|
PUTRAJAYA - Sukan Paralimpik akan mempunyai pusat pembangunan mereka sendiri yang serba canggih dan memenuhi keperluan atlet orang kurang upaya (OKU) bernilai RM40 juta.
Ketika mengumumkannya, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, ia bertujuan mengiktiraf sumbangan atlet paralimpik dengan menyediakan kemudahan terbaik untuk mereka.
"Pusat pembangunan Sukan Paralimpik berhampiran Kompleks Sukan Kg. Pandan itu nanti apabila siap nanti, boleh dianggap model yang terbaik di Asia Tenggara.
"Ia memiliki semua kemudahan yang mesra atlet paralimpik di negara ini serta kelengkapannya yang serba canggih seperti asrama dan pelbagai gelanggang untuk OKU," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Pembangunan Sukan Paralimpik Prestasi Tinggi Malaysia di sini, semalam.
Sehingga ini katanya, kerja-kerja konsultan dan lakaran bangunan sudah siap dilaksanakan dan hanya menunggu kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk meluluskannya.
Sekiranya semuanya berjalan lancar kata beliau, Pusat Pembangunan Sukan Paralimpik itu akan siap dua tahun dari sekarang.
"Pembinaan pusat yang boleh dianggap cukup sempurna itu merupakan satu lagi langkah ke depan buat atlet paralimpik negara," katanya.
Mengenai seminar pembangunan sukan paralimpik yang julung-julung kali diadakan, Ahmad Shabery berkata, ia sebagai antara persiapan untuk menghadapi Sukan Para-ASEAN di Kuala Lumpur, Ogos ini.
"Kita bukan sahaja mahukan publisiti tetapi ingin mewujudkan kesedaran di kalangan rakyat negara ini untuk bersama-sama menjadi sukarelawan bagi temasya sukan tersebut," tegasnya.
0 ulasan:
Catat Ulasan