Rabu, Oktober 28, 2009

Potong dan tampal

dnesday, October 28, 2009 4:43 PM
 
 

Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) menyediakan pelbagai bahan bacaan daripada novel hingga buku ilmiah untuk golongan itu yang terletak di Brickfields, Kuala Lumpur.




BAGI manusia sempurna, buku Braille hanyalah sekeping kertas yang penuh dengan titik-titik kecil. Namun, kepada golongan cacat penglihatan, ia umpama jendela kepada dunia ilmu dan pengetahuan.

Jika teks novel atau artikel biasa perlu melalui proses penterjemahan kepada titik-titik Braille di atas kertas, bagaimana pula dengan buku teks sekolah yang mengandungi pelbagai gambar rajah?

Sudah tentu bahan teks sahaja tidak mencukupi untuk menerangkan sesuatu yang kompleks. Jadi gambar rajah juga perlu diterjemahkan.


KOMPUTER membantu mempercepatkan penghasilan buku Braille.


Bagaimanapun, proses menghasilkan diagram Braille tidaklah semudah yang disangka. Ia perlu dilakukan secara manual seperti kita melakukan seni kolaj iaitu potong dan tampal.

Menurut pustakawan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB), Maswirda Morad, 28, proses membuat master copy gambar rajah memakan masa yang agak lama iaitu di antara satu hingga dua hari untuk satu muka surat.

"Individu terbabit perlu kreatif dalam menentukan bahan yang digunakan untuk menimbulkan gambar rajah yang ada. Antara bahan yang kami guna adalah benang, dawai, manik, kertas pasir dan kad manila.

"Sebelum dicetak di atas kertas khas iaitu braillon, master copy itu perlu diperiksa oleh orang cacat penglihatan bagi menentukan sama ada gambar rajah itu difahami atau tidak. Jika ia tidak mampu menyampaikan mesej yang sepatutnya, diagram itu perlu dibuat semula," kata Maswirda, pemegang Sarjana Muda Pengurusan Maklumat dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Setelah gambar rajah itu sempurna, ia akan dicetak menggunakan mesin Thermoform yang menggunakan haba bagi menekapkan kolaj tersebut kepada kertas braillon. Mesin tersebut berharga RM14,255 sebuah.


BUKU Braille sangat diperlukan golongan cacat penglihatan.


Namun, kata Maswirda, jika ada kecacatan walaupun sedikit pada kertas braillon iaitu seperti terlipat atau tergaris, ia tidak akan digunakan.

Ini kerana pembaca cacat penglihatan bergantung kepada deria hujung jari untuk membaca. Jika ada sebarang kecacatan pada muka surat, ia akan mengganggu pembacaan mereka.

Buku Braille bukan saja mengambil masa yang lama, bahkan ia juga melibatkan kos yang tinggi untuk dihasilkan. Sehelai kertas braillon berharga RM1. Sehubungan itu, kata Maswirda, harga buku Braille boleh mencecah tiga kali ganda daripada buku biasa.


MESIN embosser boleh mencetak kedua-dua bahagian depan dan belakang kertas.


Mesin pencetak Braille pula iaitu mesin embosser Everest keluaran Index bernilai RM16,425. Mesin ini berfungsi seperti mesin pencetak biasa, bezanya ia adalah untuk kod Braille.

Mesin ini menggantikan mesin taip Braille konvensional dan mampu mencetak buku Braille dengan lebih cepat. Ia digunakan bergandingan dengan perisian JAWS yang dilengkapi suara dan mampu menterjemahkan tulisan rumi kepada Braille.

Setiap buku akan diimbas ke dalam perisian JAWS atau ditaip ke dalam Microsoft Words. Setelah disunting bagi memastikan tiada kesalahan ejaan, ia akan dicetak. Keistimewaan embosser ini adalah ia mampu mencetak kedua-dua bahagian kertas tersebut.

"Mungkin ramai yang tertanya-tanya bagaimana titik Braille dicetak di atas kertas yang sama depan dan belakang. Sebenarnya, mesin ini telah diprogramkan untuk mencetak titik Braille berbeza baris.

"Muka hadapan akan dicetak di atas manakala muka belakang akan dicetak sedikit ke bawah. Ia tidak akan mengelirukan kerana pembaca akan membaca titik yang timbul sahaja," kata kerani Unit Penerbitan Braille MAB, Abian Jambot, 33.


BUKU Braille jauh lebih tebal berbanding buku konvensional.


Menurut Abian, walaupun buku-buku tersebut telah diimbas, mereka tetap akan meminta sukarelawan atau staf yang celik untuk menyunting semula setiap perkataan yang ada bagi mengelakkan kesilapan.

Bagi produksi yang lebih besar, MAB mempunyai sebuah lagi mesin iaitu Four Wave yang mampu mencetak 16 helai pada satu masa.

Penerbitan buku Braille yang dilakukan di Perpustakaan MAB adalah untuk kegunaan perpustakaan itu ataupun dijual mengikut tempahan penerbitan buku-buku tertentu.


MESIN embosser yang berharga RM16,425 seunit.


"Setakat ini, perpustakaan MAB mempunyai 526 ahli berdaftar. Masih ramai sebenarnya yang tidak mengetahui bahawa di sini ada menawarkan pelbagai kemudahan seperti pinjaman bahan bacaan dan juga tempahan buku Braille.

"Dengan penerbitan-penerbitan buku baru setiap bulan, secara langsung ia menambahkan bahan bacaan di perpustakaan ini. Kami juga ada membuat promosi di sekolah-sekolah dan juga perpustakaan lain untuk mempromosikan perkhidmatan dan produk yang kami tawarkan," kata Maswirda.

MAB menerima tempahan daripada pelbagai organisasi untuk menghasilkan buku Braille, termasuk agensi kerajaan seperti Kementerian Pelajaran, organisasi seperti Bank Negara Malaysia dan individu yang ingin melakukan khidmat masyarakat atau untuk kegunaan sendiri.

Namun, hasil buku Braille tidak akan sama dengan buku teks biasa kerana ruang Braille berbeza daripada ruang cetakan biasa. Bagi sebuah buku teks dengan jumlah purata 350 muka surat akan menghasilkan 12 jilid buku dengan kod dan diagram Braille.

Kerana itu ramai yang datang ke perpustakaan MAB lebih cenderung meminjam buku audio iaitu bacaan buku yang direkod ke dalam cakera padat (CD) kerana ia lebih mudah untuk dibawa.

Bagi proses penerbitan buku audio pula, pihak perpustakaan MAB menggunakan khidmat sukarelawan bagi membaca buku di dalam studio khas untuk direkodkan. Dengan ini, orang kurang upaya (OKU) boleh mendengar kandungan buku dengan hanya meminjam sekeping CD.

Tiada bayaran dikenakan untuk setiap pinjaman bahan di perpustakaan cuma akan didenda sekiranya lewat memulangkan bahan-bahan tersebut.

Kini, perpustakaan MAB mempunyai 900 buku audio dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Cina. Buku Braille pula sebanyak 1,652 dalam bahasa Inggeris dan Melayu sesuai untuk bacaan dewasa dan kanak-kanak.


SEORANG pekerja MAB, Rosnah Tahar, memeriksa buku Braille yang telah siap.


Sukarelawan-sukarelawan akan datang ke MAB untuk menjalankan kerja-kerja rakaman audio, membaca buku kepada petugas (yang cacat penglihatan) untuk ditaip atau membuat kolaj gambar rajah.

Menurut seorang sukarelawan Uma Thevendran, 64, yang baru empat bulan menawarkan khidmatnya di MAB, niat untuk melakukan amal telah disimpan sejak dulu lagi cuma tidak mempunyai peluang.

"Selepas pencen saya tidak ada banyak aktiviti untuk dilakukan. Saya akan ke MAB setiap minggu untuk membaca selama lebih kurang sejam.

"Saya telah lama tahu mengenai program sukarelawan ini cuma tidak berkesempatan menyertainya. Ini adalah cara terbaik membantu mereka yang memerlukan," katanya ketika ditemui dalam bilik audio MAB.

Setakat ini, MAB mempunyai kira-kira 30 sukarelawan yang aktif menawarkan suara atau tenaga untuk produksi buku-buku Braille.

Pihak MAB mengalu-alukan pihak yang ingin menjadi sukarelawan. Mereka yang berminat boleh menghubungi MAB di talian 03-2272 2677.

Sabtu, Oktober 24, 2009

Menyediakan ramuan bajet menjaga kesejahteraan rakyat


Menyediakan ramuan bajet menjaga kesejahteraan rakyat

SELAMA dua jam Datuk Seri Najib Tun Razak berdiri di Dewan Rakyat untuk membentangkan cadangan Bajet 2010.

Selaku Perdana Menteri, beliau tenang dan bersemangat mengemukakan bajet sulongnya sebagai Menteri Kewangan.

Bajet ini mempunyai makna yang cukup besar kerana inilah bajet terakhir dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan ia juga menjadi pembuka tirai ke arah RMK-10 dan asas model ekonomi baru.

Dengan tema "1Malaysia, Kemakmuran Bersama" Najib menyusun langkah dan strategi untuk negara menangani dan menghadapi cabaran ketidaktentuan ekonomi global.

Berdasarkan pengalaman lepas, kerajaan pusat di bawah teraju Barisan Nasional diyakini mampu membawa Malaysia menjadi negara pelaku perubahan dan pencipta penyelesaian dalam menghadapi cabaran getir ekonomi dunia.

Kita tidak boleh membiarkan ekonomi negara ditekan dan kesannya pasti akan dirasai oleh rakyat. Malah kita tidak mahu kekangan ini membantutkan harapan kita untuk menjadi negara maju menjelang 2020.

Dalam hal ini, kita setuju bahawa Malaysia perlu melakukan transformasi dan inovasi secara menyeluruh. Perkara yang menjadi agenda utama negara ini sedang dilaksanakan melalui gagasan 1Malaysia, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Petunjuk Prestasi Utama, model ekonomi baru, PEMUDAH, PEMANDU dan Majlis Penasihat Ekonomi Negara.

Syukur, hasil langkah-langkah proaktif kerajaan, kita dapat merasakan tanda-tanda pemulihan sekarang. Sebagai mana keyakinan Najib, begitu juga rakyat mengharapkan pada 2010 ekonomi global akan kembali pulih.

Dengan itu fokus Bajet 2010 yang mendahulukan kesejahteraan rakyat dan mengutamakan pencapaian NKRA dapat dilaksanakan. Ketiga-tiga strategi Bajet 2010 wajar diberi perhatian khusus, terutama kaitannya dengan model ekonomi baru iaitu memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi; memastikan pembangunan holistik dan mapan; dan mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Kita yakin strategi-strategi itu bakal meningkatkan keupayaan sektor swasta kembali menjadi penjana utama ekonomi negara, menambah kekuatan modal insan dan menjamin kesejahteraan hidup rakyat tanpa mengira kaum.

Kita rasa bersyukur kerana ketika berdepan dengan cabaran global, kerajaan mampu untuk menguruskan ekonomi negara tanpa memberi tekanan kepada rakyat, ahli perniagaan dan pelabur.

Sesungguhnya beberapa strategi yang dibentangkan oleh Najib bertujuan menambah baik kedudukan ekonomi negara dalam menghadapi cabaran di samping terus menjamin kesejahteraan rakyat.

Dengan pelepasan cukai, pemberian insentif, biasiswa dan dana bantuan, Bajet 2010 menyediakan satu persekitaran yang membolehkan rakyat dan ahli perniagaan mampu berkembang maju dan berdaya tahan dalam mengharungi cabaran mendatang.

Bajet 2010 sesungguhnya bukan semata-mata pengagihan peruntukan dan usaha mencari pendapatan negara, tetapi lebih penting lagi terkandung di dalamnya ramuan formula untuk menjaga kesejahteraan dan mendahulukan rakyat di bandar dan luar bandar. Malah ia juga memastikan pencapaian diutamakan agar ia bersesuaian dengan gagasan 1Malaysia.

1Malaysia, Kemakmuran Bersama


1Malaysia, Kemakmuran Bersama

Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan supaya rang undang-undang bertajuk "Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2010 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu" dibaca bagi kali kedua.

Alhamdulillah, dipanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah dengan izin dan limpah kurnia-Nya, dapat saya membentangkan Bajet 2010 di Dewan mulia ini. Sesungguhnya bajet ini merupakan bajet sulung saya sejak memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan.

Suka saya memulakan bajet pertama ini dengan membacakan firman Allah SWT dalam surah Al-Zukhruf, ayat ke 32 yang bermaksud: "Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan rahmat Tuhanmu wahai Muhammad? Kami telah menentukan antara mereka segala keperluan hidup di dunia ini dan Kami juga telah meninggikan darjat sesetengah mereka melebihi sesetengah yang lain, semuanya ini supaya sebahagian daripada mereka mendapat kemudahan menjalani kehidupan daripada sebahagian yang lain".

Beriktibar daripada ayat itu, sebagai pihak pemerintah yang diberi amanah, kerajaan memikul tanggungjawab besar untuk memastikan hasil negara dapat dinikmati oleh seluruh rakyat secara adil dan saksama.

Sekalipun Bajet 2010 ini merupakan bajet terakhir untuk tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), tetapi ia amat penting sebagai asas pembentukan model ekonomi baru dan pembuka tirai kepada RMK-10.

Kini, negara berada di kedudukan kritikal sama ada untuk terus terperangkap dalam kelompok negara berpendapatan sederhana atau memilih untuk melonjak sebagai ekonomi pendapatan tinggi. Lantaran itu, kita perlu menjadi negara pelaku perubahan dan pencipta penyelesaian dalam mengharungi saat-saat paling mencabar iktisad global.

Kita telah berjaya melakukan transformasi ekonomi berasaskan pertanian kepada perindustrian. Kini kita akan beranjak kepada satu bentuk model ekonomi baru berasaskan inovasi, kreativiti dan nilai tambah tinggi.

Inovasi merupakan agenda utama negara. Kerajaan akan mentransformasikan Malaysia melalui proses inovasi yang menyeluruh. Merangkumi inovasi tadbir urus dalam sektor awam dan swasta, inovasi dalam kemasyarakatan (societal innovation), inovasi bandar, inovasi desa, korporat, industri, pendidikan, penjagaan kesihatan, pengangkutan, jaringan keselamatan sosial dan inovasi penjenamaan. Sebahagian daripada proses inovasi ini sedang dilaksanakan melalui pelbagai prakarsa seperti Gagasan 1Malaysia, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Penunjuk Prestasi Utama (KPI), model ekonomi baru dan pengwujudan PEMUDAH, PEMANDU dan NEAC. Kerajaan amat komited dan serius untuk melakukan total innovation untuk membawa negara ke tahap ekonomi lebih maju. Innovative Leadership for 1United, Innovative Malaysia.

Saya mengambil beberapa langkah penting bagi merangsang ekonomi demi menjamin kesejahteraan rakyat iaitu:

i. Memperkenalkan Gagasan 1Malaysia: "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan";

ii. Meliberalisasikan 27 subsektor perkhidmatan dan kewangan;

iii. Melaksanakan NKRA dan KPI; memansuh garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing dan menubuhkan Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS);

iiii. Melaksanakan program untuk meringankan beban rakyat termasuk Program Perumahan Rakyat dan infrastruktur luar bandar;

v. Melancarkan Amanah Saham 1Malaysia untuk menggalakkan pelaburan dan meningkatkan pendapatan.

Saya telah mengumumkan KPI anggota perkhidmatan awam. Ia merupakan langkah besar yang belum pernah diambil oleh mana-mana negara.

Bagi mencapai matlamat KPI dengan lebih berkesan, saya mengumumkan enam NKRA iaitu mengurangkan kadar jenayah; memerangi rasuah; meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan; meningkat taraf hidup rakyat berpendapatan rendah; memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman; serta menambah baik pengangkutan awam.

PRESTASI EKONOMI

Ekonomi Malaysia merupakan sebuah ekonomi terbuka, di mana jumlah dagangan lebih kurang 200 peratus daripada KDNK. Oleh itu, ia terdedah kepada ketidaktentuan perdagangan luar dan aliran modal antarabangsa. Natijah daripada krisis global, eksport negara merosot sebanyak 23.4 peratus dalam tempoh separuh pertama tahun 2009 berbanding peningkatan 15.5 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas. Indeks pengeluaran perindustrian pula merosot kepada 12.7 peratus berbanding peningkatan 3.3 peratus. Manakala, jumlah bersih pelaburan langsung asing berkurangan kepada RM3.6 bilion berbanding RM19.7 bilion bagi tempoh sama.

Sebagai langkah proaktif, kerajaan telah bertindak pantas dengan melaksanakan dua Pakej Rangsangan Ekonomi berjumlah RM67 bilion. Pakej ini merupakan antara yang terbesar dan komprehensif daripada segi jumlah dan liputan berbanding negara lain. Pelaksanaannya berjaya mengelakkan negara daripada terjerumus ke dalam kemelesetan ekonomi yang lebih teruk. Sehingga 16 Oktober 2009, lebih 48,000 projek telah siap dan hampir 40,000 projek sedang dilaksanakan. Alhamdulillah, saya ingin maklumkan, secara keseluruhannya kesemua pelaksanaan pakej rangsangan adalah mengikut jadual.

Tanda-tanda pemulihan ekonomi telah mula dilihat melalui tindakan proaktif kerajaan. KDNK suku kedua 2009 menguncup dengan lebih perlahan pada kadar negatif 3.9 peratus berbanding suku pertama pada kadar negatif 6.2 peratus. Prestasi baik ini disokong oleh kecergasan sektor pembinaan yang berkembang 2.8 peratus pada suku kedua hasil pelaksanaan projek di bawah pakej rangsangan. Sektor pertanian dan perkhidmatan mencatat pertumbuhan 0.3 dan 1.6 peratus. Perbelanjaan penggunaan swasta pula kembali meningkat sebanyak 0.5 peratus berikutan bertambahnya keyakinan sektor isi rumah dan sentimen pasaran buruh yang lebih baik.

Seperti yang diunjurkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa atau IMF pada 1 Oktober, ekonomi dunia tahun 2009 menguncup pada kadar lebih rendah iaitu negatif 1.1 peratus berbanding negatif 1.4 peratus semasa anggaran dibuat pada Julai tahun ini. Bagi tahun 2010 pula, ekonomi dunia dijangka kembali berkembang pada kadar 3.1 peratus. Perdagangan dunia pula, dijangka mencatat negatif 11.9 peratus pada 2009 dan kembali pulih 2.5 peratus pada 2010. Mengambil kira perkembangan ekonomi dan perdagangan dunia serta persekitaran ekonomi domestik yang lebih baik, KDNK bagi 2009 diunjurkan negatif 3 peratus - lebih baik daripada anggaran awal antara negatif 4 hingga negatif 5 peratus pada 28 Mei 2009.

Menjelang tahun depan, ekonomi negara dijangka kembali pulih dan cergas. Bagi tahun 2010, ekonomi dijangka berkembang kepada 2 hingga 3 peratus. Semua sektor ekonomi dijangka mencatat pertumbuhan positif iaitu sektor perlombongan 1.1 peratus, pembuatan 1.7 peratus, pertanian 2.5 peratus dan pembinaan 3.2 peratus. Sektor perkhidmatan kekal menjadi penggerak utama, berkembang 3.6 peratus. Pertumbuhan ekonomi ini juga didorong oleh penggunaan swasta 2.9 peratus dan pelaburan swasta yang kembali pulih 3.4 peratus.

Di samping itu, peningkatan semula eksport sebanyak 3.5 peratus, dianggar turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Kadar inflasi kekal rendah antara 1.5 hingga 2.5 peratus. Kadar pengangguran rendah di bawah 4 peratus. Pendapatan per kapita meningkat 2.5 peratus kepada RM24,661. Pendapatan daripada segi pariti kuasa beli meningkat kepada AS$13,177.

STRATEGI BAJET 2010

Bajet 2010 akan menjadi asas kepada pembentukan model ekonomi baru dan penggubalan RMK-10. Selaras dengan Gagasan 1Malaysia, fokus Bajet kali ini akan mendahulukan kesejahteraan rakyat dan mengutamakan pencapaian matlamat NKRA. Bajet ini juga memberi penekanan kepada usaha melonjakkan peranan sektor swasta sebagai peneraju pertumbuhan ekonomi, membangunkan modal insan berkemahiran tinggi dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam. Bertemakan "1MALAYSIA, KEMAKMURAN BERSAMA" Bajet ini bertumpu kepada 3 strategi berikut:

Pertama: Memacu Negara ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi;

Kedua: Memastikan Pembangunan Holistik Dan Mapan; dan

Ketiga: Mengutamakan Kesejahteraan Rakyat.

STRATEGI PERTAMA: MEMACU NEGARA KE ARAH EKONOMI BERPENDAPATAN TINGGI

Kerajaan akan mengambil pendekatan baru berpaksikan inovasi, kreativiti dan nilai tambah tinggi. Langkah ini akan meningkatkan pendapatan per kapita rakyat lebih dua kali ganda dalam tempoh 10 tahun akan datang.

MENINGKATKAN PELABURAN SWASTA

Sektor swasta pernah menerajui pertumbuhan ekonomi. Sumbangan pelaburannya mencecah 30 peratus daripada KDNK. Namun, keadaan ini berubah sejak krisis kewangan Asia 1997/98. Kini, pelaburan swasta menyusut ketara di bawah 10 peratus daripada KDNK. Pelaburan langsung domestik berkurangan daripada RM72 bilion pada 1997 kepada RM56 bilion pada 2008.

Oleh itu, sumbangan sektor swasta dalam memacu ekonomi perlu diperkasakan kembali. Kerajaan akan memberi keutamaan kepada usaha meningkatkan pelaburan domestik dan menggalakkan syarikat kita di luar negara membawa balik keuntungan untuk melabur semula di sini. Negara menghadapi persaingan sengit dari negara serantau untuk menarik pelaburan asing yang terhad. Dengan itu, langkah-langkah agresif dan inovatif akan segera diambil bagi menambat dan meningkatkan semula kemasukan pelaburan.

Menyediakan Persekitaran Mesra Perniagaan

Kerajaan akan menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif melalui perubahan struktur menjadi sebuah ekonomi berorientasikan pasaran. Ke arah ini, Pihak Berkuasa Tempatan hendaklah memudahkan urusan pendaftaran perniagaan dan mempercepatkan pengeluaran Perintah Pembangunan. Dua buah Mahkamah Baru Bahagian Dagang juga ditubuhkan oleh Kerajaan dalam usaha mempercepatkan pelupusan kes-kes dagang dan memendekkan tempoh masa penyelesaian kepada sembilan bulan sahaja.

Memenuhi maksud sistem penyampaian yang efektif, individu dan syarikat kini hanya perlu menggunakan nombor rujukan tunggal. Maknanya tidak perlu lagi bersusah payah menghafal pelbagai nombor rujukan yang kadang kala mengelirukan dalam urusan seharian di pejabat-pejabat kerajaan. Perkara ini sudah dimudahkan. Bagi individu, ia dikenali sebagai MyID menggunakan nombor MyKad. Bagi syarikat, MyCoID dengan menggunakan nombor pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Kedua-dua inisiatif ini diperkenalkan pada 1 September 2009. Pada peringkat awal, MyID digunakan di Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). MyCoID pula, digunakan di LHDN, KWSP, Pembangunan Sumber Manusia Berhad dan SOCSO. Penggunaan MyID dan MyCoID ini akan diperluaskan kepada agensi kerajaan lain secara berperingkat mulai awal 2010.

Usaha gigih untuk menarik individu berbakat dan berkemahiran tinggi dari negara luar adalah kritikal. Untuk ini, kerajaan akan mempermudah pelaksanaan program pemberian Taraf Pemastautin Tetap (PR) kepada individu berbakat dan berkemahiran tinggi bagi mempercepatkan pemindahan teknologi dan proses transformasi. Selain itu, kini ahli keluarga ekspatriat yang masih berada di bawah tanggungan akan diberi visa secara automatik dalam tempoh 14 hari sahaja. Dengan itu juga, kemudahan PR akan dipanjangkan kepada lelaki warga asing yang berkahwin dengan wanita warga Malaysia seperti yang diberikan kepada wanita warga asing.

Persekitaran mesra perniagaan juga menuntut bekalan elektrik berkualiti tanpa sebarang gangguan untuk menjamin kelancaran operasi perniagaan. Tenaga Nasional Berhad akan membelanjakan RM5 bilion bagi melaksanakan pelbagai projek penjanaan, penghantaran dan pengagihan bekalan pada 2010. Ini termasuk pelaksanaan projek hidroelektrik Ulu Jelai di Pahang dan Hulu Terengganu. Manakala, Sabah Electricity Sendirian Berhad akan meningkatkan kapasiti penjanaan elektrik dan memperkukuhkan sistem penghantaran dan pengagihan di Sabah. Langkah ini dapat mengurangkan Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem ke tahap 700 minit menjelang 2010.

Pelaksanaan Inisiatif Penswastaan

Dalam melaksanakan inisiatif penswastaan, kerajaan akan mengurangkan secara beransur-ansur penglibatan dalam aktiviti ekonomi yang bersaing dengan sektor ini. Kerajaan akan menswastakan syarikat di bawah Kementerian Kewangan dan agensi kerajaan yang berdaya maju. Gelombang kedua penswastaan ini bermatlamat membolehkan syarikat dan agensi berkenaan beroperasi dengan lebih cekap. Kesan penswastaan ini akan mengurangkan kebergantungan kewangan kepada kerajaan.

Meningkatkan Inisiatif Projek Perkongsian Awam-Swasta (PPP)

Kerjasama awam-swasta dipergiatkan dalam usaha menjadikan sektor swasta sebagai peneraju pertumbuhan ekonomi. Pelaksanaan projek berimpak tinggi oleh sektor swasta akan dijalankan secara kerjasama dengan kerajaan. Peranan kerajaan adalah membantu menyediakan prasarana asas agar projek-projek ini berdaya maju. Antara projek yang dilaksanakan pada 2010 adalahPembangunan Kompleks Bersepadu Imigresen, Kastam dan Kuarantin di Bukit Kayu Hitam, pembinaan enam buah kampus UiTM dan pembangunan Pusat MATRADE.

Mempergiatkan Kemasukan Pelaburan Asing

Malaysia dihimpit persaingan sengit dari negara serantau dalam merebut pelaburan asing. Kita tidak boleh berpeluk tubuh dan membiarkan peluang berlalu. Kerajaan mengambil keputusan untuk melonggarkan syarat serta memudahkan prosedur bagi syarikat asing beroperasi di Malaysia.

Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad pula akan terus mempertingkatkan usaha sama dengan pelabur asing dalam bidang seperti pendidikan, pelancongan dan infrastruktur. Kerajaan akan mempergiatkan kemasukan pelaburan asing dengan membenarkan pemilikan ekuiti syarikat dan penglibatan secara usaha sama dalam projek tempatan yang dikenal pasti.

Jelasnya lagi, tanpa berlengah, kita telah mengorak langkah agresif untuk menarik pelabur dari negara seperti Timur Tengah, China dan India. Syukur, inisiatif ini telah mula membuahkan hasil. Baru-baru ini, sempena lawatan ke Arab Saudi, sebuah syarikat negara itu telah menyuntik dana sebanyak AS$1.5 bilion Usaha sama pelaburan berimpak tinggi ini dijayakan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB.) - sebuah "Sovereign Wealth Fund" milik kerajaan yang turut melabur sebanyak AS$1.

Sehubungan ini, saya sering mengingatkan pihak swasta dan syarikat berkaitan kerajaan, dalam kejayaan meraih keuntungan, hendaklah jangan dilupa kepada tanggung jawab sosial. Kembalilah berbudi kepada masyarakat. Bertolak dari situ, saya ingin mengumumkan bahawa 1MDB akan menubuhkan satu dana tanggungjawab sosial korporat atau CSR, antara tabungan yang terbesar berjumlah RM100 juta sebagai permulaan untuk membiayai aktiviti kemasyarakatan.

MEMPERGIAT PENYELIDIKAN, PEMBANGUNAN DAN PENGKOMERSIALAN

Perbelanjaan ke atas aktiviti R&D adalah rendah. Sebanyak 0.6 peratus daripada KDNK berbanding 3 peratus di Amerika Syarikat, 3.5 peratus di Korea dan 2.4 peratus di Taiwan. Justeru, untuk melonjak menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi, kita memerlukan asas aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan atau R&D&C yang kukuh dengan langkah berikut:

Pertama: Merasionalisasikan semua dana juga geran penyelidikan supaya lebih efektif dan mencapai sasaran yang ditetapkan;

Kedua: Menubuhkan sebuah Pusat Inovasi Negara yang dilengkapi dengansrangkaian Pusat Kecemerlangan Inovasi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, diselaraskan dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi;

Ketiga: Mengintegrasi aktiviti R&D dengan pendaftaran paten, hak cipta dan cap dagang supaya proses R&D&C dapat dilaksana dengan lebih berkesan. Kerjasama antara agensi paten dan institusi penyelidikan dapat mempercepatkan pengkomersialan hasil penyelidikan.

Keempat: Memberi galakan potongan cukai ke atas perbelanjaan bagi pendaftaran paten dan cap dagangan dalam negara kepada perusahaan kecil dan sederhana.

MEMANFAATKAN SEPENUHNYA NICHE AREAS

Sehingga ini, sumbangan sektor perkhidmatan kepada KDNK ialah sebanyak 58 peratus dan masih banyak lagi ruang untuk dibangunkan. Justeru, kita perlu memberi tumpuan kepada niche areas berpotensi dan mempunyai rantaian nilai tambah tinggi serta dapat menjana pulangan lebih besar. Bidang tersebut termasuk pelancongan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kewangan, perbankan Islam, industri halal serta teknologi hijau.

Merancakkan Industri pelancongan

Industri pelancongan pula perlu dirancakkan kerana potensinya yang mempunyai nilai tambah tinggi meliputi ekopelancongan, agro pelancongan, edu pelancongan dan pelancongan kesihatan. Meskipun dalam persekitaran ekonomi dunia yang lembap serta penularan wabak H1N1, kunjungan pelancong kekal tinggi pada purata dua juta sebulan. Sehingga Ogos 2009, kemasukan pelancong asing meningkat 4.4 peratus kepada 15.4 juta, berbanding 14.7 juta dalam tempoh sama pada 2008. Kerana itulah kerajaan memperuntukkan sebanyak RM899 juta kepada sektor pelancongan bagi 2010. Antara program utama yang akan dilaksanakan adalah:

Pertama: Menarik lebih ramai warga asing dari United Kingdom, Jepun, Republik Korea, Asia Barat, India dan China menyertai program Malaysia My Second Home (MM2H);

Kedua: Meningkatkan kualiti infrastruktur pelancongan di pusat pelancongan di seluruh negara seperti program pembangunan eco-tourisme dan program peningkatan kemudahan homestay;

Ketiga: Memastikan tenaga kerja barisan depan terdiri daripada rakyat tempatan. Pekerja asing yang sedang bekerja di barisan depan akan ditamatkan perkhidmatan secara berperingkat;

Keempat: Menggunakan kaedah pengiklanan di Internet untuk mempromosi aktiviti pelancongan negara; dan

Kelima: Mengadakan lebih banyak produk dan acara pelancongan yang lebih menarik, termasuk KL Grand Prix Fest, Pesta Air Nasional, Rain Forest Eco Challenges dan Malaysia International Golf Exhibition. Kita juga akan membuka pusat membeli-belah barangan berjenama berkonsepkan factory outlet yang berskala besar.

Bagi terus memajukan industri pelancongan kesihatan, kerajaan akan menambah baik galakan cukai untuk penyedia perkhidmatan jagaan kesihatan yang memberi perkhidmatan kepada pelancong kesihatan asing.

Berita baik kepada penyedia perkhidmatan jagaan kesihatan ialah pengecualian cukai pendapatan ditingkatkan daripada 50 peratus nilai peningkatan pendapatan eksport kepada 100 peratus.

Harapan kita, langkah ini membolehkan penyedia perkhidmatan jagaan kesihatan menawar perkhidmatan yang berkualiti bagi menarik lebih ramai pelancong kesihatan.

Memantapkan Industri ICT

Dalam memantapkan bidang ICT, kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan High Speed Broadband dengan jumlah kos sebanyak RM11.3 bilion. Sejumlah RM2.4 bilion dari kerajaan dan RM8.9 bilion dari Telekom Malaysia.

Sebagai permulaan, perkhidmatan jalur lebar dengan kelajuan 10 megabait sesaat akan disediakan di kawasan terpilih di Kuala Lumpur dan Selangor menjelang akhir Mac 2010. Seterusnya, perkhidmatan ini akan diperluaskan di kawasan terpilih di seluruh negara dalam tempoh 2010 hingga 2012.

Sebagai tanda galakan kepada rakyat dan komitmen, kerajaan mencadangkan agar pembayar cukai individu diberi pelepasan cukai ke atas yuran langganan jalur lebar sehingga RM500 setahun mulai tahun 2010 sehingga 2012.

Pada masa ini, penjawat awam dibenar membuat pinjaman kerajaan untuk membeli komputer setiap lima tahun dengan maksimum RM5,000. Bagi menggalakkan pemilikan komputer, syarat ini akan dilonggarkan dengan membenarkan penjawat awam membuat pinjaman setiap tiga tahun sekali.

Mempergiatkan Industri Halal

Umat Islam di seluruh dunia kini jumlahnya melebihi 1.8 bilion. Permintaan untuk perkhidmatan dan produk halal menurut syariah semakin meningkat hingga mencecah AS$2.1 trilion setahun. Malah, bukan Islam yang turut berminat terhadap produk halal juga meningkat. Dalam konteks ini, sebagai negara Islam, Malaysia sudah mula dikenali sebagai hab makanan dan produk halal. Sayugialah kita mengambil peluang untuk menjadi peneraju kepada industri ini. Untuk tujuan ini, sebanyak RM24 juta akan disediakan oleh kerajaan.

MEMAJUKAN SEKTOR PERTANIAN

Ternyata, lapangan pertanian merupakan antara sektor yang menjadi sumber penting pendapatan rakyat di luar bandar dan pertumbuhan ekonomi negara. Kerajaan yakin sektor ini berupaya dipertingkatkan untuk memainkan peranan lebih besar dalam menjana ekonomi rakyat. Oleh itu, transformasi sektor ini perlu dipergiatkan bermula daripada peringkat tanaman hingga ke pemasaran hasil pertanian. Proses ini melibatkan program menarik lebih ramai usahawan tani muda, menggalakkan amalan pertanian terbaik dan menaik taraf prasarana pertanian. Saya ingin memaklumkan bahawa peruntukan besar sejumlah RM6 bilion akan digunakan untuk sektor ini seperti berikut:

Pertama: Menaik taraf dan membaik pulih sistem infrastruktur pengairan dan saliran di dalam dan luar jelapang padi. Nikmatnya akan melimpah ruah kepada seramai 180,000 petani dengan peruntukan sejumlah RM137 juta;

Kedua: Tahun depan, sejumlah RM70 juta diperuntukkan bagi melaksanakan projek Empangan Paya Peda di Terengganu. Ini pastinya akan membawa kemudahan kepada ramai pesawah apabila keupayaan bekalan air Skim Pengairan Padi daerah Besut ditingkatkan;

Ketiga: Berita baik kepada industri akuakultur. Sejumlah RM82 juta akan diagihkan manfaatnya kepada lebih 1,150 peserta dalam memodenkan industri akuakultur serta melaksanakan skim latihan pengusaha dan penternak akuakultur. Penumpuan akan diberikan kepada pembenihan perikanan dan pembangunan ikan hiasan;

Keempat: Tidak lupa kepada industri tanaman makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, perladangan organik, herba, rumpai laut dan sarang burung walit, kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak RM149 juta;

Kelima: Untuk membangunkan prasarana keperluan asas ladang ternakan dan mewujudkan rantaian bekalan dalam industri pengeluaran daging lembu dan kambing, peruntukan sejumlah RM58 juta telah dikhaskan; dan

Keenam: Kita akan melaksanakan program inkubator untuk melatih dan membimbing belia serta graduan menjadi usahawan tani berjaya. Program ini akan dijalankan secara kerjasama antara Kementerian Pertanian, Industri dan Asas Tani; Kementerian Belia dan Sukan; Universiti Putra Malaysia; AgroBank dan Wilayah Pembangunan Koridor.

Sejajar dengan matlamat ini, saya gembira dengan agenda FELDA untuk menjadi gedung makanan negara yang mampu mengeluarkan hasil tanaman berskala besar. Kawasan tanah lapang di penempatan FELDA akan ditanam dengan tanaman seperti cili, terung, bunga kantan dan pisang. FAMA akan membantu memasarkan hasil tanaman tersebut. Pada 23 Ogos lalu, saya menyarankan FELDA, FELCRA dan RISDA bekerjasama mewujudkan konsortium bagi melaksanakan pelbagai projek industri hiliran dan huluan berimpak tinggi. Sukacita diumumkan, konsortium ini akan ditubuhkan pada akhir 2009 dengan modal berbayar sebanyak RM300 juta iaitu RM100 juta daripada setiap agensi tersebut. Konsortium ini akan terlibat dalam perkongsian teknologi, pengurusan perladangan, kerjasama perniagaan termasuk aktiviti pembekalan dan pemprosesan keluaran pertanian.

Sebagai sebuah pentadbiran yang mendahulukan rakyat, segala sumpah janji dan khidmat diabdikan tidak lain tidak bukan, adalah untuk melihat kesejahteraan serta kemakmuran dinikmati semua pihak tanpa sebarang pengecualian. Saya sentiasa mahukan pentadbiran ini prihatin terhadap keluh kesah dan rintihan golongan seperti petani dan nelayan. Kita faham akan jerih payah mereka menongkah arus kehidupan, memugar tanah dan bergelut dengan badai demi mencari rezeki. Untuk membela untung nasib golongan ini, sukacita diumumkan bahawa kerajaan akan menyediakan subsidi, insentif dan bantuan berjumlah hampir RM2 bilion.

Antara subsidi dan insentif yang disediakan pada 2010 adalah subsidi harga padi lebih RM400 juta dan baja padi hampir RM300 juta. Manakala insentif peningkatan, pengeluaran hasil padi dan subsidi beras melibatkan hampir RM220 juta. Selain itu elaun sara hidup nelayan dan insentif mendapat peruntukan RM170 juta. Inilah bukti bahawa kerajaan bukan sekadar membuat janji-janji kosong. Kita merencana yang terbaik untuk rakyat, kita telah mendahulu dan mempertamakan kehendak rakyat. Hakikatnya kita sedang mengotakan apa yang dijanji, bahkan berusaha membuat lebih daripada itu sebagai kerajaan yang menjuarai kebajikan serta periuk nasi rakyat.

MENGGALAKKAN INDUSTRI PEMBINAAN

Jika ditinjau secara keseluruhannya, industri pembinaan mencatat pertumbuhan positif di celah-celah persekitaran ekonomi yang sukar. Tampaknya, sektor ini berupaya untuk diperkembangkan lagi dengan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan. Sememangnya langkah ini mencergaskan industri berkaitan bahan binaan dan merancakkan sektor perkhidmatan. Bagi tahun 2010, peruntukan lebih RM9 bilion disediakan untuk membiayai projek infrastruktur termasuk:

Pertama: RM4.7 bilion untuk projek jalan dan jambatan sementara RM2.6 bilion untuk bekalan air dan perkhidmatan pembetungan

Kedua: Menyediakan RM899 juta untuk kemudahan rel, RM820 juta untuk pelabuhan dan perkhidmatan laut dan bakinya sebanyak RM276 juta untuk projek lapangan terbang.

MEMPERKASA PERUSAHAAN KECIL DAN SEDERHANA

Kerajaan bukanlah sekadar menumpu kepada inisiatif niaga besar-besaran atau projek mega sahaja. Menjadi tanggung jawab kerajaan untuk terus memperkasa perusahaan kecil dan sederhana atau PKS. Pada masa ini, terdapat 79 bentuk dana pinjaman dan geran PKS berjumlah RM8.8 bilion yang dikendalikan oleh pelbagai agensi. Bagi memudahkan akses pembiayaan PKS, ia sedang diperkemaskan kepada hanya 33 jenis dana yang akan diselaraskan oleh SME Corp.

Kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM350 juta kepada SMECorp. di mana RM200 juta untuk skim pinjaman mudah PKS dan RM100 juta untuk skim peningkatan dan keupayaan PKS dan bakinya untuk program penjenamaan dan promosi PKS. Kadar faedah bagi pinjaman mudah yang ditawarkan oleh SME Corp. akan diselaraskan supaya sama dengan kadar yang dikenakan oleh Institusi Kewangan Pembangunan.

Selain itu, terdapat enam tabung PKS yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia berjumlah RM13.4 bilion. Tabung ini telah memberi manfaat kepada 46,000 PKS dengan nilai pembiayaan RM20 bilion. Kerajaan telah menerima maklum balas dan sedar tentang rungutan ramai berkaitan betapa susah dan lecehnya untuk mendapatkan pinjaman seperti ini. Lantas, demi memastikan dana ini disalurkan dengan cepat dan mudah, kerajaan memutuskan bahawa institusi kewangan hendaklah meluluskan pembiayaan mikro dalam purata enam hari, manakala tempoh pengeluarannya pula dalam purata empat hari. Kerajaan juga memperuntukkan RM538 juta bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan PKS.

MEMBANGUNKAN TEKNOLOGI HIJAU

Kerajaan melancarkan Dasar Teknologi Hijau Negara pada Ogos lalu. Dasar ini bertujuan menyediakan hala tuju pengurusan alam sekitar yang mapan. Untuk menggalakkan pembangunan aktiviti teknologi hijau kerajaan akan:

Pertama: Menstruktur semula Pusat Tenaga Malaysia sebagai Pusat Teknologi Hijau Negara dengan tanggungjawab untuk menyediakan pelan tindakan pembangunan teknologi hijau. Pusat ini berperanan sebagai focal point untuk menetapkan piawaian dan mempromosi teknologi hijau. Untuk memperhebatkan aktiviti kesedaran mengenai perlu menghijau persekitaran dan mengamalkan budaya hidup mesra alam, peruntukan sebanyak RM20 juta disediakan;

Kedua: Menganjurkan pameran antarabangsa tentang teknologi hijau pada April 2010. Pameran ini dijangka menarik syarikat terkemuka dunia dan pakar dalam bidang teknologi hijau;

Ketiga: Menjadikan Putrajaya dan Cyberjaya sebagai Bandar Teknologi Hijau yang akan menjadi pelopor kepada pembangunan bandar lain; dan

Keempat: Memberi keutamaan kepada barangan dan perkhidmatan yang mesra alam sekitar dan mematuhi standard produk teknologi hijau dalam perolehan kerajaan.

Seterusnya, bagi memajukan pembekalan dan penggunaan teknologi hijau, kerajaan akan mewujudkan dana berjumlah RM1.5 bilion. Ia membolehkan syarikat pengeluar dan syarikat pengguna teknologi hijau membuat pinjaman mudah untuk membiayai aktiviti. Bagi syarikat pengeluar, pinjaman maksimum adalah RM50 juta dan syarikat pengguna RM10 juta. Kerajaan akan menanggung dua peratus daripada jumlah kadar faedah dengan nisbah jaminan 60 peratus dan institusi perbankan 40 peratus. Permohonan pinjaman boleh dibuat melalui Pusat Teknologi Hijau Negara. Skim ini dijangka memberi faedah kepada lebih 140 syarikat dan dimulakan pada 1 Januari 2010.

Menggalakkan Pembinaan Bangunan Hijau

Bagi tujuan meluaskan penggunaan teknologi hijau lagi, kerajaan melancarkan Green Building Index (GBI) pada 21 Mei 2009. GBI adalah indeks penarafan hijau ke atas bangunan mesra alam. Didapati, bangunan hijau dapat menjimatkan kos utiliti dan memelihara kualiti alam sekitar. Kerana itulah kerajaan menggalakkan teknologi hijau.

MENGGALAKKAN INDUSTRI KREATIF

Dalam memacu negara ke kemuncak kemajuan, kreativiti dan daya pemikiran di luar kotak perlu dicambah dan dirangsangkan. Lantaran itu, industri kreatif wajar dimajukan untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi. Industri ini meliputi seni persembahan dan muzik, reka bentuk, animasi, pengiklanan dan pembangunan kandungan. Bagi menyelaras perkembangan pelbagai segmen, kerajaan akan:

Pertama: Menggubal Dasar Industri Kreatif yang komprehensif sebagai asas pembangunan industri kreatif negara;

Kedua: Menyediakan Dana Industri Kreatif berjumlah RM200 juta bagi membiayai aktiviti seperti pengeluaran filem dan drama, muzik, animasi, pengiklanan dan pembangunan kandungan tempatan. Dana berbentuk pinjaman dengan kadar faedah rendah akan dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional. Urusan mendapatkan pinjaman ini akan dipermudahkan supaya boleh dimanfaatkan oleh industri; dan

Ketiga: Para penggiat seni juga tidak sekali-kali diabaikan. Kerajaan akan menubuhkan Tabung Kebajikan Penggiat Seni bagi memastikan kebajikan warga seni dengan sejumlah RM3 juta diperuntukkan sebagai geran pelancaran.

STRATEGI KEDUA: MEMASTIKAN PEMBANGUNAN HOLISTIK DAN MAPAN

Untuk membolehkan negara menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi, pembangunan secara tuntas dan mapan perlu diberi penekanan. Pembangunan setiap bidang ekonomi memerlukan modal insan berkualiti tinggi dengan kemahiran yang bersesuaian. Kita juga perlu memastikan pembangunan seimbang supaya dapat merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar. Selain itu, kemajuan yang ingin dicapai memerlukan asas sistem kewangan dan perbankan kukuh. Pengurusan yang cekap dan profesional serta berintegriti dengan nilai positif juga penting untuk mencapai matlamat pembangunan negara.

MENINGKATKAN MODAL INSAN BERKEMAHIRAN TINGGI

Modal insan berkualiti tinggi merupakan prasyarat utama untuk menyokong agenda pembangunan negara. Oleh itu, kerajaan akan memastikan pembangunan modal insan dilaksana secara komprehensif, meliputi usaha meningkatkan kemahiran dan pengetahuan. Langkah akan diambil untuk membentuk individu berintelek dalam bidang sains dan teknologi, menggilap keupayaan keusahawanan serta memupuk nilai positif dan progresif.

Meluaskan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti Dan Berkemampuan

Selaras matlamat membangunkan modal insan berkualiti tinggi, kerajaan memperuntukkan lebih RM30 bilion kepada pendidikan rendah dan menengah, yang akan memberi manfaat kepada 5.5 juta pelajar di seluruh negara. Peruntukan ini termasuk bayaran emolumen operasi pendidikan sebanyak RM19 bilion serta RM2.8 bilion untuk program bantuan pelajar dan biasiswa. Sejumlah RM1.6 bilion disediakan bagi pembinaan 80 sekolah baru serta 1,100 blok tambahan dan 347 projek gantian sekolah. Peruntukan ini adalah untuk pembinaan Sekolah Kebangsaan Rendah dan Menengah, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan,Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil serta Sekolah Mubaligh (mission school). Di samping itu, sebanyak RM1.1 bilion disediakan bagi mengubah suai dan menaik taraf sekolah di seluruh negara, terutama di Sabah dan Sarawak.

Selanjutnya kerajaan mengumumkan NKRA bagi meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Ia bertujuan supaya setiap rakyat menikmati pendidikan terbaik bermula daripada peringkat asas hingga ke tahap tertinggi. Untuk ini, empat komponen kecil NKRA akan diberi tumpuan.

Pertama: Memantapkan pendidikan prasekolah

Sehingga kini, kadar penyertaan kanak-kanak lingkungan umur 5 dan 6 tahun dalam prasekolah kerajaan dan swasta adalah 67 peratus. Kerajaan berhasrat meningkatkan kadar penyertaan kepada 87 peratus menjelang 2012.

Bagi mencapai sasaran ini, semua kemudahan dan kurikulum prasekolah dibawah KEMAS dan agensi lain akan diubah suai, selaras dengan dasar dan piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran. Untuk ini, peruntukansebanyak RM48 juta akan disediakan bagi 2010.

Kedua: Meningkatkan kadar literasi dan numerasi

Tiada gunanya kita bercakap tentang kemajuan seandai dan sekiranya masih kedapatan golongan yang tercicir hatta tidak boleh membaca dan mengira. Sedangkan ilmu itu adalah penyuluh dan pelita. Menurut maklumat, pada masa ini, terdapat sebilangan kalangan murid normal sekolah rendah yang masih belum dapat menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi. Oleh yang demikian, kerajaan bertekad untuk memastikan semua murid normal dapat menguasai asas literasi dan numerasi selepas tiga tahun bersekolah.

Antara programnya termasuk menyediakan modul khas untuk murid dan guru, menyaring murid mengikut keupayaan serta menyediakan programlatihan khas untuk guru. Langkah ini mula dilaksanakan pada 2010, melibatkan semua murid Tahun Satu dengan jumlah peruntukan RM32 juta.

Ketiga: Mewujudkan sekolah berprestasi tinggi

Kita perlu memperbaiki kualiti pendidikan dan memberi autonomi kepada pengurusan sekolah supaya dapat menghasilkan pelajar cemerlang. Kerajaan akan mengklasifikasikan sekolah yang dikenal pasti sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT). Prinsip asas SBT akan menumpukan kepada kecemerlangan akademik dan pencapaian keseluruhan pelajar termasuk disiplin dan kebersihan, aktiviti kokurikulum dan penguasaan bidang keutamaan sekolah.

Kerajaan menyasarkan 20 sekolah di beri pengiktirafan SBT pada 2010 dengan peruntukan tambahan RM20 juta.

Keempat:Mengiktiraf Pengetua dan Guru Besar Sekolah

Kerajaan akan memastikan sekolah ditadbir secara profesional oleh pengetua dan guru besar serta pasukan pengurusan mereka. Bagi sekolah yangmenunjukkan prestasi cemerlang, kerajaan akan memperkenalkan New Deal atau Bai'ah Baru bagi menghargai jasa dan prestasi pengetua serta guru besar. Kerajaan akan menentukan sasaran prestasi yang perlu dicapai oleh mereka yang dipersetujui bersama. Sekiranya sasaran tersebut dicapai, ganjaran berbentuk insentif kewangan dan bukan kewangan serta autonomi dalam mentadbir sekolah akan diberikan. Namun, bagi mereka yang tidak mencapai sasaran selama dua tahun berturut-turut, tidaklah pula terlepas daripada tindakan bersesuaian.

Kesemuanya ini dilakukan atas prinsip kebertanggungjawaban untuk melahirkan generasi yang cemerlang.

Menjaga Kebajikan Golongan Pelajar

Kerajaan berhasrat memberi ganjaran kepada pelajar cemerlang dalam pendidikan. Untuk ini, Kerajaan akan:

Pertama: Menganugerahkan Biasiswa Nasional kepada 30 pelajar terbaik dikalangan yang terbaik atau crème de la crème berasaskan kepada merit sepenuhnya. Penyandang biasiswa ini akan melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor di dunia;

Kedua: Menukar pinjaman PTPTN kepada biasiswa bagi pelajar yang berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama atau setaraf dengannya bermula tahun 2010;

Ketiga: Kerajaan prihatin terhadap kebajikan pelajar terutama daripada keluarga berpendapatan rendah. Untuk itu kita akan memberi diskaun tambang 50 peratus bagi perkhidmatan kereta api KTMB jarak jauh kepada pelajar berumur 13 tahun selagi mereka masih bertaraf pelajar. Kad diskaun pelajar 1Malaysia percuma boleh diperoleh dari KTMB. Diskaun tambang ini bermula 1 Januari 2010; dan

Keempat: Menawarkan pakej netbook, termasuk perkhidmatan broadband percuma kepada pelajar universiti dengan bayaran RM50 sebulan untuk tempoh 2 tahun. Pakej ini jauh lebih murah daripada harga pasaran dengan prioriti kepada pelajar tahun pertama dan dari keluarga berpendapatan rendah. Sebagai permulaan, pakej ini akan ditawar oleh Telekom Malaysia kepada 100,000 pelajar di semua universiti tempatan bermula 1 Januari 2010.

Menggilap Kemahiran Tenaga Kerja

Usaha berterusan akan diambil untuk melatih dan menggilap tenaga kerjasupaya menepati keperluan pasaran. Bagi tujuan ini, kerajaan akan:

Pertama: Menyediakan RM1.3 bilion bagi membiayai pengurusan dan menaik taraf politeknik dan kolej komuniti serta menyediakan peruntukan kepada tabung pinjaman pelajaran untuk 32,000 Pelajarnya;

Kedua: Memperuntukkan RM504 juta bagi membina dan menaik taraf serta menyelenggarakan peralatan di Institut Latihan Perindustrian dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi;

Ketiga: Menyediakan RM438 juta kepada Institut Kemahiran Mara dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara serta Institut Kemahiran Belia Negara juga Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara untuk pengurusan latihan termasuklah menaik taraf institusi;

Keempat: Menyediakan RM110 juta kepada pusat latihan kemahiran negeri dan institusi latihan terpilih bagi menjalankan program latihan industri, terutamanya dalam bidang teknikal, hospitaliti, kulinari serta perabot; dan

Kelima: Mengiktiraf Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 4 dan ke atas supaya setaraf dengan aliran akademik. Dengan pengiktirafan ini, pemegang SKM tahap 4 layak memohon untuk berkhidmat di sektor awam, manakala bagi mereka yang berkhidmat di sektor swasta dapat menikmati gaji setaraf dengan pemegang sijil diploma.

Mempergiatkan Program PERMATA

Setiap anak itu adalah permata. Merekalah pelaburan terbaik sebagai pewaris. Justeru, program PERMATA memberi penekanan terhadap kaedah pengasuhan dan pendidikan awal kanakkanak secara bersepadu dan terancang. Program ini menyumbang kepada pembangunan modal insan yang berilmu dan berprestasi tinggi.

Sehingga kini, program PERMATA diperkenalkan kepada 457 pusat asuhan dan telah berjaya mendidik seramai 17,565 kanak-kanak. Untuk terus memperkasakan program ini, kerajaan akan memperuntukkan RM100 juta bagi pelaksanaan programnya.

Selain itu, PERMATA akan turut melaksanakan program Perkasa Remaja untuk melatih dan membimbing remaja berumur 18 hingga 25 tahun bagi mengelakkan mereka terlibat dalam gejala sosial. Program yang dikendalikan oleh UKM akan membolehkan belia dibentuk menjadi lebih bertanggungjawab.

MEMANTAPKAN SISTEM PERBANKAN DAN KEWANGAN

Pada masa ini, struktur skim insurans motor tidak begitu fleksibel kerana tidak mengambil kira kos perniagaan dan kadar tuntutan yang kian meningkat. Untuk memastikan rakyat terus mendapat akses kepada perlindungan insurans motor, satu skim insurans dan takaful asas akan ditawarkan. Premium skim perlindungan insurans akan ditetapkan pada kadar berpatutan dan tidak membebankan rakyat serta berpadanan dengan tahap perlindungan. Skim ini akan memberi perlindungan insurans asas mandatori bagi kecederaan kepada anggota badan dan kematian pihak ketiga serta membolehkan pihak yang menuntut untuk mendapatkan pampasan pada kadar segera. Skim ini dijangka diperkenalkan pada pertengahan 2010.

Kerajaan menyokong inisiatif industri insurans dan takaful dalam membangunkan produk kewangan bagi memenuhi keperluan golongan berpendapatan rendah. Usaha ini juga akan membantu meningkatkan kadar pemilikan perlindungan kewangan rakyat.

Mutakhir ini kegiatan pemberi pinjaman wang yang tidak mematuhi undang-undang dan membebankan peminjam, terutamanya kegiatan pemberi pinjaman tidak berlesen atau 'ah long' semakin menjadi-jadi. Untuk membendung kegiatan seperti ini, kerajaan akan mengguna pakai Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 bagi mendakwa yang terlibat. Kerajaan akan mengkaji semula Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 bagi memperkemaskan keberkesanan dan penguatkuasaan ke atas pemberi pinjaman wang berlesen.

Mencergaskan Pasaran Saham

Struktur pasaran saham akan diliberalkan lagi untuk meningkatkan kecekapan serta menarik aktiviti pelaburan dalam dan luar negara. Kerajaan akan melaksanakan langkah berikut:

Pertama: Meliberalisasikan struktur perkongsian komisen antara broker saham dan remisier dalam dua peringkat untuk menggalakkan penyertaan pelabur runcit dalam pasaran saham. Pada peringkat pertama, berkuat kuasa serta- merta, kadar perkongsian komisen dilonggarkan dengan kadar minimum 40 peratus bagi remisier. Di peringkat kedua, perkongsian komisen ini akan diliberalisasikan sepenuhnya mulai 1 Januari 2011;

Kedua: Membenarkan penyertaan 100 peratus ekuiti asing dalam syarikat kewangan korporat dan syarikat perancangan kewangan, berbanding syarat sedia ada yang memerlukan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti tempatan;

Ketiga: Menghendaki semua syarikat awam tersenarai untuk menawarkan e-Dividen kepada pemegang saham dalam usaha meningkatkan sistem pembayaran yang lebih cekap. Begitu juga, syarikat pembrokeran saham akan menyediakan pilihan e-Payment kepada pelanggan untuk menerima dan membuat bayaran.

Memajukan Lagi Sistem Kewangan Islam

Sememangnya sejak awal 80-an, Malaysia menjadi pelopor penting dalam pembangunan sistem kewangan Islam. Kita maju setapak demi setapak sebagai pelaku utama bukan sahaja di rantau ini bahkan di seantero dunia. Nilai aset perbankan Islam kini mencecah 18.8 peratus daripada keseluruhan aset industri perbankan Malaysia. Manakala, aset industri takaful menyumbang 7.7 peratus daripada jumlah aset industri insurans dan takaful. Kita berbangga dengan pencapaian Malaysia di bidang ini kerana Malaysia mampu menerbitkan jumlah sukuk terbesar di dunia. Ia melibatkan AS$94.7 bilion iaitu 62 peratus keseluruhan sukuk dunia pada 2008. Atas perkembangan dan pencapaian ini, bagi memastikan perkhidmatan kewangan khususnya kewangan Islam berkembang pesat, kerajaan mencadangkan galakan cukai sedia ada dilanjutkan sehingga 2015 manakala skop galakan diperluaskan.

MEMERANGI RASUAH

Kerajaan menjadikan satu NKRA utama untuk memerangi rasuah. Usaha ini bertujuan meningkatkan lagi keyakinan dan persepsi masyarakat dalam membanteras rasuah di kalangan anggota penguat kuasa dan pentadbiran awam serta memastikan proses juga prosedur Perolehan kerajaan dipatuhi. Langkah ini dapat memastikan negara berada di kedudukan yang lebih baik dalam Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa. Untuk melaksana NKRA ini, kerajaan akan:

Pertama: Menggubal Whistle Blower Act bagi menggalakkan pemberi maklumat tampil membuat pendedahan jenayah rasuah dan salah laku lain. Akta ini akan memberi kekebalan kepada pemberi maklumat daripada diambil tindakan sivil atau jenayah akibat pendedahan yang dilakukan. Akta ini akan diperkenalkan pada 2010;

Kedua: Menubuhkan 14 lagi Mahkamah Sesyen Khas Rasuah dan 4 buah Mahkamah Tinggi Khas Rayuan Kes Rasuah. Kini hanya terdapat 2 mahkamah khas tersebut di Kuala Lumpur dan 2 lagi di Shah Alam;

Ketiga: Meningkatkan usaha memperbaiki imej Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia termasuk mengadakan persidangan memerangi rasuah peringkat antarabangsa, kempen kesedaran melalui mediamassa dan menjalin hubungan baik dengan masyarakat.

PEMBANGUNAN WILAYAH KORIDOR

Kerajaan melancarkan lima koridor pembangunan untuk merapatkan jurang pertumbuhan ekonomi antara wilayah, meningkatkan pendapatan dan mengagihkan kekayaan untuk dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat. Kerajaan akan memastikan pembangunan wilayah koridor dilaksana mengikut jadual.

Sehingga kini, sebanyak 126 projek berada di pelbagai peringkat pelaksanaan daripada jumlah 195 projek yang telah dirancang. Jumlah pelaburan swasta yang direncana berjumlah RM221 bilion telah melepasi sasaran RMK-9 sebanyak RM145 bilion.

Bagi menyokong pelaksanaan projek oleh sektor swasta di wilayah koridor, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM3.5 bilion pada 2010 untuk membina infrastruktur dan kemudahan asas serta melaksanakan program latihan dan projek sosio-ekonomi.

Antara projek yang akan dilaksanakan termasuk Projek Perumahan Awam dan Pembersihan Sungai Segget di Iskandar Malaysia, Projek Pertanian Bersepadu dan Pusat Latihan Usahawan Tani di NCER, ProjekPelebaran Jalan Persekutuan Kuala Krai-Gua Musang dan Kuala Lipis-Raub-Bentong di ECER.

Di koridor lain, antaranya projek Kluster Industri Minyak Sawit Sandakan dan Keningau Integrated Livestock Centre di SDC serta projek jalan akses ke Empangan Murum dan jalan akses ke Empangan Baram di SCORE.

MENINGKATKAN KEBERKESANAN DAN KECEKAPAN PENGURUSAN KERAJAAN

Dalam menjayakan program dan aktiviti pembangunan negara, usaha meningkatkan keberkesanan dan kecekapan jentera pentadbiran kerajaan akan diberi keutamaan. Kerajaan akan menyusun semula dasar dan garis panduan berkaitan peranan dan fungsi setiap agensi agar lebih bersesuaian dengan perubahan persekitaran dan keperluan semasa. Jalinan kerjasama semua agensi akan dipertingkatkan lagi untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara serta mengelakkan pertindihan. Memperkukuhkan Pengurusan Kewangan Kerajaan.

Kerajaan adalah dalam peringkat akhir kajian pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), terutamanya untuk menilai impak sosial (social impact study) terhadap rakyat. Tujuan kajian adalah supaya rakyat tidak dibebankan dengan pengenalan cukai ini, jika didapati GST perlu dilaksanakan bagi mencapai kestabilan kewangan Kerajaan. Sekiranya kerajaan melaksanakan GST, ia akan menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan sedia ada serta pengecualian tertentu akan diberikan kepada golongan berpendapatan rendah. Kadar GST yang akan dikenakan dijangka lebih rendah daripada kadar cukai jualan dan cukai perkhidmatan sedia ada.

Untuk meringankan beban cukai syarikat petroleum huluan, kerajaan mencadangkan cukai pendapatan bagi tahun taksiran 2010 berdasarkan pendapatan yang diperoleh pada tahun 2009 dibenarkan dibayar secara ansuran selama 5 tahun.

Kerajaan perlu memastikan sistem percukaian di Malaysia adalah saksama dan dapat menjana hasil bagi tujuan pembangunan. Selaras dengan ini, kerajaan mencadangkan cukai sebanyak 5 peratus dikenakan ke atas keuntungan daripada pelupusan hartanah mulai 1 Januari 2010.

Dewasa ini perangkaan menunjukkan bahawa penggunaan kad kredit adalah semakin meluas. Bilangan kad kredit meningkat daripada lebih 2 juta pada tahun 1997 kepada 11 juta sehingga Ogos 2009. Bilangan tersebut tidak termasuk kad caj sebanyak 285 ribu yang telah dikeluarkan pada ketika ini. Sebagai langkah untuk menggalakkan perbelanjaan berhemat, kerajaan mencadangkan cukai perkhidmatan sebanyak RM50 setahun dikenakan ke atas setiap kad kredit utama dan kad caj, termasuk kad yang diberi percuma. Kerajaan juga mencadangkan cukai perkhidmatan sebanyak RM25 setahun dikenakan ke atas setiap kad kredit tambahan. Langkah ini akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2010.

Kerajaan akan melaksanakan dasar automotif yang lebih terbuka berikutan liberalisasi dan komitmen negara di peringkat antarabangsa.

Untuk ini, kerajaan akan mengenakan bayaran sebanyak RM10 ribu bagi setiap unit AP yang dikeluarkan kepada pemegang AP Terbuka bagi agihan peruntukan AP tahun 2010. Cadangan ini akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2010. Sebahagian daripada jumlah kutipan ini akan disalurkan untuk dana pembangunan bumiputera dalam sektor automotif.

Usaha juga akan diambil untuk menambah hasil kerajaan dengan menggalakkan agensi menggunakan kemudahan ruang bangunan, dewan, asrama, makmal dan peralatan latihan untuk disewakan kepada sektor swasta dan orang ramai. Langkah ini mesti dilaksanakan tanpa menjejaskan aktiviti teras agensi berkenaan. Sebagai insentif, kerajaan bersetuju membenarkan agensi menggunakan 50 peratus hasil sewaan untuk kegunaan sendiri manakala 50 peratus lagi akan diserah sebagai hasil kerajaan. Langkah ini akan berkuatkuasa1 Januari 2010 dan satu garis panduan akan disediakan.

Menstruktur Semula Skim Subsidi Minyak

Minyak bersubsidi kini dinikmati oleh semua pengguna kenderaan termasuk pemilik kereta mewah dan rakyat asing. Keadaan ini membebankan kerajaankerana menanggung subsidi yang tinggi. Bagi memastikan hanya kumpulan sasar diberi subsidi, kerajaan akan melaksanakan satu sistem pengurusan subsidi minyak pada awal 2010. Sistem yang mesra rakyat ini akan mengguna pakai MyKad dan infrastruktur sedia ada. Pendekatan untuk memberi subsidi bagi kumpulan sasar sahaja akan juga digunakan untuk komoditi lain.

STRATEGI KETIGA: MENGUTAMAKAN KESEJAHTERAAN RAKYAT

Peruntukan ini mencerminkan dasar perbelanjaan kerajaan yang lebih berhemat dan mengutamakan value for money. Kita perlu mengambil peluang untuk menyusun semula program, proses dan jentera pentadbiran kerajaan supaya lebih efisien dan berkesan serta memenuhi keperluan rakyat.

Sememangnya kegigihan penjawat awam dalam memastikan pembangunan negara tercapai demi kesejahteraan rakyat adalah dihargai. Lalu, baru-baru ini, saya telah mengumumkan bayaran khas kewangan sebanyak RM500 kepada penjawat awam kumpulan sokongan. Sukacita saya ingin mengumumkan bayaran khas ini dipanjangkan kepada semua penjawat awam gred 41 hingga gred 54 dan setaraf dengannya serta pesara wajib kerajaan. Bayaran khas ini akan dibuat pada bulan Disember tahun ini. Langkah ini memerlukan peruntukan tambahan sebanyak RM400 juta. Ini menunjukkan kerajaan amat prihatin dengan beban perbelanjaan yang ditanggung oleh penjawat awam dan pesara. Oleh itu, kerajaan berharap supaya penjawat awam dan pesara menggunakan pemberian ini dengan sebaik-baiknya.

Kesimpulannya, sebagai sebuah negara sedang membangun dan bercita-cita besar, Malaysia seperti mana yang lainnya sedang bertarung di gelanggang dunia yang sungguh mencabar. Malah, sejak merdeka, kita tidak sunyi daripada dihambat pelbagai dugaan dan rintangan. Syukur kepada Tuhan, semuanya kita harungi dan tempuhi dengan semangat dan perancangan yang tersusun.

Marilah kita mencipta helaian kisah Malaysia yang lebih maju dan progresif. Pujangga berpesan kalau hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu dalih. Makanya, saya menyeru setiap seorang daripada kita yang kasihkan negaranya, tidak kira bangsa atau keturunan, apa jua latar kedudukan mahu pun fahaman, bergerak sederap dan seiring, dengan satu suara, satu harapan, membentuk satu cita untuk Malaysia tercinta.

Akhirul kalam, seperti mana mafhum ayat suci al-Quran di awal pembentangan tadi, kepada Allah kita memohon segala kerahmatannya agar Bajet 2010 ini bakal menjadi landasan kepada haluan yang ingin ditujui. Bersama api semangat Bagan Pinang yang masih bergejolak dan membakar sukma, bersama harapan yang marak lagi menyala, marilah kita membuat satu transformasi besar-besaran seraya menjulang Malaysia tercinta ini ke persadanya.

Sesungguhnya, inilah bajet yang menelusuri keperluan dan meresapi denyut nadi rakyat. Sesungguhnya inilah satu persembahan yang tulus dan ikhlas daripada kerajaan yang menjiwai rakyat. Bulatkanlah tekad, tetapkanlah hasrat, menjunjung gagasan 1Malaysia, segala yang mustahil kan pasti menjadi nyata. 1Malaysia, Kemakmuran Bersama.

Rabu, Oktober 21, 2009

Info SBM Cawangan Pulau Pinang

Kepada ahli-ahli SBM Cawangan Pulau Pinang, sila ambil perhatian.  Satu lawatan ke Bukit Kayu Hitam akan diadakan pada 29TH November ini.  pembayaran adalah seperti berikut.  Ahli dan pengiring, RM 10, bukan ahli dan pengiring, RM 15.

 

Tarikh tutup pendaftaran, apabila tempat sudah penuh.  Dan, sehingga berita ini ditulis, sudah sebelas orang mendaftar untuk rombongan ini.  Untuk pendaftaran dan keterangan, kawan-kawan sila hubungi kerani bertugas di nombor 043971649 pada waktu pejabat.

 

Sekian harap maklum.

Yang berusaha,

En.  Tai Khai Eong,

Setiausaha SBM,

Cawangan Pulau Pinang.

Kl 2009, siri 4.

Ok, kita sambung kembali cerita ini, bahagian empat.

 

Pagi itu, aku dan Ah Hong bangun awal.  Pagi itu, pagi Ahad, 31 Mei.  Dan pagi itu, ada mesyuarat di dewan MAB iaitu mesyuarat Persatuan Lepasan St.  Nicholas.  Seperti biasa, rutin lepas bangun pagi pun berjalan.  Selepas kami bersiap, kami pun turun pergi makan.  pagi itu, kami pergi makan jam 7:30 pagi sebab mesyuarat dijangka bermula jam 9:00 pagi.

 

Selepas makan, kami pun terus menuju ke dewan MAB.  Kami berjalan kaki saja ke sana sebab nak ke dewan tu, dekat saja.  Kami berjalan terkedek-kedek perlahan-lahan saja.  “Mana dia bangunan MAB tu pun, aku tak berapa ingat o sebab aku tak selalu datang ke sini.”  Beritahu Ah Hong.  “Tak apalah kita jalanlah perlahan-lahan dan cari dengan tongkat.”  Kataku.

 

Sedang kami berjalan, tiba-tiba kami ditegur.  “Ah Hong, where you want to go?”  “We want to go to MAB.”  Ah Hong menjawab.  “Oh, Miss Chua.”  Aku menegur.  Rupanya, Miss Chua juga ingin ke MAB.  Dia jadi pembantu sukarela.

 

kami dibawa ke bangunan MAB yang dekat saja dengan tempat kami berjalan.  kami meninjau-ninjau, di manakah kafeteria itu. kami terserempak dengan seseorang yang sedang berjalan.  “Hello, where is the canteen?”  Miss Chua bertanya.  orang itu menunjukkan kantin itu.  Kami pergi.

 

Dari jauh, sudah kedengaran hiruk-pikuk suasana dalam kantin itu.  Kami pun masuk.  Wah, sudah ramai yang datang.  Ada kedengaran suara Moses Choo dan ramai lagi.  Mesyuarat masih belum bermula.  Ramai ahli yang masih lagi belum datang.

 

Di situ, aku telah berjumpa dengan Loh Kong Ken.  Ha, orangnya pendek sahaja.  Beberapa orang lain juga turut ditemui.  Kami bertanya khabar antara satu sama lain.  Yalah, bukan selalu berjumpa pun.

 

Kawan-kawan sudah semakin ramai yang datang.  “Apa macam ara baikkah?”  Ha, tu dia, abang Sharif.  “Oh baik.”  Jawabku rengkas.  Abang Sharif dan kak Rosnah dah sampai.  Ditemani oleh abang Sharif.  Suasana sudah seperti pasar.  Bising.

 

Aku pergi mendaftar.  Aku diberi kad daftar.  Biasalah tu prosidur pendaftaran di mana-mana sahaja.  Selepas mendaftar aku berjalan-jalan sekejap di situ.  Saja nak menilau di situ.  Maklumlah tempat asing.

 

Sementara itu Moktar Soon dan juruteknik sedang membuat ujian terhadap microphone yang akan digunakan untuk mesyuarat nanti.  Yalah, nak pastikan, semuanya berjalan lancar.

 

“ha Khai Eong, marilah ajak akak cara setting gmail kat telefon.”  Kak Rosnah berkata.  Maka tanpa membuang masa, aku pun mengajar kak Rosnah cara setting gmail di handphone.  Suasana agak bising.  Jadi, agak susah jugaklah nak mengajar.

 

“Rosnah Ahmad!”  “Rosnah Ahmad!”  “mana Rosnah Ahmad!”  Kedengaran satu suara menjerit.  Rosnah Ahmad pun berlalu dari situ.  Rupanya, suara seorang perempuan india.  Kecik macam Doraemon.  Maka, pengajaran aku kat Rosnah Ahmad terhenti di situ sahaja.  Rosnah Ahmad beredar dari situ.

 

Ahli Persatuan Lepasan St.  Nicholas sudah banyak yang hadir.  Suasana sudah semakin bising.  Biasalah orang buta Macam kita orang.  Banyak juga orang yang aku temui.  Ini termasuklah Eugene Heng Kee.  Rupanya, dia ini kuruslah.

 

Aku dan Ah Hong dibawa oleh Miss Chua ke sebuah meja.  Kami duduk di situ.  Di situ, aku bertemu pulak dengan Mui Hui.  Dia ni, dah lama aku tak jumpa.  Bersembang sekejaplah aku dan dia.  yalah, jarang jumpa.

 

Seperti biasalah, kena daftar.  Lepas tu, dapat name tec atau kad nama untuk makan dan minum.  Itu sudah menjadi kebiasaan di mana-mana mesyuarat.  Kami semua dah selesai mendaftar di meja pihak yang bertugas.

 

Lebih kurang jam 9:30 pagi, mesyuarat dimulakan.  Dan rupanya, ada juga yang tak hadir walau pun dah bagi nama.  Antara mereka yang paling aku ingat ialah Silatulrahim dan Allan Wong.  Allan Wong, memang tak minat ini barang semua.  Tapi, apa pasal dia pergi registor, aku pun tak tau.

 

Jam 10:45 pagi, ada petugas datang bertanya.  “Excuse me, do you want coffee or tea?”  “Coffee.”  Aku menjawab rengkas.  Petugas itu berlalu dari situ.  Dan tidak lama kemudian, petugas itu datang dengan membawa secawan kopi.  Ada juga sedikit kuih untuk dibaham.  Seperti biasalah, bantai sajalah makanan di depan mata.

 

Jam 12:30 tengahari, makan tengahari tiba, wah tengahari itu, kami makan, masak lemak kacang panjang.  Wah, lauk kegemaran aku.  Dan seperti biasa, petugas datang membawakan makanan dan minuman untuk kami.  hah, aku, apa lagi, sebatlah.

 

Di hadapan meja kami, Thanga Veloo sedang rancak berbual dengan rakan-rakannya.  Yalah, dia duduk di hadapan kami.  Suasana hinga-bingar dengan para tetamu sedang menikmati makanan tengahari dan berbual-bual antara satu dengan lain.

 

Aku terdengar suara kak Rosnah.  “Ha kak, dah makan?”  Aku bertanya.  “Akak makan tak habislah.”  Beritahu kak Rosnah.  Alahai, orang tua ni memang, selalu ini tak boleh makan, itu tak boleh makan.  Ini tak habis, itu tak habis.

 

“Ha Khai Eong, makan cukupkah?”  Thanga Veloo bertanya.  “Ha cukup.”  Aku menjawab.  Tengahari itu, aku minum empat gelas air.  yalah sedap sangat air tu.  Waktu makan tengahari adalah sehingga jam 2:00 petang.

Dan selepas makan tengahari, jam 2:00 petang, mesyuarat disambung kembali.

 

Dalam lebih kurang jam 3:45 petang, pemilihan AJK dijalankan.  Selepas selesai pemilihan, minuman petang disediakan.  Petang tu kami makan kuih dan air teh.  Kuih aku dan Ah Hong makan tak habis sebab terlampau banyak.

 

Selepas selesai makan, aku dan Ah Hong sudah bersedia hendak bertolak pulang ke hotel.  mesyuarat kini dah selesai.  “Khai Eong, Khai Eong, Razali wants to see you.”  Beritahu Moktar Soon kepadaku.

 

Dek kerana kelam-kabut, maka aku tidak mendengar panggilan Moktar Soon.  “Khai Eong!”  “Razali wants to see you.”  Panggil Moktar sekali lagi.

 

Aku menoleh ke belakang.  nampaknya, cikgu Razali sudah berada di belakang aku.  “Wah Khai Eong, dah nak balik hotelkah?”.  Cikgu Razali bertanya.  “Ya cikgu, kami nak balik dah.”  Aku menjawab.  “Oh gitu.”  Jawab cikgu Razali.

 

Aku dah Ah Hong berjalan keluar dari dewan MAB.  Kami sudah tidak tahu di mana pintu keluar.  kami bernasib baik sebab, kami dibantu oleh seorang petugas sukarela.  Petugas itu sedang menuntut di salah sebuah universiti.  Itulah yang diberitahu kepada Ah Hong oleh beliau.  Kami dibawa ke hotel New Winner.  Dan apabila sampai, petugas itu pun berlalu pergi.

 

Apabila sampai di bilik hotel, kami berehat.  jam baru 5:45 petang.  Wah, masih sempat lagi menonton siri kartun di tv9.  Aku lantas membuka tv stesen tv9.  ha, siri kartun jepun masih belum habis.

 

jam 6:10 minit, aku pergi mandi.  Ini kerana, lebih kurang jam 7:30 malam nanti, aku dan Ah Hong akan pergi berjumpa dengan Stephen Looi di  coffee House RRC.  Dia nak belanja kami makan.

 

Kini, semua sudah bersiap.  Cuma, menunggu jam 7:30 malam sahaja sekarang.  kami berehat-rehat sebentar sambil menikmati udara air cond yang nyaman itu.

 

Jam 7:30 malam, kami berangkat turun dari bilik hotel.  Kami menuju ke coffee house RRC.  Kami berjalan perlahan-lahan dan kira-kira lima belas minit kemudian, kami sampai di coffee house RRC.  Kami dibawa ke tempat duduk oleh petugas coffee house itu.  Stephen Looi masih belum tiba lagi.

 

Kami memesan makanan kami.  Hari tu, aku makan ayam dan kentang goreng.  Aku juga makan Cheap and fish.  Begitu juga dengan Ah Hong.  Aku minum juce tembikai.

 

Selang sepuluh minit kemudian, Stephen Looi pun datang.  Dia minum beer dan juga makan cheap and fish.  Kami makan sambil berbual-bual.

 

Selang setengah jam kemudian, kedengaran suara Chok Siew Lee dan Anna Lee.  Oh, mereka juga datang ke sini.  Mereka datang dengan membawa beberapa orang rakan mereka.

 

“Eh, diam-diam ha, aku nak kacau itu Chok Siew Lee.”  Beritahu Stephen.  “Awak ada nombor telefon diakah?”  Aku bertanya.  “Ada.”  Jawab Stephen.  Stephen pun menelefon Chok Siew Lee.

 

Selepas mereka makan, Chok Siew Lee dan Anna Lee datang ke meja kami.  “Oh, so you with Ultraman and Ah Hong lah?”.  Chok Siew Lee bertanya Stephen.  “Ya.”  Stephen menjawab.

 

Ah Hong pula batuk-batuk.  Dah beberapa hari dia batuk.  “Aiyo, kesian sama itu Paul.”  Chok Siew Lee berkata.  Selepas itu, Chok Siew Lee dan rakan-rakannya pun beredar dari situ.

 

Tidak lama kemudian, kami pun berangkat pulang ke hotel.  Stephen membawa kami berdua sehingga ke bilik hotel.  Selepas itu, dia pun turun.  Kami masuk ke bilik.  Dan seperti biasa, Ah Hong membuka radio Trax FM.

 

Sehari telah berlalu.  Esok, 1ST Jun, kami akan berangkat pulang ke Pulau Pinang.  Kami tidur jam 12:00 tengahmalam.

 

(Bersambung)

Rabu, Oktober 14, 2009

Pengumuman perjumpaan ahli Lepasan St. Nicholas.

Daripada: Loh Kong Ken

Tarikh: Wednesday, October 14, 2009 3:04 PM

Kepada: Undisclosed-Recipient:;

Subjek: reunion announcement

Hi all,

For those that were from St. Nicholas Home, please read the attachment for the announcement concerning our annual reunion.

Kindly pass the word around.

Regards,

Loh (K.K.)

 

Pengumuman versi bahasa melayu.

 

Kepada Semua Lepasan St. Nicholas,

Adalah dimaklumkan bahawa perjumpaan tahunan pada kali ini akan diadakan di St. Nicholas Home dari 28 Disember sehingga 1 Januari 2010. Datanglah beramai-ramai untuk sama-sama menjayakan perjumpaan ini. Tarikh tutup pendaftaran adalah pada 22 November, 2009.

Yuran penyertaan adalah sebanyak RM90.00 manakala kanak-kanak di bawah umur dua belas tahun dekenakan bayaran sebanyak RM70.00. ianya bagi membiayai perbelanjaan makanan dan aktiviti sepanjang perjumpaan tersebut. Bagaimanapun mereka yang mendaftar sebelum 22 November akan menikmati pengurangan bayaran sebanyak RM20.00. Ini bermakna peserta tersebut hanya perlu membayar RM70.00 dan RM50.00 masing-masing. Pasangan yang bukan ahli akan dikenakan lebihan bayaran sebanyak RM10.00.

Wang pendahuluan sebanyak RM40.00 bagi kanak-kanak dan RM50.00 bagi peserta dua belas tahun ke atas dikenakan untuk memastikan penyertaan anda. Bayaran selebihnya akan dikutip semasa perjumpaan nanti. Sejumlah RM25.00 dikenakan untuk penginapan di asrama semasa perjumpaan tahunan.

Anda dinasihatkan untuk membawa bersama mangga (padlock) untuk mengunci almari yang disediakan.

makanan hanya akan disediakan dari 29 Disember hingga 1 Januari, bermula dengan sarapan pada 29 dan diakhiri dengan sarapan pada 1 Januari.

Untuk mendaftar atau membuat tempahan bilik tamu atau apa-apa keterangan lanjut, sila berhubung dengan Saudari Linda Kam di talian bimbitnya 013-3402302, telifon kediamannya 03-22745022 atau di pejabatnya di 03-20948111.

Jumpa di sana.

 

Pengumuman versi bahasa inggeris.

 

To all Ex-nicolites,

Please be informed that our Annual Reunion at St. Nicholas Home will be from the 28th of december 2009 till the 1st of January 2010. So do come in full force to join in the fun and make this year's Reunion a real success. The closing date for registration is the 22nd of November, 2009.

The registration fee which covers only food and the activities for the reunion is at RM90.00 for each participant and RM70.00 for children below 12 years of age. However, those who register before the 22nd of November will enjoy a discount of RM20.00 which means that you only pay RM70.00 and RM50.00 respectively. The cost of bringing along your spouse who is not a member wil be an additional of RM10 on top of all other charges.

To confirm your participation, there will be a pre-registration fee of RM40.00 for children and RM50,00 for adults. This fee will be considered part of your registration fee and the remainder be paid up on arrival. Dormitory accommodation is RM25.00 for the whole duration.

You are advised to bring along a small padlock to lock up your belongings in the locker provided.

Please note that food will only be served from the 29th of December till the 1st of January beginning with breakfast on the 29th till breakfast on the 1st of January.

To register for the Reunion, for guest room bookings or for other clarifications regarding the reunion, Please contact Miss linder Kum at 013-3402302 or her home 03-22745022 or her office 03-20948111.

Thank you.

Perutusan Pengerusi SBM Melaka Bersempena Hari Tongkat Putih 15 Oktober

Daripada: hashim ishak
Tarikh: Tuesday, October 13, 2009 11:52 PM
Subjek: Perutusan Pengerusi SBM Melaka Bersempena Hari Tongkat Putih 15 Oktober
 
 

Assalammualaikum dan selamat sejahtera kepada semua,

            Sebagaimana kita semua sedia maklum, pada setiap 15 Oktober setiap tahun adalah sambutan Hari Tongkat Putih dimana masyarakat antarabangsa telah pun menerima tarikh tersebut sebagai Hari Tongkat Putih Antarabangsa.  Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan kepada semua OKU penglihatan di negeri Melaka dan Negara ini selamat menyambut Hari Tongkat Putih.  Saya berpendapat kita perlu memperingati hari ini bagi menarik perhatian masyarakat umum kepada pentingnya diberi perhatian khas kepada semua pengguna tongkat putih di Melaka dan Negara ini.  Saya rasa dengan adanya hari seperti begini akan dapat memberi maklumat dan pendidikan kesedaran awam kepada masyarakat bahawa betapa pentingnya masyarakat di negeri Melaka dan Negara ini terutama pemandu-pemandu kenderaan dan pengguna jalanraya mempunyai sikap prihatin dan sikap berhemah apabila berdepan dengan OKU penglihatan yang mengguna tongkat putih untuk bergerak ke sanasini dalam urusan kehidupan mereka seharian.

Salah satu masalah yang terbesar yang dihadapi oleh orang buta, pejalan kaki OKU penglihatan adalah apabila pemandu-pemandu kenderaan tidak berhenti di lintasan jalanraya atau gagal untuk melihat lorong yang betul apabila berada di pelbagai lorong yang mempunyai lintasan zebra, dimana ada OKU penglihatan sedang melintas atau baru hendak melintas jalan.

Golongan OKU penglihatan amatlah berterima kasih sekiranya pemandu-pemandu kenderaan di jalanraya memberi perhatian khas kepada pengguna-pengguna tongkat putih dengan bersikap lebih berhemah dan bertimbang rasa dengan memberi  mereka sedikit ruang untuk berjalan tanpa hadangan atau halangan.

Dengan menggunakan tongkat putih seorang  OKU penglihatan boleh mendapat info di sekitar jalanan, oleh itu dia boleh mengetahui keadaan sekelilingnya, samada dia berada ditempat biasa atau ditempat baru.   Dengan bantuan tongkat putih, dia boleh juga mengenali halangan di depannya dan dia dapat berjalan untuk mengelakkan halangan atau hadangan sepanjang laluan itu dan lagi dia boleh mengetahui contour; sebagai contoh tongkat putih membolehkan dia membezakan diantara jalan raya dan jalan kaki lima dan yang paling penting sekali, dengan tongkat putih membolehkan dia berjalan dengan perasaan lebih yakin lagi.

Hari Tongkat Putih Antarabangsa adalah satu Event Global yang disambut setiap tahun pada 15 Oktober. Hari tersebut digunakan untuk memberi kesedaran awam mengenai Tongkat Putih dan untuk memberi ingatan kepada masyarakat umum iaitu kepada pemandu-pemandu kenderaan juga pengguna jalanraya tentang keperluan  mengamalkan adab budi bahasa di jalanraya dan bersikap prihatin apabila mendekati seorang OKU penglihatan yang sedang berjalan kaki menggunakan sebatang tongkat putih.

Tongkat putih telah menjadi simbol kepada OKU penglihatan dalam tahun 1921 melalui usaha seorang jurugambar di UK yang telah hilang penglihatannya.

" Dalam tahun 1930, seorang ahli kelab lions telah ternampak seorang OKU penglihatan cuba melintas jalanraya  dengan menggunakan  tongkat berwarna hitam yang hampir tidak kelihatan tongkatnya oleh pemandu kenderaan. Kelab Lions UK telah mengambil keputusan untuk catkan tongkat itu dengan warna putih  supaya lebih terang dan boleh dilihat dengan jelas. Dalam tahun 1931, Kelab Lions Antarabangsa  telah mengambil ketetapan menjadikan  tongkat putih untuk orang buta sebagai satu Program Nasional di Benua Amerika Utara . Hari Tongkat Putih pertama kali telah disambut pada 15 Oktober 1964 di Amerika Syarikat".

Hampir semua daripada golongan OKU penglihatan adalah pengguna tongkat putih. Ramai daripada OKU penglihatan yang masih mempunyai sedikit lagi penglihatan functional menggunakan tongkat putih itu sebagai tongkat bagi keselamatan mereka dan juga bagi memberikan lebih keyakinan kepada diri mereka untuk bergerak ke sana sini.

Hari Tongkat Putih Antarabangsa pada tiap 15 Oktober adalah peluang yang terbaik untuk:

Memberi perhatian khas kepada semua pengguna-pengguna tongkat putih

i.   Memotong semua dahan-dahan pokok yang rendah yang boleh membahayakan   

     dan menghalang seorang OKU penglihatan apabila berjalan.

ii.  Mengalihkan semua halangan daripada jalanan kaki lima yang boleh  

     menghalang seorang pengguna tongkat putih.

iii. Memastikan bahawa kenderaan tidak diletakkan dibahu jalan atau di

     lintangkan di jalan kaki lima, terutama sekali di jalan masuk dan laluan masuk

     bangunan di mana terdapat ramai pengguna tongkat putih yang selalu lalu

     lalang disitu.

Tindakan mudah seperti ini dapat membantu dan boleh memberikan makna yang besar dalam kehidupan OKU penglihatan dalam pergerakan urusan seharian kehidupan mereka.

Saya bagi pihak SBM Melaka berharap dengan adanya publisiti meluas mengenai Hari Tongkat Putih dapat memberi sedikit pengetahuan dan kesedaran awam kepada orang ramai, terutama kepada pemandu-pemandu kenderaan dan pengguna-pengguna jalanraya betapa pentingnya bersikap berhemah dan bertimbang rasa kepada golongan OKU penglihatan yang mengguna tongkat putih. Semoga dengan adanya pemahaman dan pengetahuan mengenai Hari Tongkat Putih, ia mampu menjamin dan membantu OKU penglihatan yang menggunakan tongkat putih di jalanraya dan di kawasan awam dari segi keselamatan diri mereka.

Sekian terima kasih.

 

 

En. Hashim Ishak PBM,

Pengerusi SBM Melaka.

 

 

EMAIL: hashim572002@gmail.com
SKYPE: hashimmelaka
BLOG SBM MELAKA: http://mysbmmelaka.blogspot.com

Arkit blog