Rabu, Februari 04, 2009

KL Sentral sedia laluan khas OKU

utusan malaysia online 4 feb.


KL Sentral sedia laluan khas OKU
KUALA LUMPUR 3 Feb. - Pengurusan KL Sentral akan menyediakan laluan pejalan
kaki khas 'tactile' untuk kemudahan orang kurang upaya (OKU) terutamanya
yang cacat penglihatan menggunakan laluan pejalan kaki baru dari bangunan
itu ke Jalan Tun Sambanthan.

Pengarah Projek KL Sentral, Nooraini Mohamad Rashidi berkata, ini kerana
pihaknya sentiasa mengambil kira pendapat dan kebimbangan semua pihak yang
bakal menggunakan laluan pejalan kaki yang baru itu.

Menurutnya, sebelum laluan tersebut dibuka kepada orang ramai, pihaknya
telah mengadakan sesi perbincangan dan taklimat dengan semua komuniti di
Brickfields dan pengendali pengangkutan awam di Sentral KL.

"Perbincangan itu juga melibatkan pihak berkuasa tempatan dan pihak media
pada 8 dan 9 Januari yang lalu bagi mencari jalan terbaik untuk semua
pihak," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kebimbangan pengguna dari golongan OKU yang merasakan mereka
akan menghadapi kesukaran untuk menggunakan jalan pejalan kaki baru dari KL
Sentral ke Jalan Tun Sambanthan seperti yang disiarkan Utusan Malaysia
baru-baru ini.

Dalam laporan itu, golongan itu memberitahu, selain sempit, laluan tersebut
juga tidak rata, lebih jauh dan menuruni bukit yang boleh membahayakan
mereka.

Menurut Nooraini, sesi taklimat dengan wakil-wakil Persatuan Bagi Orang Buta
Malaysia dan Majlis Kebangsaan Bagi Orang Buta Malaysia juga telah diadakan.

"Dalam perbincangan itu, pihak KL Sentral telah mengambil kira pendapat dan
kebimbangan mereka tentang perkara tersebut," jelasnya.

Beliau berkata, selain pemasangan laluan khas tactile itu, beberapa aspek
keselamatan lain juga akan dipertingkatkan di laluan pejalan kaki yang baru
itu.

"Antaranya dengan menambah kawalan keselamatan di kawasan sekeliling laluan
berkenaan dan sebuah kaunter informasi polis turut disediakan," katanya.

Selain itu, katanya, lampu jalan akan turut ditambah di kawasan tersebut.

Kata Nooraini, laluan pejalan kaki itu juga berbumbung dan pemegang juga
akan dipasang di sepanjang laluan tersebut," tambahnya.

Katanya, sebarang pertanyaan atau aduan mengenai laluan itu boleh diajukan
di talian 03-2279 8699 .

Laluan pejalan kaki sedia ada di KL Sentral terpaksa diubah sedikit
berikutan pelaksanaan projek Lot G.

Tapak itu sebelum ini merupakan tempat letak kereta dan juga laluan pejalan
kaki ke Jalan Tun Sambanthan.

Projek pembinaan bangunan pejabat dan hotel itu juga menyaksikan beberapa
laluan bas RapidKL diubah dari KL Sentral ke Jalan Tun Sambanthan.

4 ulasan:

amirul berkata...

Encik? Kita harapkan mereka laksanakan apa yang mereka war2kan... jgn hanya omong kosong saja... buat dulu...

saya berkata...

Teruskan perjuangan memartabatkan OKU di Malaysia.

Tai berkata...

Ya, kita harap gitu.

Tai berkata...

Terima kasih banyak-banyak.





Arkit blog