Selasa, September 08, 2009

hebatkah oku penglihatan dalam penggunaan komputer?

Selamat.

Orang kata, aku ni asyik bergantung pada orang untuk belajar komputer. yalah, itu memang betul. kalau kita berkehendakan ilmu, sudah semestinyalah kita harus bergantung pada orang. Tapi, orang yang mengata itu, adakah dia tidak bergantung pada orang lain?

Sebenarnya, di dalam ilmu pengkomputeran ini, tidak ada istilah pandai dan hebat. Semuanya sama sahaja. hatta juruteknik komputer itu sendiri pun tidaklah sehebat mana.

lagi-lagilah kita yang oku penglihatan. Pada pendapat aku, oku penglihatanlah yang paling banyak bergantung pada orang di dalam ilmu pengkomputeran ini. Apa tidaknya, cuba kita fikir dan renung-renungkan.

Di dalam penggunaan sistem operasi komputer misalnya, kita berkehendakkan pihak penyedia menyediakan fasiliti untuk oku penglihatan. Contohnya, sistem pengoperasian windows harus dibuat supaya dianya bersesuaian dengan orang buta. yalah, supaya pembaca skrin dapat berfungsi dengan baik.

Di dalam penggunaan skype, mengapa kita begitu bising mengatakan skype tidak accesible dengan orang buta? Dan, kita mahu pembangun perisian tersebut melakukan sesuatu supaya skype itu dapat juga dinikmati oleh golongan oku penglihatan. Nah, sudah nampak di sini, kita harus bergantung kepada pembuat skype itu untuk berbuat sesuatu supaya kita semua ini dapat menggunakan skype itu. Sementara apa yang kita buat? Kita hanya pandai komen itu dan ini.

Script skype. Buat masa ini, hanya saudara Doug Lee yang bertungkus-lumus menyediakan scripts tersebut sambil dibantu oleh beberapa rakannya. nah, terang-terang di sini, kita semua, pengguna komputer oku penglihatan bergantung pada Doug Lee untuk menggunakan perisian skype ini dengan lancar dan elok. Mengapakah tidak ada di kalangan kita yang nak mencuba wujudkan scripts untuk mana-mana perisian? Jawapannya, susah dan kena korban masa.

Dan tanpa disedari, kita, oku penglihatan ini, telah benar-benar bergantung pada Microsoft Windows. Dipendekkan cerita, sudah kena ikat. Berapa keratkah oku penglihatan yang menggunakan sistem operasi perisian terbuka seperti Linux?

Pembaca skrin. Inilah yang menghantui golongan oku penglihatan. Dalam banyak-banyak syarikat yang mengeluarkan pembaca skrin, tanpa disedari, kita semua sudah terlampau bergantung pada Freedom Scientific yang mengeluarkan jaws. Walau pun terdapat beberapa pembaca skrin yang lain, tetapi, kita dan Freedom Scientific sudah bolehlah diibaratkan bagai isi dengan kuku. Sanggup kita mengharungi duri dan ranjau demi untuk mendapatkan secebis jaws crack. Tiada jaws, kita seolah-olah mati kutu.

Nah, berdasarkan beberapa contoh di atas, nampaknya, oku penglihatan lebih banyak bergantung pada orang supaya mereka dapat pakai komputer. Ini langsung tidak boleh dinafikan. Berbanding dengan orang celik, orang celik amat kurang bergantung pada orang untuk menjalankan komputer mereka. Berilah apa saja software pada mereka, sudah pasti mereka dapat memasang perisian tersebut.

Tapi kita? Bolehkah kita berbuat begitu? Hatta nak reformat komputer pun kita kena bergantung pada orang celik. Ya, memang ada CD un-atended installation. Mungkin orang akan kata, "pakai un-attended installation." ya betul, un-attended installation itu merupakan suatu penyelesaian masalah. Tapi, bolehkah kita menjangka sesuatu akan berlaku tengah-tengah dia buat kerja? Kita masukkanlah CD un-attended installation tu. maka seperti biasa, CD tu pun jalanlah. Install lah windows tu. Kita pula, dahlah mata buta, pergilah buat kerja lain. Kita pun, rasa hebatlah, wah aku tengah install windows ni. Baru lepas reformat komputer. hebat sangat oku penglihatan.

Sejam berlalu. Komputer terus membisu. Kita sudah jadi satu macamlah. Sepatutnya, ada bunyi, tapi, kenapa bisu? Nah sekarang, kita kena bergantung pada oranglah. Panggil orang celik tengok. Wah, rupanya, CD un-attended installation ni dah bermasalah. jadi, macammana? Ingatkan, install, rupanya, langsung tak jalan.

Ya ok, kita pandai install balik windows. Tetapi, sekarang situasinya, kita terpaksalah bergantung pada orang celik untuk membacakan arahan-arahan untuk kita dapat install kembali windows itu. Kesimpulannya, kita ni, memang kena bergantung pada orang celik.

Ingat, sehebat mana pun kita dalam komputer, sehandal mana pun kita untuk mengendalikan sesuatu software di komputer, Terror macammana pun, kalau ditakdirkan pembaca skrin bisu, kita pun jadi bodoh dungu dah. Pembaca skrin adalah nadi kita. nasib baik pembaca skrin tak boleh berkata-kata. Kalau boleh, mungkin dia berkata begini. "Kau orang tu buta, kalau aku tak cakap apa yang ada di skrin, mampus kau orang tak boleh kendalikan komputer." "Kau orang fikir, kau orang tu, hebat sangatkah dalam komputer ni?" "Kau orang jangan nak meninggi diri sangat." "Kau orang hebat pun kerana aku pembaca skrin." "Kalau aku tak tolong kau orang, jangan harap kau orang boleh main komputer."

kalaulah betul-betul pembaca skrin boleh berkata-kata sebegini rupa, apakah perasaan kita? Tiap kali jalankan komputer, dia berkata macam ni. masa itu, apakah yang kita rasa?

Oleh itu, janganlah kita terasa hebat dan terror kerana kita pandai dalam penggunaan komputer. janganlah kita memandang rendah pada orang yang bergantung pada orang lain untuk penggunaan komputer dan gunakan ilmu yang orang ajar untuk diajarkan pada orang lain. Ingat, orang yang tidak mahu bergantung pada orang lain, bolehlah dianggap, bongkak. Dalam komputer, tiada siapa yang pandai. Dalam komputer, semuanya sama saja. jangan kita rasa gah dan hebat bila banyak orang datang mencari kita.

Sehebat mana pun kita, kita kena bergantung pada orang. Contohnya aku sendiri. Sehebat mana pun aku, aku kena juga bergantung pada orang. Aku bukan setakat bergantung pada orang di malaysia, malah aku bergantung pada orang di seluruh dunia. Kalau tak, macammana nak dapat ilmu?

0 ulasan:





Arkit blog