Khamis, Mac 05, 2009

Usaha jatuhkan martabat raja Melayu

Artikal utusan online.
 
ARKIB : 04/03/2009

Usaha jatuhkan martabat raja Melayu

TINDAKAN bekas Menteri Besar Perak memohon untuk derhaka pada 4 Februari yang lalu mengejutkan rakyat, terutama sekali orang Melayu. Ramai hanya pernah membacanya di dalam hikayat-hikayat lama. Sekiranya peristiwa ini terjadi di zaman kesultanan Melaka, si pemegang jawatan dengan rela hati akan meletakkan jawatan yang disandangnya dan menyerahkan kembali keris kerajaan serta persalinan pakaian kepada sultan.

Keris, atau persalinan pakaian hanyalah perlambangan kuasa yang diperturunkan kepada si pemegang jawatan oleh pemerintah, yakni raja. Si penderhaka pula biasanya di buang daerah dan dilucutkan daripada apa-apa gelaran yang pernah dianugerahkan kepadanya.

Anehnya Mohammad Nizar Jamaluddin tidak mengambil tindakan yang sama. Bukan saja beliau enggan menyerahkan semula harta benda kerajaan negeri yang diamanahkan kepadanya, termasuk kereta rasmi Camry, bahkan terus menganggap dirinya sebagai Menteri Besar Perak.

Bahkan Mohammad Nizar maju setapak lagi dengan membawa kes tersebut ke mahkamah. Pada suatu ketika dulu, di padang bola sekolah kampung ada yang memainkan peranan sebagai "goalie bocor" di belakang tiang gol. Apakah dalam politik juga ada "menteri besar bocor"?

Hakikatnya insiden bekas Menteri Besar yang mencabar institusi kesultanan ternyata memalukan dirinya sendiri. Konsisten dengan tindakan derhaka tersebut, eloklah beliau menyerahkan semula gelaran SPMP yang dianugerahkan kepadanya. Takut-takut jikalau anugerah tersebut dilucutkan sendiri oleh Sultan Perak, tentulah Mohammad Nizar akan beroleh malu yang bukan kepalang.

Risiko yang diambil Mohammad Nizar menderhaka kepada Sultan Perak sudah dicongaknya terlebih awal. Meskipun begitu ia tidak datang dengan tiba-tiba. Malahan rentetan peristiwa pasca Pilihan Raya Umum ke-12 telah membentuk sifat sombong serta biadab beliau. Lebih daripada itu beliau mempunyai mentor yang berpengalaman.

Hubungan mentor-mentee inilah agaknya yang mendorong beliau untuk menderhaka. Ia bermula dengan campur tangan Pengerusi DAP, Karpal Singh dalam isu kedudukan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak yang dilihat sebagai mencabar kuasa Sultan Perak.

Kerajaan Perak terus diperkudakan sebagai medan uji kaji kuasa oleh kerajaan campuran pembangkang apabila mencabar Kanun Tanah Negara dan Majlis Tanah Negara dalam isu pemberian hak milik kekal kepada kampung-kampung baru Cina di seluruh negeri Perak.

Terbaru mereka menolak kuasa serta budi bicara Sultan Perak sebagai ketua negeri dalam isu pelantikan Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar Perak.

Karpal Singh sebenarnya cuba mengalihkan fokus rakyat, disebabkan punggungnya sudah terlalu panas hasil pendiriannya untuk menyaman Sultan Perak ke mahkamah atas isu pelantikan Dr. Zambry sebagai Menteri Besar.

Hakikat beliau sendiri sudah hilang sengat dalam DAP tidak lagi dapat disembunyikan. Kenyataan demi kenyataannya dilihat tidak sealiran dengan kehendak parti DAP sendiri.

Beliau terus-menerus membangkitkan isu-isu yang menyentuh sentimen perkauman, dan menimbulkan kemarahan rakyat jelata. Pada masa yang sama beliau ingin menguji sejauh mana pakatan pembangkang akan mempertahankannya.

Strategi terbaru pakatan pembangkang ialah memanggil sidang Dewan Undangan Negeri pada 3 Mac 2009. Pada masa yang sama dua ADUN yang meninggalkan Parti Keadilan Rakyat, seorang ADUN yang keluar DAP, Menteri Besar serta enam orang Ahli Majlis Mesyuarat Negeri yang baru dilantik tidak dibenarkan hadir di sidang tersebut.

Tujuannya adalah untuk mengusulkan undi tidak percaya terhadap Kerajaan BN negeri Perak. Dr. Zambry sudah tentu dapat mencium jerat Mohammad Nizar dan konco-konconya dalam pakatan pembangkang.

Sekali lagi Sultan Perak dicabar, oleh kerana kuasa memanggil sidang Dewan Undangan Negeri adalah prerogatif Sultan.

Pada tahap ini bagi menjamin kestabilan dan keamanan, serta kepatuhan terhadap kedaulatan undang-undang, kerajaan jangan lengah untuk mengambil tindakan. Nampaknya cacing sudah naik ke mata. Pengajaran keras hendaklah diambil ke atas kumpulan pengacau ini.

Semua ini adalah bertujuan mencarik baju raja, hatta mencarik baju Melayu. "Carik baju raja, disebabkan akal budak" di dalam peristiwa Singapura dilanggar todak membawa pengertian kecacatan terjadi dengan tidak disengajakan.

Tetapi kali ini ia bukan lagi opera Cina atau parodi Barat. Pakatan pembangkang benar-benar berusaha untuk mengoyakkan baju raja demi menjatuhkan martabat institusi kesultanan Melayu.

Walaupun raja-raja adalah milik rakyat umum, tidak siapa dapat menafikan bahawa adat beraja ialah lanjutan adat istiadat dan tradisi orang Melayu.

Inilah asas kukuh falsafah raja sebagai payung untuk orang Melayu. Dalam kata lain mencabar raja bolehlah disamakan dengan mencabar jati diri Melayu.

Walaupun kini raja-raja tidak lagi memerintah dengan menggunakan kuasa mutlak, kuasa tersebut tidak pernah terhakis, malah terus terpelihara di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sungguhpun transformasi berlaku ke atas cara dan bentuk kerajaan apabila diwujudkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, pada asasnya susur-galur kuasa tidak banyak berubah daripada tangan raja-raja Melayu.

Umumnya kuasa raja-raja terbahagi kepada:

(a) Kuasa yang dilaksanakan mengikut nasihat, dan,

(b) Kuasa yang bersifat budi bicara.

Peruntukan berhubung dengan tindakan menurut nasihat penting dalam menegakkan konsep raja berperlembagaan. Meski pun begitu tanggungjawab mengenainya hanyalah peruntukan umum.

Sebagai mana peruntukan-peruntukan umum lain, pada waktu-waktu tertentu peruntukan "bertindak mengikut nasihat" perlu diketepikan, yakni ia menjadi tidak relevan.

Fenomena mencabar undang-undang dan konvensi secara berleluasa oleh pakatan pembangkang terjadi apabila terdapat ramai orang tua yang berfikiran serta berkelakuan seperti 'budak-budak' di kalangan kepemimpinan mereka. Akibatnya mereka tidak dapat membezakan antara ilusi dan fakta.

Bak kata Almarhumah penyanyi Zaharah Agus, kemahiran diperlukan bagi mengenal "yang mana semut api, yang mana anai-anai, yang mana roti prata, yang mana roti canai…"

Dengan istilah 'celaka' yang membawa makna malang, sial, keparat, jahanam, bedebah (T.Iskandar, Kamus Dewan, DBP 1970) yang dilemparkan oleh Pengerusi DAP kepada Pemuda UMNO, akan lahirkah pula ungkapan "carik baju pemuda, disebabkan akal si tua bangka"? Penulis sedar wujudnya bidalan Melayu lama: "Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa."

Tempoh 24 jam yang diberi oleh Khairy Jamaludin kepada Pengerusi DAP untuk membuktikan tuduhan-tuduhan beliau terhadap Pemuda UMNO sudah lama berlalu. Kalau hendak menitik dan menempa besi, eloklah ketika tengah panas.

MALIM GHOZALI PK ialah penulis karya kreatif, esei akademik serta isu-isu semasa.

5 ulasan:

Ali Abdullah berkata...

salam,

Tanya kepada pakatan rakyat, siapa yang lebih untung jika raja-raja melayu dihilangkan peranan mereka dalam pentadbiran kerajaan negeri sendiri?

Sekarang pun kita sudah dapat melihat akan bahaya pengaruh politik ala republik yang tidak memnghormati keputusan sultan dan raja-raja. Siapa dalang sebenar yang meremehkan kuasa sultan? Jawapannya: Orang-orang melayu itu sendiri..

Tai berkata...

Betul tu Apai, sebab itu, mereka di kalangan bukan melayu PR ini, begitu punya berani sehingga sanggup mencelakakan orang.

Unknown berkata...

Benor Yop...jangan kite menang sorak kampung tergadai...

Malim Ghozali PK

Unknown berkata...

Benor Yop...jangan sampai menang sorak, kampung tergadai...

Malim Ghozali PK

Tai berkata...

Ya Seladang, apabila sudah tergadai, habislah semua.





Arkit blog