Ahad, Ogos 17, 2008

Penubuhan Majlis Kebangsaan Bagi OKU Untuk Bangunkan Golongan Itu, Kata Ng Yen Yen

Penubuhan Majlis Kebangsaan Bagi OKU Untuk Bangunkan Golongan Itu, Kata Ng Yen Yen


KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menubuhkan Majlis Kebangsaan bagi Orang Kurang Upaya (OKU) yang berperanan membantu kerajaan membangunkan golongan tersebut.

Majlis yang dipengerusikan oleh Menterinya Datuk Dr Ng Yen Yen mempunyai 20 anggota yang terdiri daripada wakil-wakil kerajaan, OKU dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang pakar dalam bidang penjagaan OKU.

Ng berkata majlis yang ditubuhkan 1 Ogos lepas berfungsi menyelia, menyelaras dan memantau pelaksanaan Dasar Negara dan Pelan Tindakan Negara yang ada hubungan dengan OKU.

"Penubuhan majlis itu adalah bagi menyalurkan maklumat serta cadangan program, memantau dan menilai kesan dasar yang dilaksanakan," katanya semasa mempengerusikan mesyuarat pertama majlis itu di sini, hari Khamis.

Beliau berkata majlis itu menggantikan Majlis Penasihat dan Perundingan bagi OKU yang ditubuhkan pada 1998.

Antara anggota majlis itu adalah Ketua Setiausaha kementerian berkenaan Datuk Faizah Tahir, Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Meme Zainal Rashid, Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail, Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dan Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Datuk Markiman Kobiran.

"Kerajaan juga telah meluluskan Pelan Tindakan Nasional OKU serta Akta OKU 2008 yang baru dikuatkuasakan 7 Julai lepas," katanya.

Sementara itu, Ng menyeru OKU agar berdaftar dengan kementerian atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membolehkan mereka mengisi 10,000 pekerjaan yang ditawarkan kerajaan untuk golongan itu.

"Kerajaan setuju sediakan 10,000 peluang pekerjaan kepada OKU, tapi hanya 50 permohonan sahaja diterima," katanya.

Beliau berkata sehingga Mei tahun ini, seramai 229,325 OKU berdaftar dengan JKM sedangkan kementerian menganggarkan terdapat antara 1.3 dan 2.6 juta OKU di negara ini.

Terdahulu, Ng merasmikan majlis Sesi Taklimat bertajuk "Development of People With Disability (Australia Experience)" yang merupakan sesi pembelajaran sepanjang hayat mengenai perkongsian pengalaman Australia dalam mengendalikan dan menguruskan OKU antara NGO dengan pihak kerajaan.

-- BERNAMA

0 ulasan:





Arkit blog