Jumaat, April 17, 2009

Drebar bas ugut belasah OKU




Sumber Harian Metro

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu bas didakwa bertindak biadab apabila dikatakan mengugut membelasah seorang lelaki kurang upaya (OKU) hanya kerana diminta memperlahankan kenderaan ketika melalui jalan berbukit.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 malam Sabtu lalu, pemandu berusia 30-an itu dikatakan bertindak kasar dengan menarik baju mangsa yang juga mengalami masalah usus sambil mengeluarkan kata kesat.

Penumpang lain yang menyaksikan kejadian kemudian terpaksa membantu mententeramkan keadaan dengan meleraikan pergaduhan yang berlaku di Hentian Bas Gohtong Jaya, Genting Highlands di sini.

Menurut mangsa, Lim Teng Cheng, 46, dia yang dalam perjalanan bercuti ke pusat peranginan itu menaiki bas dari Hentian Puduraya dan sepanjang perjalanan dia terpaksa berdiri dan duduk di lantai bas.

Ia berikutan kerusi diduduki penumpang basah kerana air mulai masuk melalui bumbung bas yang dipercayai bocor.

"Pada masa sama, pemandu bas itu memandu dalam keadaan laju apabila menuruni bukit menyebabkan saya terpaksa menasihatinya supaya memperlahankan kenderaan kerana khuatir perkara buruk berlaku.

"Namun, pemandu bas terbabit tidak mengendahkan nasihat malah saya ditengking dengan memberi kata dua sama ada mahu menaiki bas atau turun," katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Lim berkata, dia bagaimanapun tidak mahu turun dari bas seperti disuruh pemandu berkenaan kerana keadaan cuaca dan khuatir keselamatannya serta penumpang lain.

"Mengetahui saya tidak mahu turun, pemandu bas yang masih tidak berpuas hati itu menghina saya memberitahu golongan cacat tidak perlu pergi ke Genting Highlands," katanya.

0 ulasan:





Arkit blog