Sabtu, Februari 09, 2008

Kenangan di STK St. Nicholas bahagian satu

Ini cerita kenangan di SRK St. Nicholas.



Aku mula menjejakkan kaki ke SRK St. Nicholas yang kini dah menjadi St. Nicholas Home pada 1981. Aku dibawa oleh kakakku ke sana.



Aku terus dibawa ke pejabat untuk pendaftaran. Dan selepas itu, aku terus dibawa ke kelas. Masa tu, aku agak takut-takut. Aku takut kalau kakakku balik.



Aku berulang-alik dari sekolah ke rumah selama seminggu. Dan pada minggu kedua, aku dah mula tinggal di asrama dan balik pada setiap Jumaat dan kembali semula ke sekolah pada pagi hari Isnin.



Di darjah satu, guruku ialah Mrs. Chang dan juga cikgu Patimatun Zaharah. Aku di kelas darjah 1A di mana, guru kelas ialah Mrs. Chang. Cikgu Patimatun mengajar bahasa inggeris.



Semasa darjah satu, aku memang nakal. Tiap pagi Isnin, apabila tiba waktu rehat, aku akan menangis. Dan bila cikgu tanya, aku jawab Shukri buat. Shukri hanya mendiamkan diri bila dihukum oleh cikgu. Dia langsung tidak membela dirinya walau sedikit pun.



Tapi bak kata orang, tuhan itu maha adil. Pada suatu hari, entah macammana suis lampu kelas telah tertanggal. Lalu Shukri memberikan suis yang tertanggal itu padaku untuk diraba.



Apabila house mother bertanya pada Shukri bagaimana suis lampu itu boleh tercabut, Shukri pun terus menuduh aku yang buat. Apabila house mother cik Rokiah bertanya pada aku, aku hanya mendiamkan diri sahaja. Aku pun tidak tahu bagaimana aku boleh mendiamkan diri.



Dan akibat daripada tuduhan itu, aku dan dua orang lagi iaitu Chee Wah dan Mat Isa kena hukum rotan. Dan aku juga tidak dibenarkan balik pada minggu itu.



Semasa darjah satu, aku tinggal di asrama Waron. Asrama ini dikhaskan untuk para pelajar yang berumur lapan tahun ke bawah. Ada satu lagi asrama yang dipanggil KG. Asrama ini adalah untuk mereka yang bermasalah mental dan pemelajaran. Dan pada masa itu, asrama waron dijaga oleh Miss Rani dan dibantu oleh Miss Ambiga. Dan asrama KG dibawah jagaan Miss Lim.



Semasa di asrama waron, baju sekolah kami mesti ada dua pasang. Yang pertama, dipakai pada Isnin dan Selasa. Lepas itu, wajib kena buang. Yang kedua, dari Rabu sampai Jumaat, ha kena buang juga. Mereka akan hantar semua baju itu ke londry untuk dibasuh. masa itu londry dijaga oleh seorang perempuan cina yang dipanggil Ah Bee Chee. Dan pemakaian dua pasang baju sekolah ini wajib untuk semua pelajar.



Baju harian atau dipanggil baju main, hari-harilah kena buang. Kalau tak buang, ha siaplah kena dengan house mother yang bertugas. Dan seingat aku, Miss Rani akan kerja separuh hari pada hari Isnin dan akan bercuti pada hari Selasa. jadi, Miss Ambigalah yang akan mengambil alih tugas. Dan, Miss Ambiga pula akan menyusul pada hari berikutnya.



Tiap hari, lepas makan tengahari dalam lingkungan jam dua ke tiga setengah petang, house mother akan panggil kami duduk di lantai dengan tersusun. Lepas itu, dia akan bagi kami balik baju yang telah siap dicuci. Dan sebelum diberi balik pada kami, mereka akan lipat dulu baju tu. Tapi untuk asrama lelaki dan perempuan, sendiri mau lipatlah.



Setiap petang, setelah minum petang, pelajar di asrama Waron dan KG mesti berada di taman permainan sampailah jam enam setengah petang di mana kami akan diarahkan ke bilik makan untuk makan malam. Macam halau ayam jer.



Pada sebelah malam, siapa yang nak ke kelas, mesti pergi. Ini kami panggil prac class. Prac class ni berlangsung dari lapan malam, sampai sembilan malam. Masa prac class, house mother akan meronda. mereka akan tengok sama ada, kami sedang mengulangkaji atau tidur.



Tepat jam sembilan malam, loceng dibnyikan. Semua kena balik dan tidur. Kalau tak boleh tidur, berbaring saja di atas katil.



Masa di Waron pulak, bila tidur, ada saja kejadian orang menjerit di tengahmalam. yang selalu kena ialah Weng Chuan. Orang kata, asrama itu berhantu. Aku pun pernah kena tapi macam kena tindih jer.



Bersambung.

0 ulasan:





Arkit blog