Selasa, Oktober 28, 2008

Ancaman buta sejarah

Artikal utusan.
 

Ancaman buta sejarah

Demi hasrat ingin memulihkan keyakinan rakyat yang diwakili, hampir semua 13 parti komponen Barisan Nasional (BN) cuba mengambil langkah dengan mengetengahkan pelbagai isu tanpa mempedulikan sensitiviti kaum lain. Menurut pandangan mereka, soal sensiviti kaum tidak lagi terpakai kerana pada pandangan pemimpin Gerakan dan MCA, rakyat negara ini sudah bersedia untuk masuk ke era baru demokrasi.

Selepas seorang pemimpin Gerakan membangkitkan soal taraf peribumi negara ini, muncul pula cadangan bekas Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai supaya jawatan Timbalan Pengerusi BN ditambah kepada dua dengan satu daripadanya diisi oleh pemimpin MCA.

Jika hasrat MCA yang hanya mampu meraih 10.21 peratus undi dengan menyaksikan banyak kerusinya hilang dalam pilihan raya umum Mac lalu ditunaikan, tidak mustahil 13 rakan komponen BN lain akan saling menuntut perkara yang sama.

Pengerusi Gabungan Badan Ekonomi Melayu (GABEM), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berpandangan pada masa kini anggota komponen BN kurang berdisiplin dengan mengemukakan permintaan-permintaan luar biasa yang sebelum ini tidak pernah terjadi.

"Saya khuatir dengan tuntutan tidak munasabah akan menimbulkan suasana tegang di kalangan komponen BN. Sekiranya MCA diberi peluang memegang jawatan Timbalan Pengerusi BN, tentulah kaum India dan etnik Sabah dan Sarawak juga akan menuntut hak-hak mereka. Jadi Sampai bila ia akan selesai," kata Ahli Majlis Tertinggin UMNO itu.

Menurut Abdul Rahim, apa yang patut berlaku setelah kekalahan dalam pilihan raya umum lalu, khusus parti bukan Melayu - tugas mereka yang pertama bukan menuntut jawatan Timbalan Pengerusi BN, keutamaan ialah membuktikan kepada pucuk pimpinan BN bahawa mereka mempunyai kapasiti, strategi dan langkah yang boleh diambil untuk memulih keyakinan orang bukan Melayu kepada parti mereka.

Pertama, mereka mesti menyahut cabaran oleh beberapa pihak yang telah memperkecilkan dasar kerajaan, yang telah membuat fitnah dan memutar belitkan maklumat terhadap prestasi kerajaan, integriti dan dasar-dasar kerajaan. Semua itu mesti diperbetulkan dengan memberi maklumat yang jelas. Perkara ini tidak boleh dijelaskan jika mereka tidak memahami sejarah negara.

"Baru-baru ini Perdana Menteri telah menyarankan supaya mata pelajaran Sejarah diwajibkan kepada murid sekolah rendah. Ini langkah yang tepat.

"Kita lihat sekarang kebanyakan rakyat Malaysia telah buta sejarah. Bayangkan senario orang yang buta sejarah berdebat di antara mereka mengenai sejarah maka tidak akan selesai dan mungkin akan menimbulkan ketegangan yang membawa kesan lebih parah," kata Abdul Rahim.

Misalnya berapa ramai rakyat Malaysia yang tahu Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia adalah proses pengorbanan yang panjang rakyat negara ini. Tetapi bagi yang buta sejarah seolah-olah kemerdekaan Malaysia diberi di atas dulang emas kerana rombongan Tunku Abdul Rahman ke London berjaya mendapat kemerdekaan tanpa pertumpahan darah.

Abdul Rahim yang pernah memimpin Pergerakan Pemuda UMNO mengajak rakyat melihat fakta sejarah. Menurut beliau, apabila Jepun ditewaskan dalam Perang Dunia Kedua dan menyerah diri, maka keluar satu pasukan Bintang Tiga yang memburu dan membunuh orang Melayu atas alasan orang Melayu menjadi pengintip Jepun ketika penjajah dari Matahari Terbit itu berperang dengan orang Cina di Manchuria.

Setelah mengambil tindakan ganas dan tidak berperikemanusiaan itu, Bintang Tiga mengubah pendirian untuk menjadikan Malaya sebuah republik.

"Republik ertinya tiada perbezaan antara suku kaum walaupun satu kaum itu layak dari segi sejarah menjadi pribumi. Dari segi sejarah, mana-mana kaum di seluruh dunia yang pertama menubuhkan tamadun maka kaum itu adalah pribumi," komen Abdul Rahim.

Orang Asli walaupun penduduk asal bumi ini tetapi gagal membina tamadun ia hanya orang asal bukan pribumi. Tetapi 600 tahun dulu orang Melayu telah berjaya menubuhkan kesultanan Melayu Melaka selama 110 tahun yang mana fakta sejarah ini tidak dinafikan oleh pakar sejarah seluruh dunia.

Oleh itu orang Melayu dan bumiputera berhak diisytihar sebagai pribumi dengan hak-hak dan keistimewaan dalam Perlembagaan Perkara 153,

Apabila British kembali ke Malaya dan Bintang Tiga masuk ke hutan dan meneruskan perjuangan untuk menjadikan Malaya sebuah republik, mereka bertempur dengan wira-wira keamanan dan keselamatan kita. Puluhan ribu mati untuk mempertahankan Malaya daripada menjadi republik oleh Parti Komunis Malaya (PKM) yang dulu Bintang Tiga.

"Apakah kita tidak perlu mengenang pengorbanan wira-wira kita ini dalam usaha mereka mempertahan Malaya sebagai kekal menjadi negara yang berdaulat dan bermaruah dalam usaha mewujud Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu sebagai mana diperjuangkan oleh UMNO bersama rakannya dalam MIC dan MCA," jelas bekas Ketua Menteri Melaka itu.

Generasi

Perwira kita bertempur dengan PKM dari perisytiharan darurat pada tahun 1948 hingga 1960 dan perjuangan PKM berakhir pada 1990. Pada masa itu ribuan wira-wira kita terkorban. Abdul Rahim mempersoalkan kesetiaan generasi baru Malaysia sekarang.

Adakah mereka memahami bahawa setiap titisan darah perwira yang terkorban itu adalah satu pengorbanan untuk menegak Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu untuk mempertahankan pribumi atau mereka hanya mati katak.

"Kita mesti fahami sejarah apa yang berlaku. Kewujudan republik tidak mengenal atau membeza minoriti dengan majoriti - semua sama," katanya.

"British datang membawa idea Malayan Union. Ia adalah satu konsep republikisme, antara Malaysian Malaysia dan republik sama sahaja. Pribumi dan pendatang pada masa itu dianggap sama sahaja. Apakah ini satu cara yang baik. Kita bersyukur kerana kewujudan UMNO dapat menentang penubuhan Malayan Union.

Apabila Singapura menjadi sebahagian gagasan Persekutuan Malaysia, kerajaan di seberang Tambak Johor pada masa itu menganjurkan Malaysian Malaysia.

Malaysian Malaysia berasaskan meritokrasi yang bermakna bebas, liberal, yang kuat akan menjadi lebih kuat.

Konsep yang diasaskan oleh Lee Kuan Yew - Malaysian Malaysia adalah sama dengan Malayan Union dan hampir sama dengan republikisme. Kita terpaksa bercerai dengan Singapura kerana ideologi politik ini bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang di dalamnya terdapat Perkara 153.

Walaupun perceraian terjadi tetapi perjuangan Malaysian Malaysia itu masih diteruskan oleh DAP. Pewarisnya yang mutakhir ialah Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dengan konsep Malaysian Malaysia hari ini, kata Abdul Rahim, mereka yang menganuti fahaman ini tidak dapat melihat DEB diwujudkan kerana adanya Perkara 153. Ia adalah suatu kejayaan yang harus diwarisi selagi ada bulan dan bintang. Tetapi mereka politikkan DEB sebagai ancaman yang seolah-olah ia tidak bersesuaian dengan konsep pelbagai kaum sedangkan DEB bertujuan untuk membela orang miskin dan menyusun semula masyarakat tanpa mengira kaum.

Mereka tidak sedar bahawa ramai miskin, yang tertinggal ke belakang dan perlu dibela rata-ratanya adalah orang Melayu dan bumiputera. Tetapi perjuangan ini yang mahu PKR hapuskan dan diganti dengan Agenda Ekonomi Malaysia.

"Kalau orang percaya konsep Malaysian Malaysia ini yang diperjuang PKR dan tahu pengorbanan maruah dan titisan darah oleh ribuan anggota keselamatan kita yang terkorban, mereka tidak sanggup mengkotak-katik dan menghina DEB dan perlu diganti dengan dasar lain. Tetapi kalangan rakyat kita kini buta sejarah. Kerana itu mereka keliru tentang peranan masing-masing dari segi penghayatan cinta dan kasih pada negara. Rasa patriotik di kalangan rakyat Malaysia dikhuatir terlalu nipis dan tidak berkesan," jelas beliau.

Menurut Abdul Rahim, kita mungkin mempunyai sistem pendidikan yang hebat untuk melahir orang yang bijak, pintar, dinamik dan profesional. Tetapi apa guna mereka ini jika tidak ada rasa kasih dan sayang kepada negara sendiri dan tidak faham laluan sejarah negara.

"Saya memberi amaran pemimpin kerajaan pembangkang supaya jangan memperkotak-katikkan kontrak sosial seperti yang digesa oleh Perdana Menteri dan disusuli oleh Majlis Raja-Raja Melayu. Saya minta mereka kembali kepada fakta sejarah Malaysia untuk memahami sejarah hingga timbul rasa kasih dan sayang kepada Malaysia.

"Semua kemelut ini dan kegawatan politik seperti yang ditunjukkan oleh Pergerakan Pemuda MCA adalah manifestasi kegagalan kita untuk menanam patriotisme kepada rakyat hingga mereka tidak mengenal sejarah bangsa dan negara sendiri," kata Abdul Rahim.

 

Sedingin salju berkata: jangan sampai anak cucu kita menyalahkan kita semua akibat sikap rakyat yang buta sejarah ini.

0 ulasan:





Arkit blog