Bahasa Melayu, siapa peduli?
BAHASA jiwa bangsa? Masih ada lagikah jiwa pada bahasa kita? Siapa peduli jika bahasa Melayu atau ada yang mahu disebut sebagai bahasa Malaysia, akhirnya akan hilang dari negara ini?
Orang Melayu, kononnya yang liberal, tidak peduli itu semua. Mereka yang lebih banyak bercakap bahasa lain selain bahasa ibunda mereka sendiri merasakan tiada 'standard' menggunakan bahasa Melayu. Percaya atau tidak, orang Melayu yang tidak mahu mengaku Melayu pun makin ramai sekarang ini.
Kini, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan itu sedang menghadapi tekanan yang amat sangat. Tapi siapa peduli? Jika orang Melayu sendiri pun (ada) yang tidak mahu mengangkat bahasa mereka sendiri, apatah lagi orang lain. Mutu percakapan bahasa Melayu di kalangan rakyat yang bahasa ibunda mereka bukan bahasa Melayu kini amat lemah sekali. Yang boleh bercakap pun banyak yang menggunakan bahasa pasar. Oleh itu, siapalah yang hairan apabila bahasa itu semakin hari semakin pudar dan terus dicabar.
Sebenarnya, apa yang mahu dilakukan oleh kerajaan Pulau Pinang untuk meletakkan bahasa-bahasa lain di atas papan tanda jalan ada kewajarannya. Mengapa kita perlu gelupur. Tidak sedarkah kita selama ini bahasa lain lebih banyak terpampang di papan-papan tanda iklan di bandar-bandar besar di seluruh negara, tiada siapa peduli pun? Ada papan tanda iklan yang tiada langsung bahasa Melayu, tiada pernah diendah pun?
Oleh itu mengapa, apabila ada cadangan supaya nama jalan mahu digunakan dengan bahasa-bahasa lain, ada yang bising. Tengoklah dulu sekeliling kita, bahasa apa yang banyak sekali terpampang. Di dalam bandar raya Georgetown, Pulau Pinang, umpamanya, bahasa apa yang banyak? Kita, orang Melayu yang tidak tahu membaca Mandarin ternganga. Kita bukan berada di Hong Kong atau Beijing pun, kita berada di tanah air kita sendiri.
Tidak hairankah kita apabila ada pihak yang meletakkan syarat untuk mendapatkan kerja di negara ini ialah bahasa lain dan bukan bahasa Melayu. Malah ada yang menuntut supaya calon-calon perlu tahu selain bahasa Inggeris ialah bahasa Mandarin sebagai prasyarat untuk mendapatkan kerja. Siapa peduli? Tiada siapa yang peduli. Akhirnya, oleh sebab faktor ini, anak-anak kita kena belajar bahasa Mandarin, maka makin tercicirlah bahasa Melayu.
Realitinya sebagaimana yang saya jelaskan dalam Cuit yang lalu ialah akhbar Melayu sendiri. Tiada siapa lagi yang peduli mahu membaca akhbar-akhbar Melayu. Edaran akhbar- akhbar ini semakin menurun. Tahukah anda berapa edaran sehari akhbar Melayu utama di negara ini? Jawapannya bukan 3 juta naskhah atau 2 juta atau 1 juta, tapi kurang 200,000 naskhah sehari. Terkejutkah? Sebaliknya, akhbar-akhbar berbahasa Cinalah yang menguasai edaran tertinggi. Mengapa jadi begini? Mudah saja jawapannya, iaitu orang Melayu sendiri tidak mahu peduli.
Orang Melayu ini memang sudah terbukti sebagai satu bangsa yang amat pemurah. Mereka, asyik dengan sifat 'tak apa' mereka. Akhirnya apabila mereka ditekan barulah mereka mengelabah. Bak kata seorang teman yang menghantar SMS kepada saya, berbunyi: "Melayu memang macam itu. Dah terhantuk, baru insaf."
Bagi pemerintah pula yang acap kali mengingatkan supaya mementingkan atau mengutamakan bahasa kebangsaan sudah cukup berusahakah mereka untuk memartabatkannya? Seorang rakan memberitahu saya: "Saya lahir dalam suasana pembelajaran yang ditetapkan oleh pemerintah yang berubah-ubah. Saya orang terakhir yang belajar semua mata pelajaran dalam bahasa Inggeris… bila masuk belajar di UM (Universiti Malaya) ada polisi pembelajaran dalam bahasa Melayu, sekarang kita balik ke bahasa Inggeris… isunya bukan bahasa, tapi dasar yang berubah-ubah." Benar juga kata rakan saya itu. Nampaknya semua yang dibuat tak kena. Kita semua hanya pandai riuh rendah.
Oleh itu sekali lagi, renung-renungkanlah diri sendiri, termasuk para pemimpin Melayu yang ada di atas sana, apa yang telah kita lakukan kepada diri kita sendiri selama ini. Di kala orang UMNO sedang sibuk dengan 'pertandingan' mereka, tiada siapa pun peduli dengan permasalahan ini.
Oleh itu mengapa sekarang kita nak bising. Orang Melayu kata apabila nasi sudah jadi bubur, menangis keluar air mata darah sekali pun sudah tidak berguna. Apakah kita akan terus 'tak apa'? (atau orang Penang kata, biaq pi lah…!)
Sedingin salju berkata: Tolong jangan terlalu pemurah.
0 ulasan:
Catat Ulasan