajaan menipu rakyat berhubung harga sebenar petrol dan diesel.
Akhbar suara pembangkang itu mendakwa harga sebenar petrol dan diesel lebih rendah di loji penapis berbanding harga runcit di stesen-stesen minyak di seluruh negara.
Selepas gagal mempengaruhi rakyat dengan omong kosong menurunkan harga minyak beberapa bulan lalu, parti pembangkang menghidupkan kembali isu harga minyak, kali ini dengan membuat dakwaan palsu sedemikian.
Sesiapa yang memahami betapa mustahaknya isu harga minyak kepada ahli-ahli politik pembangkang - dan tahu juga berapa mahal harga petrol dan diesel yang dijual di Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina - akan mengerti mengapa mereka sanggup menuduh kerajaan memperdayakan rakyat berhubung harga petrol dan diesel, yang kononnya lebih murah di loji penapisan berbanding harga runcit di stesen minyak.
Mengapakah bahan api itu lebih murah di loji penapisan mungkin mudah difahami. Petrol dan diesel sebenarnya sama seperti keropok lekor. Jika kita membeli keropok lekor di kilang keropok di Kuala Kemaman, Terengganu, harganya lebih murah berbanding keropok yang sama yang dijual di gerai-gerai Kuala Lumpur.
Keropok itu perlu dibawa dengan kenderaan tertentu dari kilang di Kuala Kemaman ke Kuala Lumpur, dan tiada pihak yang memberikan perkhidmatan pengangkutan itu secara percuma. Gaji kakitangan dan kos menyenggarakan gerai keropok pun kena diambil kira sama.
Tuduhan-tuduhan melulu terhadap kerajaan berhubung harga minyak itu yang dibuat dengan memutarbelitkan fakta dan membuat pembohongan menunjukkan betapa strategiknya faktor peningkatan harga minyak kepada politik pembangkang.
Sejak 2004, kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terpaksa bergelut dengan harga minyak yang tidak menentu dan berubah dengan lincah.
Daripada hanya AS$41 setong pada Mei 2004, harga minyak mentah di pasaran dunia melonjak kepada AS$110 setong ketika pilihan raya umum ke-12 Mac lalu, sebelum mencapai paras tertinggi AS$147 setong pada bulan Julai 2008.
Bayangkan tekanan yang dihadapi oleh kerajaan ekoran kenaikan mendadak harga minyak dalam tempoh empat tahun antara 2004 dan 2008.
Tindakan tidak popular menaikkan harga runcit petrol dan diesel serta pemotongan subsidi terpaksa dilakukan oleh Abdullah, yang salah satu implikasi politiknya ialah keputusan pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan Barisan Nasional mengalami kemerosotan sokongan pengundi - daripada kemenangan paling hebat pada 2004 kepada kemenangan paling buruk pada 2008.
Kenaikan harga minyak itu memberi kesan kepada kos sara hidup serta harga barang-barang dan perkhidmatan, memberi himpitan serius kepada ekonomi. Ia membuatkan kualiti kehidupan rakyat jatuh dengan ketara dari segi kemampuan mereka untuk berbelanja.
Harga minyak jelas telah menggelisahkan pengundi dan mencetuskan ketidaktentuan siapa hendak disalahkan. Kesan dahsyatnya muncul pada pilihan raya umum Mac lalu apabila parti pembangkang umpama menahan lukah selepas hujan di pusat-pusat-pusat mengundi.
Apa yang disumbangkan oleh harga minyak kepada politik dunia amat hebat, tidak terkecuali politik Malaysia, walaupun para pemimpin pembangkang tiada sekalipun hendak berterima kasih kepada harga minyak yang meluap-luap mendorong rakyat untuk mengundi parti-parti mereka semasa pilihan raya.
Dalam tempoh empat tahun lalu, banyak negara di Asia mengalami pergolakan politik yang traumatik akibat kenaikan kos sara hidup ekoran kenaikan harga minyak, menyukarkan pelaksanaan projek-projek pembangunan dan pada masa yang sama menyebabkan para pemimpin kerajaan ketandusan hujah-hujah politik untuk mempertahankan diri daripada kemarahan orang ramai. Ia kemudian berpusar kepada perkara-perkara lain.
Jika kita memahami implikasi politik di sebalik kenaikan dan penurunan harga minyak, kita akan tahu sebab kenapa mungkin ada sesetengah pemimpin pembangkang dituduh sanggup menanam harapan agar harga minyak tidak turun-turun dan berterusan mahal sehingga pilihan raya umum akan datang.
Jika benar berlaku ramalan bahawa harga minyak akan stabil sekitar AS$50 setong pada 2009 seperti yang dijangkakan oleh para penganalisis manakala kerajaan baru di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak pula berjaya membawa rakyat Malaysia mengharungi krisis ekonomi global, harga petrol dan diesel yang lebih murah kelak di stesen minyak akan menjadi satu sundang politik yang tajam.
Senjata itu mungkin menikam orang yang berdoa.
Sedingin salju berkata: Inilah sikap parti pembangkang. mereka lebih suka menghuru-harakan negara daripada memajukan negara.
0 ulasan:
Catat Ulasan