Ahad, April 06, 2008

Hishamuddin Rais: Kita dan Mereka


Ini saya ambil dari blog orang. Bacalah.



Maaf sebab terlupa nak ambik alamat blog tu sekali.




Hishamuddin Rais: Kita & Mereka


May 31, 2006


Image
KITA DAN MEREKA
oleh Hishamuddin Rais


Pada tahun ini saya telah pergi ke Brickfields pada malam menyambut hari jadi Siddhartha Gautama Buddha. Sebenarnya saya telah datang ke pesta ini hampir
saban tahun. Ini kerana kuil terbesar Buddha dalam kota Kuala Lumpur ini terletak tidak begitu jauh dari tempat saya tinggal.


Pada tahun ini juga untuk pertama kalinya saya juga telah pergi ke Batu Caves di hari Thaipusam. Kali pertama saya menaiki tangga ke Batu Caves pada tahun
1960, ketika saya dalam darjah empat. Ketika itu, saya datang ke Batu Caves bersama satu rombongan sekolah dari Jelebu. Melawat Kuala Lumpur dari daerah
pendalaman adalah satu yang diidam-idamkan oleh murid sekolah. Batu Caves ketika itu adalah salah satu tempat yang wajib dilawat.
Batu Caves yang saya temui di Hari Thaipusam tahun ini amat jauh berubah dari apa yang pernah saya lihat dahulu. Ianya telah berjalan begitu jauh dari
apa yang ditulis oleh A. Samad Ahmad dalam Nakhoda Tenggang. Buku hikayat ini telah saya baca dalam tahun 60an.


Di kedua-dua mukim suci ini ada satu perkara yang amat jelas saya lihat. Saya ternampak begitu banyak sekali orang-orang orang kurang upaya/cacat - lelaki/perempuan
dewasa dan kanak-kanak. Mereka ini dari semua bangsa. Ada India, Cina dan Melayu. Mereka semuanya menempatkan diri mereka di tepi-tepi jalan laluan orang
ramai. Dicelah-celah ribuan manusia ingin melakukan ibadat ini kelihatan badan-badan manusia kerdil kurang upaya/cacat cuba meraih simpati.


Ada pelbagai bentuk kecacatan yang saya lihat di Batu Caves dan di kuil Brickfields. Ada yang menjalar , ada yang menelentang, ada yang merangkak, ada yang
buta, ada yang kudung, ada yang tepok. Ada yang berkudis, ada yang kaki berbalut, malah berpelbagai bentuk insan cacat. Kesemua yang cacat ini datang mencari
sedekah di hari kesucian agama ini.


Di sini saya bukan ingin menimbulkan kesalahan terhadap orang kurang upaya/cacat. Apa yang ingin saya timbulkan ialah sikap kita (orang yang tidak cacat)
terhadap mereka. Saya menyedari ada orang yang akan merasa ngeri, takut, terperanjat atau mual apabila berhadapan dengan orang cacat. Gangguan perasaan
melihat insan cacat ini mungkin lebih hebat dari perasaan kita apabila kita melawat wad kecemasan di hospital kerajaan.


Ini berlaku kerana apabila kita berhadapan dengan orang cacat maka dengan serta merta sifat kita sebagai manusia akan diuji. Jika kita melihat orang cacat
maka kita dengan serta merta akan menilai diri kita yang dianggap "tidak cacat". Kita berhadapan dengan satu kenyataan bahawa badan manusia ini tidak semestinya
penuh dengan kesempurnaan. Dalam sekelip mata kewujudan sifat kita sebagai insan akan dicabar.


Semua perasaan-perasaan ini dapat saya fahami kenapa ianya wujud. Tetapi ada satu perkara yang ingin saya timbulkan terutama kepada kita semua yang mengakui
memiliki sifat yang sempurna. Saya ingin mencari/bertanya kenapa perasaan ini timbul. Rasa saya perasaan ini timbul kerana selama ini insan yang kita anggap
cacat itu telah kita jauhkan dari pandangan kita. Kita hanya terserempak dengan mereka ketika hari-hari kesucian agama - Thaipusam atau Hari Vesak.


Sebenarnya dalam masyakat mana-mana pun orang-orang cacat wujud. Dalam masyarakat semaju Eropah atau masyarakat di Dunia Ketiga, insan cacat ini sentiasa
wujud. Cuma yang berbeza, di Malaysia ini saya perhatikan orang-orang cacat ini amat terpinggir. Mereka terlalu jauh dari kehidupan harian kita. Kita merasakan
bahawa hanya kita yang "sempurna" sahaja yang memiliki dunia ini. Orang kurang upaya/cacat wajib terperam jauh dari pandangan kita. Sikap inilah menjadikan
kita terperanjat apabila kita berhadapan dengan insan kurang upaya/cacat.


Kita yang mengakui sebagai insan sempurna langsung tidak ambil peduli tentang orang-orang cacat dan keperluan mereka untuk sama-sama merayakan hidup. Kota
Kuala Lumpur saya anggap terlalu ganas terhadap orang kurang upaya/cacat. Malah Putrajaya yang dikatakan kota terancang juga tidak mesra cacat. Tidak wujud
jalan-jalan khusus atau lorong-lorong untuk pengguna kerusi roda. Tidak wujud jalan-jalan khusus untuk orang buta. Tangga dan jalan yang diselirati dengan
simen tembok walau pun rendah akan menjadi musuh kepada insan kurang upaya/cacat.


Gedung-gedung membeli belah yang berdiri angkuh dalam kota kita langsung tidak memberi perhatian kepada manusia cacat. Seolah-olah orang cacat ini adalah
sampah yang akan mengotorkan gedung perniagaan. Mereka perlu dijauhkan. Justeru gedung ini dibuat tanpa memberi ruang untung orang kurang upaya/cacat.


Saya pernah bekerja selama 7 tahun sebagai pelayan restoran dalam kota London. Adalah menjadi satu kebiasaan untuk saya menerima pelanggan yang datang dengan
kereta sorong. Ada yang datang ditolak oleh kawan, penjaga atau kekasih. Ada yang datang bersendirian dengan kereta sorong roda berinjin. Restoran kami
akan menyedia meja khas untuk pelanggan kurang upaya/cacat. Pelanggan buta yang datang makan ke restoran kami adalah perkara biasa. Sebagai pelayan saya
hanya perlu menerangkan setiap jenis masakan sebelum si buta memesan.


Malah di hujung minggu dalam pusat kota London, saya sering ternampak kumpulan-kumpulan orang kurang upaya/cacat - tua dan muda- berbaris dipimpin oleh
seorang ketua untuk menaiki kereta api bawah tanah atau bas. Walau pun mereka cacat tetapi mereka juga dianggap sebagai anggota masyarakat. Mereka melawat
pameran lukisan, melawat muzium, berlegar di kedai buku, duduk bersantai di kafe atau pergi menonton teater atau wayang. Kecacatan tidak menghalang mereka
dari merayakan kehidupan.


Orang-orang cacat tidak semestinya tidak memiliki perasaan, tanpa cita-cita atau tanpa keberahian seksual. Mereka juga sama seperti kita. Tidak ada perbezaan
yang hakiki di antara mereka yang cacat dengan orang yang menganggap diri mereka tidak cacat. Kekuatan fikrah kita adalah sama walau pun kekuatan fizikal
mereka mungkin kurang.


Biasanya dalam masyakat kita di Malaysia ini orang-orang yang tidak cacat memiliki sedikit sikap keangkuhan yang "patronising". Kita tidak mahu mendirikan
lantai budaya yang sama rata di antara yang cacat dengan yang tidak cacat. Lihat sahajalah kawasan Brickfields. Kawasan ini dari awal lagi telah dijadikan
"port" untuk orang-orang yang kurang penglihatan. Wilayah ini adalah zon orang-orang buta/pekak/bisu - tempat mereka belajar, bertemu, bersiar-siar, tempat
mereka membuka perniagaan rumah urut dan di sini juga berpusatnya persatuan mereka.


Tetapi bayangkan adakah kita telah menjadikan daerah ini satu wilayah yang mesra cacat? Jalan-jalan di sini, untuk orang-orang buta dan kurang upaya mungkin
lebih bahaya dari jalan raya ke lapangan terbang Baghdad. Setiap masa ada sahaja "musuh" yang melintas dengan laju. Saya tidak pernah ternampak seorang
pemandu kereta di Brickfields yang akan memberikan laluan kepada orang buta untuk melintas jalan. Pemandu kereta cukup angkuh dan mungkin si pemandu menganggap
orang-orang cacat ini hanya menyusahkan lalu lintas mereka.


Pada hemat saya, untuk permulaan kawasan Brickfields wajib diwujudkan sebagai satu wilayah mesra cacat. Kawasan ini perlu diperlengkap dengan segala kemudahan
untuk keselesaan orang-orang cacat. Jadikan wilayah ini satu kawasan percubaan awal untuk kita sama-sama melihat dan memahami apa/bagaimana seharusnya
kita lakukan perkara-perkara terbaik untuk orang-orang cacat.


Selain dari menyediakan keselesaan untuk mereka merayakan hidup, kita juga wajib sedar mereka adalah warga yang memiliki hak untuk disediakan ruang. Ruang-ruang
dan fasiliti sebaik mungkin untuk menolak potensi fikrah dan kehidupan mereka seluas mungkin. Mereka juga memiliki potensi untuk memberikan sumbangan fikrah
dan daya kreatif.


Saya rasa adalah satu tamparan kepada kita semua apabila orang kurang upaya/cacat datang meminta-minta sedekah di Hari Thaipusam atau di Hari Vesak setahun
sekali. Ini adalah gambaran bahawa masyarakat kita sama ada Hindu, Buddha, Islam atau Kristian masih belum memahami kitab-kitab suci yang kita miliki.
Untuk saya jalan ke syurga dan Firdausi bukan di hadapan Batu Caves, di pintu kuil, di Mekah atau ke Baitulmuqaddis. Jalan dan lorong ke syurga ada di
hadapan mata kita. Hanya kita yang buta gagal melihat.


0 ulasan:





Arkit blog