Rabu, Februari 18, 2009

OKU belum terima bantuan boleh adu kepada media

OKU belum terima bantuan boleh adu kepada media

MELAKA 17 Feb. - Golongan orang kurang upaya (OKU) di negeri ini yang belum mendapat sebarang bantuan daripada kerajaan dibenarkan mengadu masalah itu kepada pihak media bagi membolehkan mereka segera mendapat bantuan yang sewajarnya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, walaupun keputusan itu seolah-olah menggambarkan kelemahan kerajaan, ia banyak membantu mereka yang memerlukan bantuan.

Katanya, langkah itu bukan bermaksud agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak 'bekerja' sebaliknya bagi memastikan kumpulan sasaran mendapat bantuan yang sepatutnya.

"Jadi saya cadangkan, kalau ada OKU di Melaka yang layak tetapi tidak mendapat bantuan daripada kerajaan, mereka boleh jumpa akhbar seperti yang dilakukan Utusan Malaysia.

"Ini akan memudahkan tugas JKM kerana mungkin ada beberapa kes yang mereka terlepas pandang. Terima kasih kepada akhbar Utusan Malaysia," katanya.

Mohd. Ali berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Negara-Negara ASEAN Menentang Dadah (ASCAD) di Avillion Legacy Hotel di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan rayuan seorang ibu tunggal yang lumpuh separuh badan untuk menyara tiga anaknya termasuk seorang yang cacat sejak dilahirkan.

Wanita itu, Zainab Haron, 62, yang kematian suami sejak 17 tahun lalu mendakwa, tidak mendapat sebarang bantuan kerajaan kecuali anaknya yang cacat, Za'azman Haris, 33, diberi bantuan RM190 oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mohd. Ali yang meluangkan sedikit masa membaca laporan itu sebelum sidang akhbar bermula kemudian segera melontarkan cadangan agar OKU yang belum mendapat bantuan agar membuat aduan menerusi akhbar.

Beliau juga berharap Zainab akan segera mendapat bantuan RM300 sebulan daripada pihak JKM.

"Saya juga berharap, kalau ada lagi OKU yang sudah memohon dengan JKM, tetapi sudah lama tidak ada perkembangan mereka juga boleh jumpa pihak akhbar.

"Ini akan melicinkan proses menyalurkan bantuan kerana apabila jumpa akhbar, cepat sikit kita boleh selesaikan kes itu," katanya.

0 ulasan:





Arkit blog