Ahad, Februari 15, 2009

'Pindaan Perlembagaan perkukuh institusi Raja'

Berita Harian Online

'Pindaan Perlembagaan perkukuh institusi Raja'




PORT DICKSON: Bekas pemimpin kanan Umno, Tan Sri Sanusi Junid, mempertahankan tindakan kerajaan sebelum ini yang membuat pindaan Perlembagaan berhubung kuasa Raja kerana ia bukan untuk menggugat kuasa Raja, sebaliknya memperkukuhkan institusi Raja di negara ini.

Beliau yang pernah menjadi Naib Presiden Umno dan menganggotai Kabinet berkata, pindaan itu bertujuan supaya selepas sesuatu rang undang-undang diterima di Dewan Rakyat ia akan diluluskan apabila dibawa kepada Raja (Yang di-Pertuan Agong).

Bagaimanapun, katanya, masalah ketika itu membabitkan peluang perniagaan yang kerajaan mahu mengelakkan Raja terbabit.

"Kita buat undang-undang itu (pindaan Perlembagaan) supaya kelulusan rang undang-undang tidak menjadi lambat akibat masalah perniagaan," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ucap utama pada 'Forum Memartabatkan Maruah Bangsa Melayu' di sini, semalam.

Forum anjuran Angkatan Melayu Sedar Port Dickson itu disertai Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr Mohd Puad Zarkashi dan bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Mohd Isa Samad.

Sanusi berkata, pindaan yang kerajaan lakukan ketika itu terbukti tidak menimbulkan masalah kerana kerajaan tidak mengambil kuasa Raja hingga tidak boleh melantik Menteri Besar.

Sebagai contoh, katanya, peristiwa yang berlaku di Perlis dan Terengganu selepas pilihan raya umum lalu membuktikan Raja boleh untuk tidak melantik seseorang sebagai Menteri Besar.

Katanya, kuasa Raja bukan mentadbir negara. Kuasa Raja adalah menentukan pemimpin negara dan ini lebih penting berbanding luluskan undang-undang.

Sanusi juga menyifatkan pelbagai pihak di kalangan parti pembangkang yang lantang mempertikai kuasa Raja melantik Menteri Besar sebagai tidak adil kerana Raja tidak boleh membalas balik kritikan disiarkan dalam media massa.

Bagaimanapun, katanya parti pembangkang seperti yang berlaku di Perak kelihatan kelam kabut dan setiap parti hendak menyalahkan pihak lain.

0 ulasan:





Arkit blog