Rabu, September 22, 2010

Perbanyak prasarana OKU

Perbanyak prasarana OKU

Shahrizat Abdul Jalil terpegun melihat Muhammad Zhariff Afandi mempamerkan keupayaan dengan kakinya ketika menggunakan komputer riba pada persidangan pemulihan OKU 1Malaysia di PWTC, semalam.


KUALA LUMPUR 20 Sept. - Agensi yang terlibat dalam membina prasarana dan kemudahan perlu mengubah cara pemikiran mereka dan mematuhi garis panduan 'reka bentuk universal' yang lebih mesra golongan orang kurang upaya (OKU), kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata, pihaknya mendapati masih terdapat prasarana dan kemudahan yang dibina tidak mematuhi piawaian binaan mesra OKU sekali gus menyukarkan golongan itu menggunakan kemudahan berkenaan.

"Sikap sambil lewa ini mesti dihentikan, pihak yang melaksanakan pembinaan jalan raya dan bangunan mesti pastikan segala prasarana dibina mengikut reka bentuk universal. Di sinilah pihak berkuasa tempatan mesti jalankan tugas dengan amanah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pemulihan OKU 1Malaysia di sini hari ini.

Shahrizat seterusnya kesal dan tidak berpuas hati dengan keadaan itu dan pihak bertanggungjawab dilihat seolah-olah tidak memahami atau menghayati penderitaan golongan OKU.

Persidangan yang berlangsung mulai hari ini sehingga 22 September itu turut membincangkan bagaimana cara memperkasa ekonomi bagi golongan OKU menerusi pembekalan latihan yang bersesuaian dengan minat dan keupayaan mereka.

Turut hadir Presiden Majlis Pemulihan Malaysia, Datuk Ghazali Yusoff dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Datuk Meme Zainal Rashid.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pembukaan Sekolah Harapan yang menempatkan pelajar hamil yang disediakan kerajaan Melaka, beliau berkata, pihaknya akan memantau perjalanan sekolah berkenaan dan berpendapat sekolah itu lebih berperanan sebagai sebuah rumah perlindungan.

Akhbar hari ini melaporkan lima pelajar berusia 16 dan 17 tahun menjadi kumpulan pertama mendaftar masuk ke Sekolah Harapan yang ditubuhkan bagi memberi perlindungan kepada remaja hamil. - BERNAMA

0 ulasan:





Arkit blog