Para ASEAN: Sijil pengesahan kesihatan diperlukan
PETALING JAYA - Kontinjen dari 10 negara ASEAN dan Timor Leste perlu bebas dari selesema babi (influenza A(H1N1)) dengan mengemukakan sijil pengesahan kesihatan dari negara masing-masing sebelum dibenarkan menyertai Sukan Para ASEAN Ke-5 yang akan berlangsung di Lembah Klang, dari 15-19 Ogos ini.
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Zainal Abu Zarin (gambar) berkata, saringan kesihatan di negara masing-masing merupakan langkah awal bagi mengelakkan wabak itu daripada tersebar semasa kejohanan tersebut.
"Langkah tersebut juga diguna pakai bagi kontinjen Malaysia. Kesemua atlet dan pegawai kontinjen akan menjalani saringan kesihatan yang akan dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara," katanya semalam.
Beliau sebelum itu memberikan taklimat mengenai persediaan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan Para ASEAN ke-5 dan langkah keselamatan mengenai wabak selesema babi kepada wakil-wakil negara peserta.
Zainal berkata, pihaknya juga akan mengadakan rundingan dengan pengendali Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Sepang minggu depan bagi mendapatkan keistimewaan kepada kontinjen luar.
"Kalau boleh, MPM mahu saringan kesihatan terhadap kontinjen luar dilakukan berasingan serta lebih teliti dan bukan bersama dengan orang awam yang lain.
"Ini bagi memastikan anggota kontinjen luar yang tiba benar-benar bebas daripada wabak tersebut," katanya.
MPM juga, katanya akan berunding dengan KKM untuk menempatkan pegawai kesihatan di hotel penginapan atlet dan melakukan saringan sebanyak dua kali sehari.
Sebanyak 980 atlet kurang upaya akan bertanding dalam 11 acara pada sukan ini.
Acara-acara tersebut adalah olahraga, renang, badminton, ping pong, angkat berat, catur, boling, pelayaran, tenis kerusi roda, bola keranjang kerusi roda dan bola tampar duduk. - BERNAMA
0 ulasan:
Catat Ulasan