Sabtu, Februari 28, 2009

Kemudahan mesra OKU



Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan
rosmaliana@hmetro.com.my

PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sentiasa meningkatkan kemudahan asas yang lebih mesra pengguna bagi orang kurang upaya (OKU) bagi mengelak golongan itu rasa terpinggir.

Ahli Majlis MBPJ, A Siva Balan berkata jika sebelum ini, MBPJ menyediakan kawasan siar kaki serta tempat letak kereta mesra OKU, kini terdapat pula tandas awam yang memenuhi kriteria diperlukan golongan terbabit.

Menurutnya, MBPJ adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama menyediakan kemudahan mesra OKU di kawasan persekitaran awam.

"Golongan OKU boleh melakukan aktiviti harian seperti biasa, tetapi memerlukan bantuan ketika melakukannya.

"Disebabkan faktor itulah, golongan ini perlu mendapatkan kemudahan sewajarnya untuk membolehkan mereka berdikari," katanya ketika berucap dalam sesi penggulungan Mesyuarat Penuh MBPJ di sini, semalam.

Malah, kejayaan MBPJ ini, katanya, turut menarik minat dua PBT lain iaitu Majlis Perbandaran Hulu Langat dan Majlis Perbandaran Selayang.

Siva Balan berkata, keberkesanan projek dilakukan MBPJ untuk golongan OKU sedikit sebanyak menjadi perintis kepada sikap keterbukaan PBT lain untuk mencontohinya.

"Ia sesuatu yang di luar dugaan, tetapi saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya golongan OKU kini boleh menjalani kehidupan lebih bermakna dan tidak lagi perlu bimbang untuk keluar ke mana-mana," katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar MBPJ, Datuk Mohamad Roslan Sakiman, berkata sesiapa pun berhak menempuh kehidupan yang normal sama ada mereka tergolong dalam OKU ataupun tidak.

3 ulasan:

saya berkata...

Elok sekiranya kerajaan menambahkan elaun OKU. Setidak-tidaknya meringankan beban OKU dalam menghadapi kegawatan ekonomi.

Tanpa Nama berkata...

Salam Sedingin Salju,
Kemudahan ini perlu diperbanyakkan kerana OKU adalah aset negara. Mereka punya potensi untuk bersama-sama menyumbang dalam kemajuan dan pembanguna negara.

Kerajaan perlu tumpukan perkara ini untuk memastikan modal insan dapat dibentuk daripada semua golongan masyarakat.
untuk 1 tujuan memajukan negara kita yang tercinta.

Tai berkata...

ya, setuju dengan cakap Kumbang. Oleh itu, berilah perhatian yang lebih pada oku.





Arkit blog