Motif mahu popular
DALAM memperjuangkan supaya Pulau Pinang dan Melaka diberi status Tapak Warisan Dunia, tiada syarat dikenakan oleh pihak berkenaan ke atas soal bahasa.
Namun dasar yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia dan dipersetujui bersama adalah penggunaan hanya bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dalam memenuhi apa sahaja cita rasa pelancong peringkat domestik dan antarabangsa.
Namun, pastinya banyak pihak tersentak dan terperanjat apabila kerajaan Pulau Pinang yang diketuai DAP meluluskan permintaan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk pemasangan papan tanda nama jalan dalam tulisan jawi, Tamil dan Cina bagi tujuan warisan di jalan-jalan tertentu di Georgetown.
"Tindakan ini pertama kali berlaku dalam sejarah Malaysia," reaksi spontan pakar Perlembagaan Persekutuan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim kepada Utusan Malaysia semalam.
Seingat Rais, cuma kira-kira dua dekad lalu, kalau ada pun dipersetujui tentang penggunaan pemakaian pelbagai bahasa hanyalah ke atas nama kedai dan premis di seluruh negara. Namun, dalam konteks ini pun, bahasa kebangsaan mesti menjadi keutamaan dengan diletakkan di bahagian atas sebelum dituruti bahasa Mandarin dan Tamil.
"Nama premis dalam Bahasa Malaysia itu mesti nampak besar di bahagian atas berbanding dua bahasa tadi dan ia mestilah signifikan," katanya.
Kerana itu, tegas Rais, tulisan di tempat awam seperti nama jalan hendaklah dibuat berlandaskan kepada Akta Bahasa Kebangsaan dengan mengambil kira kepentingan antarabangsa, aspek pelancongan dan kebudayaan.
"Kalau ia dilakukan berasaskan kepentingan antarabangsa, maka bahasa Inggeris perlu dimasukkan. Jadi, bagi saya dengan mengambil kira Akta Bahasa Kebangsaan, maka hanya bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris yang patut diletakkan pada papan tanda jalan," katanya.
Usaha memartabatkan bahasa kebangsaan dimulakan oleh para pemimpin terdahulu. Dasar Pelajaran Kebangsaan dilaksanakan pada 1970 di mana istilah "Bahasa Malaysia" diperkenalkan di sekolah dan dalam segala urusan rasmi. Minggu Bahasa dan Bulan Bahasa diadakan dengan cogan kata "Bahasa Jiwa Bangsa". Kempen "Cintai Bahasa Kita", "Bahasa Jiwa Bangsa", "Bahasa Menunjukkan Bangsa" dan yang seumpamanya dipergiat oleh kerajaan, badan-badan tertentu serta agensi kerajaan dan swasta.
Generasi yang lahir pada tahun 70-an, 80-an dan 90-an terbukti fasih dan menganggap bahasa Malaysia sebagai bahasa milik bersama setiap rakyat Malaysia. Mereka sedar bahawa bahasa Malaysia bukan milik kaum Melayu sahaja. Kaum bukan Melayu mampu berinteraksi menggunakan bahasa Malaysia yang betul dan lancar.
Atas faktor-faktor inilah, banyak pihak membidas tindakan kerajaan Pulau Pinang, sekali gus mendesak ditarik balik kelulusan pemasangan papan tanda nama pelbagai bahasa tersebut.
Dan bagi Rais: "Mereka ini nampaknya mahu memperjuangkan cita rasa sosialisme dan tidak mempunyai penegasan dalam mengutamakan bahasa kebangsaan.
"Motifnya mahu lebih popular di kalangan masyarakat supaya nampak berbeza dari dasar yang diamalkan Barisan Nasional (BN)."
Sedingin salju berkata: Satu tindakan konkrit harus dibuat untuk memertabatkan bahasa melayu.
0 ulasan:
Catat Ulasan