Rabu, Januari 07, 2009

Pelajar Oku hampa

Petikan dari Harian Metro.
 


Pelajar OKU hampa
Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Ibu bapa 20 pelajar sekolah menengah yang cacat pendengaran mempertikaikan tindakan pengurusan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Johor Bahru tidak membenarkan mereka mendaftar di asrama sekolah itu di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, semalam.

Tindakan pengurusan asrama itu menyebabkan pelajar terbabit termasuk perempuan, yang tidak mempunyai penginapan, terpaksa ponteng sekolah sedangkan sesi persekolahan 2009 bermula semalam.

Ini berikutan kedudukan mereka di asrama di Jalan Pahlawan 17, Taman Ungku Tun Aminah itu hanya bakal diketahui dalam tempoh seminggu lagi.

Berdasarkan surat dikeluarkan pihak pengurusan, tindakan itu berikutan tempat penginapan terhad kerana jumlah murid SKPK ramai. Sehubungan itu, keputusan pelajar sekolah menengah memohon memasuki asrama itu hanya diketahui pada 12 Januari ini.

Bagaimanapun, ibu bapa terbabit mendakwa pihak pengurusan asrama memberi alasan kumpulan pelajar sekolah menengah terbabit mempunyai masalah disiplin seperti membuli murid sekolah rendah, merokok dan sengaja memancitkan tayar kereta guru.

Seorang suri rumah, Haninah Mohd Sanni, 34, berkata masalah itu berlaku ketika dia mahu mendaftar masuk asrama bagi anak perempuannya yang belajar di tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sutera.

Menurutnya, dia terkejut apabila pihak pengurusan menolak permohonan pendaftaran masuk anaknya.

Katanya, dia dan anak, Nur Sabrina Sajid, 16, tiba di asrama itu pagi semalam selepas membuat pelbagai persiapan, terkilan apabila pihak pengurusan menyatakan tempat di asrama itu sudah penuh berikutan tambahan kemasukan murid sekolah rendah yang bersekolah di situ.

"Mereka memberi alasan pelajar sekolah menengah menghadapi masalah disiplin dan tidak layak tinggal di situ bersama murid sekolah rendah, " katanya.

Haninah dari Taman Scientex, Pasir Gudang, di sini berkata, apabila menyedari ibu bapa tidak puas hati dan enggan beredar, pihak pengurusan asrama mengedarkan surat menyatakan pihaknya bakal mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan aduan berkenaan dan hanya menghubungi keluarga pelajar pada atau sebelum 12 Januari ini.

Menurutnya, pengurusan asrama itu sepatutnya lebih bertanggungjawab kerana tindakan itu menimbulkan pelbagai kesulitan kepada ibu bapa dan pelajar yang berasal dari luar daerah.

"Mereka sepatutnya prihatin nasib pelajar istimewa kerana kebanyakan mereka berasal dari keluarga berpendapatan rendah dan tidak mungkin membiayai perjalanan pergi balik dari rumah ke sekolah setiap hari.

"Mereka sudah selesa tinggal di asrama sejak di sekolah rendah dan hingga tahun lalu tidak menghadapi sebarang masalah," katanya.

Difahamkan, asrama sejauh 1.2 kilometer dari kawasan sekolah pelajar berkenaan memudahkan mereka berulang-alik tanpa memerlukan kemudahan pengangkutan.

Segelintir pelajar berasal dari Pengerang, Simpang Renggam, Gelang Patah, Pontian dan Pasir Gudang.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Johor, Sufa'at Tumin, berkata pengurusan asrama itu kemungkinan tidak membenarkan kemasukan pelajar sekolah berkenaan kerana tempat sudah penuh.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan dan mengumpul maklumat secepat mungkin.

"Pihak asrama perlu memberi keutamaan kepada murid yang bersekolah di situ. Kami berharap ibu bapa dan pelajar bersabar kerana masalah itu akan diberi perhatian, " katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.
 
Komen penulis:  Adakah ini satu lagi diskriminasi?

0 ulasan:





Arkit blog