Selasa, Oktober 21, 2008

Soal Jawab: Peringatan Majlis Raja-Raja beri isyarat

Artikal dari Berita harian.
 
 
Berita Harian Online

Soal Jawab: Peringatan Majlis Raja-Raja beri isyarat




Ketegasan lindungi kepentingan Melayu bukan sekadar barang mainan


MESYUARAT Majlis Raja-Raja Ke-215 minggu lalu mengeluarkan satu kenyataan khas berhubung beberapa perkara dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai peranan melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, melindungi agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum lain di Malaysia. Pendirian itu dikeluarkan berikutan situasi tidak menentu sejak kebelakangan ini apabila ada pihak mula mempersoal, mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu, agama Islam bahkan meminta peruntukan dalam Perlembagaan seperti kontrak sosial dikaji semula serta membangkitkan isu sensitif membabitkan soal perkauman. Wartawan Berita Minggu, Mohd Azis Ngah mendapatkan pandangan Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin mengenai isu berkenaan.


PADA pandangan Datuk mengapa Majlis Raja-Raja terpaksa mengeluarkan ketetapan atau pendirian berhubung isu berkenaan?


Majlis Raja-Raja mengeluarkan ketetapan itu kerana ingin mengingatkan rakyat dan pemimpin negara bahawa institusi Raja-Raja Melayu masih wujud dan segar bugar serta berfungsi sepenuhnya mengikut Perlembagaan, khususnya, mempertahan dan melindungi kepentingan kaum Melayu dan Bumiputera.


Adakah situasi dalam negara sekarang boleh dikatakan dalam keadaan tidak stabil dari aspek perpaduan kaum sehingga memaksa Majlis Raja-Raja campur tangan menjelaskan pendirian mereka?


Majlis itu berpandangan bahawa wujud kemelut kefahaman di setengah-setengah pihak mengenai kedudukan hak istimewa kaum Melayu, termasuk golongan cerdik pandai dengan memutar-belit fakta sejarah demi kepentingan sempit. Mereka ini termasuk mereka yang mempunyai kepentingan perkauman, peribadi atau pencapaian politik seseorang.


Umumnya, wujud perdebatan berhubung istilah ketuanan Melayu dan kedaulatan rakyat. Kedaulatan Melayu sebenarnya berasaskan kepada sistem beraja, bangsa Melayu itu sendiri kerana ia tercatat dalam Perlembagaan. Istilah itulah yang sepatutnya digunakan pakai dan dipegang kerana wujudnya daulat adalah disebabkan adanya Raja Melayu.


Apabila menyebut soal ketuanan Melayu, ia akan menimbulkan masalah kepada kaum lain kerana istilah itu sendiri merujuk kepada golongan tuan dan hamba atau orang bawahan. Ia sebenarnya diwujudkan oleh orang Inggeris dan diguna pakai di negara mereka sedangkan di negara kita, istilah itu sebenarnya sangat bahaya dan sering dipertikaikan kaum lain. Sedangkan dalam Perlembagaan sendiri dicatatkan kedaulatan Melayu, bukannya ketuanan Melayu, jadi pada pendapat saya, penggunaan istilah itu sendiri perlu diperbetulkan bertujuan mengelak salah tafsir kaum lain, sekali gus mengubah persepsi serong.


Bagi sesetengah pihak, penggunaan istilah ketuanan Melayu menggambarkan kekuasaan dan pemilikan mutlak ke atas negara ini dan mereka sering melaungkan istilah itu, sedangkan istilah yang dipersetujui bersama dalam Perlembagaan ialah kedaulatan Melayu.


Ini perlu ditegaskan dan difahami. Jika istilah itu tidak digunakan ia lebih selamat kerana tunjang Melayu ialah Raja Melayu. Golongan yang menyokong ketuanan rakyat semestinya menidakkan ketuanan Melayu kerana mereka mendokong demokrasi yang dipilih rakyat dan mereka menentukan pemimpin. Keadaan akan berbeza jika kita menggunakan kedaulatan Melayu, iaitu merujuk kepada apa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan dan mengingatkan semua pihak bahawa Raja Melayu masih wujud dan berfungsi serta perlu dihormati.


Apakah peranan Raja-Raja Melayu dalam pembentukan Malaysia dan pembangunan negara kerana ketika ini sudah ada yang turut mempertikaikan kedudukan Raja-Raja Melayu?


Kedudukan Raja-Raja Melayu tidak dipertikaikan, yang dipertikaikan adalah hal-hal yang terletak di bawah perlindungan mereka, iaitu hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja Melayu, agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan juga kepentingan sah kaum lain mengikut Perlembagaan Persekutuan.


Sesetengah pihak dilihat mencabar peruntukan Perlembagaan yang secara jelas menyatakan kedudukan orang Melayu tanpa mengetepikan hak kaum lain. Tindakan itu juga secara tidak langsung dianggap cuba 'mengusik' keistimewaan serta kedudukan Raja Melayu. Apa komen Datuk?


Memang ada kenyataan yang boleh ditafsirkan sedemikian, tetapi kadang-kadang dinyatakan dengan tidak langsung.


Adakah menerusi peringatan daripada Raja-Raja Melayu ini mampu meredakan isu yang membangkitkan kemarahan orang Melayu, selain memberi kesedaran kepada mereka yang masih mempertikaikan perkara ini?


Perkara yang dinyatakan Raja-Raja Melayu itu jelas. Kedudukan Raja-Raja Melayu dalam Perlembagaan jelas. Maka cerdik pandai, khususnya peguam, atau segelintir ahli politik berkepentingan sempit bersifat peribadi, harus menunjukkan kefahaman mengenai hal ini dan tidak bertindak melulu secara emosi, kononnya berdasarkan alasan 'hak asasi manusia' atau 'kepentingan masyarakat sivil' atau 'demi ketuanan rakyat.'


Isu penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan juga dilihat semakin tercabar apabila pihak tertentu sudah berani mempersoalkan penggunaannya. Contohnya, penggunaan papan tanda yang dulu menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu, tetapi kini turut ditambah bahasa lain dengan alasan ia melambangkan perpaduan. Komen Prof.?


Penggunaan bahasa untuk papan tanda ditentukan oleh peraturan setempat. Ada tempat yang hanya mengenakan penggunaan satu bahasa saja, iaitu, bahasa kebangsaan, ada yang mengizinkan penggunaan bahasa lain. Contoh ini, mungkin tidak sesuai digunakan untuk menunjukkan bahawa ada pihak yang mempertikaikan penggunaan bahasa kebangsaan. Yang lebih menonjol dalam hal ini adalah dasar kerajaan menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik yang membelakangkan kemampuan bahasa kebangsaan menguasai ilmu sains, sekali gus membawa masalah penguasaan oleh murid Melayu ilmu sains dan matematik, justeru mendapat keputusan markah peperiksaan yang rendah.


Sebelum ini, Majlis Raja-Raja jarang bersuara berhubung soal ketenteraman dalam negara, soal perpaduan dan hubungan kaum. Adakah menerusi pendirian terbaru ini dilihat sebagai satu mesej jelas kepada kerajaan supaya meningkatkan keberkesanan hubungan kaum, termasuk langkah pencegahan awal mengelakkan perkara lebih buruk berlaku?


Kenyataan Majlis Raja-Raja ini adalah suatu peringatan umum dan menggesa supaya pihak berkenaan, kerajaan dan bukan kerajaan, mengambil tindakan sewajarnya. Ia peringatan jelas kepada pemimpin tanpa mengira parti bahawa mereka jangan ambil kesempatan untuk menggunakan Raja Melayu bagi mencapai cita-cita mereka. Bukan saja pembangkang, bahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) juga perlu menyelesaikan masalah ini.


Mereka yang suka ambil kesempatan ini adalah golongan yang mementingkan diri, tidak memikirkan tanggungjawab kepada rakyat dan apa yang penting bagi mereka ialah memastikan cita-cita mereka tercapai, baik dalam kerjaya politik, keuntungan peribadi atau ada agenda lain.


Selepas pilihan raya umum baru-baru ini, beberapa tindakan menyaksikan campur tangan istana dan penggunaan kuasa Raja. Kenapa ia berlaku?... rakyat boleh menilai dan memikirkan sendiri.


Bukan Melayu juga diberi jaminan supaya tidak perlu bimbang mengenai hak sah mereka kerana ia dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan yang terkandung dalam Undang-Undang Tubuh Negeri-Negeri di Malaysia yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Bukankah jaminan ini sudah memadai?


Jaminan ini lebih daripada memadai, tetapi ia mesti disusuli dengan tindakan yang boleh membuktikan akan hak bukan Melayu juga diperhitung dan diberi ruang.


Bagaimanapun sesetengah pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semakin berani dengan tindakan provokatif, termasuk membincangkan isu sensitif, termasuk kontrak sosial dan isu agama Islam pada majlis terbuka?


Kenyataan Majlis Raja-Raja jelas mensasarkan kepada kelompok berkenaan iaitu, kelompok intelegentsia Malaysia. Kelompok kecil inilah yang sering mempersoalkan isu sensitif dan mereka boleh dianggap golongan yang pandai berfikir, tetapi tidak bijak.


Kita tidak pernah mendengar nelayan di Terengganu mempersoalkan hal ini ataupun penduduk Felda di Pahang mengadakan forum terbuka membincangkan isu sensitif. Tidak pernah terjadi kesatuan pekerja, golongan buruh, pekerja kasar mempersoalkan isu perkauman, kontrak sosial, isu sensitif dan ia menggambarkan mereka sudah bersyukur dalam sistem hidup yang ditentukan menerusi peruntukan Perlembagaan yang sudah pun mengambil kira kepentingan semua kaum.


Hanya golongan tertentu yang berasakan mereka pandai yang berani melakukan ini, tetapi tidak tahu mentafsir apa akan jadi jika mereka buat itu, mereka tidak boleh menilai masalah rakyat dan buat semua hal ini tanpa memikirkan kesan jangka panjang atau meminggirkan perasaan kaum lain semata-mata membuktikan kehebatan mereka.


Kita sedia maklum, kerajaan menyediakan cukup banyak kemudahan, bantu menyediakan kemudahan sekolah, sediakan biasiswa, bagi pinjaman untuk mereka melanjutkan pelajaran semata-mata mahu mewujudkan lebih ramai golongan pandai di negara ini, tetapi sekarang kita lihat apa yang berlaku. Rakyat sendiri boleh memikirkan apa kesannya dan jika ini berlaku ia akan mengambil masa terlalu lama untuk diubati, sedangkan untuk mengadakan satu forum membincangkan isu sensitif, ia boleh diadakan sekelip mata.


Benarkah kepemimpinan sekarang kurang memberi perhatian kepada perkara ini atau ketelusan dan keterbukaan kerajaan menyebabkan pihak berkenaan (yang mempertikaikan) 'naik kepala.'?


Keterbukaan pimpinan sekarang, iaitu keterbukaan yang tidak dibincangkan terlebih dulu bersama dengan rakyat menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan. Keterbukaan ini disalah faham dan disalahgunakan. Apa yang terjadi kini adalah ibarat orang yang membuka pintu keterbukaan itu sudah jatuh dan dipijak-pijak oleh mereka yang berjaya mengambil kesempatan keterbukaan berkenaan.


Atau adakah mungkin sifat orang Melayu yang pemaaf (setiap kali ada isu orang Melayu yang akan meminta maaf daripada kaum lain) diambil kesempatan?


Sifat pemaaf ada dalam semua masyarakat. Yang jelas dalam keadaan sekarang ialah wujudnya segelintir pemimpin yang sanggup mengorbankan kestabilan politik negara demi mencapai kepentingan peribadi yang sempit dengan menggunakan segala kekuatan media global dan apa saja yang boleh digunakan untuk membelasah kepemimpinan sekarang yang ternyata menghadapi kemelut tersendiri.


Apakah orang Melayu, terutama pemimpin mempunyai kesedaran ini (terhadap mereka yang mempertikaikan hak atau asal usul orang Melayu) dan mampu mengambil tindakan sewajarnya sedangkan hubungan antara orang Melayu sendiri dilihat ada kerenggangan berikutan keadaan politik sekarang?


Apa yang berlaku adalah sifat akomodasi antara kaum di Malaysia ini kadang-kadang lemah dan rasa mementingkan diri lebih diutamakan. Jika ini dapat dielakkan pasti hal ini tidak berlaku.


Pandangan Datuk mengenai seruan Majlis Raja-Raja supaya orang Melayu bersatu padu mempertahankan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, melindungi agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum lain di Malaysia?


Kenyataan ini mesti difahami dengan mendalam dan dilakukan tindakan sesuai yang rasional dan berjangka panjang, bukan yang emosional. Pihak sektor awam, sektor swasta dan sektor komuniti mesti bekerjasama, melalui dialog berterusan kerana rakyat Malaysia sudah memilih lebih suka tongue wagging not parang wielding (lebih suka bertikam lidah daripada berparangan).


Kita mempunyai saluran khas menyalurkan pendapat dan cadangan, iaitu menerusi suara rakyat yang memilih wakil mereka di Parlimen ataupun melalui permuafakatan. Pendekatan ini mesti difahami dan dipraktikkan.


Pada pandangan Datuk perlukah tindakan lebih keras diambil terhadap mereka yang masih mempertikaikan isu ini?


Tidak perlu tindakan keras, perlu jalan perundingan biarpun sampai bosan. Kekerasan menjana kekerasan yang lebih keras dan akhirnya keganasan. Di Malaysia violence is not an option (keganasan bukannya pilihan). Sebab itulah kita sering menggalakkan perbincangan, perkongsian pendapat, cadangan dalam menyelesaikan apa saja kemelut, masalah atau isu membabitkan kepentingan kaum. Golongan yang tidak berpuas hati tidak boleh bertindak secara agresif menggunakan kekerasan untuk mendesak, begitu juga tindak balas pihak lain.


Cara kekerasan tidak akan menyelesaikan banyak masalah, bahkan merumitkan lagi keadaan sedangkan kita mempunyai pilihan menerusi perundingan.



9 ulasan:

Bro Framestone berkata...

bayangkan jika institusi raja digulingkan, siapa yang layak melindungi hak2 orang melayu dan menyatakan islam adalah agama rasmi negara. akhirnya siapa pula yang akan mengetuai agama islam di malaysia??

mesti pelik kuar pengistiraan berpuasa atau hari raya oleh mereka yang tidak di pilih oleh majlis raja2 tetapi dari para2 ulama. berapa banyak ulama yang mampu menjadi ketua diatas agamanya (tidak pasl2 berlaku perubutan kuasa pula)

http://pemimpinmuda.malayaonline.com/?p=12

Tai berkata...

ya sokong apa yang dikatakan oleh encik.

nampaknya pihak yang tidak bertanggungjawab ini, cuba menangguk di air yang keruh untuk mencapai cita-cita mereka.

Bro Framestone berkata...

sepatutnya isu perkauman dan agama tidak boleh menjadi agenda berpolitik, ianya menyebabkan terjadinya berat sebelah di dalam setiap keputusan yang dibuat. kontrak sosial tidak pernah berat kemana2 pihak. ianya cuma menjaga kepentingan melayu di dalam masa yang sama ada kelebihan untuk kaum lain

tidak di nafikan ada pihak yang menangguk di air yang keruh. isu perkauman dan agama dijadikan senjata dan agenda mereka untuk terus kedepan. sampai bila isu ini perlu dibangkitkan sedangkan negara lain tengah mencari kelemahan kita sebelum mereka masuk campur dan merombak negara kita seperti negara mereka

kita sama2 berfikir untuk kepentingan dan kewibawaan negara, bukan untuk kepentingan peribadi

http://pemimpinmuda.malayaonline.com

Tai berkata...

ya betul dan tepat sekali. Ada yang cuba menangguk di air yang keruh. Dan yang paling menyedihkan, ianya disokong oleh orang melayu itu sendiri.

Sebab itu, selalu saya katakan, melayu jangan terlampau bertolak-ansur sehinggakan hak sendiri pun hendak digadaikan.

Bro Framestone berkata...

siapa yang akan membasmikan mereka sedangkan ramai yang tidak bertanggungjawab dan sentiasa mementingkan diri dan kepentingan individu lain

http://pemimpinmuda.malayaonline.com

Tai berkata...

Ya, itulah masalahnya sekarang. Inilah pengajaran buat orang melayu agar jangan terlalu bertolak ansur. Ibarat dah bagi betis, nak paha pula.

Awang Kata berkata...

Kalau dah jelas dengan Peringatan Raja-Raja tu, kenapa masih sibuk lagi dengan papan tanda bertulisan cina dan tamil?

Semangat pendatang boleh diwarisi tetapi biarlah bertempat dan kena gayanya. Kalau bahasa Melayu pun nak disamatarafkan dengan bahasa lain, apa guna tarafnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Kalau ini tak boleh diterima, maknanya kerakyatan kaum cina dan tamil pun boleh dipersoalkan juga kerana ada kaitan bererti antara bahasa Melayu dan kerakyatan di situ.

Awang Kata berkata...

Memanglah meletakkan tulisan cina dan tamil di papan tanda bukan jenayah. Dan bodoh benarlah kalau semuanya nak diukurtarakan dengan undang-undang. Dimensi adat, sejarah, budaya, warisan, citra negara pun mesti diperlihatkan juga. Hang sedar tak hang dok di mana la ni, hah...batu pelir kambing betul la hang ni...

Tai berkata...

Pada saya, kenapa kita tidak buat seperti negara jiran kita yang meletakkan hanya satu saja tulisan kat mana-mana tempat. Di Indonesia, hanya satu saja tulisan diletakkan. kenapa di malaysia, mesti diletakkan pelbagai tulisan? Adakah orang Malaysia tak reti b. malaysia? Sungguh memalukan.





Arkit blog