Selasa, Julai 22, 2008

Rahmat Skim Khas OUM kepada golongan OKU

Daripada: cahaya
Dihantar pada: Sabtu, July 19, 2008 2:35 PM


SUKA berjenaka dan ramah tapi bijak dan periang dengan senyuman sentiasa menguntum diiringi sinar mata yang seakan tidak pernah padam menyerlahkan perwatakan Thumaibah Muhamad, pelajar Open Universiti Malaysia (OUM), walaupun memiliki kekurangan.

Gadis berusia 26 tahun sedang mengikuti pengajian peringkat diploma dalam bidang sumber manusia di OUM ini sentiasa manis berbaju kurung dan bertudung, menyebabkan sukar menyangka gadis ceria ini sebenarnya kurang upaya, iaitu kecacatan pada tangan kanannya selain agak tempang apabila berjalan.

Walaupun memiliki kekurangan, namun ia tidak melemahkan semangat Thumaibah, malah bersyukur kepada Tuhan atas segala rahmat yang diperolehinya.

"Pepatah lama menyatakan jika ada pintu tertutup, akan ada tingkap lain terbuka untuk kita - bertepatan dengan kisah saya. Walaupun dilahirkan kurang sempurna, saya memiliki keluarga yang mesra dan sentiasa mencurahkan sepenuh kasih sayang kepada saya," kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai, Terengganu, itu.

Thumaibah yang menjadi penghuni Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Bangi (PLPP) sejak 2006, seorang daripada 12 pelajar di pusat itu menikmati rebet yuran pengajian 75 peratus ditawarkan OUM kepada golongan kurang upaya, iaitu skim OUM sebagai usaha murni mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran golongan seperti Thumaibah.

Gadis anak jati Terengganu itu adalah anak sulung dan mempunyai dua adik perempuan serta seorang adik lelaki. Bapanya, seorang nelayan, meninggal dunia akibat sakit tua beberapa tahun lalu.

Bagi menyara kehidupan, ibu Thumaibah mengambil upah membuang sisik ikan di kilang membuat keropok dan dua adiknya mula bekerja manakala seorang lagi masih bersekolah.

"Bukan mudah berpindah ke PLPP memandangkan hubungan saya dengan keluarga cukup erat. Namun, saya kuatkan semangat serta dorongan ibu dan adik yang mahukan saya mempunyai masa depan lebih cerah," kata Thumaibah.

Di PLPP, Thumaibah diajar kemahiran menjahit dan dengan bangganya menunjukkan pakaian dijahitnya sendiri dan rakan-rakan seperjuangan di pusat tersebut.

"Ketika pertama kali menjejakkan kaki di PLPP, saya berasa gundah, asyik teringatkan keluarga dan kampung halaman. Kini, hati saya lebih tenang memandangkan kami dijaga dengan baik. Terdapat lebih 100 penghuni dan kami umpama satu keluarga besar yang bahagia," katanya menceritakan kehidupan di PLPP.

Mengenai keputusannya melanjutkan pengajian, Thumaibah berkata: "Selepas tamat sekolah menengah, saya mendapat tempat universiti tempatan tetapi bertahan hanya dua semester.

"Saya menghadapi kesukaran mengikuti pengajian lalu terpaksa berhenti dan bekerja sebagai pembantu pemasaran di kedai muzik. Apabila usia meningkat, saya kian menyedari kepentingan pendidikan.

"Apabila saya mendapat tahu tentang OUM dan skim istimewa disediakan untuk golongan kurang upaya, cepat-cepat saya terima tawaran," ujar Thumaibah.

Thumaibah menganggap pendidikan ibarat cahaya menyinari kehidupan, berkata pada awalnya dia berhasrat melanjutkan pengajian setakat peringkat diploma.

"Saya berterima kasih kepada OUM kerana kini, cinta saya terhadap pendidikan kembali mekar. Saya merancang menyambung pengajian ke peringkat ijazah kedoktoran dan menyimpan impian menjadi ahli akademik satu hari nanti," katanya yang suka berkebun dan mendengar muzik itu.

Mengenai rutin hariannya walaupun tidak sempurna, Thumaibah berkata, dia dididik berdikari sejak kecil dan berterima kasih kepada ibu yang menerapkan sifat berani serta pekerti mulia dalam dirinya.

"Saya menggunakan tangan dan kaki kiri melakukan kerja. Saya tidak pernah menyesali takdir atau mengeluh keadaan fizikal sebegini. Kita perlu tabah menghadapi dugaan demi meneruskan kehidupan," katanya.

Ditubuhkan pada 2000, OUM adalah institusi pengajian jarak jauh terbuka pertama di Malaysia. Institusi itu menerima kemasukan kelompok pertama pelajar seramai 753 orang pada Ogos 2001 dan kini, mempunyai hampir 70,000 pelajar.

Untuk pertanyaan tentang program OUM, hubungi 03-2773 2002, e-mel enquiries@oum.edu.my atau layari www.oum.edu.my.

OUM menawarkan 62 program akademik dari peringkat diploma sehingga peringkat pascaijazah dari pelbagai fakulti seperti Perniagaan & Pengurusan, Teknologi Maklumat & Komunikasi Multimedia Sains & Teknologi serta Pendidikan & Bahasa dan juga Sains Sosial Gunaan.

0 ulasan:





Arkit blog