Melayu usah menjadi Si Kitul
SESIAPA pun yang menyaksikan atau kebetulan berada berdekatan Istana Iskandariah, Perak, selepas solat Jumaat 6 Februari lalu pasti menggelengkan kepala.
Bukan sekali geleng tapi berulang kali.
Beberapa manusia berkopiah dan berlitup kepala sanggup berbaring di jalan raya sambil disertai ribuan lain, semata-mata kerana ikutkan kata hati membantah titah Sultan Perak melucutkan barisan Exco kepimpinan kerajaan pakatan pembangkang yang lepas termasuk Menteri Besarnya.
Meskipun kemurkaan Sultan Perak ke atas peristiwa itu hanya dilaporkan oleh sumber dalaman istana, namun kenyataan khas Sultan Selangor yang menyusul seminggu kemudian, menyerlahkan betapa ia amat mendukacitakan raja-raja Melayu.
''Kebiadaban sebagai anak watan negeri Perak dan warganegara Malaysia serta mudahnya golongan tertentu terpedaya dengan budaya mob amat memalukan. Jangan sehingga nasi menjadi bubur, di mana terlajak kata boleh dimaafkan tetapi terlajak perbuatan mungkin akan mengundang bencana," demikian kenyataan khas baginda.
Sememangnya elok direnung kembali sejarah Si Kitul yang direkodkan dalam Sejarah Melayu.
Rasuah, nafsu, fitnah, dendam kesumat yang melanda pemerintahan Melaka pada ketika itu dengan watak utamanya dimainkan oleh Si Kitul akhirnya membawa kehancuran kepada kerajaan Melaka.
Inilah barah yang melapah kekuatan mana-mana masyarakat dan negara. Bukan sekadar negara kota seperti Melaka hancur berderai, bahkan empayar raksasa pun bisa roboh.
Menurut kata Sahibul Hikayat, pengarang Sejarah Melayu, Raja Mendeliar merupakan orang terkaya di Melaka dan beliau berbalah dengan Nina Sura Dewana iaitu penghulu segala saudagar Melaka.
Namun kerana peranan Si Kitul, akhirnya Raja Mendeliar percaya bahawa Nina Sura Dewana telah berpakat dengan bendahara untuk membunuh beliau. Apabila Raja Mendeliar mendengar cerita Si Kitul, maka beliau mengambil surat hutang Kitul dan mengoyakkannya dan berkata yang hutang tuan hamba sekati emas itu halallah dunia akhirat.
Akibat hasutan dan fitnah Si Kitul, Raja Mendeliar memberikan hadiah emas kepada laksamana dan meminta laksamana menyampaikan kepada sultan bahawa bendahara cuba untuk menderhaka.
Sultan, apabila disembahkan oleh laksamana mengenai penderhakaan bendahara terus membuat keputusan tanpa usul periksa dengan membunuh bendahara dan keluarganya kecuali Tun Fatimah.
Moral cerita berkenaan cukup jelas.
Kerajaan Melayu Melaka dulu gah sampai ke seluruh pelosok dunia. Siapa dapat bayangkan kerajaan hebat itu akan jatuh? Lagipun berapa banyaklah orang Portugis yang serang Melaka waktu itu. Entah berapa kapal saja. Tapi kerana orang Melaka berpecah belah benteng pertahanan orang Melaka punah. Dengan mudah sahaja Melaka hancur.
Kita semua tahu siapa dajalnya masa itu. Si Kitullah yang buat kacau, buat fitnah dan timbulkan kebencian dan syak wasangka. Akhirnya pemimpin Melaka berbalah. Melaka jadi lemah.
Sebab itu perlu diingatkan, kita semua tak kekal. Kerajaan sekuat mana pun tidak kekal selama-lamanya.
Kemewahan orang Melayu - kalau pun ada - juga tidak kekal.
Begitu juga mungkin kuasa politik Melayu.
2 ulasan:
Pemimpin melayu sering bercakaran. Pemimpin melayu tak pernah bersatu. pemimpin melayu saling tuduh menuduh.
Masa yang berharga dibazirkan kerana sengketa sesama sendiri.
Orang lain bertepuk tangan, menunggu masa mengambil teraju.
adakah melayu masih alpa dan leka bergomol sesama sendiri ?
kita hanya ada satu tanah pusaka.
jangan hilang kerana Kuasa.
Bagaimana nanti anak cucu kita?
merempat mengemis di tanah air mereka sendiri?
janganlah melayu menjadi si Kitul, kerana dia Portugis dapat menawan Melaka.
adakah sejarah mungkin berulang?
Melayu tentukan sendiri.
Kita lawan Si Kitul ini habis-habisan.
Kumbang tak mahu merempat di negara sendiri.
ya Kumbang, nyahkan si virus-virus ini. Memang tak guna.
Catat Ulasan