Rabu, Julai 29, 2009

KempenPelancaran Penempatan Pekerjaan Oku Penglihatan

Dari seorang sahabat, Muhammad Adam Lee.
 
Salam bahagia, rakan-rakan sekalian.
 
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsi satu kenangan
pahit yang belum pernah dialami sebelum ini, terutamanya dalam kita
ghairah mendakwa kita dan pertubuhan kita adalah pembela lagi pejuang
hak asasi OKU penglihatan negara. Sememangnya, cerita yang akan saya
kemukakan ini bakal mengundang risiko, namun, saya rasa
bertanggungjawab mendedahkan perkara sebenar agar setidak-tidaknya
kemungkaran sama dapat dicegah. Justeru, perhatikanlah dan hayatilah
kisah ini sedalam-dalamnya berasaskan iman/agama dan pertimbangan aqal
nan waras, bukan sebaliknya. Justeru, suka saya maklumkan, hanya nama
pertubuhan/persatuan yang terlibat sahaja akan saya dedahkan, tidak
nama individu. Kalau ya pun, saya hanya akan mendedahkan dari segi
kedudukan, itupun, tidak secara "detail", demi menjaga aib dan maruah.
Untuk itu, sebelum saya mulakan kisah ini, saya terlebih dahulu
memohon jutaan ampun dan maaf sekiranya ada apa-apa yang tidak/kurang
menyenangkan. Namun begitu, saya akan cuba mengelak lagi
mengurangkannya sedaya upaya.
 
Tanggal Selasa, 28 Julai, 2009 bersamaan 6 Sha'ban, 1430 Hijrah, saya
menyertai sesi pameran untuk majlis Pelancaran Penempatan Pekerjaan
OKU Penglihatan di Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB),
Brickfields, Kuala Lumpur. Saya telah dijemput secara peribadi
menerusi telefon oleh Pengerusi Kelab Cyber, beberapa hari sebelum
berlangsungnya pameran itu, di samping menerima Email yang menyebut
secara umum mengenainya.
 
Pada pagi tersebut, saya sampai di lokasi pameran seawal jam 8:00
pagi. Setelah bersarapan minuman ringan, saya terus menunggu untuk
beberapa ketika hingga hampir jam 8:30 pagi. Namun, disebabkan tiada
khabar berita, saya mengambil keputusan pergi ke perpustakaan, membaca
buku demi mengisi masa lapang. Puas saya membaca buku sambil menunggu
berita hingga pada jam 9:15 pagi; saya mula berasa tak sedap. Di hati
kecil ini, sudah tertanya-tanya, "apa dah jadi ni? tak ada pun telefon
atau panggilan?"
 
Tiba-tiba, ketika saya di bilik air, hampir pukul 9:30 pagi, saya
dihubungi oleh Pengerusi Kelab tersebut, menanyakan kedudukan saya.
Malah, beliau ketika itu, masih menyangka saya di rumah. lantas, saya
menjawab dengan nada yang agak marah, "Dah sampai pun seawal pukul 8
tadi, tau!" Lantas, sepantas kilat, beliau menanyakan lokasi terkini.
Saya pun memberitahu yang ketika itu, saya berada di tingkat 1, sedang
berjalan turun. Saya pun bertanya, "Di mana lokasi pameran itu?" Dia
menjawab, "Di 'corridor' dekat luar dewan." Bila saya bertanya lanjut,
penjelasan yang diberikannya tidak memungkinkan saya mampu mengagak
arah sebenarnya. Lalu, saya pun mencelah, "OK ... OK, saya tengah nak
turun ni. Terima kasih." Lantas, terputuslah komunikasi setakat itu.
 
Sesampainya di tingkat bawah, saya cuba mengagak lokasi pameran,
tetapi hampa. Yalah, saya pun jahil akan arah 'corridor' luar tu ...
Sebelah mana, ada tanda apa, ...? Tiba-tiba, saya ditemani seorang
hamba Allah yang prihatin akan keadaan saya, lalu membawa saya ke
Dewan Besar dan membawa sebuah kerusi.
 
Setelah menunggu agak lama, akhirnya muncullah para tetamu kehormat,
diketuai Timbalan Menteri Sumber Manusia. Namun, bolehlah saya
katakan, kebanyakan tetamu kehormat tersebut, hatta Timbalan Menteri,
adalah wakil pengarah/ketua jabatan/kementerian masing-masing. Begitu
jugalah dengan persatuan ini; Presidennya juga tidak hadir.
Barangkali, mereka ada urusan rasmi yang tidak dapat dielakkan.
 
Aturcara dimulai dengan menyambut ketibaan para jemputan khas tersebut
dengan semua hadirin diminta berdiri untuk menyanyikan lagu
"NEGARAKU". Namun, setelah dimainkan muziknya, rupa-rupanya muzik
tersebut juga sudah ke hadapan dua baris ... Bayangkanlah, jika anda
hanya mendengar muzik bermula di "Rakyat hidup, ..."? Nak nyanyi macam
mana lagi? Lalu, semuanya hanya berdiri membatu mendengarkan muzik
merdu tersebut.
 
Setelah itu, doa pembuka majlis disajikan. Namun, tragisnya, terdapat
kekalutan pada bacaan tersebut yang begitu ketara, seolah-olah, kurang
bersedia. Seterusnya, ucapan dimulai Timbalan Presiden MAB, diikuti
ucapan Presiden yang dibaca Pengarah Eksekutif, bagi pihaknya. Yang
menariknya, cadangan-cadangan penempatan pekerjaan yang diutarakan
seolah-olah tiada kepelbagaian, dengan dimulai meramaikan lagi
"Operator/Telephonist" OKU Penglihatan. Ia seolah-olah tidak
mencerminkan keprihatinannya terhadap tsunami perubahan global,
khasnya di bidang IT serta bakat-bakat lain yang dimiliki rakan-rakan
senasib. Namun begitu, Senator Timbalan Menteri pula, menjanjikan
kepelbagaian bidang pekerjaan lain yang akan cuba ditawarkan, di
samping cuba mencapai matlamat 1 % kuota OKU dalam kedua-dua sektor
perkhidmatan awam dan swasta. Juga, kata beliau, kedua-dua Kementerian
Sumber Manusia dan Pembanguna Wanita, Keluarga Dan Masyarakat akan
bersepakat merangka sesuatu untuk dibawa dalam mesyuarat Kabinet demi
memperbaiki nasib OKU.
 
Selesai sahaja majlis pelancaran kempen oleh Timbalan Menteri, majlis
diselangi acara penganugerahan serta pemberian risalah kempen kepada
agensi, jabatan, badan berkanun serta badan korporat. Majlis diakhiri
hiburan ringan, disusuli lawatan ke tapak pameran, diketuai Timbalan
Menteri.
 
Sesampainya saya di tapak pameran itu, rupa-rupanya, terdapat seorang
rakan lain. Dia pun terperanjat, lantas bertanya, "Kau buat apa kat
sini?" Saya pun memberitahunya, "Aku kena in-charge pameran ni." Lalu,
dengan nada agak kehairanan, dia pun mempersilakan saya duduk di
kerusi yang disediakan. Di sebelah kiri saya, terdapat seorang peserta
lain. Namun, saya tak pasti set komputer apa yang digunakan. Set
komputer yang ada pada saya ketika itu ialah sebuah notebook yang tak
ketahuan jenama apa, beserta sebuah "embosser" jenama Index, himpunan
kertas dan akhirnya di sebelah kiri notebook tersebut, himpunan buku
cerita bertulisan Braille Grade 1. Apa yang mengecewakan saya ialah
sudahlah saya belum pernah diperkenalkan dengan notebook tersebut
sebelum pameran, ditambah perisian pembaca skrin JAWS yang
pertuturannya ibarat selaju halilintar menyambar ... Untuk
mengubahsuai pertuturannya, tak boleh!!! "Icon" JAWS pada "System
Tray" tiada/tersembunyi!!! Bagaimana ni? Ditambah, kejahilan saya dalam memahami
kedudukan anak panah (arrow keys) serta kekunci mustahak lain ... Ya
Allah, inikah bentuk persembahan yang akan aku persembahkan kepada
khalayak ramai? Namun, mujurlah, JAWS mempunyai kekunci bantuan
(keyboard help). Juga, nasib baik, saya telah dapat mengagak "keyboard
layout" mana yang sedang digunakan. Lantas, saya mengambil sedikit
masa yang amat "KESEMPITAN" itu untuk mendapatkan bantuan tersebut,
dengan keadaan suasana riuh-rendah, ditambah volume yang cukup
didengari pasangan bercinta ...
 
Sebentar kemudian, tetamu kehormat pun tiba ke meja pameran kami.
Lalu, ketika itu, saya seolah-olah menjadi "remote device" kepada
rakan saya tersebut ... Tapi, itu bukan kisahnya. Lantas, fikiran
sesingkat beberapa milisaat terpaksa dikerah untuk mencetak sampel
dokumen Braille itu sebagaimana diarahkan. Di sini, kami berdua saling
menerangkan akan fungsi setiap titik A B C ... itu, diikuti angka 1,
2, 3 ... 10.
 
Nah, apa agaknya terjadi setelah selesainya lawatan tetamu kehormat?
Agaknya, adakah apa-apa lagi inquiry atau minat pengunjung, minta
demonstrasi, paling tidak, berbual dengan kita?
 
Selesai solat zohor, kira-kira jam 2:15 petang, saya pun bergegas ke
tapak pameran, menyedari sudah terlewat waktu. Namun, sesampainya di
situ, tiba-tiba, ... Apa ditekan, tak bunyi; kedudukan "plug" dan
suisnya pun tak tahu; tak pasti notebook tersebut "on/off" ... Ya
Allah, kenapa ni? Aku merungut sendirian. Semakin lama, semakin
gelabah, tak terkata. Sudahlah begitu, terpaksa pula saya mencuba
untuk membuka/menutup suis itu satu demi satu, maklum, tiada siapa
yang boleh diharap memberi bantuan!!!
 
Setelah mendengar suara "embosser", agak fahamlah saya: "Oh, ini
'plug' untuk 'embosser'". Geledah lagi dan lagi: Eh, apa pula empat
butang leper di atas notebook ni? Try-lah tekan satu demi satu ...
hampa!!! Akhirnya, saya cuba pula bermain dengan pemacu DVD di sisi
notebook itu untuk menguji status "on/off"nya, namun hampa. Terlintas
di hati, "Jangan-jangan, 'charger' tak masuk, tak?"
 
Ya, benar!!! Serentak itu, saya terjumpa beg notebook itu sudah berada
di bawah, setelah berada di kerusi di sebelah kiri saya pagi tadi!!!
Siapa punya kerja ni? Tak apalah; saya cuba mengusahakan menyambung
semula "charger"nya. Alhamdulillah!!! Setelah dicuba antara empat
bebutang leper di bahagian atas itu, tahulah bahawa suis "on/off" itu
rupa-rupanya di sebelah kanan sekali!!! Dengan marah, saya pun berkata
sendirian, "Kenapa orang-orang kat sekeliling ni tak boleh harap, ha!"
 
Nah, lagi hampa: Setelah on/off berpuluh kali pun, masih tak berbunyi
juga! Ketika itu, saya cuba mengangkat tangan, berdiri, malah menanya
dengan suara agak kuat, "Hello, ada siapa-siapa boleh tolong saya?"
Wah, semua orang macam tak peduli aja ... rungut hatiku sendiri.
 
Terpaksa bertindak nekadlah, kan? Saya lalu menghantar SMS kepada
rakan di sebelah kiri saya, yang ketika itu, sedang asyik berbual
online menggunakan perisian Skype. Sudahlah begitu, volume komputernya
agak kuat, ditambah suasana riuh-rendah; terdengar suara seorang
wanita di talian lain pada komputer tersebut! Ah, lantak kaulah ...
Yang penting, aku nak kau toloong aku sekarang ...
 
Sejurus maklumat sampai, dia pun cuba meneka jenama notebook tersebut
serta mencuba menekannya berpuluh kali, namun, gagal!!!
 
"Oh Tuhan, apa lagi yang patut aku buat? Aku dah rasa malu benar ni
..." Spontan, saya menelefon sahabat saya yang menolong seawal pameran
tadi, ketika itu sedang bekerja, menagih simpatinya. Dengan menyangka
saya baru hadir, dia seolah-olah tidak percaya akan cerita saya itu.
Namun, akhirnya, dia lapangkan masa juga untuk turun ke lokasi,
melihat sendiri apa yang berlaku.
 
"Ya Allah! Cam na boleh jadi begini?" Dengan penuh kehairanan, dia
mengajukan persoalan itu. Saya, sudahlah memang tergamam, dah macam
tak larat ... "tention", lalu mendiamkan diri. Akhirnya, dia berusaha
keras memperbaiki masalah tersebut. Setelah selesai, dia pun ...
mengambil langkah drastik lagi berani: mengemaskan semuanya untuk
dipulangkan semula ke jabatan/bahagian masing-masing.
 
"Heghanlah aku, Pengerusi tu pun, dah tak tau ke mana hilangnya!"
Dengan nada marah, saya suarakan rasa tidak puas hati. Secara
berseloroh, rakan itu pun menjawab, "Dah yang kau pergi bom dia tu,
kenapa? Ha, kan dah berkecai semuanya ..." Wah! Lagi geramlah saya
jawabnya, lantas saya bersuara, "Lantak dialah, mampus dialah. Dah
memang orang macam tu, lebih mengutamakan kejahilan! Gaya Hitler-lah!"
sambil masing-masing membimbit apa yang larat dibawa.
 
Akhirnya, setelah kesemua perkakasan dipulangkan dengan selamat, rakan
itu pun mengajak saya ke kantin, menikmati minuman petang yang telah
disediakan, dalam keadaan saya ketika itu benar-benar kecewa. Namun
begitu, saya agak terhibur dengan kehadirannya, juga dengan juadah
enak yang disajikan. Setelah semuanya selesai, dia pun menghantar saya
ke pintu hadapan Persatuan dengan selamat, lalu saya pun meneruskan
perjalanan pulang.
 
Belum habis lagi rupanya ... Sudahlah stress semalam belum habis, tiba
pula Email rakan semaperan saya, yang saya katakan duduk di sebelah
kiri tu, memberi laporan palsu bin janggal cucu penipu, cicit
pembohong!!! Dua fakta yang dibohongkan dalam laman kumpulan CyberClub
MAB ialah, kedudukan saya di dewan, terlibat dengan aturcara di dewan
sepanjang pameran semalam, dan, suasana pameran berjalan lancar!!!
Akhirnya, tahulah saya, siapakah para peserta lain, di samping kami
berdua. Yang penting di sini, penglipur lara palsu tersebut, tak lain,
tak bukan, Timbalan Pengerusi CyberClub itu!!!
 
Sehingga kini, masih timbul beberapa persoalan berat pada fikiran
saya. Antaranya, adakah wajar kita hanya mengenali peralatan
(mujurlah, bukan perisian) yang akan digunakan untuk pameran itu
spontan, bukan beberapa ketika sebelumnya? Sekiranya komputer tersebut
akan digunakan untuk pameran, mengapa aturan (setting) yang ada,
terutamanya pada perisian pembaca skrin JAWS, tidak dikembalikan
kepada aturan asal/seragam? Di manakah keprihatinan tuan rumah ketika
menjemput tetamunya melaksanakan tugasan, hatta ke lokasi pameran,
tiada bantuan? Paling menyedihkan, anda sebagai antara NGO "senior"
lagi antara yang terunggul di Malaysia, mengapa kerja saat akhir
(last-minute work) ini juga yang diamalkan, kemudian mendakwa anda
pembela lagi pejuang hak asasi OKU penglihatan? Mengapa tiada
pembantu/petugas sampingan di tapak pameran untuk membantu pempamer
ketika saat genting? Mengapakah cadangan pekerjaan Presiden
seolah-olah tidak matang, malah melambangkan kurang prihatinnya anda
terhadap arus perubahan? Telah berpuluh ratus kali janji ditabur
memperbaiki masalah dan penghidupan masyarakat golongan Kurang Upaya,
masih terdapat diskriminasi dan pengasingan meskipun pihak-pihak
berkenaan sedia maklum akan kebolehan dan kecenderungan golongan
sasar? Akhirnya, adakah program dan aktiviti bercorak IT yang
dilaksanakan selama ini hanya menjana keuntungan segolongan kecil,
berbanding keperluan mendesak golongan dha'if yang jauh lebih besar?
 
Sekali lagi, ampun dan maaf dipinta andainya kisah serta persoalan
yang diajukan ini melampaui lingkungan. Paling penting, usahlah kita
bekerja hanya mencari nama, kemasyhuran serta laba nan sebentar; kelak
tak terbawa walau sesen pun bila tiba waktunya. Janganlah kita
mendakwa berilmu, hakikatnya jahil, serta bersikap terbukalah apabila
menerima pandangan. Tiada yang sempurna, kecuali Dia Yang Maha
Segalanya. Menutup bicara, yang baik itu daripada-Nya, yang kurang
itu daripada kelemahan serta kejahilan saya sendiri.
 
Terima kasih.
 
Muhammad Adam Lee,
malba79@gmail.com
 
Skype: ultraman5984
Facebook: http://www.facebook.com/tai.cute

0 ulasan:





Arkit blog