Pertahankan martabat bahasa kebangsaan
SEJAK kebelakangan ini sudah ada pihak yang berusaha menggunakan bahasa lain di samping bahasa Malaysia pada papan tanda. Timbulnya hasrat begini menunjukkan suatu petanda bahawa bahasa kebangsaan iaitu bahasa Malaysia telah mula menurun martabatnya. Suatu sebab mengapa terjadinya demikian ialah sikap orang Melayu sendiri tidak begitu bangga dengan bahasa mereka sendiri.
Bukti tentang perkara ini kelihatan setiap hari di dalam media seperti di radio dan TV. Orang Melayu yang ditemu duga di media berkenaan jarang-jarang dapat bercakap bahasa Malaysia dengan teratur dan fasih. Ayat-ayat pertuturan mereka itu kerap terselang-seli dengan perkataan dan suku kata bahasa Inggeris.
Kegunaan perkataan-perkataan seperti 'konsep', 'komunikasi' dan 'initiatif' tidak menimbulkan masalah, sebab perkataan demikian sudah lama menjadi sebahagian daripada bahasa Malaysia. Yang menjadi masalah, apabila sesuatu idea itu boleh dikemukakan dengan tepat melalui kata-kata bahasa Malaysia tetapi perkataan Inggeris digunakan.
Misalnya, kata-kata "itulah masalahnya" disampaikan dengan kata-kata Inggeris, "that's the problem," di tengah-tengah perbincangan dalam bahasa Malaysia.
Perkara ini timbul kerana ia dibiar menjadi kebiasaan. Dalam pertuturan seharian, orang Melayu kurang menggunakan bahasa Malaysia yang tulen tetapi bahasa yang bercampur gaul dengan bahasa Inggeris. Yang anehnya mereka itu tidak pula dapat bertutur bahasa Inggeris dengan teratur pun.
Amalan bercakap dua bahasa bercampur gaul begini kerap berlaku di rumah orang Melayu sesama ahli keluarga terutama bagi keluarga di kalangan peringkat pertengahan ke atas. Nampaknya, orang Melayu hanya dapat bertutur bahasa Malaysia dengan teratur apabila terpaksa, misalnya wujud peraturan seperti di Parlimen. Jadi kita bimbang pertuturan bahasa Melayu yang teratur hanya wujud di dalam berita radio dan TV dan di Parlimen sahaja.
Pertuturan dengan bahasa rojak oleh orang Melayu apatah lagi di kalangan golongan atasan, memberi persepsi bahawa orang Melayu tidak begitu ambil kisah tentang bahasa mereka sendiri. Kita tidak dapat membayangkan orang Thai atau orang Perancis berbuat demikian sebab mereka amat berbangga dengan bahasa mereka sendiri.
Amalan bahasa rojak nampaknya telah diterima oleh umum sebab terdapat juga bahasa sedemikian di dalam drama-drama Melayu. Inilah yang menjadi suatu sebab utama mengapa bahasa Malaysia telah terhakis martabat dan kemuliaannya.
Semua orang tahu tentang erti dan wujudnya bahasa rojak tetapi sehingga kini belum ada kepercayaan bahawa bahasa rojak boleh menjadi suatu ancaman kepada imej bahasa Malaysia.
Sebab itu ia tidak dianggap sebagai sesuatu masalah yang serius. Tetapi bahasa rojak kian berkembang daripada bahasa di tepi jalan sehingga sekarang ia menjadi amalan pembesar-pembesar negara.
Oleh itu sudah sampai masanya pihak-pihak berkuasa yang berkenaan dan media massa mengambil bahagian yang aktif dalam memerangi ancaman ini. Budaya penggunaan bahasa rojak hendaklah dianggap sebagai bahasa pasar yang sesuai bagi pertuturan di peringkat rendah sahaja.
Apa yang penting, orang Melayu di semua lapisan masyarakat hendaklah mengambil langkah dan pendirian yang baru ke arah usaha untuk meletakkan bahasa Melayu kedudukan yang sewajarnya sebagai bahasa kebangsaan.
Sedingin salju berkata: jadi, bertindaklah sekarang.
0 ulasan:
Catat Ulasan