Ahad, Disember 07, 2008

Siapa pembunuh sebenar Bahasa Melayu?

Artikal dari Sinar harian.  Baca dan fahamilah.
 
Siapa pembunuh sebenar Bahasa Melayu?

"Jika kita ingin memahami orang Melayu, kita perlu tinggal di negerinya, bertutur bahasanya, menghormati agamanya, meminati apa yang diminatinya, melayan apa yang disukai dan tidak disukainya, bersimpati dengannya dan menolongnya dalam kesusahan, sama-sama merasai keseronokan dan mungkin juga menanggung kerugiannya. Hanya dengan kepercayaannya inilah kita dapat memahami jiwanya dan pengetahuan seperti ini hanya boleh didapati oleh orang yang diberikan peluang tersebut dan menggunakannya dengan sebaik-baiknya."

Ungkapan ayat di atas bukanlah lahir daripada cendekiawan Melayu, tetapi daripada seorang lelaki asing, Sir Frank A Swettenham, Residen-Jeneral British pertama bagi Persekutuan Tanah Melayu, dipetik dari bukunya, 'Malay Sketches'. Tulisan Swettenham itu bukan sahaja patut dibaca pemimpin-pemimpin bukan Melayu tetapi patut juga dikaji oleh pemimpin-pemimpin Melayu sendiri. Kita boleh menempelak kerajaan Pulau Pinang yang dipimpin DAP kerana dangkal mentafsirkan status Bahasa Melayu sebagai bahasa rakyat, tetapi secara tidak sedar bahasa kebangsaan ini telah lama dihumban dan dibunuh oleh golongan-golongan elit yang mengaku pejuang bangsa dan negara.

Menurut satu teori sejarah yang kuat, bahasa Melayu dikatakan berpunca daripada bahasa Austronesia, yakni asal usul bangsa Melayu yang berasal dari daerah Yunnan (bermaksud awan selatan) di China. Kemudiannya, bangsa Melayu yang datang dari Yunnan ini digelar sebagai Melayu Proto setelah berhijrah ke Asia Tenggara ketika zaman batu sehingga terbentuknya masyarakat Melayu Asli di Semenanjung Malaysia, dayak di Sarawak, Batak dan Komering di Sumatera. Kata nama Austronesia itu sendiri membawa maksud 'Kepulauan Selatan', diterjemahkan daripada Bahasa Latin, 'australis' yang bermaksud 'selatan' dan bahasa Yunani, 'nesos' yang bermaksud 'pulau'. Bahasa bangsa Austronesia itu dikatakan tersebar luas ke merata dunia, dari Taiwan dan Hawaii di hujung utara sehinggalah ke Selandia Baru (Aotearoa) di hujung selatan dan dari Madagaskar di hujung barat sehinggalah ke Pulau Paskah (Rapanui) di hujung timur.

Menurut tokoh bahasa, Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, bahasa Austronesia ialah satu rumpun bahasa dalam kategori atau filum bahasa Austris yang diletakkan bersama dengan rumpun bahasa Austroasia dan Tibet-China. Bahasa Melayu termasuk di dalam bahasa-bahasa golongan Sumatera bersama dengan bahasa-bahasa Acheh, Batak, Minangkabau, Nias, Lampung dan Orang Laut.

Ahli bahasa kemudiannya membahagikan perkembangan Bahasa Melayu kepada tiga tahap utama iaitu Bahasa Melayu kuno, Bahasa Melayu klasik dan Bahasa Melayu moden. Kegemilangan Bahasa Melayu mula terserlah bermula abad ke-7 sehingga abad ke-13 pada zaman kerajaan Hindu-Buddha, Srivijaya yang berpusat di Palembang, Sumatera sehinggalah ia menjadi bahasa perantara atau lingua franca di gugusan Kepulauan Melayu di Asia Tenggara. Di sini, jelas menunjukkan bahawa Bahasa Melayu bukanlah hak orang Melayu atau Bumiputera semata-mata, tetapi ia merupakan hak bersama semua penghuni tanpa mengira etnik di rantau sebelah sini.

Justeru itu, status Bahasa Melayu di Malaysia sepatutnya dipertahankan dan diangkat oleh semua bangsa yang mengaku dirinya warganegara Malaysia kerana citra bangsa dan nilai ketamadunan tanah airnya.

Keunikan dan gagahnya bangsa Malaysia ini dinilai kepada penghormatan warganya terhadap bahasa tanah tumpah darahnya sendiri. Hujah pihak-pihak tertentu yang cuba mempertikaikan hak Bahasa Melayu dengan alasan ia milik bangsa Melayu sahaja dan cuba menenggelamkan hak bahasa etnik lain adalah tidak dapat diterima sama sekali.

Perlu diingatkan bahawa kewujudan Bahasa Melayu bukanlah kerana mempertahankan hak bangsa Melayu sahaja tetapi kerana faktor sejarah demografi Malaysia itu sendiri di rantau Asia Tenggara ini.

Segala sentimen sempit mendakwa pihak 'itu' mahu mendominasi pihak 'ini' langsung tidak wujud, manakala pemikiran cetek mengatakan ketidakupayaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu serta penyatuan bangsa adalah pendapat individu yang tidak sedar di mana tempatnya berdiri.

Realitinya, ketika Bahasa Melayu diinjak dan dihumban, ia cuma dibela oleh pejuang-pejuang bahasa kebangsaan, melaung-laung apa yang termaktub dalam perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, 'bahasa kebangsaan (Malaysia) ialah bahasa Melayu' yang terdiri di kalangan bangsa Melayu semata-mata. Namun, pembelaan itu pun turut mengundang kesangsian. Apakah mereka pejuang bahasa yang tulen atau sekadar pejuang bermusim?

Ketika Bahasa Melayu dikeji oleh kumpulan berfahaman dangkal, ia pantas dijulang di perhimpunan-perhimpunan. Namun selepas acaranya tamat, ia pantas pula dibuang oleh mereka yang mengaku dirinya pejuang. Menyedihkan, selepas 51 tahun mengecap kemerdekaan kita masih lagi dikastakan dengan bahasa bangsa masing-masing. Melayu dengan bahasa Melayunya, bangsa Cina dengan Mandarinnya dan bangsa India dengan Tamilnya. Toleransi bahasa tidak pernah wujud sedangkan kita tidak pernah menyedari bahawa Bahasa Melayu itu sendiri terbina daripada ribuan istilah pinjaman dan terbitan daripada bahasa Cina, Arab, Portugis, Jepun, India dan Inggeris.

Bagi sesetengah pihak, Bahasa Melayu semakin tidak relevan. Tetapi sekiranya diteliti, Bahasa Melayu sebenarnya sentiasa berkembang mengikut rentak ragam dan resam penuturnya. Walaupun timbul kata nama atau ungkapan yang barangkali kedengaran kasar dan agak lucah, tetapi ia boleh sahaja wujud tiba-tiba dan terbina tanpa disedari. Ia tidak perlu dikekang selagi penuturnya tahu menggunakan Bahasa Melayu itu bersesuaian pada tempatnya. Penutur mana-mana bahasa pun pastinya arif menggunakan bahasa masing-masing dan mereka pastinya dapat membezakan penggunaan bahasa ketika berbual dengan ibu bapa dan rakan-rakan serta ketika di kedai kopi dan juga di dewan Parlimen.

Bahasa Melayu sepatutnya dibiarkan anjal, tidak disekat dan diletakkan ke dalam acuan tertentu. Bahasa Melayu bukannya milik DBP atau kerajaan pemerintah, tetapi milik semua rakyat Malaysia. Semasa kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka dahulu, Bahasa Melayu berkembang kerana kekuatan dan keyakinan penutur-penuturnya bereksperimen dan berpencak dalam memperkayakan perbendaharaan bahasa itu sendiri. Ketika itu Bahasa Melayu seakan air, ia mengalir laju tanpa disekat. Bahasa Melayu dipertuturkan dengan penuh yakin, mesra dan tanpa prasangka oleh semua bangsa. Tiada pula sejarah ada menulis bahawa Melaka mengeluarkan Perlembagaan 152 mengatakan bahasa kebangsaan adalah Bahasa Melayu. Bahasa Melayu menjadi milik semua bangsa dan ia menjadi faktor utama penyatuan etnik dan bangsa di rantau ini sehingga berjaya merobah landskap ekonomi, institusi keilmuan dan kepelbagaian ideologi setiap warganya.

Kita tidak perlu pergi sejauh Perancis, Jerman atau pun Jepun untuk membandingkan status bahasa kebangsaan kita. Cukuplah sekadar menjenguk ke negara jiran serantau seperti Indonesia, Thailand dan Filipina. Bahasa Melayu kita di mana? Bahasa ibunda sendiri dikatakan tidak mampu menyerap istilah-istilah sains dan teknologi. Sudahnya, ia dinisankan di tanah airnya sendiri. Apakah pemimpin-pemimpin negara tidak sedar bahawa bahasa merupakan medium utama mengeratkan integrasi kaum? Bahasa Inggeris di Amerika Syarikat dan Britain telah mengangkat kaum kulit hitam di negara itu berbeza daripada kaum Afrika di negara lain. Sementara itu, di Thailand dan Filipina malahan Indonesia, biarpun struktur sosial, ekonomi dan politiknya berkecamuk, tetapi rakyatnya sudah meninggalkan rakyat Malaysia jauh ke belakang dalam hal mengapresiasi bahasa kebangsaan di bumi sendiri. Sebaliknya di Malaysia, isu bahasanya tidak pernah bernoktah. Bahasa Melayu di tanah airnya sendiri bagaikan pendekar tua yang ditujah keris, tombak dan parang oleh warganya dan dibiarkan mati perlahan-lahan.

Oleh :: Mohd Azhan Othman
Sekian terima kasih.
Dari Tai Khai Eong.
Mailling List :  http://groups.google.c om.my/group/komuniti_oku
Blog :  http://www.sedinginsalju.blogs pot.com/
Skype : teddybear510
Windows Live Messenger : toyol_cyber007@hotmail.com
Y ahoo Messenger : puteri_kencana_dewi1@yahoo.c om.my

0 ulasan:





Arkit blog