Sabtu, Februari 11, 2012

Kandungan Surat Bantahan Rasmi SBM Terhadap Kempen 'Henti memberi, kami prihatin.

Hj Mohammed Nazari Othman
9hb Februari 9.28 ptg

Salam semua,
Kandungan Surat Bantahan Rasmi SBM Terhadap Kempen 'Henti Memberi, Kami Prihatin' anjuran JKMWP pada 31 Januari 2012 yang lalu untuk tatapan rakan-rakanku sekalian. Surat ini telah dikemukakan kepada yang berkenaan dan dilampirkan keratan akhbar daripada Sinar Harian, Akhbar Metro, Utusan Malaysia, The NewsHub serta Kenyataan Akhbar JKM berhubung perkara ini
Salam kasih sayang,
Hj Mohammed Nazari OthmanP
Presiden SBM
Pengarah
Jabatan Kebajikan Masyarakat
Wilayah Persekutuan
Tingkat 9, Grand Seasons Avenue
No 72, Jalan Pahang
50564 KUALA LUMPUR
Tuan,
KEMPEN HENTI MEMBERI, KAMI PRIHATIN
Pada 31 Januari (Selasa) yang lepas, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Wilayah Persekutuan (JKMWPKL) telah mengadakan kempen Henti Memberi, Kami Prihatin yang bertujuan untuk mendidik masyarakat agar tidak memberi pemberian wang kepada golongan pengemis. Kempen tersebut telah disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Raja Nong Chik bin Dato’ Raja Zainal Abidin, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar di KL Sentral.
Kempen ini juga merupakan salah satu inisiatif plan transformasi Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) JKMWPKL bagi menangani isu pengemis dan mensasarkan penurunan 30% indeks pengemisan di KL. Mengikut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh JKMWPKL, kempen ini diusahakan bagi memberi kesedaran dan kefahaman kepada warga KL mengenai aktiviti mengemis yang menyalahi undang-undang di bawah Akta Orang-orang Papa 1977.
Golongan manakah yang dikategorikan sebagai pengemis di bawah Akta ini? Adakah perkara ini diterangkan kepada umum semasa pelancaran kempen Henti Memberi, Kami Prihatin oleh pegawai penguasa JKMWPKL?
Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia atau Society of the Blind in Malaysia (SBM) merasa kesal dan dukacita dengan isi (substance) kempen ini. Golongan OKU penglihatan sering disalahtafsirkan sebagai sebahagian daripada golongan pengemis kesan dari pemahaman dan perlaksanaan Akta Orang-orang Papa 1977 oleh pegawai penguatkuasa JKM. Laporan-laporan akhbar yang disiarkan rentetan dari kempen ini juga menggambarkan polemik ini. Misalnya, akhbar Sinar Harian telah memberikan gambaran bahawa penjualan tisu dan barangan oleh OKU penglihatan merupakan sebagai sebahagian dari aktiviti pengemisan (Sinar Harian, 30 Januari 2012).
Melihat kepada keseluruhan isi utama kempen ini, Akta Orang-orang Papa 1977 dijadikan sempadan dalam perlaksanaan kempen ini. Walau bagaimanapun, slogan poster kempen memuatkan slogan-slogan seperti gejala ‘memperdagangkan orang’, ‘pelacuran’, ‘gelangdangan’. Di mana relevannya gejala-gelaja ini dengan konteks keseluruhan Akta Orang-orang Papa 1977?
Sejak sekian lama, OKU penglihatan yang menjalankan aktiviti penjualan tisu dan berniaga secara bergerak sering ‘diselamatkan’ di bawah kelemahan pemahaman dan perlaksanaan Akta Orang-oarang Papa 1977 oleh pegawai penguatkuasa JKM. Lebih mendukacitakan, ia turut dikaitkan dengan telahan tumpul (blantant assumption) bahawa aktiviti-aktiviti seperti ini didalangi oleh sindiket. Pihak NGO yang berkhidmat untuk kesejahteraan golongan OKU memandang berat telahan seperti ini. Telahan ini bukan juga perkara baru di kalangan pegawai penguatkuasa JKMWPKL. Berpegang kepada telahan tumpul dan tanpa mengambil jalan penyelesaian yang bersepadu bagi membuktikan kesahihan telahan ini oleh agensi kerajaan yang terlibat, amat membimbangkan! Sampai bila agensi-agensi kerajaan perlu berpandukan kepada telahan tumpul dan tidak berasas dalam perlaksanaan program dan polisi-polisinya?
Sebagai sebuah NGO yang berkhidmat untuk komuniti OKU penglihatan, SBM memandang serius ‘gejala penyelamatan’ yang longgar dan demi memperjuangkan kepentingan OKU penglihatan, SBM telah memulakan usaha rundingan dengan agensi-agensi kerajaan yang terlibat berhubung isu-isu seumpama ini.
Dengan penuh komitmen dan konsistensi, SBM membuat tindakan susulan yang tegas meminta kesemua pihak yang terbabit untuk berbincang pada Jun 2011. Satu memorandum berkaitan juga telah dihantar secara peribadi kepada YB Senator Sharizat sewaktu Majlis Dialog Bersama NGO di MAB pada 11 Ogos 2011. Memorandum tersebut mengandungi Kertas Kerja Cadangan Garis Panduan Penjaja Bebas Di Kalangan OKU dan Cadangan Pindaan Akta Orang-orang Papa 1977. Kami menyambut baik kesungguhan yang diberikan oleh pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat (KPWKM) pada ketika itu yang memandang berat isi kandungan memorandum tersebut.
Hasilnya, pihak KPWKM telah memanggil satu mesyuarat bersama NGO-NGO yang berkhidmat untuk golongan OKU dan agensi-agensi kerajaan yang lain seperti JKMWPKL sendiri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan lain-lain pada 23 Ogos 2011, bertempat di pejabat KPWKM yang terletak di Jalan Dato ‘Onn, Kuala Lumpur.
Kehadiran bagi mesyuarat pertama tersebut amat memberangsakan dan SBM sangat menghormati kesungguhan agensi-agensi kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri yang memberikan komitmen awal bagi membanteras gejala ini dan serius bagi mencari mekanisma pencengahan yang lebih efektif dan bersepadu.
Kandungan Memorandum yang diserahkan tidak dibuat secara sendirian oleh SBM. SBM telah berpakat dan bekerjasama dengan NGO-NGO yang berkhidmat untuk komuniti OKU penglihatan yang lain dalam menghasilkan memorandum tersebut. Antaranya adalah Majlis Kebangsaan Bagi Orang Buta Malaysia (National Council for the Blind Malaysia - NCBM), Pertubuhan Bagi Orang Buta Malaysia - Malaysian Association for the Blind (MAB), Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia (Society for the Advancement of the Blind - PPOB), Persatuan Kebajikan Bekerja Sendiri Orang Kurang Upaya Penglihatan Kuala Lumpur (PKB).
Hasil dari perbincangan tersebut telah diedarkan kepada semua yang terlibat dan ia tidak sepatutnya dilihat sebagai keputusan. Pihak SBM dan NGO yang berkhidmat untuk gologan OKU penglihatan turut menghantar panambah-baikan kepada catatan hasil mesyuarat yang dikelurkan oleh pihak KPWKM susulan dari mesyuarat tersebut (rujukan dokumen: Cadangan Pindaan Garis Panduan Penjaja Bebas Di Kalngan OKU dan Pindaan Akta Orang-orang Papa 1977). Ini menunjukkan bahawa SBM serius dan menyedari betapa longgar dan lemahnya pemahaman dan penguatkuasaan Akta Orang-orang Papa 1977 ini oleh pegawai penguatkuasa dan berpandangan ia tidak sepatutnya hanya melibatkan pihak KPWKM dan JKM sahaja.
Pengerusi mesyuarat tersebut, iaitu En. Harjeet Singh, TKSU (S) KPWKM juga mengumumkan bahawa mesyuarat pusingan pertama ini tidak terhenti setakat itu sahaja. Ia akan disusuli dengan mesyuarat dan pertemuan-pertemuan selanjutnya bagi menghasilkan satu garis panduan dan cadangan pindaan Akta Orang-orang Papa 1977 yang lebih lengkap.
Malangnya, belum pun kumpulan yang terbabit dalam pertemuan pertama dahulu bersidang untuk kesekian kalinya, JKMWPKL telah tidak semena-mena melancarkan kempen Henti Memberi, Kami Prihatin pada 31 Januari yang lepas.
Membanteras aktiviti pengemisan memerlukan satu mekanisma penguatkuasan yang mantap, efektif dan bersepadu. Dan, oleh kerana ianya berkaitan rapat dengan Akta Orang-orang Papa 1977, JKMWPKL sepatutnya memberikan komitmen yang tidak berbelah-bahagi kepada usaha yang telah dimulakan ini. Jika JKMWPKL, mengambil tindakan sebelum keputusan akhir disepakaiti oleh semua pihak yang hadir, SBM melihat usaha ini adalah sia-sia dan JKMWPKL tidak serius dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya.
Apakah JKMWPKL dengan sengaja mahu menghentikan usaha perbicangan bersepadu yang telah dimulakan?
Sehubungan itu, Pertubuhnn ini mengemukakan bantahan rasmi di atas kempen ini dan menolak sepenuhnya kempen ini yang melibatkan OKU penglihatan.
Sekian, terima kasih.
'BERSATU MEMBENTUK MASYARAKAT PENYAYANG'
'1Malaysia : Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan'
Yang benar,
HJ. MOHAMMED NAZARI HJ. OTHMAN
Presiden
s.k.: 1) YB Senator Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil
Menteri KPWKM
2) YB Senator Daro' Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin
Menteri KWPKB
3) Encik Harjeet Singh a/l Hardeev Singh
TKSU (Strtegik) KPWKM

Ahad, Februari 05, 2012

Salam sejahtera

Wah, nampaknya, dah begitu lama tidak menjelajahi blog saya ni. Almaklumlah, sibuk sangatlah. Ada kot dalam setahun mungkin tak terkemaskini blog ni.

 

Sedar tak sedar, kita telah pun melangkah ke tahun 2012. Masa begitu cepat sekali berlalu. Apa yang akan berlaku pada tahun ini? Yang pastinya, pilihanraya yang ditunggu-tunggu pasti berlaku. Dan diharapkan, Barisan Nasional telah membuat persediaan yang cukup dan rapi untuk menghadapi pilihanraya ini.

 

Pada tahun ini juga, RTM sekali lagi terpaksa mengorbankan salah satu saluran radio FM-nya untuk mengwujudkan saluran yang telah lama berkubur.  Saluran radio yang terpaksa dikorbankan ialah saluran Muzik FM. Dan digantikan dengan saluran Nasional FM yang telah dikuburkan pada Ogos 2006 gara-gara ingin mengwujudkan saluran Klasik Nasional pada ketika itu.

 

Semua cawangan SBM dah adakan BGM tahun lalu. Ada yang bertukar tampuk pemerintahan ada yang kekal. yang pastinya, saudara Hashim Ishak dari melaka dan saudara Nasir dari Terengganu masih kekal di takhta SBM cawangan masing-masing.  Tampuk pemerintahan SBM Pulau Pinang telah pun bertukar tangan dari saudara Tan Ah Ba kepada Md Akhir Embi.

 

Pada Jun tahun lalu, SBM telah mendapat seorang setiausaha eksekutif yang baru yang menggantikan tempat cik Chok Siew Lee. nama beliau ialah cik Azeera Arifin. Beliau seorang yang amat rajin dan tekun bekerja tanpa mengenal penat-lelah.

 

Ok, kalau anda semua ingin berbual di atas talian, bolehlah menggunakan perisian yang dipanggil Loud Talks.  Untuk memuat turun perisian ini, sila Klik di sini.

 

Ok, setakat ini dahulu celoteh buat kali ini. Jumpa lagi. Bye.

Sindikit pengemis buta

Sindikit pengemis buta

NORAIZURA AHMAD
30 Januari 2012

Sindikit pengemis buta

“Derma encik”. Itulah kata-kata pengemis cacat penglihatan sambil menghulurkan tisu ataupun kalendar untuk ditukarkan dengan wang.
Menjadikan restoran sebagai tempat meminta sedekah, pastinya pelanggan yang sedang menikmati hidangan yang enak- enak tidak sampai hati melihat golongan ini meminta-minta, lalu mereka menghulurkan derma.
Bagaimanapun, niat ikhlas pemberi sumbangan ini membuatkan pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.
Itulah yang terjadi kepada golongan cacat penglihatan yang ditindas oleh golongan yang sempurna dan hanya mementingkan keuntungan.
Namun, sindiket yang menggunakan golongan cacat penglihatan ini masih belum disahihkan kerana kebanyakan yang ditemui mengakui mereka melakukannya dengan kerelaan hati, membantu golongan cacat penglihatan ini meneruskan kelangsungan hidup.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa kawasan di Shah Alam, Subang Jaya dan Bangsar menyelami nasib si pengemis buta yang dipercayai didalangi sindiket untuk mendapatkan keuntungan ataupun mereka ini mahukan wang dengan cara yang mudah.
Mengemis, menjual tambah pendapatan
Tinjauan Sinar Harian mendapati orang cacat penglihatan dibawa oleh seorang lelaki ataupun perempuan sambil menjual barangan mereka seperti kalendar dan tisu di kawasan tumpuan orang ramai seperti kedai mamak, pasar malam dan sebagainya.
Salah seorang yang hanya mahu dikenali sebagai Ali berkata, dia dan isterinya terpaksa menjual kalendar untuk menyara dua anaknya yang masih kecil.
Ali yang cacat penglihatan dibantu seorang wanita yang diperkenalkan sebagai isterinya berasal dari Indonesia. Mereka tinggal di sekitar Kuala Lumpur dan menggunakan teksi sebagai pengangkutan untuk keluar menjual barangan mereka.
“Kami tidak bekerja dan menjual kalendar ini untuk menyara kehidu-pan seharian dan setiap hari kami hanya memperoleh tidak lebih daripada RM100.
“Kalendar ini kami tempah khas untuk dijadikan barang jualan kepada orang ramai dan mendapat simpati daripada orang ramai untuk membeli dan menderma,” katanya.
Ali yang berusia 40-an dan isterinya berusia 30-an itu pergi selepas ditanya pelbagai soalan dan meneruskan aktiviti mereka meminta derma di salah sebuah restoran.
Boleh dikenakan tindakan
Pengarah Bahagian Warga Tua dan Keluarga, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, Roslan Baba berkata, aktiviti mengemis yang menggunakan orang buta ada dilaporkan tetapi ianya merangkumi keseluruhan pengemis yang dikenalpasti.
Menurutnya, ini juga dipercayai didorong oleh sindiket yang menggunakan orang buta bagi mendapatkan wang dengan cara yang lebih mudah.
“Kaedah mendapatkan simpati orang ramai dan dibantu oleh pengiring yang sempurna sifat membantu mereka ini mendapatkan wang yang lebih.
“Antara kaedah yang digunakan bukan sahaja mengemis dengan tangan kosong tetapi ditukarkan dengan menjual tisu, kerepek, kalender ataupun ayat-ayat suci al-Quran,” katanya.
Roslan berkata, sekiranya ditangkap, mereka bersama pengiring juga menerima nasib yang sama kerana pengiring seolah-olah bersubahat dengan mendapatkan wang.
Menurutnya, mereka ini dikategorikan di bawah Akta Orang Papa 1977 bagi menyelamatkan orang yang terlibat supaya tidak meneruskan aktiviti mengemis mereka.
“Berdasarkan laporan yang diterima mereka ini akan bergerak dari satu tempat ke satu tempat bagi menjalankan aktiviti mereka.
“Mereka akan ditemani seorang wanita atau lelaki celik yang membantu mereka bagi memastikan tidak ditipu orang ramai,” katanya.
Beliau berkata, walaupun alasan mereka hanya menampung keperluan kehidupan seharian, golongan cacat penglihatan ini dipercayai berselindung di sebalik sindiket pengemis yang mengaut keuntungan berpuluh-puluh ribu sebulan bagi setiap seorang orang kurang upaya (OKU) di bawah jagaan mereka.
Menurutnya, kegiatan ini disifatkan sebagai satu manipulasi sindiket terancang yang berniat memeras kudrat OKU yang sama sebahagian besarnya adalah orang tempatan.
“Dipercayai perolehan pendapatan daripada mengemis dibahagikan diantara OKU dan orang yang menemaninya.
“Ada yang mendakwa, mereka ini memperolehi pendapatan mencecah RM20,000 sebulan dan ada kemungkinan juga, sindiket pengemis buta ini mendapat persetujuan daripada pengemis sendiri yang juga mahukan wang dengan cara dengan lebih mudah dengan menggunakan kekurangan yang ada pada mereka,” katanya.
Roslan berkata, tindakan OKU yang meminta belas orang ramai merupakan tindakan pengemis dan ianya menyalahi Akta Orang-Orang Papa 1977.
Menurutnya, turut tidak menafikan keadah mengemis menggunakan orang buta ini dipercayai diselubungi sindiket tetapi pihaknya masih belum dapat membuktikan dakwaan tesebut.
Bagi mengatasi masalah dan kegiatan mengemis ini, JKM akan mengadakan kempen ‘Berhenti Memberi, Kami Prihatin’ pada 31 Januari ini peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Menurutnya, jika sebelum ini operasi membersihkan pengemis sentiasa dilaksanakan tetapi kali ini memberi tumpuan kepada pemberi.
Roslan berkata, pihaknya sering mengadakan operasi melalui tiga kaedah iaitu operasi bersepadu bersama pihak berkuasa tempatan, polis dan agensi yang terlibat, operasi berjadual dan operasi berdasarkan aduan.
Beliau berkata, jumlah pengemis yang diselamatkan sehingga bulan Oktober 2011, lelaki 915 orang dan perempuan 359, jumlahnya, 1274.
Bilangan operasi pengemis dan kutu rayau, operasi bersepadu, 57 orang , operasi berjadual, 417orang, aduan orang ramai, 275 orang, rujukan agensi dan persatuan, 60 orang dan lain-lain 102 orang.
MAD sedia membantu
Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) tidak menolak dakwaan terdapat pengemis buta yang mengemis menggunakan pengiring untuk menambah pendapatan mereka ataupun untuk menyara keluarga.
Mereka ini ada diantaranya digunakan individu tertentu untuk mendapat simpati supaya orang ramai terus memberi sumbangan.
Pelbagai kaedah yang digunakan seperti menjual tisu, kalendar dan menjual kerepek sebagai kaedah mereka untuk mengemis. Ini seolah-olah mereka menjalankan perniagaan bergerak bagi mengelakkan daripada mereka dikategorikan sebagai pengemis.
Pemangku Pengarah Eksekutif MAB, Datuk S Ganesan berkata, pihaknya sebelum ini tidak menerima laporan mengenai orang buta yang dijadikan pengemis untuk satu sindiket tetapi tidak menolak dakwaan ada pengemis yang terdiri daripada orang buta.
Menurutnya, beberapa tahun lalu, pihaknya ada menerima laporan mengenai orang cacat penglihatan ini dijadikan pengemis di Perak dan ditempatkan di beberapa kawasan.
“Kita ada terima laporan tetapi tidak dapat membongkar mengenai isu ini dan pemantauan berterusan kita laksanakan kerana tidak mahu golongan ini ditindas oleh mereka yang hanya memikirkan keuntungan dengan mudah.
“Sehingga kini, MAB sering terlibat dalam operasi dengan kerjasama daripada pihak berkuasa bagi mencegah kegiatan mengemis menggunakan orang cacat penglihatan kerana tidak mahu mereka ini dipandang rendah,” katanya ketika ditemui di pejabat MAB.

Beberapa komen.

1.

Mohd Mazlan Penghulu · Works at Bekerja sendiri

Kami warga sibuta, ingin pihak sinar harian membuktikan bahawasanya, kami mempunyai sendiket yang yang diperkatakan.. Jangan pandai tulis saja, tetapi tanpa bukti! carilah maklumat yang betul dan tepat.. kalau tak tau apa2, jangan tulis sesuka hati.. APA PIHAK JKM BOLEH BANTU KAMI YANG TAK ADA KERJA NI?

2.

Pak Lang Nogori · Top Commenter · UPM Serdang

sindeket ni mungkin ado mungkin tidak, kejadian macam ni boleh dilihat dimano-mano, tak percayo ado dopan mato, terpulang pada semuo, kesian bori..kalu tak jangan ambek poduli.....

3.

Norhisyam Bin Mohamad Zainudin · Top Commenter · Kolej poly-tech mara kuantan

yang sepatutnya rakyat yang memerhati tu kne buat aduan ... call polis je, talian 999 or 112 (henset) buat aduan pengemis cam ni ... rata2 pengemis skrg ni sindiket ...

4. Abby Elyshah Binti BaronElyshah

Komen beliau telah dibuangkan dari sini. Sebab, beliau memberi komen seperti orang yang takdak maruah diri. menggunakan bahasa dan perkataan lucah. mata tu sudahlah buta, hati pun buta jugak?

5.

Fiza Sa'ban · SubscribeSubscribed · Kolej PTPL sentral

org rmai yg prihatin nk menderma ikot la saluran yg betol, mcm melalui zakat ke, masjid2 ke..tepuk dada tanya selera...fikir dahulu sblum brtindak..jgn pkir ikhlas memberi tapi kena tau jugak ke mana duit kte pergi....huhu~.

6.

HNadim Bentara Kanan · Proprietor at Self employed

Makan RM5, kalau 5 kali datang dah sama dengan harga makanan.. memang sedekah tu baik dan mendapat pahala. Tapi kalau asyik kena tipu dengan sindiket?

Arkit blog