Khamis, Oktober 30, 2008

malaysia, melayu.

Salam sejahtera.

 

Tentu ada yang beranggapan tajuk di atas seolah-olah melambangkan perkauman.  Tetapi pada pendapat penulis, ianya bukan perkauman.  Tetapi, ia adalah realiti.  Realitinya ialah malaysia, melayu.  malaysia, bahasa kebangsaannya melayu dan bukan bahasa lain.  Ini yang harus dipegang oleh segenap rakyat Malaysia.

 

Tetapi malangnya, ada pihak-pihak yang cuba nak memperkotak-katikkan bahasa kebangsaan yang dicintai ini dengan mengwujudkan papan tanda yang pelbagai bahasa.  Pihak yang buta sejarah ini telah memberikan alasan yang langsung tidak masuk akal.

 

Dan yang paling mengecewakan penulis ialah hak menetapkan penggunaan bahasa ini adalah dalam bidang kuasa kerajaan negeri.  Apa semua ini?  Adakah kerajaan tidak mampu untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan negara Malaysia yang dicintai ini?  Inikah sikap kerajaan?  yang tidak tegas terhadap penghinaan bahasa kebangsaan negara Malaysia?

 

Di sini, penulis ingin mencadangkan supaya soal penggunaan bahasa ini diserahkan kepada Yang Dipertuan Agung dan Raja-raja melayu.  Biarlah mereka yang mendaulatkan bahasa kebangsaan negara ini jika kerajaan rasa sudah tidak mampu untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan negara ini.

 

Cuba kita ke Thailand, Indonesia, Rusia, Perancis dan negara-negara lain.  Adakah mereka memperlekehkan bahasa kebangsaan mereka?  Sudah tentu tidak.  malah, mereka amat menyanjungi dan menghormati bahasa kebangsaan mereka.  Tidak seperti negara kita di mana ada pihak yang dengan sewenang-wenangnya memperlekehkan bahasa kebangsaan negara kita dan kerajaan pula, tidak terdaya berbuat apa-apa untuk menghentikannya.  Apakah maknanya semua ini?  Adakah kerajaan penakut?  penakut sehingga membiarkan bahasa kebangsaan diperlekehkan oleh pihak-pihak yang buta sejarah?

Selasa, Oktober 28, 2008

Pelihara martabat bahasa kebangsaan

Pelihara martabat bahasa kebangsaan

HAKIKAT bahawa kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah termaktub dalam Perlembagaan memang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak sekali pun.

Sebagai bahasa kebangsaan, penggunaan bahasa Malaysia amat dimartabatkan bukan sekadar di peringkat persekolahan malah diusahakan sehingga ke peringkat korporat dan perundangan.

Namun di sebalik usaha bersungguh-sungguh di pihak kerajaan untuk meletakkan bahasa Melayu di tempat yang sepatutnya, ada sahaja cubaan untuk menyanggah, kononnya bahasa lain perlu untuk memberi kefahaman kepada penduduk majoriti di sesuatu kawasan.

Hakikatnya alasan seumpama itu amat menyedihkan dan memalukan. Selepas 51 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan ada lagi kalangan rakyat negara ini yang tidak mahir berbahasa kebangsaan sehingga ke peringkat tidak tahu membaca nama jalan.

Di mana silapnya dasar kita sehingga masih ada kepercayaan sedemikian rupa atau pun terlalu rendahkah nilai bahasa Melayu untuk muncul sebagai bahasa kebangsaan di negara yang majoriti penduduknya berbangsa Melayu?

Apabila bercakap tentang perjuangan hak asasi manusia kita amat berkiblatkan negara-negara maju. Begitu juga apabila melahirkan kekaguman terhadap penguasaan ilmu, kita begitu terpegun dengan negara seperti Jepun. Malangnya apabila bercakap mengenai bahasa, kita lupa bumi yang dipijak serta langit yang dijunjung.

Sebaliknya kita mengutamakan kepentingan serta agenda yang tidak diketahui apa matlamat sebenarnya. Seolah-olah ada kalangan rakyat Malaysia yang keliru akan jati diri serta perkara-perkara yang perlu diberi keutamaan selaras dengan semangat yang telah dipersetujui sejak 51 tahun lalu.

Kekeliruan itu semakin terserlah jika dilihat daripada tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan permohonan Majlis Perbandaran negeri itu untuk memasang tanda nama jalan dalam tulisan jawi, Tamil dan Cina bagi tujuan warisan di jalan-jalan tertentu di Georgetown.

Biar pun Perlembagaan tidak menetapkan hukuman kepada mana-mana pihak yang gagal menjunjung semangat yang terkandung dalamnya, namun tindakan seumpama itu jelas menunjukkan bahawa rasa tidak hormat terhadap kitab utama negara kita.

Adakah setiap peruntukan yang digubal mesti ada klausa hukuman baru pihak-pihak yang berkenaan ingin menunjukkan kepatuhan?

Mengapa kita tidak menoleh kepada Perancis untuk dijadikan contoh terbaik bagaimana satu bahasa mampu menyatukan berpuluh bangsa. Mengapa kejayaan Perancis meneruskan kehebatan tamadunnya menggunakan bahasa kebangsaan yang tidak dirojak dengan bahasa-bahasa lain penduduk di situ langsung tidak dicemburui oleh rakyat pelbagai kaum di negara kita.

Kita tidak tahu bila masyarakat majmuk di Malaysia akan membuka mata, yang pasti tugas memartabatkan bahasa Melayu adalah tanggungjawab semua dan bahasa kebangsaan bukan sekadar perhiasan Perlembagaan.

 

Sedingin Salju berkata:  Suatu tindakan yang tegas harus diambil untuk membantras semua ini.

Jangan pertikai status bahasa Melayu

Jangan pertikai status bahasa Melayu

JIKA sebelum ini status orang Melayu dipertikai dan dikatakan sebagai kaum pendatang, kini bahasa Melayu pula dicabar apabila cuba diganding dan disamaratakan martabatnya dengan bahasa lain di negara ini dengan alasan yang cukup tidak munasabah. Isu yang sensitif sebegini tidak sepatutnya dibangkitkan di kala kita sedang menuju sebuah negara maju dan moden tidak lama lagi.

Keadaan ini secara signifikannya sangat tidak menghormati bahasa kebanggaan rakyat Malaysia dan mencemar semangat Perlembagaan negara kita.

Walaupun setelah bahasa Melayu ditukar menjadi bahasa Malaysia yang menyebabkan ramai yang terasa hati dan sedih, namun ditelan jua dengan harapan semua bangsa di negara ini dapat menerima bahasa keramat ini seadanya dan menjadikannya bahasa unggul di dalam segala urusan.

Sebaliknya, masih ada yang masih berdegil dan cuba menjadi popular dengan membenarkan pemasangan papan tanda nama jalan dalam pelbagai bahasa di kawasan tapak warisan dalam tulisan Jawi, Tamil dan Cina.

Persoalannya ialah perlukan perkara sedemikian dilakukan di kala bahasa Melayu adalah bahasa utama negara.

Keadaan ini seolah-olah menunjukkan bahawa bahasa Melayu masih tidak mendapat tempat di hati kalangan bukan Melayu dan tidak diterima sebagai bahasa kebangsaan walaupun pada hakikatnya bahasa Melayu adalah lambang perpaduan rakyat sejak sebelum merdeka lagi dan simbolik kepada pembentukan bangsa Malaysia pada masa hadapan.

Jika masing-masing kaum cuba menonjolkan keagungan bahasa mereka dan menjadi juara politik murahan serta membelakangkan bahasa Melayu dalam urusan seharian pentadbiran, ini hanya akan merugi dan menggagalkan wawasan kewujudan bangsa Malaysia yang berbilang kaum.

Perlembagaan Persekutuan 1957 dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 jelas memperuntukkan kedudukan sebenar, realiti dan status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi di negara ini. Untuk itu, bahasa Melayu hendaklah diletakkan di landasan yang betul dalam semua urusan rasmi serta tidak rasmi rakyat dan negara.

Bahasa Melayu juga mestilah menjadi teras kepada sistem pemerintahan, pendidikan, ekonomi, politik dan sebagainya. Namun begitu, ini tidaklah bermakna bahasa ibunda kaum lain dinafikan penggunaannya, malahan perlu digalakkan mengikut lunas dan ruang lingkup yang dibenarkan.

Oleh itu, sebagai warganegara Malaysia yang taat setia, maka semua pihak perlu akur dengan peruntukan yang ada tanpa banyak muslihat atau cuba merendah-rendahkan standard bahasa Melayu di negara sendiri.

Baru-baru ini beberapa badan, tokoh dan pejuang bahasa mengutuk langkah songsang sebuah kerajaan negeri meluluskan pemasangan tanda jalan dalam bahasa lain dan merayu semua pihak menolak sebarang usaha untuk cuba menyamaratakan bahasa kebangsaan dengan bahasa lain.

Bahasa Melayu mestilah menjadi bahasa unggul dan tunggal, bukannya bahasa tunggul yang boleh dipermain serta diperbodohkan begitu sahaja.

Sehubungan itu, kerajaan dan pihak terlibat diharapkan bertindak segera membetulkan keadaan dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas mana-mana pihak yang cuba melanggar semangat perlembagaan dan tidak mendaulatkan bahasa kebangsaan sewajarnya.

Adalah dibimbangi perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini akan membangkitkan kemarahan serta mencetus sesuatu yang boleh menimbulkan kontroversi, provokasi dan pertikaian umum di negara kita apabila peruntukan undang-undang sedia ada tidak lagi dihormati memandangkan perbuatan ini umpama kegiatan subversif yang cuba melemahkan kerajaan, perpaduan kaum dan sistem perundangan.

Dalam masa yang sama, semua kaum di negara ini perlu memahami bahawa usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan bukan milik mutlak orang Melayu.

Adalah menjadi tanggungjawab dan tugas semua rakyat Malaysia menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa terhebat dalam segala lapangan dan disiplin kehidupan di samping dihormati masyarakat dunia sampai bila-bila.

Oleh demikian, rakyat Malaysia mesti berbangga dengan standard dan status bahasa kebangsaan dan menolak sebarang usaha mengecil serta meremehkan peranan, peluang dan dimensi bahasa keempat paling ramai dituturkan di dunia ini.

- Mohamad Sofee Razak
Tasek Gelugor, Pulau Pinang

 

Sedingin Salju berkata:  Inilah akibatnya kalau dah buta sejarah.

Bersatulah demi islam

    Artikal dari utusan.
 

Bersatulah demi islam


Zukifli Noordin, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru.


"Dalam bercakap soal Islam tiada siapapun dalam parti saya boleh melarang kerana ia adalah hak saya,'' itulah jawapan yang diberikan oleh Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru dari Parti Keadilan Rakyat, Zukifli Noordin kepada penulis apabila ditanya tidakkah beliau bimbang untuk diwawancara oleh Mingguan Malaysia - akhbar yang diboikot oleh Pakatan Rakyat.

Sememangnya dalam mempertahankan Islam, Zulkifli dilihat salah seorang pemimpin yang paling lantang. Tanpa mempedulikan akibat daripada kelantangannya, Zulkifli pernah dihadap ke jawatankuasa disiplin PKR kerana membantah majlis forum 'Memeluk Islam' anjuran Majlis Peguam.

Bagi Zulkifli memperjuang dan mempertahankan Islam adalah agenda utama hidupnya, soal karier politik ''itu saya serah kepada Allah menentukannya.' Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR di pejabatnya di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, Zulkifli secara terbuka bercakap soal betapa pentingnya umat Islam bersatu tanpa mengira fahaman politik.

Beliau membangkitkan bagaimana kaum-kaum lain boleh bersatu apabila terdapat isu yang berkaitan dengan kepentingan mereka. Justeru kata beliau adalah sesuatu yang menghairankan apabila ahli-ahli politik Islam yang mempunyai akidah yang sama tidak mampu bersatu.

Malah apa yang mengecewakan beliau kelantangannya menegakkan perjuangan Islam turut ditegur oleh Ahli Parlimen Pas yang pada pandangan beliau seharusnya memberi sokongan. Justeru dalam menyatukan umat Islam, Zulkifli berpendapat berikutan sikap taksub kepartian yang masih lagi melumuri sesetengah pemimpin politik beliau mencadangkan Raja-Raja Melayu memainkan peranan pro aktif dalam soal itu. ''Sudah tiba masanya kita bersatu demi Islam,'' kata beliau.

MINGGUAN: YB telah membangkitkan soal kenyataan khas Raja-Raja Melayu dalam Parlimen, apa tujuan sebenarnya?

ZULKIFLI: Kenyataan khas Raja-Raja Melayu itu ingin memperingatkan semua pihak bahawa perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan tidak perlu dipersoal atau dipertikaikan. Saya kupas dalam konteks bahawa Islam ini bukan sahaja dari segi syarak dikatakan tinggi tetapi Perlembagaan negara sendiri meletakkan Islam itu tinggi. Pertama, ia berdasarkan kepada beberapa peruntukan contohnya Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan yang tidak ada di mana-mana negara pun. Artikel itu mencatatkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan. Kedua, dilindungi orang Islam dalam konteks Artikel 11 (4). Walaupun kebebasan beragama dibenarkan tetapi dari segi umat Islam ia tidak boleh diganggu.

Malah negeri-negeri juga dibolehkan menggubal sebarang akta dan undang-undang menyekat perkembangan agama lain kepada orang Islam. Ketiga, di bawah Artikel 12 kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri hendaklah membantu institusi-institusi pendidikan Islam. Lagi satu contoh ialah Perlembagaan menetapkan penubuhan sebuah mahkamah khusus untuk orang Islam bagi melaksanakan undang-undang Islam.

Ini semua adalah antara peruntukan yang ada dalam Perlembagaan yang memberi gambaran jelas bahawa Islam diletakkan di tempat yang tinggi. Keistimewaan ini juga boleh kita lihat apabila di bawah Artikel 150 menegaskan bahawa Yang di-pertuan Agong apabila mengisytiharkan darurat boleh bersama dengan Parlimen menggantung atau membatalkan undang-undang atau membuat apa sahaja perkara yang perlu untuk darurat itu tetapi di bawah Artikel 150 (6A) menyatakan biarpun mempunyai kuasa yang begitu luas satu perkara tidak boleh disentuh ialah undang-undang Islam. Jadi dalam konteks itu sahaja sudah nampak bahawa Perlembagaan Persekutuan sendiri meletakkan Islam di tempat istimewa yang tidak ada pada agama lain malah dalam Perlembagaan tidak sebut pun agama lain.

Keadaan itu berlaku, pertama kerana ia berdasarkan kepada asal usul sejarah negara ini dan kedua, Islam itu menjadi tonggak kestabilan politik negara ini. Sebab itu Islam tidak boleh diganggu-gugat dan sekaligus ia bermakna perkara yang ada kaitan dengan Islam tidak boleh disentuh contohnya Raja- Raja Melayu. Ini kerana mereka adalah pelindung kepada agama Islam, kedua takrif orang Melayu dalam Artikel 160 Perlembagaan Persekutuan selain berbudaya dan berbahasa Melayu, dia mesti beragama Islam.

Oleh itu kaitan antara Melayu dengan agamanya itu rapat. Sehingga ada kata-kata bahawa Islam itu Melayu, Melayu itu Islam. Kalau dilihat secara menyeluruh dalam Perlembagaan keistimewaan dan ketinggian agama Islam itu memang ditetapkan.

Jadi disebabkan itu Islam sebenarnya tonggak kestabilan politik dalam negara dan tonggak keharmonian rakyat negara ini. Justeru apa juga perkara berkaitan Islam tidak boleh 'main-main'.

Tetapi sejak kebelakangan ini soal Islam itu sering diganggu-gugat. apakah ini mungkin berpunca daripada perpecahan yang berlaku di kalangan orang Melayu?

ZULKIFLI: Ia terjadi kerana kemungkinan ada pihak sedar bahawa di situ terletaknya tonggak kekuatan negara. Jadi apabila Islam dilemahkan atau diganggu-gugat akan berlaku ketidakstabilan politik. Apa yang berlaku sekarang ialah wujud persepsi bahawa orang Melayu itu tidak bersatu. Sebab itulah Raja- Raja Melayu bertitah dalam konteks ini bahawa orang Melayu perlu bersatu dari segala segi walaupun berbeza fahaman politik dan lain-lain.

Sebab itu kalau kita tengok dalam konteks politik sebenarnya kalau orang Islam bersatu dari segi mempertahankan Islam bukannya siasah (politik) seperti bergabung dan sebagainya Islam akan menjadi kuasa politik yang kuat. Contohnya, dalam Parlimen terdapat 132 ahli Parlimen beragama Islam. Mungkin kita tidak boleh bersatu dari segi kepartian tetapi kenapa kita tidak boleh bersatu dari segi mempertahankan Islam? Seharusnya walaupun kita berdiri atas platform parti politik masing-masing kita perlu bersatu apabila timbul isu berkaitan Islam.

Cuba bayangkan apa akan berlaku kalau semua ahli Parlimen Islam bersatu suara dalam hal ehwal Islam, sudah pasti ia akan menjadi kuasa yang cukup kuat malah hampir-hampir dua pertiga.

Lihat kaum lain mereka akan bersatu kalau timbul isu berkaitan dengan kaum mereka. Contohnya, isu penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mereka bersatu suara walaupun daripada parti politik yang berbeza. Kenapa dalam Parlimen mereka boleh bersatu maksud saya dalam memperjuangkan sesuatu isu. Ini yang seharusnya dilakukan oleh orang Islam. Mereka perlu bersatu dalam isu walaupun tidak boleh bersatu dari segi politik.

Tidakkah saudara khuatir implikasi perjuangan saudara memartabatkan Islam kelihatan tidak senada dengan Pakatan Rakyat?

ZULKIFLI: Sebagaimana yang telah saya tekankan banyak kali, saya utamakan Islam dalam apa juga perjuangan. Saya akui saya bukanlah Muslim yang terbaik, tetapi saya akan berikan yang terbaik untuk Islam. Bagi saya, Islam mesti didahulukan dalam apa jua perkara. Kalau ditakdirkan perjuangan memartabatkan Islam ini bercanggah dengan perjuangan Pakatan Rakyat atau mana-mana parti sekalipun, saya tetap akan utamakan Islam. Seperti yang pernah saya sebut, I am a Muslim first, party member second; I am a Muslim first, a lawyer second. I am a Muslim first an MP second. I am a Muslim first, everything else is second.

Walaupun YB bercakap tentang Islam tetapi Ahli Parlimen Shah Alam dari Pas, Khalid Samad menganggap nada YB seperti suara UMNO?

ZULKIFLI: Inilah contoh bagaimana orang Islam tidak boleh bersatu dari segi isu bukannya politik. Apatah lagi kalau penentangan itu datangnya daripada Ahli Parlimen Pas. Dia bercakap seolah-olah dia bukan orang Pas. Ini yang menjadi masalahnya. Apa yang saya bahaskan dalam Parlimen adalah menyentuh soal Islam dan sama sekali tidak berkaitan dengan politik. Sepatutnya dia menyokong saya tetapi disebabkan tebalnya fahaman kepartian dia mengambil sikap menolak hanya kerana bunyi ucapan saya boleh menyokong UMNO sedangkan apa yang saya ucapkan boleh membantu Islam. Saya sempat bertanya dengan beliau dari segi apakah ucapan saya salah. Dia jawab isu berkaitan Islam dan orang Melayu itu dimainkan oleh UMNO. Kalau macam itu tidak bolehlah. Dia sepatutnya menyokong saya. Ertinya, kita ini mengamalkan sikap ikut kepartian bukan isu.

Bagaimana kita hendak selesaikan masalah ini kerana UMNO perlu menjaga hati rakan-rakan dalam BN manakala PKR dan Pas pula menjaga hati DAP bila hendak bercakap soal Islam?

ZULKIFLI: Di sini saya rasa perlu ada satu pihak yang memainkan peranan untuk memanggil kesemua pemimpin politik beragama Islam duduk semeja berbincang. Kita jangan cakap dari segi Melayu tetapi cakap dari segi Islam. Ini kerana kalau kita bercakap dari segi Melayu pasti ada yang akan menentang. Saya berpendapat pihak yang paling efektif untuk memainkan peranan berkenaan ialah Raja- Raja Melayu, mungkin Yang di-Pertuan Agong sendiri. Mungkin mula dengan persamaan bahawa kita satu tuhan, satu nabi dan satu kitab. Kalau UMNO panggil Pas tidak akan pergi begitulah sebaliknya. Tetapi kalau Tuanku panggil mereka pasti akan menyambutnya.

Bukankah sebelum ini sudah ada pakatan antara UMNO dan Pas dalam soal itu?

ZULKIFLI: Tetapi ia gagal kerana pendekatan yang digunakan ialah pendekatan parti. Ia tidak akan berjaya. Apa yang harus dilakukan ialah menggunakan pendekatan isu seperti mana dibuat oleh bangsa lain. Mereka menggunakan pendekatan isu. Sebab itulah kalau kita lihat biarpun MIC dan PKR mempunyai fahaman politik yang berbeza tetapi dalam isu Hindraf mereka bersatu. Begitu juga dalam isu Teresa Kok kenapa MCA dan DAP boleh satu suara. Jadi yang hairannya kenapa kita orang Islam tidak boleh berbuat demikian?

Pemimpin-pemimpin politik Islam bukannya tidak memahami bahaya yang menanti, selain Raja- Raja Melayu tidakkah ada mekanisme lain untuk menyatukan mereka?

ZULKIFLI: Mereka perlu duduk berbincang. Sebab itulah pentingnya ada muzakarah atau muqabalah. Bagaimanapun saya tidak nampak cara itu akan berkesan. Bagi saya dalam usaha ini ia harus melibatkan pihak yang neutral. Sebab itu dalam ucapan di Parlimen saya menegaskan bahawa Raja-Raja Melayu perlu memainkan peranan yang lebih aktif.

Ini kerana saya lihat itu sahaja caranya untuk menyatukan orang Melayu dan Islam. Justeru Majlis Raja-Raja boleh memainkan peranan kerana pihak-pihak lain sudah dianggap mempunyai sikap taksub yang tebal terhadap parti.

Tidakkah tekanan demi tekanan yang berlaku ke atas orang sekarang adalah berikutan keputusan pilihan raya umum, YB bersetuju dengan pandangan ini?

ZULKIFLI: Masalahnya bukan Melayu merasakan mereka yang mencetuskan perubahan atau tsunami politik pada 8 Mac lalu. Oleh itu orang kata sekarang ini masa untuk mengutip habuan. Bagi mereka yang duduk dalam Pakatan Rakyat ia adalah masa untuk 'membayar balik'. Tetapi hakikat sebenarnya perubahan berkenaan bukan sahaja berlaku disebabkan oleh orang bukan Melayu tetapi juga orang Melayu. Kita tidak menafikan bahawa ia terjadi kerana orang Melayu melihat bahawa 'penyakit' di dalam UMNO sudah bertambah parah.

Bagi bukan Melayu atau bukan Islam sekarang, mereka berasa menjadi pencetus kepada gelombang perubahan ini, oleh itu mereka yang berada dalam Pakatan Rakyat harus patuh dengan tuntutan mereka. Sebab itu berlaku di mana Ahli Parlimen Pas yang seharusnya menyokong saya bertindak sebaliknya. Ertinya tidak boleh bercakap soal Islam atau negara Islam. Kita seolah-olah bimbang kalau main banyak sangat isu Islam kita akan kehilangan sokongan bukan Islam ertinya harus mengikut teori kononnya tsunami itu dicetuskan oleh bukan Islam.

Dalam soal ini saya menasihatkan pemimpin Islam supaya jangan kita hilang gambaran besar iaitu Islam. Buat apa hendak kita berkuasa kalau kita kehilangan agama kita.

Dalam menegakkan hak Islam ini kita juga berhadapan dengan orang Melayu yang tidak menyokong perjuangan seumpama itu?

ZULKIFLI: Apa yang menjadi kerisauan kepada kita ialah muncul kumpulan baru di kalangan generasi muda orang Melayu yang longgar kepada agama. Mereka ini mempunyai fahaman Islam liberal. Golongan ini sudah nampak mula melonjak. Satu sebabnya mereka ini terdiri daripada golongan elit dan terpelajar justeru pendedahan mereka terhadap dunia siber lebih luas berbanding orang lain. Mereka dilihat sebagai golongan yang mewakili suara Melayu baru. Ini bermakna berlaku satu lagi pecahan di kalangan orang Melayu Islam. Seperkara lagi, fahaman golongan muda berusia 20-an dan 30-an terhadap sejarah agama dan bangsa terlalu longgar kerana mereka terdedah kepada idea-idea liberal sebab itu mereka mengambil sikap sedemikian. Mereka ketepikan soal agama sebaliknya mengutamakan soal hak asasi manusia. Kalau tidak ditangani segera masalah ini khuatir bangsa kita menjadi satu bangsa berbeza-beza.

Siapa yang hendak menangani masalah ini?

ZULKIFLI: Tanggungjawab ini terletak kepada kepimpinan politik Islam sama ada UMNO atau Pas termasuklah juga Raja-Raja Melayu. Kita harus bertindak daripada sekarang dan tidak boleh menunggu lagi. Kalau kita biarkan fenomena berkenaan orang Melayu boleh terancam. Jadi tanggungjawab besar ini ada kepada kepimpinan politik Melayu-Islam. Mereka perlu mainkan peranan pro aktif bagi menghalang satu bencana kepada bangsa Melayu beragama Islam. Kita tidak mahu satu hari nanti Melayu hanya tinggal nama sahaja. Kekuatan bangsa Melayu adalah kepada agama Islam kalau tidak ada agama Islam berakhirlah mereka. Mereka akan jadi seperti bangsa-bangsa lain. Justeru bagi saya pendekatan berdakwah perlu ditingkatkan. Tetapi malangnya badan dakwah dalam kerajaan terlalu banyak sehingga peranan mereka bertindih akhirnya fungsi mereka tidak berkesan.

Dalam usaha kita untuk mengelak muncul golongan generasi baru Melayu yang longgar kepada agamanya mahu tidak mahu usaha berdakwah kepada golongan ini perlu dipertingkatkan. Secara peribadi, saya berpendapat pendekatan yang pernah digunakan oleh Al-Arqam yang mampu menarik golongan muda menyertai mereka harus dipelajari. Begitu juga pendekatan yang digunakan oleh kumpulan Tabligh.

Sepanjang penglibatan saya dalam perjuangan Islam saya tidak pernah melihat agensi dakwah kerajaan memanggil kumpulan-kumpulan Islam duduk berbincang bagaimana hendak mendekati kaum muda. Saya cukup yakin dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi yang saya lihat mempunyai pendekatan cukup berbeza. Beliau memanggil semua pihak untuk berbincang. Berikutan sikap terbuka beliau saya fikir inilah peluang terbaik untuk kita memperkembangkan dakwah kepada golongan muda.

Selain itu saya berpendapat sudah tiba masanya badan-badan dakwah kerajaan berdakwah kepada bukan Islam. Salah satu contoh terbaik ialah pembinaan masjid Cina – masjid yang pengisiannya melibatkan identiti kaum Cina.

Setakat ini tidak ada masjid yang khutbah, tazkirah atau ceramah dalam bahasa Mandarin atau al-Qurannya ada terjemahan dalam bahasa itu. Akibat daripada kekurangan tersebut ia mewujudkan persepsi bahawa kalau memeluk Islam ertinya masuk Melayu. Ini persepsi yang salah. Cuba bayangkan orang Cina, tiba- tiba dengan khutbah bahasa Mandarin.

Saya mendapat idea ini apabila seorang budak berketurunan India di Jalan Masjid India memeluk Islam selepas mendengar khutbah dalam bahasa Tamil. Justeru saya cadangkan oleh kerana kaum Cina selalu dikaitkan dengan perniagaan tapak terbaik untuk membina masjid berkenaan ialah bekas Penjara Pudu. Kita bina masjid berorientasikan Cina bermakna masjid itu juga pusat perdagangan seperti mana di Surabaya dan Palembang. Di masjid berkenaan semuanya menggunakan bahasa Mandarin.

Selain itu kompleks berkenaan mesti mempunyai kaitan dengan sikap kaum Cina yang dianggap masyarakat perdagangan dengan cara mewujudkan kedai-kedai di sekitarnya. Melalui cara ini kita akan dapat menghapuskan persepsi bahawa memeluk Islam bererti masuk Melayu.

Suara orang Islam juga dikatakan tidak begitu terserlah dalam Majlis Peguam, apa halangan untuk menubuhkan Majlis Peguam Muslim?

ZULKIFLI: Halangan utama ialah legislatif. Sudah ada contoh di United Kingdom dan Australia bahawa badan peguam seharusnya tidak dimonopoli oleh satu badan sahaja. Di sesetengah negara mereka mempunyai tujuh badan peguam, oleh itu sepatutnya ada badan peguam alternatif di Malaysia, kenapa perlu ada Majlis Peguam sahaja? Kenapa tidak diwujudkan Majlis Peguam Muslim, contohnya.

Ini bagi membolehkan peguam yang beragama Islam memilih sama ada untuk berada di bawah Majlis Peguam atau Majlis Peguam Muslim. Tetapi malangnya kita berhadapan dengan masalah kekangan tiada peruntukan undang-undang yang membenarkan sebuah lagi badan peguam ditubuhkan sedangkan kita ada Akta Profesion Guaman. Sekarang kelemahan yang ada kepada Majlis Peguam ialah mereka tidak boleh meliputi peguam lain contohnya seperti peguam syarie. Justeru apabila timbul masalah di kalangan peguam syarie apa badan yang akan mengawal mereka? Dari segi salah guna kuasa dan salah laku guaman ada juga peguam syarie yang melakukannya, itu kita tidak nafikan tetapi siapa yang akan memantau mereka. Ini peluang untuk pihak berkuasa mengambil inisiatif untuk menubuhkan sebuah badan baru Majlis Peguam Muslim yang merangkumi peguam sivil dan syarie. Ini sudah pasti akan memberi peluang kepada peguam Islam untuk duduk di bawah Majlis Peguam Muslim.

Setakat ini di kalangan peguam Islam mereka hanya menganggotai badan yang bertaraf pertubuhan seperti Persatuan Peguam Muslim, Persatuan Peguam Syarie dan Persatuan Peguam Pembela Islam.

Apakah peguam-peguam Islam tidak mampu menguasai pentadbiran Majlis Peguam?

ZULKIFLI: Masalah jumlah peguam Islam tidak cukup. Kita cuma ada sekitar 40 peratus daripada keseluruhan peguam dan lebih buruk lagi banyak peguam Islam tidak aktif. Macam pemilihan jawatan dalam Majlis Peguam kalau peguam Islam benar-benar aktif sudah pasti kita boleh menguasai majlis berkenaan. Ia berlaku kerana daripada 13,000 jumlah peguam Islam hanya 2,000 hingga 3,000 sahaja yang mengundi. Kalau semua 40 peratus peguam Islam mengundi, boleh bawa perbezaan.

Ini pun sudah menampakkan bagaimana di kalangan peguam Islam pun tidak bersatu dari segi isu.

 

Sedingin salju berkata:  Inilah contoh seorang peminpin.  Agama didahulukan walau apa jua yang berlaku.

UMNO perlu pertahan hak dalam kontrak sosial

 

UMNO perlu pertahan hak dalam kontrak sosial

Baru-baru ini Majlis Raja-Raja mengeluarkan kenyataan meminta semua pihak tidak mempertikaikan soal kontrak sosial. apa pandangan Datuk Seri?

DR. RAIS: Pandangan itu sebenarnya adalah pandangan yang telah disebut pada tahun 1958 dan juga sebaik sahaja Jawatankuasa Reid mengadakan mesyuaratnya. jadi Raja-Raja Melayu mempunyai hak-hak kedaulatan, kebesaran, kemuliaan tidak boleh disentuh. Hak-hak Melayu secara khusus keistimewaan di bawah Perkara 153 tidak harus disentuh, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Perkara 159 mesti dihormati dan dilaksanakan.

Selainnya hak agama Islam, hak beragama, hak kesamarataan dan hak-hak yang dijamin ditetapkan oleh Perlembagaan mesti dipatuhi. Ini sebaiknya tetapi undang-undang yang menjamin perkara ini mesti dilaksanakan tuntutannya. Misalnya, pencelaan yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu dalam bentuk hasutan perlu diselesaikan segera, ini sudah dua tahun kes tidak juga selesai, itu masalahnya. Ia berkaitan dengan masalah pentadbiran dan pelaksanaan. Bagi kita untuk menerima pandangan Diraja itu mudah tetapi sistem doktrinnya dalam sistem pendidikan mesti difikirkan. Saya setuju dengan pandangan Sultan Azlan Shah yang mahu sistem pendidikan itu diterima.

Ada yang bertanya kenapa secara tiba-tiba Raja-Raja bersuara, apakah situasi sudah semakin tegang?

DR. RAIS: Mereka pun melihat apa yang berlaku. Contohnya Raja Nazrin sebagai seorang intelek, baginda juga melihat dengan jelas pihak tertentu lantang menyuarakan soal kontrak sosial yang sepatutnya tidak perlu dipertikaikan. Malah ada seorang profesor hebat mengatakan kontrak sosial itu adalah suatu impian mental belaka. Tentu Raja-Raja Melayu tertanya-tanya apaka benar dakwaan itu? Sebenarnya tidak begitu. Jadi mereka membetulkan semula keadaan supaya apa yang dipersetujui menerusi Suruhanjaya Reid dihormati, perjanjian Persekutuan pada tahun 1948 kemudian Laporan Suruhanjaya Reid dipatuhi, jadi hak-hak ini sebenarnya tidak perlu disebut lagi sebaliknya kita terus mara ke depan dan semua kaum mesti menghormatinya.

Bagaimanapun jika ada hak-hak bukan Melayu yang terjejas atau kita tidak ambil berat ini perlu kita apungkan, misalnya sekarang nisbah bukan Melayu dalam Perkhidmatan Awam sepatutnya ada 10 peratus tetapi tidak ada, ini boleh kita apungkan. Selain itu kita mesti akur kepada sistem perlembagaan yang sudah disusun.

Bagaimana kita hendak memastikan status quo kontrak sosial ini kekal relevan?

DR. RAIS: Kestabilan politik mesti diwujudkan menerusi kewibawaan UMNO semula dan pemimpin-pemimpin BN perlu juga memahami apa itu kontrak sosial. Mungkin saya lihat sebahagian daripada pemimpin baru BN mereka tidak mengerti, jadi perlu diwujudkan sistem pengetahuan dan amalan kontrak sosial. Kita mesti ada penguatkuasaan undang-undang untuk menjamin supaya keharmonian ini terus wujud tidak cukup dengan Akta Hasutan sahaja. Masalah yang ada dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu masalah lain. Ada beberapa jendela hak asasi manusia yang mungkin kita harus lihat semula di bawah undang-undang tersebut. Tetapi undang-undang yang mengadunkan pelbagai ras di Malaysia mesti wujud. Semasa saya sekolah dulu saya bergaul dengan Cina, India tetapi sekarang polaritinya teruk. Anak Melayu tidak bergaul dengan anak Cina dan India. Ini bahaya besar kalau politik sahaja kita imbangi tetapi sosial di bawah tidak, kita akan menghadapi satu letupan besar nanti. Sebaik-baiknya mesti wujud pergaulan ini dari sekolah sampai membawa kepada suasana bekerja, politik dan sebagainya. Membina negara seperti Malaysia perlu diambil kira. Masih belum terlewat dan saya percaya Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan mengepalai perjuangan masa depan akan mengambil iktibar daripada keadaan ini.

Ada cadangan untuk atasi masalah ini kita hanya wujud satu sekolah sahaja?

DR. RAIS: Saya fikir kalau hendak mengungkai semula sukar kerana ia akan menimbulkan perbalahan, konflik dan sebagainya. Yang terbaik ialah mesti ada undang-undang yang mewajibkan kegiatan bersama. Sekarang ada sekolah yang dianggap sekolah elit. Itu tidak menerusi perundangan hanya menerusi pentadbiran yang perlu ialah misalnya dua kali seminggu Cina, India dan Melayu di mana sahaja bersekolah mesti mewujudkan pelbagai program. Mewujudkan program bersama ini boleh dilakukan.

Di England ada apa yang dipanggil Akta Hubungan Antara Ras. Ada disebut baru-baru ini untuk dicadang, ini harus kita fikir untuk Malaysia akan datang, kalau tidak ada kewajipan untuk mewujudkan kegiatan bersama kita tidak akan dapat memahami antara satu kaum dengan kaum yang lain.

Ada pandangan bahawa isu kontrak sosial ini sengaja dimainkan oleh UMNO?

DR. RAIS: Pelbagai pihak mempunyai pandangan sendiri. Tetapi saya tidak fikir ia soal remeh. Oleh itu UMNO mesti berada di tahap yang boleh menguasai situasi. jika tidak UMNO bukan sahaja rugi perhitungan tetapi rugi dalam pelaksanaan nanti. Justeru UMNO mesti mempunyai matlamat yang jelas dan keberanian untuk mengambil apa yang hak. Soal bahasa kebangsaan banyak mana UMNO memperjuangkan sekarang sedangkan bahasa Inggeris dipakai. Berapa orang pemimpin yang bercakap bahasa Melayu yang tidak mengadunkan dengan bahasa Inggeris. Bermakna ini adalah satu kehilangan.

Seterusnya budaya Melayu. kebudayaan kita bagaimana kita menjurus kepada pembangunan bangsa begitu juga soal agama Islam bagaimana kita menggunakannya untuk kebaikan kita. Isu-isu ini UMNO sudah jarang mempolemikkannya yang diharungi sekarang bagaimana hendak kaya dan bagaimana hendak naik ke atas dengan menggunakan duit, itu sahaja, perjuangan sudah hilang. Jadi apabila perjuangan UMNO sudah hilang maka Fasal 3 Perlembagaan UMNO sudah dilupai, apabila itu sudah berlaku jelaslah UMNO menjurus ke jurang kelemahan.

Tetapi di kalangan orang Melayu sendiri ada yang tidak begitu hendak mempertahankan hak-hak mereka?

DR. RAIS: Saya tidak fikir begitu. Kesamarataan sudah dijamin di Perkara 8 Perlembagaan tetapi dibenarkan beberapa keistimewaan jadi terserahlah kepada UMNO untuk menjuruskan perjuangan ini menurut Perlembagaannya. Tetapi seperti mana saya nyatakan apa yang hak kepada UMNO kita tidak ambil berat. Jadi kalau itu tidak dibuat apa perjuangan kita? Dalam keadaan dilema inilah saya berpendapat dengan peralihan kuasa, saya menaruh harapan iaitu Najib membawa pembaharuan dalam konteks perjuangan baru.

Kita perlu ingat bahawa UMNO perlu menyediakan barisan kepimpinan yang berkualiti dan bukannya kuantiti. Ahli-ahli UMNO harus mengutamakan kepentingan parti mengatasi segala-galanya. Saya yakin Najib mampu membawa pembaharuan bagi memastikan UMNO terus dilihat relevan bagi memperjuangkan nasib bangsa, agama dan negara

 

Sedingin salju berkata:  Semoga Malaysia terus aman.

Sejarah bukan di sekolah saja

Artikal utusan.

Sejarah bukan di sekolah saja

Cadangan menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib di peringkat sekolah rendah amat dialualukan. Sememangnya sudah tiba masanya usaha untuk menyemai kefahaman tentang sejarah tanah air dipupuk di peringkat awal lagi.

Sejarah tidak boleh diajar seperti mata pelajaran Sains dan Matematik. Matlamat subjek tersebut diperkenalkan juga tidak boleh dikaitkan dengan peperiksaan.

Malah jika cadangan memperkenalkan subjek Sejarah dihubungkaitkan dengan peperiksaan, saya percaya usaha untuk memupuk kefahaman tentang sejarah tanah air tidak akan menghasilkan kesannya.

Murid-murid akan menghafal fakta sejarah untuk lulus peperiksaan. Mereka tidak akan memahami apa sebenarnya teladan yang boleh diraih dan dipelajari daripada deretan peristiwa yang tersembunyi dalam lipatan sejarah.

Sejarah juga tidak boleh diajar menggunakan bahasa lain. Bahasa kebangsaan mesti menjadi pengantar subjek Sejarah. Oleh kerana Sejarah akan menjadi subjek wajib di semua sekolah rendah, maka mata pelajaran tersebut mesti diajar secara berkesan di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil juga.

Penguasaan bahasa kebangsaan yang baik di kalangan murid-murid sekolah jenis kebangsaan amat perlu supaya apabila subjek sejarah diajar di situ, tiada kekeliruan atau silap faham berlaku. Proses pengajaran dan pembelajaran juga akan menjadi lebih mudah serta menarik sekali gus membuang tanggapan bahawa sejarah adalah subjek yang amat membosankan.

Penilaian berasingan yang bukan berbentuk peperiksaan mesti diwujudkan yang bertindak sebagai kayu pengukur sejauh mana murid-murid mendapat manfaat daripada subjek tersebut. Biar pun tidak menjadi subjek mesti lulus, namun penilaian guru terhadap projek-projek yang mengiringi subjek Sejarah mesti dijadikan salah satu syarat untuk murid-murid melangkah ke sekolah menengah.

Prestasi cemerlang dalam subjek Sejarah juga mesti dijadikan kriteria untuk murid-murid masuk ke sekolah berasrama penuh dan juga sekolah-sekolah terpilih.

Format pengajaran juga mesti kreatif dan menawarkan unsur-unsur interaktif. Biarpun sejarah bersifat teks dan imbauan peristiwa lama, namun proses pengajaran dan pembelajarannya mesti bersifat terkini.

Murid-murid tidak boleh dihadkan kepada ilmu yang tercatat di dalam buku teks. Buku teks juga mesti menarik perhatian murid-murid untuk membaca dan memahami isi kandungannya.

Hubung kait sejarah dengan perkembangan masa kini mesti ditonjolkan. Mempelajari sejarah bukan sekadar mengimbau apa yang berlaku di masa lampau sebaliknya apa yang boleh dilakukan oleh 'sejarah' dalam konteks masa kini paling penting diketengahkan.

Jika subjek Sains boleh diajar secara praktikal untuk lebih memahami prosesnya, maka sejarah juga begitu. Jika perpaduan menjadi teras cadangan supaya subjek Sejarah diperkenalkan di sekolah rendah, maka program-program yang mampu memupuk nilai tersebut di kalangan murid-murid mesti dilaksanakan.

Salah satu program ialah mengintegrasikan murid-murid di sekolah kebangsaan dan di sekolah jenis kebangsaan untuk menjayakan sesuatu program. Langkah seumpama itu penting kerana murid-murid yang membesar dalam kelompok masing-masing dan memahami sejarah dari sudut pandangan mereka sahaja akan mempunyai persepsi yang sempit dan terhad.

Apatah lagi jika sejarah menampilkan perihal buruk tentang sesuatu kaum, maka kegagalan untuk memahami maksud sebenar di sebalik paparan itu akan melebarkan jurang antara kaum-kaum di negara ini.

Justeru peranan guru untuk menjadikan subjek Sejarah relevan dan benar-benar dapat dimanfaatkan oleh murid-murid pelbagai kaum di Malaysia amat diperlukan.

Guru-guru tidak boleh terikat dengan kurikulum, sebaliknya mereka mesti kreatif dan menggunakan pendekatan berkesan untuk memastikan Sejarah menjadi subjek yang dapat memupuk semangat perpaduan di peringkat awal.

Seperti mana mata pelajaran sains dan matematik yang diajar menggunakan bahawa Inggeris menjadi tidak berkesan kerana kegagalan guru-gurunya menguasai bahasa tersebut, begitu juga dengan subjek Sejarah.

Mencintai

Tenaga pengajar mesti mencintai sejarah serta tahu nilai-nilai yang mesti dipupuk di kalangan murid supaya matlamat serta niat murni kerajaan tidak tersasar.

Subjek Sejarah tidak boleh diajar sambil lewa kerana nilai yang diketengahkan amat penting untuk membetulkan kesilapan kita selama ini yang mengabaikan sejarah di peringkat awal persekolahan.

Apabila sampai ke peringkat sekolah menengah, mata pelajaran Sejarah diajar dan dipelajari kerana agregat serta untuk lulus peperiksaan semata-mata.

Buku teks yang membosankan, dengan teknik persembahan kurang menarik tidak dinafikan menjadi punca mengapa mata pelajaran Sejarah tidak diminati.

Nilai serta pengajaran yang terkandung dalam mata pelajaran Sejarah juga gagal dihayati mengakibatkan terbentuknya satu generasi yang lupa diri dan tidak mempunyai jati diri.

Dan generasi itu yang memenuhi separuh daripada muka bumi Malaysia, sehingga mereka secara mudah terpengaruh dengan dakwaan serta tuntutan yang hakikatnya bertentangan dengan sejarah.

Seperkara lagi ialah peranan guru serta ibu bapa menanamkan rasa minat murid-murid melawat tempat-tempat bersejarah dan muzium yang berselerakan di merata negeri.

Anehnya di negara kita muzium menjadi tempat terakhir dalam senarai tempat-tempat yang perlu dikunjungi terutama di musim cuti sekolah.

Jika ada pun rombongan sekolah ke muzium, ia umpama air lalu yang tidak meninggalkan sebarang kesan. Peranan muzium itu sendiri gagal ditonjolkan. Petugas-petugas muzium juga tidak mempunyai pengalaman serta gagal menjadi daya penarik generasi muda untuk mengunjungi tempat tersebut.

Keadaan ini berbeza di negara-negara maju. Muzium dibanjiri pengunjung, ibu bapa mengheret anak-anak ke muzium di hujung minggu. Petugas muzium terdiri daripada gadis-gadis manis dan jejaka tampan yang arif tentang sejarah.

Orang ramai yang datang ke muzium diberi penerangan dengan cara amat menarik, menyebabkan pengunjung terpesona dan faham apa sebenarnya yang ingin disampaikan.

Pengalaman mengunjungi beberapa buah muzium di Paris, Istanbul, The Hague dan Amsterdam cukup membuktikan bahawa muzium sebenarnya mempunyai tarikan yang tidak boleh diperkecilkan terutamanya kalangan kanak-kanak.

Pentadbir muzium juga mesti kreatif menonjolkan tema-tema berbeza untuk menarik minat pengunjung. Hakikatnya, usaha untuk menjadikan subjek Sejarah sebagai alat perpaduan tidak boleh dihadkan di sekolah semata-mata.

Peranan ibu bapa, pertubuhan bukan kerajaan dan agensi-agensi seperti muzium serta arkib amat penting. Gerakan besar-besaran mencakupi peranan semua pihak amat perlu supaya sejarah berjaya menjadi alat untuk memupuk perpaduan.

 

Sedingin salju berkata:  Semoga generasi akan datang, lebih memahami sejarah.

Ancaman buta sejarah

Artikal utusan.
 

Ancaman buta sejarah

Demi hasrat ingin memulihkan keyakinan rakyat yang diwakili, hampir semua 13 parti komponen Barisan Nasional (BN) cuba mengambil langkah dengan mengetengahkan pelbagai isu tanpa mempedulikan sensitiviti kaum lain. Menurut pandangan mereka, soal sensiviti kaum tidak lagi terpakai kerana pada pandangan pemimpin Gerakan dan MCA, rakyat negara ini sudah bersedia untuk masuk ke era baru demokrasi.

Selepas seorang pemimpin Gerakan membangkitkan soal taraf peribumi negara ini, muncul pula cadangan bekas Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai supaya jawatan Timbalan Pengerusi BN ditambah kepada dua dengan satu daripadanya diisi oleh pemimpin MCA.

Jika hasrat MCA yang hanya mampu meraih 10.21 peratus undi dengan menyaksikan banyak kerusinya hilang dalam pilihan raya umum Mac lalu ditunaikan, tidak mustahil 13 rakan komponen BN lain akan saling menuntut perkara yang sama.

Pengerusi Gabungan Badan Ekonomi Melayu (GABEM), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berpandangan pada masa kini anggota komponen BN kurang berdisiplin dengan mengemukakan permintaan-permintaan luar biasa yang sebelum ini tidak pernah terjadi.

"Saya khuatir dengan tuntutan tidak munasabah akan menimbulkan suasana tegang di kalangan komponen BN. Sekiranya MCA diberi peluang memegang jawatan Timbalan Pengerusi BN, tentulah kaum India dan etnik Sabah dan Sarawak juga akan menuntut hak-hak mereka. Jadi Sampai bila ia akan selesai," kata Ahli Majlis Tertinggin UMNO itu.

Menurut Abdul Rahim, apa yang patut berlaku setelah kekalahan dalam pilihan raya umum lalu, khusus parti bukan Melayu - tugas mereka yang pertama bukan menuntut jawatan Timbalan Pengerusi BN, keutamaan ialah membuktikan kepada pucuk pimpinan BN bahawa mereka mempunyai kapasiti, strategi dan langkah yang boleh diambil untuk memulih keyakinan orang bukan Melayu kepada parti mereka.

Pertama, mereka mesti menyahut cabaran oleh beberapa pihak yang telah memperkecilkan dasar kerajaan, yang telah membuat fitnah dan memutar belitkan maklumat terhadap prestasi kerajaan, integriti dan dasar-dasar kerajaan. Semua itu mesti diperbetulkan dengan memberi maklumat yang jelas. Perkara ini tidak boleh dijelaskan jika mereka tidak memahami sejarah negara.

"Baru-baru ini Perdana Menteri telah menyarankan supaya mata pelajaran Sejarah diwajibkan kepada murid sekolah rendah. Ini langkah yang tepat.

"Kita lihat sekarang kebanyakan rakyat Malaysia telah buta sejarah. Bayangkan senario orang yang buta sejarah berdebat di antara mereka mengenai sejarah maka tidak akan selesai dan mungkin akan menimbulkan ketegangan yang membawa kesan lebih parah," kata Abdul Rahim.

Misalnya berapa ramai rakyat Malaysia yang tahu Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia adalah proses pengorbanan yang panjang rakyat negara ini. Tetapi bagi yang buta sejarah seolah-olah kemerdekaan Malaysia diberi di atas dulang emas kerana rombongan Tunku Abdul Rahman ke London berjaya mendapat kemerdekaan tanpa pertumpahan darah.

Abdul Rahim yang pernah memimpin Pergerakan Pemuda UMNO mengajak rakyat melihat fakta sejarah. Menurut beliau, apabila Jepun ditewaskan dalam Perang Dunia Kedua dan menyerah diri, maka keluar satu pasukan Bintang Tiga yang memburu dan membunuh orang Melayu atas alasan orang Melayu menjadi pengintip Jepun ketika penjajah dari Matahari Terbit itu berperang dengan orang Cina di Manchuria.

Setelah mengambil tindakan ganas dan tidak berperikemanusiaan itu, Bintang Tiga mengubah pendirian untuk menjadikan Malaya sebuah republik.

"Republik ertinya tiada perbezaan antara suku kaum walaupun satu kaum itu layak dari segi sejarah menjadi pribumi. Dari segi sejarah, mana-mana kaum di seluruh dunia yang pertama menubuhkan tamadun maka kaum itu adalah pribumi," komen Abdul Rahim.

Orang Asli walaupun penduduk asal bumi ini tetapi gagal membina tamadun ia hanya orang asal bukan pribumi. Tetapi 600 tahun dulu orang Melayu telah berjaya menubuhkan kesultanan Melayu Melaka selama 110 tahun yang mana fakta sejarah ini tidak dinafikan oleh pakar sejarah seluruh dunia.

Oleh itu orang Melayu dan bumiputera berhak diisytihar sebagai pribumi dengan hak-hak dan keistimewaan dalam Perlembagaan Perkara 153,

Apabila British kembali ke Malaya dan Bintang Tiga masuk ke hutan dan meneruskan perjuangan untuk menjadikan Malaya sebuah republik, mereka bertempur dengan wira-wira keamanan dan keselamatan kita. Puluhan ribu mati untuk mempertahankan Malaya daripada menjadi republik oleh Parti Komunis Malaya (PKM) yang dulu Bintang Tiga.

"Apakah kita tidak perlu mengenang pengorbanan wira-wira kita ini dalam usaha mereka mempertahan Malaya sebagai kekal menjadi negara yang berdaulat dan bermaruah dalam usaha mewujud Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu sebagai mana diperjuangkan oleh UMNO bersama rakannya dalam MIC dan MCA," jelas bekas Ketua Menteri Melaka itu.

Generasi

Perwira kita bertempur dengan PKM dari perisytiharan darurat pada tahun 1948 hingga 1960 dan perjuangan PKM berakhir pada 1990. Pada masa itu ribuan wira-wira kita terkorban. Abdul Rahim mempersoalkan kesetiaan generasi baru Malaysia sekarang.

Adakah mereka memahami bahawa setiap titisan darah perwira yang terkorban itu adalah satu pengorbanan untuk menegak Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu untuk mempertahankan pribumi atau mereka hanya mati katak.

"Kita mesti fahami sejarah apa yang berlaku. Kewujudan republik tidak mengenal atau membeza minoriti dengan majoriti - semua sama," katanya.

"British datang membawa idea Malayan Union. Ia adalah satu konsep republikisme, antara Malaysian Malaysia dan republik sama sahaja. Pribumi dan pendatang pada masa itu dianggap sama sahaja. Apakah ini satu cara yang baik. Kita bersyukur kerana kewujudan UMNO dapat menentang penubuhan Malayan Union.

Apabila Singapura menjadi sebahagian gagasan Persekutuan Malaysia, kerajaan di seberang Tambak Johor pada masa itu menganjurkan Malaysian Malaysia.

Malaysian Malaysia berasaskan meritokrasi yang bermakna bebas, liberal, yang kuat akan menjadi lebih kuat.

Konsep yang diasaskan oleh Lee Kuan Yew - Malaysian Malaysia adalah sama dengan Malayan Union dan hampir sama dengan republikisme. Kita terpaksa bercerai dengan Singapura kerana ideologi politik ini bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang di dalamnya terdapat Perkara 153.

Walaupun perceraian terjadi tetapi perjuangan Malaysian Malaysia itu masih diteruskan oleh DAP. Pewarisnya yang mutakhir ialah Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dengan konsep Malaysian Malaysia hari ini, kata Abdul Rahim, mereka yang menganuti fahaman ini tidak dapat melihat DEB diwujudkan kerana adanya Perkara 153. Ia adalah suatu kejayaan yang harus diwarisi selagi ada bulan dan bintang. Tetapi mereka politikkan DEB sebagai ancaman yang seolah-olah ia tidak bersesuaian dengan konsep pelbagai kaum sedangkan DEB bertujuan untuk membela orang miskin dan menyusun semula masyarakat tanpa mengira kaum.

Mereka tidak sedar bahawa ramai miskin, yang tertinggal ke belakang dan perlu dibela rata-ratanya adalah orang Melayu dan bumiputera. Tetapi perjuangan ini yang mahu PKR hapuskan dan diganti dengan Agenda Ekonomi Malaysia.

"Kalau orang percaya konsep Malaysian Malaysia ini yang diperjuang PKR dan tahu pengorbanan maruah dan titisan darah oleh ribuan anggota keselamatan kita yang terkorban, mereka tidak sanggup mengkotak-katik dan menghina DEB dan perlu diganti dengan dasar lain. Tetapi kalangan rakyat kita kini buta sejarah. Kerana itu mereka keliru tentang peranan masing-masing dari segi penghayatan cinta dan kasih pada negara. Rasa patriotik di kalangan rakyat Malaysia dikhuatir terlalu nipis dan tidak berkesan," jelas beliau.

Menurut Abdul Rahim, kita mungkin mempunyai sistem pendidikan yang hebat untuk melahir orang yang bijak, pintar, dinamik dan profesional. Tetapi apa guna mereka ini jika tidak ada rasa kasih dan sayang kepada negara sendiri dan tidak faham laluan sejarah negara.

"Saya memberi amaran pemimpin kerajaan pembangkang supaya jangan memperkotak-katikkan kontrak sosial seperti yang digesa oleh Perdana Menteri dan disusuli oleh Majlis Raja-Raja Melayu. Saya minta mereka kembali kepada fakta sejarah Malaysia untuk memahami sejarah hingga timbul rasa kasih dan sayang kepada Malaysia.

"Semua kemelut ini dan kegawatan politik seperti yang ditunjukkan oleh Pergerakan Pemuda MCA adalah manifestasi kegagalan kita untuk menanam patriotisme kepada rakyat hingga mereka tidak mengenal sejarah bangsa dan negara sendiri," kata Abdul Rahim.

 

Sedingin salju berkata: jangan sampai anak cucu kita menyalahkan kita semua akibat sikap rakyat yang buta sejarah ini.

Hala tuju Melayu Pulau Pinang

Artikal utusan.
 

Hala tuju Melayu Pulau Pinang

Melayu Pulau Pinang seringkali dilihat sebagai terpinggir di negeri sendiri. Sedihnya, semakin kuat mereka meluahkan nasib mereka, semakin kuat tekanan yang mereka hadapi.

Mungkin kerana salah cara bersuara, mereka dilihat seolah-olah membangkitkan isu sensitif yang berbau perkauman.

Tekanan juga datang daripada bangsa Melayu sendiri yang seolah-olah memperlekehkan persoalan tersebut. Tidak kurang juga yang mengusulkan pendekatan politik yang mengatakan bahawa UMNO yang dilihat selama ini mempertahankan orang Melayu, juga telah gagal dalam perjuangan mereka menjaga orang Melayu selama memerintah bersama dengan parti komponen Barisan Nasional (BN).

Apakah tersisihnya Melayu di negeri ini adalah kerana faktor politik semata-mata atau ada faktor lain. Bagaimana pula halnya dengan kegagalan orang Melayu kerana sikap sendiri.

Begitu juga dengan persoalan berkaitan dengan kegagalan kakitangan kerajaan yang gagal melaksanakan polisi-polisi kerajaan pusat dan negeri dalam membantu orang Melayu, sama ada dari segi pendidikan, ekonomi, keusahawanan, perancangan bandar dan wilayah, perumahan, dan sebagainya.

Realitinya, majoriti besar kakitangan kerajaan adalah orang Melayu sendiri. Malahan kakitangan utama pentadbiran negeri dan Persekutuan juga adalah orang Melayu. Apakah mereka ini tidak memahami dan tidak membantu?

Sejarah menunjukkan bahawa sebelum kedatangan orang Inggeris, telah ada orang Melayu di pulau ini. Kemudian, dibawa masuk orang-orang China dan India ke negeri ini dan Negeri Selat lainnya untuk mencari rezeki, menampung kekurangan tenaga kerja pada masa itu dan membuka lembaran baru kehidupan mereka di negeri ini.

Golongan pendatang boleh berjaya kerana berkerja keras, tetapi yang asal telah lalai dan leka sekian lama. Kini suara mereka bersuara keras tapi tidak dihiraukan, mungkin telah hilang roh dan semangatnya.

Apakah mereka tidak pernah diberi peluang untuk berubah? Apakah modal insan Melayu ini masih dan akan berterusan berfikiran rendah atau tiada peluang diketengahkan ke hadapan kerana ekonomi di tangan bangsa lain.

Apakah bangsa lain ikhlas untuk berkongsi kek ekonomi atau hanya sekadar retorik.

Sejarah juga menunjukkan bahawa pada satu ketika, jumlah orang Melayu yang pada asalnya peneroka, adalah jauh kurang berbanding kaum lain. Sehingga kini masih kurang, tapi telah merapat dan dijangkakan akan melebihi kaum lain pada tahun 2020.

Apakah pada pada masa itu, Melayu hanya akan ramai dari segi kuantiti tapi kurang dari segi kualiti, atau sebaliknya. Apakah pada masa itu masih ada tanah untuk diduduki orang Melayu atau mereka terusir keluar secara tidak sedar.

Adakah orang Melayu ambil berat tentang masa depan dan perancangan masa depan negeri mereka ini atau mereka hanya berserah pada pihak tertentu, jika ada, untuk memikir tentang masa depan mereka.

Kita harus mencari jawapan ikhlas kepada persoalan berkaitan orang Melayu negeri ini, dilema bangsa minoriti yang tidak mempunyai kuasa pentadbiran negeri serta politik dan kuasa ekonomi.

Apakah telah terlambat untuk Melayu bangkit, seperti mana pepatah nasi sudah menjadi bubur. Atau selepas mengakui masalah serta kelemahan, boleh menerjah bangkit semula dengan semangat Melayu baru.

Apa caranya?

 

Sedingin salju kata: caranya, melayu harus bersatu.  jangan jadi pengkhianat bangsa sendiri.

Isnin, Oktober 27, 2008

Bersembang

Wah, petang tadi, aku telah mengenali seorang mak dara.  yalah, dia dah menikah, jadi aku panggillah mak dara.  Takkanlah anak dara kot.  nama dia Rahimah.  Tak taulah nak panggil kak atau apa.  kawanku Mustaffar Talip yang buat persidangan melalui skype.  jadi kami pun sembanglah.  Biasalah aku promosikan blog aku.

 

Tidak lama kemudian, seorang rakanku dari melaka iaitu hashim Ishak, orang kuat Umno pun masuk sertai sama.  Wah, nilah yang seronok sebab ada orang Umno.  Pasai, aku pun sekaki dengannya.

 

Saudara Hashim telah bercerita petang semalam, beliau telah menghadiri majlis rumah terbuka dan sempat bergambar dengan timbalan menteri pengajian tinggi.  Beliau juga telah menerangkan dengan panjang lebar kenapa pelakon hindi Sharuk Khan diberikan anugerah Dato oleh kerajaan negeri Melaka.  Aha, kalau ada yang nak tau, sila e-mel saya.  Saya akan berikan alamat e-mel kepada bloggers yang saya selalu beri komen di blog beliau.  Saya taknak sebarang bagi sebab takut nanti beliau diserang oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.  Tentu faham kan apa maksudnya tu?  jadi, saya tidak akan memaparkan e-mel beliau di sini.

 

Saudara Hashim juga telah bercerita situasi negara masa sekarang.  Rupanya, pengetahuan beliau ini sungguh hebat.  Beliau ini, oku penglihatan.  Umur beliau dah dekat 50 tahun dah.  jadi, beliau tahu banyak hal tentang Tun, tentang Pak Lah dan tok Najib.  Begitu juga Tun Razak.

 

Semasa taklimat dari saudara Hashim itu, saya telah sempat berchatting dengan Rahimah.  Saya ada bercerita bahawa mejoriti orang buta ni, menyokong pembangkang.  Saya ada beritahunya, bukanlah tak boleh menyokong, tapi kenalah tengok macammana status oku ni.  Dan yang paling seronok, beliau juga orang belah saya dan hashim.  Ha, tulah yang seronok tu.

 

Jam 4:45 petang, aku putuskan talian skype sebab masa untuk aku merehatkan komputer telah pun tiba.  Dan tidak lama kemudian, mereka pun bersurai.  Aku dapat tau ni sebab aku telefon hashim selepas itu.  Dan untuk pengetahuan, hashim Ishak ni oku penglihatan juga.

Cerita orang kawin.

Aha, semalam hari Ahad.  di Kampung aku telah berlangsung satu majlis perkahwinan.  Aku tak taulah siapa yang menikah kawin tu.  Aku ni, jarang keluar dari bilik.  Asyik mengadap komputer 24 jam saja dalam bilik.

 

yang aku tau lebih kurang jam 1:30 tengahari, ada bunyi kompang.  Tu maknanya, pengantin dah mailah tu.  lepas tu, siap ada kugiran lagi.  Wah, ada lagu rok, lagu raya dan lagu dangdud.  Dapat aku bayangkan sungguh meriah sekali majlis perkahwinan tu.

 

Lepas tu aku pun terfikir, macammanalah majlis perkahwinan aku suatu hari nanti?  Bagi aku, aku tak suka nak buat meriah-meriah.  Asal sederhana dan dapat kahwin, kira ok lah tu.  buat apa nak buat majlis besar-besaran kalau dipenuhi dengan hutang-piutang tu?  kankah leceh nanti?

 

Bagi aku, buat suatu majlis yang paling sederhana sudah kira ok.  Tak payahlah nak bermegah-megah melainkan kalau ada kemampuan.  Tak mampu, buatlah cara tak mampu.  jangan cari pasai.

Ahad, Oktober 26, 2008

Perbetulkan fakta sejarah Melayu

ARKIB : 17/10/2008

Perbetulkan fakta sejarah Melayu

Oleh Ahmad Khalib Md. Ibrahim

Fakta sejarah yang menyamakan orang Melayu sebagai kaum pendatang dari Nusantara ke bumi Malaysia seperti juga orang Cina dari tanah besar China dan orang India dari benua India perlu diperbetulkan.

Kenyataan sebenarnya mengenai Melayu sepatutnya ialah: Melayu itu berasal dari Nusantara.

Negeri-negeri seperti Tanah Melayu, Patani, Indonesia, Kalimantan, Sulawesi, Brunei, Mindanao, Palawan, Riau dan Singapura adalah sebahagian daripada Nusantara.

Melayu penduduk asal Nusantara.

Pada asalnya mereka semua Melayu dan bertutur bahasa Melayu yang berpaksi pada bahasa Melayu Nusantara. Mereka mungkin bercakap dalam dialek Jawa, Tagalog, Bugis, Minangkabau, Aceh, Banjar dan banyak dialek lagi. Seperti orang Cina menggunakan dialek Hakka, Hokkien, Taucho tetapi mereka tetap berbahasa Cina.

Melayu yang berhijrah dari satu kawasan ke kawasan lain dalam lingkungan alam Nusantara. Di mana juga mereka berada, mereka mengamalkan kebudayaan yang berakar umbi dari negeri-negeri alam Nusantara. Mereka berinteraksi dalam bahasa Melayu Nusantara.

Kajian arkeologi membuktikan orang Melayu sebagai penduduk asal Nusantara termasuk di Malaysia.

Bahan bukti artifak arkeologi dari kawasan perkuburan, bahan budaya dan kesenian menunjukkan ia dimiliki orang Melayu.

Kajian antropologi menunjukkan persamaan struktur atau hampir sama keseluruhan penduduk asal Nusantara. Struktur Melayu sangat berbeza dengan orang Cina dan orang India.

Kebudayaan

Di Malaysia, Melayu itu mesti berasal dari Nusantara, beragama Islam dan berbahasa Melayu. Melayu itu pengamal kebudayaan dan adat istiadat Melayu yang berpaksi dari Nusantara. Kebudayaan dan istiadat Melayu termasuklah istiadat keagamaan dan istiadat menjunjung duli. Sultan dan raja-raja Melayu adalah pemegang kuasa adat istiadat Melayu di Malaysia.

Kedatangan bangsa Melayu atau perpindahan orang Melayu dari pulau-pulau persekitaran Nusantara adalah ibarat perpindahan dalam perkampungan sendiri.

Perpindahan orang Cina dan orang India ke Malaysia adalah akibat desakan ekonomi. Mereka terpaksa atau dipaksa ke mari kerana kepentingan ekonomi.

Orang Melayu adalah pribumi Malaysia.

Perjuangan mereka mempertahan Malaysia bukan baru. Orang Melayu di Malaysia telah mempertahankan negara ini sejak lebih lima ratus tahun lalu. Mereka mempertahankan Malaysia daripada serangan Siam sejak zaman kesultanan Melaka.

Orang Melayu mempertahankan Melaka. Pada tahun 1511, Melaka adalah sebuah empayar yang menguasai keseluruhan Tanah Melayu termasuk sebahagian Sumatera. Sultan Melaka, Sultan Mahmud Shah mempertahankan Melaka daripada serangan Portugis.

Orang Melayu juga bangun menentang Inggeris yang menjajah satu persatu negeri-negeri di Tanah Melayu. Ingatlah dan kita jangan lupa perjuangan Datuk Maharaja Lela di Perak, Penghulu Dol Said Pahlawan Naning, Datuk Kelana di Negeri Sembilan, Datuk Bahaman di Pahang, pahlawan Mat Salleh di Sabah, Tok Janggut dari Pasir Putih, dan Datuk Abdul Rahman Limbong dari Terengganu.

Mereka hanyalah sebahagian daripada orang Melayu yang berjuang mempertahankan kedaulatan Tanah Melayu.

Sedingin Salju  berkata: Semoga kita semua akan lebih memahami sejarah Malaysia ini.

Sabtu, Oktober 25, 2008

Telefon rosak lagi.

ha, selamat pagi.  nampaknya, telefon rosak lagi setelah hujan dan ribut malam semalam.  Wah, hujan ribut yang berlaku malam semalam, sungguh menakutkan encik.  jadi nampaknya, terpaksalah tunggu orang telekom mai repair.  kalau tak, tak bolehlah on net nampaknya.

 

Cerita pasai telefon rosak ni, nampaknya, ada beberapa tempat yang berlaku kerosakan telefon.  Itulah yang aku tau semasa nak buat aduan di bahagian kerosakan.  Tapi, depa langsung tak jawab.  Asyik mesin penjawab saja yang tolong beritahu bahawa, semua kakitangan sedang sibuk.

 

Tapi satu yang tak sedapnya, kalaulah kerosakan itu berlaku pada hari-hari cuti am dan hari minggu, apa akan berlaku?  Sepatutnya, pihak telekom harus menyediakan juruteknik mereka dalam keadaan bersiap sedia jika menghadapi sebarang kerosakan telefon pada hari-hari cuti am dan cuti perayaan.  Sekarang ini, kalau hari cuti dan berlaku kerosakan telefon, ha, jawabnya, kenalah tunggu waktu hari kerja, barulah depa mai repair.  jadi, ini akan menyusahkan para pengguna.

Rabu, Oktober 22, 2008

Kenangan lalu

Aha, tadi, seperti biasalah, pilah baca blog.  Dan aku pun, singahlah kat Angin Perubahan.  Maka, bacalah aku sebuah artikal.  Aku membaca dengan khusyuknya.  Tengah dok syiok baca tu, tiba-tiba nama sorang perempuan cina terkeluar dalam artikal tersebut.

 

Namanya ialah Ginie Lim.  Dan beliau ni bekas pelajar USM.  Bila terbaca saja nama tu, maka teringatlah aku yang aku pernah berjumpa dia beberapa tahun lalu.  masa tu, orang-orang buta dari St.  Nicholas mengadakan perayaan hari tongkat putih di USM.  Amat meriah sekali.  Aku duduk kat tepi dialah bercerita pasai orang buta.  Dia ni, nampak pendiamlah.  Itu pada perkiraan akulah.

 

lepas tu, ajaklah dia masuk mailing list aku komuniti oku.  Bila masuk, dia try lah nak hantar artikal pro pembangkang.  Alamak, minah sorang ni nak buat kecohlah pulak.  kalau artikal BN aku terimalah pasai aku BN.  At last, sampai satu peringkat, dia keluar.  Lepas daripada tu, terus menghilangkan diri.  Dan aku pun tak tau manalah minah sorang ni dah pi.

 

Bila baca artikal tu, barulah tau.  Rupanya, minah sorang ni masuk PKR.  Hmm, tak palah, memang dari dulu lagi dia pro sana.  Apa nak kata lagi encik?  Minah sorang ni, orang Melaka kalau tak salah aku.

 

orang yang perkenalkan aku kat minah ni ialah Teh How Kiat.  Dia ni, budak Kelantan.  Dua tahun lepas kalau tak salah aku, dia mai rumah cari aku.  yalah, lama tak jumpa kan?  la ni, mana dia pi, aku pun dah tak tau.  Dan, daripada beliau jugak aku kenai sorang rakan dia dari Myanmar.  Pompuan.  Tak sedaplah suara pompuan tu kasar macam nenek tua.  Ha, tapi, pompuan Myanmar tu, pandai masak o encik.

Selasa, Oktober 21, 2008

Soal Jawab: Peringatan Majlis Raja-Raja beri isyarat

Artikal dari Berita harian.
 
 
Berita Harian Online

Soal Jawab: Peringatan Majlis Raja-Raja beri isyarat




Ketegasan lindungi kepentingan Melayu bukan sekadar barang mainan


MESYUARAT Majlis Raja-Raja Ke-215 minggu lalu mengeluarkan satu kenyataan khas berhubung beberapa perkara dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai peranan melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, melindungi agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum lain di Malaysia. Pendirian itu dikeluarkan berikutan situasi tidak menentu sejak kebelakangan ini apabila ada pihak mula mempersoal, mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu, agama Islam bahkan meminta peruntukan dalam Perlembagaan seperti kontrak sosial dikaji semula serta membangkitkan isu sensitif membabitkan soal perkauman. Wartawan Berita Minggu, Mohd Azis Ngah mendapatkan pandangan Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin mengenai isu berkenaan.


PADA pandangan Datuk mengapa Majlis Raja-Raja terpaksa mengeluarkan ketetapan atau pendirian berhubung isu berkenaan?


Majlis Raja-Raja mengeluarkan ketetapan itu kerana ingin mengingatkan rakyat dan pemimpin negara bahawa institusi Raja-Raja Melayu masih wujud dan segar bugar serta berfungsi sepenuhnya mengikut Perlembagaan, khususnya, mempertahan dan melindungi kepentingan kaum Melayu dan Bumiputera.


Adakah situasi dalam negara sekarang boleh dikatakan dalam keadaan tidak stabil dari aspek perpaduan kaum sehingga memaksa Majlis Raja-Raja campur tangan menjelaskan pendirian mereka?


Majlis itu berpandangan bahawa wujud kemelut kefahaman di setengah-setengah pihak mengenai kedudukan hak istimewa kaum Melayu, termasuk golongan cerdik pandai dengan memutar-belit fakta sejarah demi kepentingan sempit. Mereka ini termasuk mereka yang mempunyai kepentingan perkauman, peribadi atau pencapaian politik seseorang.


Umumnya, wujud perdebatan berhubung istilah ketuanan Melayu dan kedaulatan rakyat. Kedaulatan Melayu sebenarnya berasaskan kepada sistem beraja, bangsa Melayu itu sendiri kerana ia tercatat dalam Perlembagaan. Istilah itulah yang sepatutnya digunakan pakai dan dipegang kerana wujudnya daulat adalah disebabkan adanya Raja Melayu.


Apabila menyebut soal ketuanan Melayu, ia akan menimbulkan masalah kepada kaum lain kerana istilah itu sendiri merujuk kepada golongan tuan dan hamba atau orang bawahan. Ia sebenarnya diwujudkan oleh orang Inggeris dan diguna pakai di negara mereka sedangkan di negara kita, istilah itu sebenarnya sangat bahaya dan sering dipertikaikan kaum lain. Sedangkan dalam Perlembagaan sendiri dicatatkan kedaulatan Melayu, bukannya ketuanan Melayu, jadi pada pendapat saya, penggunaan istilah itu sendiri perlu diperbetulkan bertujuan mengelak salah tafsir kaum lain, sekali gus mengubah persepsi serong.


Bagi sesetengah pihak, penggunaan istilah ketuanan Melayu menggambarkan kekuasaan dan pemilikan mutlak ke atas negara ini dan mereka sering melaungkan istilah itu, sedangkan istilah yang dipersetujui bersama dalam Perlembagaan ialah kedaulatan Melayu.


Ini perlu ditegaskan dan difahami. Jika istilah itu tidak digunakan ia lebih selamat kerana tunjang Melayu ialah Raja Melayu. Golongan yang menyokong ketuanan rakyat semestinya menidakkan ketuanan Melayu kerana mereka mendokong demokrasi yang dipilih rakyat dan mereka menentukan pemimpin. Keadaan akan berbeza jika kita menggunakan kedaulatan Melayu, iaitu merujuk kepada apa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan dan mengingatkan semua pihak bahawa Raja Melayu masih wujud dan berfungsi serta perlu dihormati.


Apakah peranan Raja-Raja Melayu dalam pembentukan Malaysia dan pembangunan negara kerana ketika ini sudah ada yang turut mempertikaikan kedudukan Raja-Raja Melayu?


Kedudukan Raja-Raja Melayu tidak dipertikaikan, yang dipertikaikan adalah hal-hal yang terletak di bawah perlindungan mereka, iaitu hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja Melayu, agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan juga kepentingan sah kaum lain mengikut Perlembagaan Persekutuan.


Sesetengah pihak dilihat mencabar peruntukan Perlembagaan yang secara jelas menyatakan kedudukan orang Melayu tanpa mengetepikan hak kaum lain. Tindakan itu juga secara tidak langsung dianggap cuba 'mengusik' keistimewaan serta kedudukan Raja Melayu. Apa komen Datuk?


Memang ada kenyataan yang boleh ditafsirkan sedemikian, tetapi kadang-kadang dinyatakan dengan tidak langsung.


Adakah menerusi peringatan daripada Raja-Raja Melayu ini mampu meredakan isu yang membangkitkan kemarahan orang Melayu, selain memberi kesedaran kepada mereka yang masih mempertikaikan perkara ini?


Perkara yang dinyatakan Raja-Raja Melayu itu jelas. Kedudukan Raja-Raja Melayu dalam Perlembagaan jelas. Maka cerdik pandai, khususnya peguam, atau segelintir ahli politik berkepentingan sempit bersifat peribadi, harus menunjukkan kefahaman mengenai hal ini dan tidak bertindak melulu secara emosi, kononnya berdasarkan alasan 'hak asasi manusia' atau 'kepentingan masyarakat sivil' atau 'demi ketuanan rakyat.'


Isu penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan juga dilihat semakin tercabar apabila pihak tertentu sudah berani mempersoalkan penggunaannya. Contohnya, penggunaan papan tanda yang dulu menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu, tetapi kini turut ditambah bahasa lain dengan alasan ia melambangkan perpaduan. Komen Prof.?


Penggunaan bahasa untuk papan tanda ditentukan oleh peraturan setempat. Ada tempat yang hanya mengenakan penggunaan satu bahasa saja, iaitu, bahasa kebangsaan, ada yang mengizinkan penggunaan bahasa lain. Contoh ini, mungkin tidak sesuai digunakan untuk menunjukkan bahawa ada pihak yang mempertikaikan penggunaan bahasa kebangsaan. Yang lebih menonjol dalam hal ini adalah dasar kerajaan menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik yang membelakangkan kemampuan bahasa kebangsaan menguasai ilmu sains, sekali gus membawa masalah penguasaan oleh murid Melayu ilmu sains dan matematik, justeru mendapat keputusan markah peperiksaan yang rendah.


Sebelum ini, Majlis Raja-Raja jarang bersuara berhubung soal ketenteraman dalam negara, soal perpaduan dan hubungan kaum. Adakah menerusi pendirian terbaru ini dilihat sebagai satu mesej jelas kepada kerajaan supaya meningkatkan keberkesanan hubungan kaum, termasuk langkah pencegahan awal mengelakkan perkara lebih buruk berlaku?


Kenyataan Majlis Raja-Raja ini adalah suatu peringatan umum dan menggesa supaya pihak berkenaan, kerajaan dan bukan kerajaan, mengambil tindakan sewajarnya. Ia peringatan jelas kepada pemimpin tanpa mengira parti bahawa mereka jangan ambil kesempatan untuk menggunakan Raja Melayu bagi mencapai cita-cita mereka. Bukan saja pembangkang, bahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) juga perlu menyelesaikan masalah ini.


Mereka yang suka ambil kesempatan ini adalah golongan yang mementingkan diri, tidak memikirkan tanggungjawab kepada rakyat dan apa yang penting bagi mereka ialah memastikan cita-cita mereka tercapai, baik dalam kerjaya politik, keuntungan peribadi atau ada agenda lain.


Selepas pilihan raya umum baru-baru ini, beberapa tindakan menyaksikan campur tangan istana dan penggunaan kuasa Raja. Kenapa ia berlaku?... rakyat boleh menilai dan memikirkan sendiri.


Bukan Melayu juga diberi jaminan supaya tidak perlu bimbang mengenai hak sah mereka kerana ia dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan yang terkandung dalam Undang-Undang Tubuh Negeri-Negeri di Malaysia yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Bukankah jaminan ini sudah memadai?


Jaminan ini lebih daripada memadai, tetapi ia mesti disusuli dengan tindakan yang boleh membuktikan akan hak bukan Melayu juga diperhitung dan diberi ruang.


Bagaimanapun sesetengah pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semakin berani dengan tindakan provokatif, termasuk membincangkan isu sensitif, termasuk kontrak sosial dan isu agama Islam pada majlis terbuka?


Kenyataan Majlis Raja-Raja jelas mensasarkan kepada kelompok berkenaan iaitu, kelompok intelegentsia Malaysia. Kelompok kecil inilah yang sering mempersoalkan isu sensitif dan mereka boleh dianggap golongan yang pandai berfikir, tetapi tidak bijak.


Kita tidak pernah mendengar nelayan di Terengganu mempersoalkan hal ini ataupun penduduk Felda di Pahang mengadakan forum terbuka membincangkan isu sensitif. Tidak pernah terjadi kesatuan pekerja, golongan buruh, pekerja kasar mempersoalkan isu perkauman, kontrak sosial, isu sensitif dan ia menggambarkan mereka sudah bersyukur dalam sistem hidup yang ditentukan menerusi peruntukan Perlembagaan yang sudah pun mengambil kira kepentingan semua kaum.


Hanya golongan tertentu yang berasakan mereka pandai yang berani melakukan ini, tetapi tidak tahu mentafsir apa akan jadi jika mereka buat itu, mereka tidak boleh menilai masalah rakyat dan buat semua hal ini tanpa memikirkan kesan jangka panjang atau meminggirkan perasaan kaum lain semata-mata membuktikan kehebatan mereka.


Kita sedia maklum, kerajaan menyediakan cukup banyak kemudahan, bantu menyediakan kemudahan sekolah, sediakan biasiswa, bagi pinjaman untuk mereka melanjutkan pelajaran semata-mata mahu mewujudkan lebih ramai golongan pandai di negara ini, tetapi sekarang kita lihat apa yang berlaku. Rakyat sendiri boleh memikirkan apa kesannya dan jika ini berlaku ia akan mengambil masa terlalu lama untuk diubati, sedangkan untuk mengadakan satu forum membincangkan isu sensitif, ia boleh diadakan sekelip mata.


Benarkah kepemimpinan sekarang kurang memberi perhatian kepada perkara ini atau ketelusan dan keterbukaan kerajaan menyebabkan pihak berkenaan (yang mempertikaikan) 'naik kepala.'?


Keterbukaan pimpinan sekarang, iaitu keterbukaan yang tidak dibincangkan terlebih dulu bersama dengan rakyat menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan. Keterbukaan ini disalah faham dan disalahgunakan. Apa yang terjadi kini adalah ibarat orang yang membuka pintu keterbukaan itu sudah jatuh dan dipijak-pijak oleh mereka yang berjaya mengambil kesempatan keterbukaan berkenaan.


Atau adakah mungkin sifat orang Melayu yang pemaaf (setiap kali ada isu orang Melayu yang akan meminta maaf daripada kaum lain) diambil kesempatan?


Sifat pemaaf ada dalam semua masyarakat. Yang jelas dalam keadaan sekarang ialah wujudnya segelintir pemimpin yang sanggup mengorbankan kestabilan politik negara demi mencapai kepentingan peribadi yang sempit dengan menggunakan segala kekuatan media global dan apa saja yang boleh digunakan untuk membelasah kepemimpinan sekarang yang ternyata menghadapi kemelut tersendiri.


Apakah orang Melayu, terutama pemimpin mempunyai kesedaran ini (terhadap mereka yang mempertikaikan hak atau asal usul orang Melayu) dan mampu mengambil tindakan sewajarnya sedangkan hubungan antara orang Melayu sendiri dilihat ada kerenggangan berikutan keadaan politik sekarang?


Apa yang berlaku adalah sifat akomodasi antara kaum di Malaysia ini kadang-kadang lemah dan rasa mementingkan diri lebih diutamakan. Jika ini dapat dielakkan pasti hal ini tidak berlaku.


Pandangan Datuk mengenai seruan Majlis Raja-Raja supaya orang Melayu bersatu padu mempertahankan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, melindungi agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum lain di Malaysia?


Kenyataan ini mesti difahami dengan mendalam dan dilakukan tindakan sesuai yang rasional dan berjangka panjang, bukan yang emosional. Pihak sektor awam, sektor swasta dan sektor komuniti mesti bekerjasama, melalui dialog berterusan kerana rakyat Malaysia sudah memilih lebih suka tongue wagging not parang wielding (lebih suka bertikam lidah daripada berparangan).


Kita mempunyai saluran khas menyalurkan pendapat dan cadangan, iaitu menerusi suara rakyat yang memilih wakil mereka di Parlimen ataupun melalui permuafakatan. Pendekatan ini mesti difahami dan dipraktikkan.


Pada pandangan Datuk perlukah tindakan lebih keras diambil terhadap mereka yang masih mempertikaikan isu ini?


Tidak perlu tindakan keras, perlu jalan perundingan biarpun sampai bosan. Kekerasan menjana kekerasan yang lebih keras dan akhirnya keganasan. Di Malaysia violence is not an option (keganasan bukannya pilihan). Sebab itulah kita sering menggalakkan perbincangan, perkongsian pendapat, cadangan dalam menyelesaikan apa saja kemelut, masalah atau isu membabitkan kepentingan kaum. Golongan yang tidak berpuas hati tidak boleh bertindak secara agresif menggunakan kekerasan untuk mendesak, begitu juga tindak balas pihak lain.


Cara kekerasan tidak akan menyelesaikan banyak masalah, bahkan merumitkan lagi keadaan sedangkan kita mempunyai pilihan menerusi perundingan.



Akur pada Perlembagaan

Artikal dari Utusan Online.

ARKIB : 20/10/2008

Akur pada Perlembagaan

Utusan: Ada pihak mempersoalkan mengapakah orang Melayu banyak diberikan keistimewaan, walhal kaum lain juga memegang status sebagai warganegara Malaysia dan lahir di Malaysia.

SALEHUDDIN: Kekeliruan ini timbul ekoran ramai di kalangan rakyat Malaysia terutamanya generasi selepas merdeka tidak didedahkan kepada sejarah bagaimana pembentukan negara ini dan undang-undang yang berkaitan pemeliharaan hak setiap kaum di negara ini.

Apabila mereka tidak didedahkan dengan sejarah dan tidak diberitahu mengenai bagaimana wujudnya peruntukan khusus mengenai hak keistimewaan orang Melayu di bawah Perlembagaan maka tidak hairanlah ramai pihak yang mempersoalkan mengapa mesti orang Melayu diberikan keistimewaan.

Malaysia mengamalkan konsep Raja Berperlembagaan semenjak negara ini mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Konsep ini telah dipersetujui untuk diserapkan sebagai konsep yang diguna pakai di negara ini oleh pemerintahan kerajaan British ketika negara dalam proses mencapai kemerdekaan.

Teras utama konsep Raja Berperlembagaan ini adalah raja-raja Melayu mempunyai peranan dan fungsi yang amat penting dalam sistem pemerintahan negara khususnya untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan agama Islam.

Jika dilihat kepada sejarah bagaimana kemerdekaan negara diperoleh, sebenarnya persetujuan telah dicapai di antara tiga kaum terbesar negara Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India, Raja-Raja Melayu dan dengan persetujuan kerajaan British agar hak keistimewaan orang Melayu akan terus dilindungi selepas mencapai kemerdekaan melalui kuasa yang diberikan kepada raja-raja Melayu.

Persetujuan inilah yang dinamakan sebagai Social Contract atau kontrak sosial. Ia dipersetujui atas dasar asas bagi mengurangkan jurang ekonomi kaum Melayu. Dan, apa yang diputuskan di dalam kontrak sosial tersebut telah diterjemahkan ke dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan yang terus digunapakai dan menjadi teras kepada pembangunan dan pemodenan negara Malaysia.

Bagaimanapun, hak dan kepentingan kaum lain tidak pernah dipinggirkan dan sentiasa dipelihara dan diperuntukkan juga di bawah Artikel 153 itu sendiri.

Apakah kemungkinan yang boleh berlaku akibat daripada tindakan segelintir pihak mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu, pribumi Sabah dan Sarawak?

Apabila mereka mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu maka inilah yang dikatakan mempersoalkan kedudukan undang-undang dan membangkitkan isu sensitif yang boleh mengundang perselisihan faham dan mencetuskan ketegangan antara kaum. Peruntukan yang menjamin keistimewaan orang Melayu akan terus kekal selagi ia tidak dipinda.

Bagaimana hendak memastikan persetujuan semua kaum, Raja Melayu dan kerajaan British dilaksanakan oleh generasi akan datang?

Persetujuan kontrak sosial ini telah termaktub di dalam undang-undang melalui Artikel 153. Peruntukkan mengenai keistimewaan orang Melayu telah diperketatkan lagi pada 10 Mac 1971 dengan memasukkan Fasal (8A), Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan yang mana dalam peruntukkan ini diberi kuasa tambahan. Iaitu memberi kuasa tambahan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam memberi arahan kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengenai pentadbiran dan pengurusan universiti dan pusat pengajian tinggi atau kolej agar merizabkan tempat dalam jumlah tertentu bagi pelajar Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak di universiti, pusat pengajian tinggi dan kolej.

Dengan kata lain, pihak berkuasa tersebut perlu mematuhi sekiranya terdapat arahan yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara tersebut. Jika diteliti dengan mendalam peruntukan fasal ini, jelas ia memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong bagi penetapan kuota bagi orang Melayu di universiti, kolej dan pusat pengajian tinggi yang lain.

Apabila disentuh soal kuota kepada pelajar Melayu, bukanlah bermakna pelajar Melayu tidak layak untuk mendapatkan tempat di universiti. Ini kerana pelajar Melayu masih perlu memenuhi pra syarat dan kelayakan asas sebelum diterima masuk ke sesebuah universiti atau pusat pengajian tinggi.

Dalam masa yang sama apabila ada sistem kuota tidaklah bermakna pihak universiti mengenepikan soal kualiti kerana syarat untuk melepasi ujian dan peperiksaan tidak tertakluk kepada sistem kuota.

Dengan kata lain, jika pelajar Melayu tidak melepasi standard, mereka tetap gagal. Di samping peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak yang telah dibincangkan, terdapat juga peruntukan di bawah undang-undang negeri yang merizabkan tanah khusus bagi pemilikan oleh orang Melayu dan syarikat-syarikat yang dikategorikan sebagai syarikat pegangan Melayu bagi tanah beri milik, tanah kerajaan negeri, tanah rizab hutan dan tanah yang telah dirizabkan untuk kegunaan umum.

Sebagai contoh di negeri Selangor terdapat Enakmen Rizab Melayu (Selangor) FMS Cap 142 yang memberikan penekanan terhadap rizab tanah bagi orang Melayu. Undang-Undang ini memastikan tanah yang dirizabkan untuk orang Melayu sentiasa terpelihara.

Bagaimana pula kedudukan agama Islam di dalam Perlembagaan?

Di dalam Perlembagaan ada memperuntukkan Artikel 3(1) bahawa agama Islam adalah agama bagi Persekutuan. Namun dalam masa yang sama, agama-agama lain boleh diamalkan tanpa sebarang gangguan daripada mana-mana pihak.

Di negara ini, majoriti orang Melayu beragama Islam. Secara tidak langsung apabila kita memperkatakan mengenai agama Islam ia berhubung rapat dengan orang Melayu. Persoalan mengenai agama Islam juga telah dipertanggungjawabkan kepada Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. Kedudukan agama Islam juga terpelihara dengan rapi di bawah Perlembagaan dan tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

Mengapa sejak kebelakangan ini terdapat golongan tertentu, malahan sekumpulan orang Melayu sendiri yang telah mempersoalkan kedudukan istimewa orang Melayu?

Perkembangan ini pastinya amat merunsingkan dan mengundang kegelisahan di kalangan masyarakat Melayu yang ingin terus mempertahankan kedudukan dan keistimewaan yang terpelihara sejak berzaman sebagai pribumi negara ini.

Persoalannya adakah masyarakat Malaysia telah terlupa tentang kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh semua kaum sebelum negara mencapai kemerdekaan dahulu yang mana hak-hak orang Melayu dan pribumi Sabah Sarawak akan terus dipelihara, dilindungi tanpa perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak sekalipun.

Tidakkah masyarakat hari ini sedar bahawa institusi raja diwujudkan bukan sebagai satu lambang upacara dan adat istiadat rasmi semata-mata. Malahan sebagai satu organ penting di dalam tampuk pemerintahan negara yang dipertanggungjawabkan untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan masyarakat pribumi Sabah Sarawak dan agama Islam.

Adakah generasi muda hari ini tidak pernah didedahkan tentang sejarah kewujudan negara ini yang berteraskan prinsip asas kontrak sosial antara kaum? Atau adakah orang Malaysia mudah lupa dan begitu alpa sehingga mengenepikan segala yang telah dipersetujui malah sedia termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan? Di manakah silapnya kita dalam kegagalan memastikan prinsip asas ini terpahat di dada dan pemikiran setiap rakyat di negara ini?

Hak istimewa

Apabila saya memperkatakan tentang kedudukan undang-undang mengenai hak istimewa orang Melayu dan kaum pribumi Sabah dan Sarawak ini yang dipelihara oleh institusi raja, saya tidak sama sekali menyatakan undang-undang mengenepikan hak kaum lain di negara ini.

Malah kaum lain juga mempunyai hak yang sama rata di bawah Perlembagaan dan undang-undang negara, cuma terdapat keistimewaan sedikit kepada orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak sebagaimana dipersetujui oleh semua kaum ketika mencapai kemerdekaan seperti di bawah Artikel 153.

Persoalan juga timbul adakah memelihara hak keistimewaan orang Melayu sekarang ini sudah tidak relevan lagi. Saya menyatakan soal relevan atau tidak bukan menjadi persoalannya kerana apa yang penting adalah hak istimewa ini sudah terpahat di bawah Perlembagaan dan akan terus kekal sehingga suatu pindaan dilakukan terhadap peruntukan itu.

Perjuangan untuk memelihara hak istimewa orang Melayu tidak boleh dilihat sebagai perjuangan berbentuk perkauman racist. Ini kerana undang-undang telah sedia memperuntukkan keistimewaan dan hak tersebut dan kita hanya perlu mempertahankan hak yang sedia ada ini.

Apakah faktor-faktor penting yang memerlukan hak istimewa orang Melayu dan institusi beraja mesti dipertahankan?

Ia perlu dipertahankan bagi memastikan: (i) Mempertingkatkan ekonomi orang Melayu setaraf dengan kaum-kaum lain agar tidak terpinggir (ii) Orang Melayu mempunyai daya saing dari segi ekonomi yang seimbang dengan kaum lain. (iii) Tahap kemiskinan orang Melayu dapat diatasi dengan kadar segera.

(iv) Kekuatan ekonomi orang Melayu boleh menjadi asas kepada kekuatan politik orang Melayu (v) Agama Islam terus dipelihara sebagai agama rasmi yang perlu dihormati oleh seluruh masyarakat Malaysia. (vii) Agar hak orang Melayu terhadap pemilikan tanah di negara ini dipelihara.

(viii) Pelajar-pelajar Melayu mendapat tempat di universiti dan institusi pengajian tinggi tempatan dalam jumlah yang hampir sama dengan kaum lain. (ix) Peluang diberi kepada kontraktor -kontraktor dan peniaga-peniaga Melayu untuk menjalankan perniagaan dan dapat bersaing dengan kaum lain di dalam apa jenis perniagaan yang diceburi.

Bagi memastikan kedudukan dan kepentingan orang Melayu sentiasa terpelihara, Perlembagaan Persekutuan melalui Artikel 153 telah memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh merizabkan untuk orang Melayu dan pribumi Sabah Sarawak dalam kadar yang difikirkan munasabah untuk perkara-perkara seperti di bawah.

(a) Jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam (b) Peruntukkan biasiswa dan danasiswa (c) Keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya (d) Peruntukkan permit atau lesen bagi pengendalian apa-apa tred atau perniagaan di bawah mana-mana undang-undang Persekutuan yang membenarkannya (e) Kemudahan-kemudahan khas yang lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan.

Perlu diingat, perenggan (e) Meliputi perkara yang luas iaitu Yang di-Pertuan Agong boleh memberikan hak istimewa kepada orang Melayu dalam aspek lain apabila kerajaan Persekutuan hendak mengadakan sesuatu kemudahan khas lain bagi menjamin hak orang Melayu di Malaysia sentiasa terpelihara dan dindungi.

Perlembagaan Persekutuan bukan sahaja memperuntukkan peranan Yang di-Pertuan Agong di dalam merizabkan perkara-perkara tersebut di atas.

Bahkan melalui Fasal (3) dan (6) Artikel 153 juga diperuntukkan kaedah perlaksanaan rizab tersebut bagi menjamin ia dapat dilaksanakan dengan berkesan iaitu dengan memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan apa-apa arahan seperti yang diperuntukkan seperti:

(a) Mana-mana Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang bidang kuasanya meliputi orang-orang dalam perkhidmatan awam. (b) Pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengenai pemberian biasiswa, danasiswa atau pendidikan dan latihan. (c) Pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam pemberian permit dan lesen, bagi perlaksanaan rizab yang dinyatakan.

Setelah disentuh dan dihuraikan secara panjang lebar mengenai fungsi Yang di-Pertuan Agong, apakah nasihat ataupun saranan anda mengenai isu berbangkit ini?

Semua pihak perlu berbalik dan akur kepada peruntukan undang-undang. Sekiranya ini dilakukan, saya yakin tidak akan timbul pertelingkahan, perselisihan faham dan syak wasangka antara kaum.

Pihak-pihak terlibat perlu lebih sensitif dalam mempersoalkan hak setiap kaum demi menjamin keharmonian dan keamanan negara ini. Saya juga yakin sekiranya semua pihak memahami sejarah kewujudan peruntukan mengenai hak istimewa orang Melayu dan memahami konsep raja berperlembagaan nescaya semua pihak akan akur tentang apa yang telah diberikan kepada setiap kaum.

Saya juga melihat terdapat golongan tertentu apabila membincangkan hak orang Melayu mereka lebih cenderung menyatakan ia menyentuh isu perkauman. Walhal ini tidak sepatutnya berlaku. Ini kerana dalam undang-undang sudah sedia termaktub. Jadi mengapakah mesti mereka mempersoalkannya dan bertelingkah sedangkan undang-undang sudah jelas untuk difahami.

Ringkasnya, saya juga percaya kekeliruan ini timbul apabila semua pihak bercakap mengikut emosi masing-masing tanpa merujuk kepada undang-undang.

Sebagai rumusan, kuasa Yang di-Pertuan Agong di dalam memelihara keistimewaan orang Melayu di negara ini sentiasa terpelihara di bawah peruntukan undang-undang negara.

Menyahut titah Raja-Raja Melayu

Artikal dari Utusan Online.
 

Menyahut titah Raja-Raja Melayu

ADA perbincangan berlangsung sebelum Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Maziah, Kuala Terengganu pada 16 Oktober lalu. Biar pun tiada liputan dan di luar pengetahuan umum, namun hasil perbincangan tersebut diungkapkan dalam Kenyataan Akhbar Khas Raja- Raja Melayu yang disiarkan oleh tiga akhbar utama di negara ini kelmarin.

Kenyataan akhbar dwi-bahasa itu tanpa berselindung menyerlahkan fungsi sebenar Raja-Raja Melayu dalam melindungi hak-hak keistimewaan bangsa Melayu di sisi Perlembagaan termasuk dari sudut kemuliaan atau kebesaran raja-raja Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain.

Tanpa sebarang keraguan jauh sekali perasaan gentar, Raja-Raja Melayu mengembalikan semula ingatan semua rakyat Malaysia perihal peranan serta kuasa yang ada pada mereka untuk melindungi hak serta kepentingan bangsa Melayu dan pada masa yang sama memberi jaminan hak bangsa-bangsa lain di negara ini tidak pernah diperkecilkan.

Fungsi serta kuasa Raja-Raja Melayu itu sememangnya perlu diserlahkan supaya dilihat dan dihormati oleh semua rakyat di negara ini lantaran hubungkaitnya dengan pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman damai amat rapat. Apatah lagi perkembangan dalam negara mutakhir ini menyaksikan hak serta keistimewaan bangsa Melayu dipersoalkan secara terbuka termasuk peranan institusi Diraja yang semakin tidak mendapat penghormatan.

Pembelaan terhadap kedudukan bangsa Melayu juga semakin tidak ketahuan. Biar pun kelantangan suara membidas pihak-pihak yang mempersoalkan perihal kedudukan Melayu dan agama Islam, namun dari segi tindakannya semacam tidak kelihatan sehingga kesemuanya itu dilihat sebagai retorik politik - di satu peringkat ada yang menyimpulkan bahawa Melayu sendiri 'membunuh' Melayu. Manakala gerakan-gerakan mempersoalkan kedudukan Melayu dilihat sebagai menyediakan keranda bagi menempatkan jenazah perjuangan Melayu yang telah pun dikenal pasti kuburnya.

Pertemuan Raja-Raja Melayu secara rutin menerusi Majlis Raja-Raja sejak 111 tahun lalu selepas mesyuarat kali pertama berlangsung di Istana Negara, Bukit Chandan pada tahun 1897 kurang mendapat perhatian rakyat jelata.

Suasana mesyuarat yang berlangsung tanpa sebarang liputan serta agenda yang tidak pernah dipaparkan kepada umum menjadikan pertemuan Raja-Raja Melayu yang diiringi oleh Menteri Besar atau wakil masing- masing berlingkar secara eksklusif di kalangan para pesertanya sahaja.

Sememangnya peranan Raja-Raja yang tersembunyi di sebalik Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri sukar dimengertikan oleh rakyat. Maka jadilah Raja-Raja institusi yang tersendiri sehingga setiap fungsi serta kuasa yang padanya dipandang sepi oleh rakyat malah kadang-kadang diperlekehkan.

Tarikan terhadap watak raja-raja Melayu di luar mesyuarat Majlis Raja-Raja pula bersifat berkala dan adakalanya menyentak rakyat jelata terutamanya kebelakangan ini apabila 'kemuliaan' institusi diraja mula dipertikaikan di khalayak umum. Ada Raja yang mula mengetengahkan fungsi mereka dengan menegur pihak-pihak tertentu supaya jangan diusik keistimewaan orang Melayu.

Betapa satu-satunya institusi yang tinggal untuk mempertahankan kedaulatan bangsa serta ketinggian agama Islam itu sering disalahertikan sebagai tidak mempunyai sebarang kelebihan sehingga peranan yang dimainkan selaras dengan peruntukan undang-undang berani dipersoalkan secara terbuka. Sebab itu kenyataan akhbar khas raja-raja Melayu itu dilihat sebagai perkembangan terbaru dalam proses memastikan perjuangan mengangkat martabat bangsa dan agama bukan sekadar cakap-cakap atau retorik politik yang menjengkelkan banyak pihak.

Menarik

Pakar Undang-Undang Perlembagaan, Profesor Abd. Aziz Bari menyifatkan perkembangan terbaru bersangkutan kenyataan terbuka yang memperincikan satu per satu peranan serta fungsi Raja-Raja Melayu sebagai amat menarik dan sesuatu yang amat jarang berlaku.

Perkembangan terbaru itu, menurut beliau, merupakan petunjuk yang amat meyakinkan bahawa isu-isu menyentuh nasib dan masa depan bangsa Melayu dan agama Islam adalah penting untuk segera ditangani.

Beliau menarik perhatian mengenai isu-isu berkepentingan Melayu dan Islam yang terlalu dipolitikkan sehingga masalah-masalah yang membelenggu umat Melayu beragama Islam di negara ini gagal diselesaikan sepenuhnya. Malah dalam banyak keadaan kedudukan orang Melayu masih ditakuk lama biar pun bunyi gah di sana-sini menuntut supaya hak istimewa orang Melayu dimartabatkan tetapi jika diamati secara mendalam laungan-laungan itu terhenti setakat itu sahaja.

Jelas bahawa politik tidak berjaya sepenuhnya untuk dijadikan alat membangunkan orang Melayu dan pada masa yang sama melindungi hak orang Melayu biar pun secara jelas kesemuanya itu telah terbentang dan termaktub di dalam Perlembagaan.

Justeru kenyataan ulung Raja-Raja Melayu yang diperincikan tanpa berselindung menurut Abd. Aziz menunjukkan Raja-Raja Melayu sedar bahawa mereka mempunyai peranan penting dan bukan sekadar lambang.

''Oleh itu Raja-Raja perlu mengambil peranan proaktif kerana peruntukan berkenaan (kepentingan institusi Melayu), mereka sendiri yang memulakannya sebelum merdeka.

"Dan selama 50 tahun ini jelas orang politik tidak berjaya sepenuhnya mengisi peruntukan-peruntukan berkenaan'' katanya.

Rentetan daripada perkembangan terbaru itu, Abd. Aziz mencadangkan supaya Raja-Raja Melayu melantik sebuah badan yang mewakili orang Melayu dan Islam untuk memantau dan mengambil langkah konkrit dalam menangani masalah kaum Melayu.

Beliau percaya penggantungan keterlaluan kepada kerajaan untuk menangani masalah seperti itu tidak akan menjayakan agenda membangunkan orang Melayu terutamanya apabila wujud kekacauan serta campur tangan politik keterlaluan yang kadang kala menjadi punca hak serta keistimewaan Melayu itu sendiri tenggelam.

Beliau merujuk kenyataan Raja Nazrin awal tahun ini tentang fenomena Tanggang Moden sambil menegaskan bahawa inilah masanya raja-raja perlu menggerakkan potensi Melayu untuk menubuhkan, contohnya, tabung pendidikan. Ini perlu diisi oleh mereka yang telah mendapat faedah dari dasar Dasar Ekonomi Baru (DEB) selama ini; mereka perlu membayar balik apa yang mereka nikmati atas dasar 'infaq' yang digalakkan oleh Islam.

Maksudnya, wajah-wajah Melayu yang telah mendapat manfaat besar daripada peruntukan Perlembangan tidak boleh lupa diri, jauh sekali memejamkan mata dan memekakkan telinga daripada mendengar rintihan bangsa Melayu semata-mata kerana mereka telah berjaya sedangkan hasil kejayaan itu datangnya daripada kedudukan istimewa sebagai orang Melayu yang beragama Islam.

"Dengan pendekatan sedemikian orang Melayu akan lebih bermaruah dan terhormat kerana mereka menolong bangsa dan diri sendiri. Dan prasarana ini telah pun disediakan oleh Islam," katanya.

Ditanya tentang cadangan penubuhan badan seumpama itu, beliau berkata, ia lebih kepada badan yang menggembleng potensi dan dana Melayu untuk kebaikan dan kebajikan bangsa. Badan itu penting supaya bangsa Melayu dapat berdiri dengan sokongan sendiri; bukan dari kerajaan atau orang lain.

Raja-Raja Melayu dilihat paling sesuai menggerakkan badan tersebut kerana ia mengatasi politik dan tidak tertakluk kepada pasang surut politik manakala pelaksanaan badan tersebut mesti berteraskan Islam atau dengan kata lain motivasinya adalah agama.

"Itu sebab saya sebut infaq yakni menyumbang untuk sesama agama dan daya penggeraknya ialah berbakti di jalan Allah. Kita kena gunakan agama yang sememangnya sudah sebati dengan Melayu dan keMelayuan itu sendiri," katanya.

Abd. Aziz melihat jalan politik ternyata tidak berkesan meskipun ia penting dari segi menyediakan tenaga dalam bidang pentadbiran negara.

Ditanya siapa yang perlu menganggotai badan tersebut, Abd. Aziz menegaskan: "Cukuplah jika saya katakan mereka yang mampu dan ingin memperkasa bangsa tanpa menjadi pengemis. Ini lebih merupakan self-help. Dan tak perlu sebut soal bidang kuasa atau sebagainya."

Sememangnya cadangan mewujudkan badan yang dinaungi oleh Majlis Raja-Raja itu dilihat sebagai amat perlu dan relevan kerana raja-raja tidak mempunyai mekanisme untuk turun kepada rakyat. Dan mereka tidak wajar berhubung dengan parti politik kerana ini mempunyai potensi untuk mengkompromikan kedudukan mereka sebagai lambang dan entiti milik semua.

Ditanya bagaimana memastikan ketegasan raja-raja Melayu tidak mengulangi retorik politik serta pertubuhan bukan kerajaan yang mendakwa memperjuangkan Melayu Abd. Aziz menjawab: "Saya fikir penegasan raja-raja itu sesuatu yang baik dan kena pada masanya. Tetapi ia masih bersifat retorik dan sekadar penegasan sedangkan kita memerlukan langkah-langkah yang konkrit. Ini perlu dirangka berdasarkan keperluan semasa dan akan datang selain mempelajari kesilapan 51 tahun yang lalu,''.

Perlembagaan

Sementara itu, Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan, Dr. Shamrahayu Abd. Aziz percaya kenyataan akhbar raja-raja Melayu merupakan penegasan terhadap peranan yang dimaktubkan oleh Perlembagaan ke atas raja-raja Melayu mengenai perkara-perkara berkaitan Melayu, seperti perkara-perkaraberkaitan agama Islam, Bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang-orang Melayu.

Beliau sependapat dengan Abd. Aziz bahawa kenyataan akhbar sebegini menggambarkan kemelut berkaitan kedudukan bangsa Melayu dan hubungan kaum telah berada ditahap yang agak serius dan memerlukan campur tangan secara terus dari pihak Raja- Raja, yang juga merupakan institusi utama bertanggungjawab menjaga kedudukan dan kepentingan bangsa melayu.

Beliau percaya kenyataan tersebut telah dibuat dengan rasa tanggung jawab oleh para Raja Melayu mengenai peranan yang terletak dipundak mereka.

"Tidak dinafikan sebelum ini telah terdapat beberapa kenyataan mengenai isu ini yang telah dibuat oleh para Raja atau Putera Mahkota secara peribadi,atau melalui perutusan- perutusan tertentu.

"Namun isu tersebut masih juga menjadi perdebatan dan seolah-olah kenyataan atau perutusan tersebut tidak begitu diambil peduli dan terlepas di angin lalu," katanya.

Yang pasti harapan paling besar ialah semoga kesepakatan istana untuk memartabatkan kuasa Perlembagaannya menjadi peringatan kepada semua pihak agar berhenti daripada mempersoalkan kedudukan bangsa Melayu dan agama Islam.

Apa pun, realitinya, mungkin hanya tiga sahaja akhbar (termasuk Utusan Malaysia) yang menjadikan kenyataan akhbar raja-raja Melayu sebagai tajuk utama berita mereka manakala yang lain terutamanya akhbar dalam talian memberi tumpuan kepada dua berita lain, terutama mengenai kedudukan ekonomi negara dan pengharaman Hindraf.

"Oleh yang demikian pada pendapat saya keberkesanan kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Majlis Raja-raja ini tidak akan menjadi meluas dengan sikap akhbar ini. Saya menganggap kenyataan akhbar tersebut akan menjadi lebih bererti sekiranya mendapat kerjasama media dengan menghebahkan dalam tajuk berita atau di dalam ruangan sidang pengarang mereka.

"Namun agak menyedihkan, berita ini tidak menjadi tajuk hangat," katanya.

Apa pun keyakinan bahawa raja-raja Melayu mampu menyerlahkan peranan Perlembagaannya tetap ada. Ini kerana di peringkat permulaan iaitu selepas Durbar (Majlis Raja-Raja) dimulakan pada 1897, mereka telah berjaya menghasilkan banyak program.

Tanah simpanan Melayu, Maktab Melayu Kuala Kangsar, Rejimen Askar Melayu dan akhirnya asas kepada Perkara 153 (hak keistimewaan Melayu) itu sendiri di samping kedudukan bahasa Melayu dan Islam adalah dorongan raja-raja Melayu sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi.

Cuma kealpaan orang politik menyebabkan kesemua itu tidak berjaya disuburkan sepenuhnya sehingga menimbulkan keadaan seperti sekarang termasuk peminggiran tulisan jawi dan banyak lagi yang menuntut raja-raja Melayu menyemarakkan semula peranan mereka.

Selain bilangan profesional dan cerdik pandai Melayu yang berselerak di sana sini, kita ada sembilan kesultanan yang mempunyai ramai tenaga dan penggerak. Mereka ini perlu digembleng dan menjadi penghubung antara rakyat biasa dengan istana

Keyakinan bahawa wawasan ini boleh mendatangkan hasil sememangnya tinggi. Ini kerana jika sebelum merdeka Raja-Raja Melayu dapat menghasilkan sesuatu yang masih kekal hingga ke hari ini, kita tidak nampak ada hambatan yang serius dan tidak boleh diatasi.

Lagipun Raja-Raja Melayu tidak memerlukan kuasa formal; kesahan institusi yang akarnya menjalar ke zaman Melaka sudah cukup kuat untuk memberikan lonjakan dan stamina. Yang penting ada kesungguhan dan komitmen di kalangan Raja-Raja untuk menitahkan sesuatu. Bangsa Melayu pasti menyahutnya dengan penuh semangat. Setiap langkah yang dimulakan oleh istana akan disambut dengan ratusan dan ribuan langkah susulan oleh rakyat.





Arkit blog