Isnin, Mac 23, 2009

Soal Jawab: Umno perlu laksana misi pembaharuan perkasa semula parti

http://www.bharian.com.my/Sunday/BeritaUtama/20090321224003/Article/print_html
Berita Harian Online 
--------------------------------------------------------------------------------
 
Soal Jawab: Umno perlu laksana misi pembaharuan perkasa semula parti
Oleh Manja Ismail, Norhayati Md Said dan Zulkofli Jamaluddin
 
Najib yakin perubahan sikap, mentaliti pemimpin kembalikan keyakinan rakyat
 
SEMUA mata kini tertumpu kepada Perhimpunan Agung Umno bermula Selasa depan, yang bakal menyaksikan pucuk pimpinan parti berpindah daripada Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Razak. Menjelang perhimpunan agung yang bersejarah ini, Timbalan Presiden Umno memberikan temuramah khas
Berita Minggu, New Sunday Times dan Mingguan Malaysia. Dalam temuramah kira-kira sejam itu, Najib menghuraikan masalah dan cabaran parti serta harapan
beliau pada perhimpunan agung kali ini. Berita Minggu diwakili Manja Ismail, Norhayati Md Said dan Zulkofli Jamaluddin.
 
DATUK Seri akan memimpin Umno dalam keadaan parti yang cukup lemah apabila Barisan Nasional (BN) tewas di lima negeri dan hilang majoriti dua pertiga di
Dewan Rakyat, manakala negara pula menghadapi keadaan ekonomi yang teruk sepanjang sejarahnya. Komen Datuk Seri?
 
Memang saya sedar. Insya-Allah saya akan mengambil alih kepemimpinan Umno dan BN dalam keadaan yang sangat mencabar sama ada dari segi politik mahupun
ekonomi. Ini ada persamaan apabila Allahyarham ayahanda saya, (Tun Abdul Razak Hussein) mengambil alih pada 1970 dalam keadaan negara kita mengalami peristiwa
pahit, tragedi 13 Mei dan politik yang tidak begitu menentu di beberapa negeri termasuk Selangor, Perak dan Pulau Pinang.
 
Jadi ada juga persamaan dalam beberapa aspek. Memang ketika ini adalah yang paling kritikal dalam sejarah Umno dan BN. Kita tidak pernah mengalami keadaan
seperti ini. Oleh itu, saya perlu melakukan pembaharuan sama ada dalam parti atau kerajaan kerana rakyat mahu kita menilai dan mentafsir apakah isyarat
yang diberikan rakyat dalam pilihan raya umum lalu.
 
Seterusnya menentukan hala tuju kerajaan bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan BN. Saya sudah sebut secara terus-terang bahawa kalau kita
tidak berani berubah, kita akan diubah oleh rakyat. Maknanya, itu satu pengakuan terbuka betapa penting dan perlunya kita menyahut cabaran ini dengan melakukan
perubahan besar kepada parti dan kerajaan.
 
Rakyat, bukan saja ahli Umno mengharapkan satu perubahan berlaku dan memberi pengharapan besar kepada Perhimpunan Agung Umno kali ini untuk menangani politik
wang. Bagaimanapun penjelasan Lembaga Disiplin mengenai keputusan diumumkan menerima reaksi yang pelbagai. Ramai mempersoalkan kesungguhan Umno membanteras
politik wang.
 
Kita ada dua masalah dalaman parti yang perlu kita ubati dengan berkesan. Ini berdasarkan kepada pengamatan saya daripada keputusan pilihan raya umum lalu.
Analisis kita dari segi persepsi rakyat kepada Umno dan BN bahawa kita ini dianggap sebagai sombong kuasa. Dalam pada itu kita kurang memberi tumpuan kepada
rakyat, walaupun salah satu daripada cogan kata berkhidmat kepada rakyat. Jadi dalam proses perubahan ini, kita kena balik ke pangkal jalan.
 
Survival kita sebagai parti bergantung kepada sokongan rakyat. Mungkin dalam perjalanan kita selama ini, kita dibuai dengan proses dalaman parti, termasuk
pemilihan parti dan berasakan bahawa matlamat kita tercapai apabila dapat duduk sebagai ketua bahagian dan sebagai pemimpin Umno pada peringkat nasional.
Tapi sebenarnya, kedudukan politik kita, tidak menjamin kita mendapat sokongan mutlak daripada rakyat. Jadi maknanya kita perlu ubah sikap dan meletakkan
kepentingan dan kesediaan berkhidmat untuk rakyat di tempat paling utama, bukan proses pemilihan dalam parti. Itu satu aspek.
 
Kedua, Umno dilihat sebagai parti yang masih mengamalkan budaya politik wang yang tidak sihat. Salah guna kuasa. Jadi, macam mana kita hendak tangani perkara
ini. Saya fikir, cara menanganinya adalah membuat reform (perubahan), termasuk structure reform (perubahan struktur) dalam Umno. Kalau kita tidak lakukan
stucture reform dalam Umno, termasuk kaedah pemilihan, kita tidak boleh membanteras masalah politik wang.
 
Jika kita hendak mengambil tindakan kepada mana-mana pemimpin, yang akan membantah adalah penyokong. Pemimpin ada penyokong. Penyokong itu sudah berjalan
jauh sekian lama. Tiba-tiba pemimpin atau tauke mereka menghadapi tindakan. Jadi mereka tidak puas hati. Satu lagi yang tidak puas hati ialah mereka yang
berasakan kita tidak mengambil tindakan lebih menyeluruh.
 
Maknanya, kita ada dua kumpulan yang tidak berpuas hati. Satu bersabit penyokong pemimpin yang dikenakan tindakan. Satu lagi kumpulan dalam dan luar parti
yang tidak puas hati, berasakan kita belum mengambil tindakan secukupnya. Jadi dalam keadaan sekarang kita dalam keadaan politik dilema.
 
Datuk Seri sudah ada idea untuk merombak sistem pemilihan parti?
 
Saya akan maklumkan waktu perhimpunan nanti atau masa yang sesuai. Saya akan beritahu apa yang akan dirombak nanti.
 
Apakah ini bermakna pemilihan kepemimpinan tertinggi parti tidak lagi akan ditentukan oleh 2,000 perwakilan?
 
Tak apalah... tunggulah masanya nanti. Orang kata, jika saya bayangkan... akan mendahului apa yang akan disebutkan nanti. Tapi maknanya, perubahan struktur
dalam Umno dan kaedah pemilihan perlu kita laksanakan. Tidak memadai dengan kita cuma harap pada tindakan Lembaga Disiplin parti.
 
Mengenai isu gagasan Umno, ramai melihat Umno sudah tidak lagi berpegang konsep parti menguasai kerajaan?
 
Ada implikasi kepada konsep parti menguasai kerajaan. Dari satu aspek ada baiknya parti menguasai kerajaan, tapi jika kita terpisah daripada rakyat, kita
hanya memikirkan mengenai tuntutan ahli parti saja... dalam sistem demokrasi berparlimen, rakyat yang akan menentukan sama ada kita berkuasa atau tidak.
Jadi maknanya dalam apa-apa juga pertimbangan kita jangan ada terputus hubungan antara parti dan rakyat. Jadi jika parti mencerminkan kehendak rakyat,
tak apa. Kalau parti tak cermin kehendak rakyat di situ letaknya bahaya.
 
Apa harapan Datuk Seri pada perwakilan pada perhimpunan agung kali ini?
 
Pertamanya, saya berharap dalam pemilihan ini mereka memberi saya set kepemimpinan yang boleh membantu saya mengemudi perubahan yang perlu kita lakukan.
Maknanya, set kepemimpinan Umno bersedia menghadapi cabaran baru, bersedia untuk berubah, bersedia membuat reform dan bersedia melakukan apa-apa kebaikan
untuk parti dan bukannya berbuat macam biasa atau business as usual. Kita tidak boleh berbuat demikian.
 
Apa ciri-ciri diharapkan daripada orang yang akan menjadi pasukan Datuk Seri nanti?
 
Pertamanya, kita mesti komited pada perjuangan Umno, lebih daripada kita memikirkan diri atau kelompok kita sendiri. Kedua, kita mesti bersikap terbuka.
Maknanya bersedia untuk melakukan pembaharuan dan perubahan. Ketiga, kita mesti mahukan pemimpin yang mencerminkan apa yang baik di sisi rakyat... apa
yang rakyat pandang baik. Ciri-ciri pemimpin sebeginilah yang sebaik-baiknya dipilih oleh parti untuk menduduki pelbagai jawatan dalam parti. Maknanya,
pilihlah pemimpin yang ada kewibawaan dan kebolehan.
 
Kemungkinan ada kesilapan berlaku apabila ada pemimpin dipilih tidak diterima rakyat?
 
Sebab itu, saya kata mereka (perwakilan) mesti undi berdasarkan hati nurani mereka. Jika kita hendak lihat Umno sebagai hati nurani orang Melayu, hati
nurani orang Malaysia, jadi kita pilih pemimpin yang mempunyai ciri yang terbaik untuk meniti arus perubahan yang patut kita lakukan.
 
Adakah politik wang menyebabkan perwakilan tidak rasional dan akhirnya keputusan pemilihan tidak menggambarkan kehendak akar umbi?
 
Saya hanya boleh memohon saja. Kita sedar akhirnya bergantung kepada kuasa perwakilan. Saya cuma meminta dan merayu agar mereka memilih mengikut hati nurani
mereka. Apa akan terjadi, kita lihatlah selepas pemilihan nanti.
 
Datuk Seri berpuas hati dengan langkah calon atau wakil calon berkempen pada pemilihan ini?
 
Dalam kempen itu ada aspek yang baik dan ada perbuatan terlajak yang dilakukan bukan oleh pemimpin, tetapi penyokong mereka. Orang kata lebih besar sudu
daripada kuali (kuah). Itu perkara biasa yang berlaku ketika pemilihan.
 
Datuk Seri sudah menggariskan keutamaan Umno. Sebagai Perdana Menteri pula insya-Allah, apakah keutamaan?
 
Kalau saya cakap banyak sangat, nanti rosak pula ucapan yang hendak saya buat. Kita fokus kepada parti. Ucapan saya sedang rumuskan. Insya-Allah saya akan
beritahu kemudian.
 
Tapi dalam demokrasi sukar mendapat begitu dan seandainya tidak dapat, bagaimana Datuk Seri?
 
Kita perlu bersikap realistik, maknanya kita bukan dalam �utopia� (sistem masyarakat dan politik yang sempurna). Maknanya, kita tidak mungkin mendapat
sesuatu yang sempurna, tetapi asalkan ada pasukan seimbang yang boleh saya bergantung harap. Itu sajalah yang mungkin menjamin masa depan kita.
 
Apakah ciri itu untuk Timbalan Presiden saja atau bagi semua jawatan?
 
Ini termasuk Timbalan, Naib dan ahli Majlis Tertinggi sebab kita mesti ada pasukan dan dalam pasukan itu masing-masing ada peranan. Begitu juga Pergerakan
Pemuda, Wanita dan Puteri.
 
Dalam kempen ini, mungkin Datuk Seri ada dengar kadang-kadang ada ahli yang menggunakan nama Datuk Seri. Bolehkah perkara itu berlaku?
 
Memang biasa, sebab saya dengar ada yang mula ucapan mereka dengan cerita (Allahyarham) Tun Razak dan ada yang cerita saya. Itu saya terima. Apa yang penting
sekali kita mesti ada penilaian sendiri mengenai kewibawaan pemimpin dan pilihlah pemimpin terbaik menggunakan hati nurani kita.
 
Datuk Seri sudah nampak pemimpin yang memenuhi ciri-ciri dikehendaki?
 
Memanglah... saya pun kena teropong juga. Takkan saya tidak memerhati apa yang sedang berlaku di kalangan pemimpin, walaupun saya tidak campur tangan dan
saya tidak turun waktu pengenalan calon kerana tidak mahu dipengaruhi dan mempengaruhi sesiapa pun. Ini memberi kebebasan kepada mereka untuk memilih.
Tapi saya memerhati dan saya mengetahui, walaupun kadang kala saya tidak bercakap atau tidak bersuara, bukan bererti saya tidak mengetahui.
 
Dalam kepemimpinan ada gaya yang keras serta tegas dan ada yang lebih demokratik. Apa pandangan Datuk Seri?
 
Macam mana pun dalam parti, akhirnya keputusan yang dibuat oleh perwakilan juga yang menentukan. Kita hanya boleh merayu sebab dalam zaman empowerment
sekarang, masing-masing tahu mengenai hak dia. Tak semestinya jika sebut nama sekali pun, mereka akan ikut. Jadi kita cuma boleh memohon kepada mereka
dari segi pertimbangan dan kesedaran serta keinsafan mereka betapa pentingnya keadaan sekarang ini, kritikal untuk masa depan Umno. Kita sudah sampai persimpangan
jalan selepas lebih 50 tahun berkuasa, inilah masa yang paling kritikal sekali. Ahli Umno mesti sedar dan mengundi memilih pemimpin berdasarkan realiti
situasi sekarang.
 
Banyak kebimbangan bahawa Umno yang kini sudah berusia lebih 50 tahun. Parti seusia Umno seperti Kongres di India dan LDP (Jepun) tewas sebelum bangkit
semula. Apa pandangan Datuk Seri mengenai ramai meramalkan Umno akan mengikut langkah parti berkenaan?
 
Janganlah kita kalah pilihan raya... nauzubillah. Kita sudah cukup perit dengan kekalahan di lima negeri.
 
Sepatutnya sudah memberi kesedaran yang cukup kepada kita. Memberi keinsafan bahawa kita tidak ada kekebalan politik. Walaupun Umno sebagai parti yang
dominan selama 50 tahun, tetapi ia tidak memberi jaminan kerana berdasarkan sistem demokrasi berparlimen di negara lain, parti yang lama memerintah mengalami
nasib sedemikian. Soalnya sama ada Umno akan senasib dengan parti lain, bergantung kepada kesedaran dan keinsafan kita serta tindakan yang kita lakukan.
 
Sepatutnya keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh memberi kesedaran lagi kepada Umno, tetapi dalam kempen ini kita lihat gejala politik wang masih
wujud seolah-olah tidak ada kesedaran di kalangan ahli?
 
Dalam keadaan sekarang, dia (ahli) terlalu ghairah berkempen untuk jawatan dalam Umno. Saya tidak menyalahkan pemimpin, kadang-kadang pengikut lebih daripada
pemimpin. Ini semua adalah ciri yang menyebabkan orang sangsi atau hilang kepercayaan kepada parti. Oleh sebab itu, mulai dari perhimpunan ini, saya harap
mereka memilih pemimpin yang mempunyai ciri-ciri yang saya sebut tadi. Selepas itu kita mesti melakukan perubahan dalam parti dan kerajaan.
 
Boleh Datuk Seri jelaskan mengenai soal pembersihan dalam Umno?
 
Pembersihan secara total (menyeluruh), drastik bunyinya. Kita mulai dengan memilih pemimpin berdasarkan hati nurani kita. Kedua, kita lihat pada pembaharuan
parti, termasuk kaedah pemilihan. Lepas itu kita lihat kepada usaha memperkukuhkan budaya dan nilai dalam Umno sebab saya lihat ada penghakisan nilai dalam
Umno, tidak macam dulu.
 
Saya cadang untuk memperbanyakkan kursus dalam Umno. Dulu masa saya mula-mula dalam politik banyak kursus diadakan, tapi dibuang kursus diadakan seminar
di hotel lima bintang. Tapi tidak ada kursus dalam erti kata kita menyinsing lengan dan sanggup melalui kesukaran dalam kursus untuk menaikkan semangat.
Selain ilmu kita mesti ada semangat dan motivasi. Ini pembentukan nilai, maknanya nilai api perjuangan yang hidup membara, tetapi kini sudah malap. Kita
mesti melakukan pengukuhan budaya dan sistem nilai pada semua peringkat.
 
Keputusan pilihan raya lalu banyak ditentukan oleh faktor pengundi muda yang dikatakan tidak menyokong BN, walaupun usaha untuk mendekati mereka sudah
dilakukan?
 
Memang belum berkesan dan belum dapat meyakinkan pengundi baru serta generasi muda untuk menyokong Umno. Kita boleh bersandarkan pada jasa Umno. Tidak
ada siapa pun yang menafikan Umno begitu berjasa pada negara, tetapi itu mereka lihat dalam lipatan sejarah. Mereka hendak tahu apa yang Umno hendak lakukan
hari ini dan masa akan datang.
 
Kita mesti boleh membaca apa cita rasa generasi baru apa sebenarnya kecenderungan mereka. Apa aspirasi mereka. Kita mesti hubungkan mereka dengan tindakan,
dasar dan program kita.
 
Bagaimana Datuk Seri melihat peranan Lembaga Disiplin?
 
Lembaga Disiplin pun mempunyai kekangan. Ketika ambil tindakan pun, bermacam-macam komen timbul, ada yang kata campur tangan luar seolah-olah lembaga ini
orang luar sedangkan Lembaga Disiplin diwujudkan oleh Umno. Mereka terdiri daripada pemimpin Umno. Mereka memperuntukkan masa dan berkorban waktu untuk
Umno. Jadi, tidak adil bagi kita untuk menyalahkan kewujudan dan peranan Lembaga Disiplin. Tapi, jika kita hendak kata Lembaga Disiplin harus bertindak
agar lebih banyak pemimpin disabitkan kesalahan, mereka (Lembaga Disiplin) pun bergantung kepada laporan. Kalau berdasarkan syak wasangka atau cerita pada
dakwaan atau khabar angin, ini tidak adil pada pemimpin.
 
Di sini letaknya keadaan yang amat sukar bagi sesiapa pun yang duduk sebagai ahli Lembaga Disiplin. Begitu juga sesiapa pun yang menganggotai SPRM (Suruhanjaya
Pencegah Rasuah Malaysia), mereka sukar sekali untuk memberi kepuasan kepada semua pihak. Tidak mungkin. Sebab orang yang dikenakan tindakan dan penyokongnya
tentu tidak puas hati. Ada pula mengatakan kita tidak serius sebab tidak begitu ramai yang kena. Mereka juga berasa tidak puas hati. Ada pemimpin yang
dipanggil pun rasa tidak puas hati, ini belum lagi dikenakan apa-apa tindakan.
 
Jadi kita kena terima seperti undang-undang perangkap laju... maknanya ikut nasiblah. Ramai yang laju... kebetulan yang kena itu, kenalah... apa nak buat.
 

Ketidakpuasan hati itu kerana kasihan ahli kepada pemimpin tertentu atau disebabkan kesetiaan ahli kepada parti?
 
Itulah yang paling ideal, tapi kita tidak hidup dalam dunia yang ideal itu. Kita hidup dalam realiti. Dalam realiti, ahli bergantung kepada pemimpin untuk
bermacam alasan. Yalah, dia dapat rezeki daripada pemimpin dan masa depan bergantung kepada pemimpin. Kalau tauke dia naik, cerah masa depannya. Jika orang
lain putuslah harapan. Bermacam-macam pertimbangan. Inilah realiti dunia. Mereka akan berasa tidak puas hati kerana tauke tidak naik.
 
Sama macam dalam press (akhbar) juga. Kalau tukar editor... dia tukar yang lain... Ya, itu realiti. Anda tidak tahu sama ada pengurusan editorial yang
baru akan favour (memihak) kepada anda atau tidak. Sudah tentu jika anda dilayan baik bekas pengurusan atau editor, anda tentu akan mempertahankan bekas
editor atau pengurusan itu. Ini realiti. Tidakkah wartawan akan memberi reaksi yang sama? Dalam setiap organisasi, termasuk akhbar. Percayalah saya...
anda semua tidak berbeza.
 
Tindakan disiplin yang diambil mengambil seolah-olah Umno teruk sangat. Apakah usaha menangani tanggapan ini?
 
Sebenarnya kita cuba untuk membetulkan keadaan ini. Bukan senang dan sekarang saja, dulu pun kita sudah cuba. (Bekas Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad
sendiri kata salah satu kekecewaannya ialah tidak dapat membanteras masalah ini. Jadi ini satu perjalanan dan proses yang memakan masa, tapi kita perlu
ada kesungguhan untuk mengatasinya. Dilihat bahawa kita buat sesuatu untuk membetulkan keadaan. Apa-apa pun tak mungkin sempurna, asalkan orang lihat bahawa
kita ada keikhlasan untuk membuat perubahan.
 
Jika ada orang Melayu bertanya apakah relevan Umno hari ini. Apakah reaksi Datuk Seri?
 
Sebenarnya, dari segi perjuangan untuk orang Melayu khususnya dan negara amnya memang tidak ada alternatif, selain Umno. Walaupun dalam fikiran rakyat
sudah mula lihat bahawa Umno boleh diganti dengan parti lain sebagai pemerintah, tetapi hakikatnya dari segi track record, Umno sudah membuktikan kemampuan
dan kejayaannya, terutama dalam permuafakatan dengan parti komponen BN dan sebagainya.
 
Lihat parti pembangkang mereka tidak mendaftar sebagai satu parti. Mereka tidak ada simbol dan tidak ada ideologi manifesto bersama. Dalam Parlimen pun
mereka tidak berani membuat Kabinet bayangan. Cuba mereka buat Kabinet bayangan... kita nak tengok siapa Kabinet mereka... tak berani mereka. Ini menunjukkan
(parti dalam pakatan) pembangkang punyai ideologi dan dasar parti yang terlalu ekstrim. Banyak orang tidak sedar ini.
 
Ini yang berlaku di Perak, mereka (dua Adun PKR dan seorang DAP) meninggalkan kerajaan Pakatan Rakyat berpunca daripada rasa tidak puas hati. Sepatutnya
dia (pembangkang) tidak boleh tuduh Umno culik Adun mereka atau menjadi perampas, rasa tidak puas hati sudah ada terlebih dulu dalam pentadbiran negeri.
 
Mengenai Perhimpunan Agung Umno kali ini, apa harapan Datuk Seri terhadap perbahasan perwakilan dan usul yang akan dibawa?
 
Biasanya, bila tahun pemilihan, fokusnya terlalu sangat pada pemilihan. Jadi usul sesuatu yang tidak sepenting pemilihan... itu realiti. Apapun saya harap
dalam ucapan nanti terutama perbahasan ucapan Presiden, beri satu gambaran bahawa perwakilan sanggup memberi kepercayaan kepada Umno untuk membuat perubahan
dan melakukan reform... maknanya memberi mandat kepada pucuk pimpinan dan kepemimpinan parti. Ini penting walaupun tidak ada cadangan khusus, tapi sekurang-kurangnya
dari segi sokongan moral, mandat pada kepemimpinan parti untuk membuat apa-apa yang perlu untuk mengembalikan semula kekuatan Umno.
 
Bagaimana Umno mahu memenuhi kehendak orang Melayu dan mengurus pelbagai permintaan bukan Melayu?
 
Kita mesti faham bahawa keadaan sudah berubah. Pada mula-mula kita melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) kita melihat orang Melayu lebih ketinggalan. Jadi
selepas dilaksanakan DEB kedudukan orang Melayu hari ini tidak seperti mana ketika kita laksanakan DEB. Jika disebut kemiskinan, majoritinya masih lagi
orang Melayu. Kalau kita sebut masyarakat luar bandar, masih lagi orang Melayu majoritinya.
 
Tapi jangan lupa dalam definisi orang miskin dan luar bandar, ada kaum lain. Apabila kita ingin memperjuangkan orang miskin, ia mesti melambangkan keprihatinan
kita kepada semua golongan etnik. Bukan saja retorik, tetapi progress. Di samping itu, bila kita tolong orang Melayu biar kita tolong orang Melayu yang
terbaik di kalangan kita. Jangan pula di kalangan orang Melayu, ada kumpulan yang mendapat keistimewaan berbanding dengan orang lain. Timbul ungkapan Umnoputra
dan sebagainya. Itu tidak sihat. Nak tolong orang Melayu, biar kita tolong berdasarkan merit. Jadi beberapa aspek yang perlu diberikan perhatian.
 
Bagaimana pula kemiskinan bandar?
 
Keadaan di bandar jangan kita lupa, walaupun pendapatan kita RM3,000 ke bawah kita boleh kira air di paras hidung. Jangan cakap pendapatan sebanyak RM720.
Pendapatan RM3,000 pun dengan anak dua atau tiga orang, susah bagi kita. Maknanya apa pun dasar atau program kita mesti ambil kira situasi ini.
 
Apa perasaan Datuk Seri hendak melepaskan jawatan Timbalan dan melangkah untuk menjawat jawatan Presiden?
 
Itulah satu detik yang begitu menyentuh perasaan saya secara peribadi. Maknanya atas kesabaran dan ketabahan selama ini, saya naik setingkat demi setingkat.
Saya tidak pernah melawan atau mencabar sesiapa dalam sejarah hidup. Akhirnya saya sampai juga ke jawatan Presiden parti, insya-Allah.
 
Jadi saya berasa macam satu ganjaran adil daripada kesabaran dan ketabahan saya selama ini. Apabila sampai ke peringkat ini, maknanya daripada menteri
ke Timbalan Perdana Menteri ada peningkatan, daripada Timbalan kepada Perdana Menteri, satu lagi lonjakan. Keadaan itu bererti kita tidak boleh menoleh
dan melihat pada sesiapa... kitalah paling penghujung dalam membuat apa-apa keputusan dan dasar. Tanggungjawab dan amanah yang perlu digalas amat berat,
saya insaf dan berasakan ini satu amanah yang sangat berat. Perkara ini dinasihatkan Pak Lah kepada saya, sebab beliau pun melalui proses sama. Beliau
kata daripada Timbalan kepada Perdana Menteri satu lagi lonjakan. Beliau banyak memberi nasihat dan sebahagian daripada nasihat itu, biarlah saya simpan.
Berdasarkan kepada pengalaman saya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan menteri, insya-Allah saya bersedia untuk menghadapi cabaran ini. Berkat sokongan
dan doa restu rakyat, insya-Allah kita akan bergerak ke hadapan untuk menghadapi apa juga cabaran dan dengan izin Allah kita akan berjaya.

0 ulasan:





Arkit blog