Selasa, November 04, 2008

Cameron Highlands bahagian dua.

Ok, kita bersambung di bahagian kedua pula.

 

Lebih kurang jam 7:00 pagi, bas telah tiba di Cameron Highlands.  kami berhenti di salah sebuah tempat rehat.  Di situ, ada kedai makan dan tandas.  Kami pun ikutlah giliran, turun dari bas.  Wah!  Sejuknya bukan main lagi.

 

kami pergi mencuci muka.  Ada juga yang pergi berak.  Airnya amat-amat sejuk sekali.  Seperti air ais.  Tapi, tekanan air di situ agak rendah.  nak cuci muka tu, bolehlah.  Tapi nak gosok gigi tu, payahlah.

 

“Huh, kat kampung aku, ayak sejuk lagu nilah.”  Ahmad Saad bercerita.  “kalau pagi tu, pakai tak mandilah.”  “Kalau nak mandi tu, tunggu tengahari sikit, ha, barulah boleh mandi.”  “Kalau tak, sejuk ketak oiii.”  Ahmad Saad menyambung cerita.

 

Selepas dah selesai mencuci muka, kami pun pergi makan.  Aku masih memakai jaket sebab cuaca yang dingin di Cameron Highlands tu.  Pagi-pagi, seperti biasa, aku mesti pekena secawan nescafe panas.  kalau tak, tak selesa dibuatnya.  Dan aku pun makan makanan kegemaran aku iaitu Wan Tan mi.

 

Selepas sarapan, kami memulakan lawatan kami.  kami pergi ke taman kaktus.  Di sana, dapatlah kami memegang pokok kaktus.  Kami terpaksa berhati-hati untuk memegang pokok kaktus sebab ada duri-duri tajam di pokok kaktus tu.

 

Sebenarnya, untuk memasuki taman kaktus, ianya dikenakan bayaran.  Tapi kami dapat masuk percuma.  Ada pelbagai bentuk pokok kaktus tu.  Itulah yang diberitahu.  Suasana masih lagi dingin.

 

Selepas melawat ke taman kaktus, kami pergi pula ke taman rama-rama.  Wah, ada pelbagai jenis rama-rama.  Rupanya, cantik sekali.  Saya telah berkesempatan untuk meraba rama-rama tu.  Lembut sekali bulu rama-rama tu.  Di taman tersebut, ada juga binatang-binatang lain antaranya ular dan burung.

 

Selepas itu, kami ke kebun strawberry pula.  Di situ terdapat pokok-pokok strawberry yang segar-bugar.  Kami juga dapat merasai beberapa biji buah strawberry.  Amboi mak, masam oii.

 

Barang makanan di situ, semuanya ada kena-mengena dengan strawberry.  Antaranya, ais kerim strawberry.  Sungguh sedap sekali.  Di suatu sudut ada tempat bela lebah.  Ada yang berkesempatan merasai madu lebah.  Aku tak beranilah nak minum madu lebah.

 

Selepas itu, kami pergi pula melawat ke kebun teh.  Untuk masuk ke kawasan kebuh tey itu, bas khas telah membawa kami.  Ianya dipandu oleh seorang india.  Bas tu, tak ada penghawa dinginlah.

 

Setelah sampai, kami pun turun dari bas itu.  Bau teh sungguh kuat sampai naik gatal hidung.  Kami dibawa ke kilang teh dan kami diterangkan proses memetik teh sampailah proses pengasingan dan pembungkusan teh tu.  kami juga dapat merasai beberapa jenis teh.  Antaranya, teh limau kalau tak salah.

 

Setelah selesai, kami pun beredar.  Kini, sudah pun mendekati jam 1:30 tengahari dah.  Perut pun dah lapar dah.  Yalah, dah sepagi asyik dok berjalan.  Dan, kami juga masih belum check in lagi ke hotel.

 

“Eh Khai Eong, hang boleh tulung akak dak?”  Akak Tajma bertanya.  “Ha, tulung apa kak?”  Aku bertanya balik.  “Ni, aku dah ada komputer, tapi aku nak taulah lagu mana nak download lagu dan macam-macam.”  Terang kak Tajma dengan panjang lebar.  “Oh tak pa kak, itu senang punya cerita.”  Aku beritahu.  “Akak ada skype tak?”  Aku bertanya.  “Ikon skype tu, ada kat desktop.”  Beritahu kak Tajma.  “Ok tak pa, nanti kita ajak cara-cara buat skype.”  Beritahuku.  Selepas itu, aku meminta alamat yahoo dari kak Tajma.

 

Kini, bas memulakan perjalanan menuju ke tempat makan.  Pada tengahari itu, aku makan nasi dan daging sahaja.  Tak berani sangat nak makan sayur.  Takut entah bersih atau tidak sayur tu.

 

Selepas itu, kami pun pergi check in.  Aku sebilik dengan Ahmad Gemuk dan juga Anwar.  Tempat yang kami sewa ni adalah apartmen.  Satu apartmen boleh muat 9 orang.  Satu bilik, tiga orang.  Keadaan di apartmen itu amat sejuk sekali.

 

Selepas dah dapat bilik, Anwar yang berpasangan dengan Ahmad Gemuk pun keluar.  Entah ke mana pergi, aku pun tak taulah.  Kami pun berehatlah untuk beberapa ketika.  Dan selepas itu, aku pun merayau mencari plug.  maklumlah aku nak charge telefon.  Telefon dah habis bateri.

 

Sayangnya, apartmen ni kurang sangat plug.  jadi, terpaksalah charge kat bilik lain.  kena charge kat bilik sebelah.  Selain aku, Ahmad gemuk dan Anwar ada enam lagi rakan di apartmen tu.  Sia-sia jugalah aku bawa adapter untuk aku dengar walkman.

 

Selepas itu, aku pun pergi mandi.  Wah, bilik mandi tu, ada disediakan tong khas untuk diisi air.  Apa lagi, aku pun isilah air sejuk bercampur air panas.  kalau air sejuk sahaja, tak termandi aku oii.

 

Selepas mandi, kami berehat lagi.  Dan, Anwar dah pun balik semula ke bilik.  Selepas aku mandi, dia pulak mandi.  Sambil dia mandi, dia bukak mp3 kat handphone dia.

 

“Oi Anwar, tu marka hang mai tu.”  Beritahu Ahmad Gemuk.  “Oh yakah?”  Anwar bertanya.  Dia merengkaskan pemandiannya.  Tidak lama kemudian, dia pun keluar.  “Mana dia?”  Tanya Anwar.

 

“Aku saja tipu hang pasai hang mandi lama sangat ha ha ha ha ha.”  Ahmad Gemuk beritahu sambil ketawa terbahak-bahak.  “Amboi, bila kata marka hang mai, laju no? ha ha ha ha ha.”  Ahmad Gemuk ketawa lagi.

 

Selepas mandi dan bersiap, Anwar keluar lagi.  Entah ke mana menghilang, aku pun tak tau.  Maka, tinggallah aku dan Ahmad Gemuk dalam bilik.  Maka aku pun, dengarlah walkman.  kebetulan masa tu, dah jam lima petang.

 

Jam enam petang, kami bersiap sebab kami akan dibawa ke pasar malam di Cameron Highlands.  Kami telah berkumpul di depan apartmen menunggu bas.  Angin petang bertiup sepoi-sepoi bahasa.  Sungguh sejuk sekali angin Cameron Highlands ni.

 

Bas telah pun tiba.  kami semua pun naik dan bas pun mula berjalan.  Dalam masa tidak sampai 15 minit, sampailah kami ke pasar malam itu.  Dan kami pun turunlah dari bas sampai diiringi oleh pemandu masing-masing.

 

Ada banyak juga barangan di pasar malam tu.  Barang makanan seperti BBQ ayam, burger dan pelbagai lagi.  Sementara aku pula nak pergi mencari bateri untuk mendengar Walkman.  Maklumlah, bateri walkman aku pun dah lemah.  Akhirnya, aku dapat juga membeli bateri dua biji.

 

Beh Sok kee bercadang nak makan bebola ikan pada malam itu.  Tapi malangnya, tak dapat sebab, terlampau ramai orang.  Jadi, tak ada rezekilah nampaknya.  jadi, kami makan makanan biasa sajalah pada malam itu.

 

Selepas makan, kami pun berangkat pulang.  kami pergi menunggu bas.  Dan tidak lama kemudian, bas pun tiba.  kami pun naik bas. Setelah sampai, kami ke apartmen kami masing-masing.

 

Tidak lama kemudian, Anwar pun keluar.  Tinggallah aku dan Ahmad Gemuk.  Kami pun bersembanglah sebentar.  Sambil tu, aku mendengar walkman.  Dengar Muzik FM.

 

“hang tau dak, orang yang aku berkenan tu sapa?”  “La ni aku nak habak kat hang.”  “Nama dia Shimah.”  “Dia dok kat belakang sekali nu.”  Beritahu Ahmad Gemuk dengan panjang lebar.  “Dia tu masa atas bas, juai kerepek pisang.”  Tambah Ahmad Gemuk.

 

“Oh dia tukah?”  “Kalau dia tu, aku taulah, kerepek pisang dia tu, sedap.”  Aku pula berkata.  “Dia tu, pendiam no?”  Aku menambah.  “Ha betoi-betoi.”  Sokong Ahmad Gemuk.  “memang dia tu pendiam.”  Ahmad Gemuk menambah.

 

Setelah agak lama berbual, kami pun tidur.  Dan tidak lama kemudian, Anwar pun balik dan terus tidur.  Mungkin dah mengantuk agaknya.  yalah, seharian dah berjalan, mestilah mengantuk.

 

lebih kurang 11:30 aku terdengar Ahmad Gemuk memanggil.  “Anwar, mai bukak pintu toilet ni Anwar.”  Aku pun pergilah buka sebab Anwar dah tidur.  “Hang kunci dari dalam, lagu mana nak bukak mad?”  Aku bertanya.  Kunci dia tu lekang.  Beritahu Ahmad Gemuk.

 

Aku cuba menolak pintu tu.  “Tak pa, hang tolak pintu tu.”  Beritahu Ahmad Gemuk.  Aku pun menolak pintu tersebut.  Pintu terbuka dan kunci terus jatuh.  “Apa dah jadi?”  Aku bertanya.  “Aku jatuh dalam toilet tadi.”  “Adoi, sakitnya pinggang aku.”  Beritahu Ahmad Gemuk.  “Macam nak putuih pinggang aku.”  Ahmad Gemuk menambah.

 

“Allahuakbar, adoi sakitnya pinggang aku.”  “Rasa macam nak putuih pinggang aku.”  Ahmad Gemuk mengerang.  Sementara Anwar pula, dah tidur dengan lena sekali.  Ahmad Gemuk pula terus mengadoi sakit pinggang.

 

Bersambung.

2 ulasan:

Admin berkata...

Jangan lupa rasa strawberry coklat...tu pun best jugak dari aiskrim strawberry!

Tai berkata...

Oh gitu ya? Tunggu siri ketiga.





Arkit blog