Ahad, Jun 08, 2008

Naik harga vs naik angin……

Salam bahagia.

    Seperti mana yang telah dijangkakan, parti pembangkang dan NGO's-NGO's yang dikatakan berjuang untuk rakyat, kini telah memulakan acara rutin mereka iaitu mengadakan demonstrasi.  mereka berdemonstrasi kerana harga bahan bakar sudah naik dan harga barang keperluan sudah pun naik dengan mendadak.

 

    mereka ini sepatutnya mencari idea-idea yang bernas, bagaimanakah hendak mengatasi masalah ini dan bukannya menangguk di air yang keruh seperti sekarang ini.

 

    Tetapi, biasalah sikap parti pembangkang ini, mereka akan mencari sokongan apabila ada isu-isu yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan memberikan idea-idea yang bernas kepada pihak-pihak yang berwajib.  Tetapi, mereka ini, lebih suka membuat huru-hara daripada menyelesaikan masalah.

 

    Maka, rakyat yang tidak tahu hujung-pangkal pun terpengaruhlah dengan isu-isu yang dimainkan oleh mereka ini.

 

    Kepada pihak kerajaan pula, adalah diharapkan dapatlah kiranya mengerahkan badan-badan yang berkaitan dengan rakyat untuk memberikan penerangan yang sedalam-dalamnya mengapakah semua ini berlaku.  Berdialoglah dengan rakyat untuk mencari jalan, bagaimanakah masalah kenaikan yang gawat ini dapat diselesaikan dengan situasi menang-menang.

 

    Mari kita baca artikal di bawah.  Semoga kerajaan dapat berbuat sesuatu.

 

Artikal dipetik daripada Agenda daily.

 

Naik harga vs naik angin……
Oleh: BADRUL HISHAM ABDUL AZIZ

Pengumuman harga baru diesel dan petrol dikuatkuasakan mulai Khamis nyata tidak menggembirakan para pengguna khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana sehingga mendorong mereka menggesa kerajaan menimbang semula mengenai keputusan itu.

Menimbang semula untuk mengurangkan harga bahan api itu bermakna kerajaan menambah kembali subsidi yang telah dikurangkan. Perubahan harga baru menjadikan petrol dijual RM2.70 dan diesel RM1.58 seliter sebenarnya adalah kesan daripada penarikan balik subsidi sebanyak 78 sen bagi petrol dan RM 1 bagi diesel. Harga pasaran bahan-bahan api itu masih disubsidi sebanyak 30 sen.

Persoalannya sekarang ialah bagaimana kita perlu menghadapi kenaikan atau krisis ini? Kita perlu tunjuk perasaan atau kita perlu mengawal perasaan?

Menunjuk perasaan atau mengadakan demonstrasi jalanan memang mudah. Hari ini sebut, hari ini juga muncul satu badan yang seringnya menggunakan nama badan bukan kerajaan (NGO) untuk menganjurkan demonstrasi itu.

Timbul sahaja sebarang isu, sudah ada badan, khususnya pembangkang yang berselindung atas nama NGO bersiap sedia untuk membantah walaupun mereka sendiri tidak mempunyai sebarang pilihan kukuh untuk keluar daripada kemelut berkenaan.

Pertanyaan dilontarkan di sini, ke mana perginya NGO yang menyokong kerajaan? Di mana kelab, persatuan atau gabungan yang bersama-sama kerajaan? Ke mana pula perginya badan-badan yang memang selama hari ini mendapat pembiayaan daripada kerajaan?

Kenapa mereka tidak bingkas seperti NGO yang mahu mengadakan demonstrasi jalanan.
Badan-badan ini seperti Komuniniti Bestari (dahulunya K3P), pegawai JASA, pemaju masyarakat di bawah KEMAS, pertubuhan belia hatta parti politik kerajaan sendiri wajar turun padang menemui segenap lapisan masyarakat menerangkan kenapa harga minyak atau apa jua, perlu dinaikkan.

Badan-badan ini bagaimanapun hendaklah terlebih dahulu diberikan taklimat dan penerangan sewajarnya daripada pihak kerajaan sendiri menerangkan bahawa subsidi perlu ditarik balik untuk membetulkan keadaan dan subsidi yang berjumlah berbilion ringgit itu boleh dihalakan untuk tujuan lain seperti pembangunan di luar bandar, bantuan kebajikan masyarakat, infrastruktur dan juga pembiayaan pendidikan dan sebagainya.

Masyarakat juga harus diberi kefahaman bahawa menikmati subsidi sepanjang masa adalah budaya yang salah. Ini terbukti pada akhir tahun 1970-an apabila ada pihak mengesyorkan subsidi diberikan kepada imam tua untuk membeli atau membuat gigi palsu supaya bacaan mereka terus betul dan mantap. Cara yang betul ialah menukar imam, bukannya gigi mereka!

Baja dan racun untuk kebun diberi subsidi, tetapi ada yang nakal menjualnya untuk mendapatkan tunai dan kebun terus menjadi semak samun.
Memang sudah menjadi budaya rakyat kita dimanjakan dengan pelbagai subsidi sehingga merasakan subsidi itu adalah keistimewaan atau hak yang tidak boleh ditarik balik. Subsidi tidak pernah dilihat sebagai prihatin kerajaan, jauh sekali menilainya sebagai ‘baik budi’.

Apabila subsidi ditarik balik mereka memberontak, apatah lagi ada pihak yang muncul menjadi juara penganjurnya.

Penarikan subsidi atau kenaikan harga yang berlaku pada Khamis, bagi rakyat tempatan masih agak membebankan kerana mereka terpaksa berbelanja tambahan 40% untuk bahan api kenderaan masing-masing. Jika dahulu berbelanja RM1,000 sebulan, kini menjadi RM1,400.

Namun, rakyat Singapura dan Thailand, pastinya akan tetap membeli minyak di sempadan kerana harga kita adalah RM1.20 lebih murah daripada harga mereka dan mereka masih juga mendapat subsidi kerana larangan yang dikenakan kepada mereka hanyalah untuk beberapa hari sahaja.

Ini tentunya memerlukan kajian lanjut. Apa kata, petrol dan diesel dijual pada harga yang lebih mahal (tetapi masih rendah daripada Thailand dan Singapura) kepada mereka umpamanya RM3.30 seliter dan perbezaan ini boleh dijadikan pengimbang untuk mengurangkan harga bagi rakyat tempatan. Kerajaan masih perlu mengkaji bagaimana menyekat pemilik kenderaan asing menikmati subsidi yang dikhaskan untuk rakyat Malaysia sahaja!

Pemberian rebat RM150 bagi pemilik motosikal berkuasa rendah dan RM625 bagi kereta di bawah 2000 cc ketika membayar cukai jalan tentulah satu lagi insentif atau subsidi.
Bayangkan cukai motosikal cuma RM2 tetapi pemilik akan pulang dengan baucar yang boleh ditunaikan di Pos Malaysia sebanyak RM150. Begitu juga dengan pemilik kenderaan 2000 cc perlu membayar cukai jalan kira-kira RM400 tetapi mendapat rebat sebanyak RM625.

Sebenarnya, dalam kedua-dua keadaan, para pemilik tidakpun membayar cukai kerana kerajaan memberikan habuan yang lebih tinggi. Dahlah tidak perlu bayar cukai, ada pula lebihan untuk membayar insurans kereta. Bermakna, para pemilik cuma perlu bayar minyak sahaja sedangkan insurans dan cukai jalan seolah-olah telah dimansuhkan kerana dibayar oleh kerajaan.

Dengan ‘pemansuhan’ ini, kerajaan terus mengeluarkan subsidi yang bermaksud ia hilang keupayaan kerana sumber kewangnannya telah menurun.

Bagaimanapun, kita harus melihat dari sudut positif iaitu pertamanya apabila menuntut rebat berkenaan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tentulah mahu memastikan kesahihan pemilik kenderaan. Untuk itu, setiap kenderaan berkenaan harus didaftarkan atas nama pemilik.

Buat masa ini, tanyalah JPJ berapa banyak kenderaan yang tidak didaftarkan atas nama pemilik kerana beberapa sebab, termasuk mengelakkan bayaran RM150 untuk caj tukar nama dan menggunakan nama orang lain untuk mengelak daripada dikesan oleh pelbagai jabatan kerajaan atau bank!

Kedua, apabila kenderaan didaftarkan atas nama pemilik, insurans juga dibeli atau nama mereka. Ini membawa maksud, pemilik dan kenderaan masing-masing dilindungi sepenuhnya dan ini pula membawa maksud jika berlaku sebarang kemalangan, mereka dilindungi oleh insurans dan tidak lagi dibebani dengan perbelajaan sendiri.

Kenaikan harga bahan api juga pada jangka panjang harus dilihat sebagai langkah membetulkan corak dan gaya hidup kita. Umum wajib mengakui, kebanyakan daripada kita iaitu yang tidak malas bekerja, memiliki kenderaan dan juga telefon bimbit. Kedua-duanya telah diterima sebagai keperluan harian, walaupun masih banyak orang yang tidak bergantung kepada kereta dan telefon, masih sempurna hidup mereka.

Tidak ada sesiapapun yang boleh melarang pihak lain membeli atau memiliki kereta. Pegawai kerajaan, pekerja kilang, pembantu makmal dan pelayan pejabat, masing-masing berkereta. Cuma yang gawatnya ialah pembantu pejabat mahu bergaya dengan kereta di luar kemampuannya. Seorang kerani pula mahu memandu kereta seperti professor dan seorang pegawai kecil mahu menjadi pegawai besar.

Ini semua gara-gara ada subsidi bahan api dan betapa mudahnya untuk membeli kenderaan di Malaysia tercinta. Jika 10 tahun dahulu kita perlu mengeluarkan RM7,000 untuk membeli kereta kerana pinjaman hanya setakat 90%, kini ada kenderaan yang boleh dibeli tanpa mengeluarkan sesenpun. Malah, ada pula pengedar yang menawarkan wang tunai sehingga RM14,000 atau baucer minyak sehingga RM2,000 dan pelbagai tarikan lagi.

Kerana ini, gaya hidup rakyat Malaysia berbeza dengan negara lain yang sukar memiliki kenderaan. Oleh kerana subsidi yang tinggi, mereka mempunyai lebihan wang dan wang itu digunakan pula untuk pembiayaan telefon bimbit. Tak cukup satu, beli dua atau yang gatal, beli tiga.

Tepuk dada dan tanya seikhlas-ikhlasnya, adakah kita benar-benar memerlukan telefon bimbit. Jika kita perlukan, adakah anak-anak yang masih bersekolah juga memerlukannya? Jawablah seikhlasnya!

Corak hidup merempit dan berpeleseran dalam kereta juga patut diinsafi oleh masyarakat. Budaya merayau-rayau berkereta pada waktu malam juga harus dibetulkan kerana apabila merayau-rayau ia juga bermakna jangka hayat enjin dan tayar kereta akan menjadi singkat sedangkan bil kad kredit akan menjadi lebih panjang.

Kenaikan harga bahan api juga harus dilihat dari sudut menghidupkan kembali budaya berkongsi kereta yang pernah diwar-warkan dahulu. Jika bekerja di kawasan yang sama, mungkin boleh berkongsi kereta. Begitu juga jiran-jiran boleh berkongsi kereta menghantar anak-anak ke sekolah atau ke pasar.

Kesesakan di bandar-bandar besar, kebanyakannya berlaku bukan kerana sistem jalan yang tidak baik, tetapi kerana jumlah kereta yang terlalu banyak. Mungkin ada baiknya, dibina lebih banyak lorong khas dan galakkan orangramai menggunakan motosikal.

Untuk itu, perlulah diadakan kajian menyeluruh kemungkinan untuk menurunkan lagi cukai jalan bagi motosikal berkuasa tinggi seperti di Singapura. Ini kerana, penggunaan motosikal besar adalah lebih selamat daripada kapcai atau skuter.

Bagi pihak kerajaan pula, ia hendaklah menggembleng usaha dan memerah otak untuk membaiki sistem pengangkutan awam di kota-kota besar khususnya Lembah Klang, Pulau Pinang, Ipoh dan juga Johor Baharu.

Begitu juga dengan KTM Berhad yang seharusnya memperluas perkhidmatan Komuternya . KTM yang terkenal dengan Keretapi Tambang Murah patut menambah kekerapan komuternya bagi menampung jumlah penumpang yang semakin berasak-asak ibarat sardin di dalam tin.

Landasan yang selalu ditenggelami air patut dibaiki, Lokomotif yang sering rosak perlu dibaiki atau diganti.

Perkhidmatan-perkhidmatan rel udara / ringan di ibukota Kuala Lumpur juga harus dipromosikan dengan terbaik supaya orang awam tertarik menggunakan perkhidmatan yang disediakan. Apalah gunanya menyediakan perkhidmatan jika tidak ramai yang sudi menggunakannya.

Bas, adalah pengangkutan yang sepatutnya paling berkesan, tetapi puluhan kali pengendali dan sistem ditukar, ia masih ibarat hangat-hangat tahi ayam. Muktahir, RapidKL diberi amanah oleh kerajaan untuk mengendalikan perkhidmatan bas yang disediakan oleh Kementerian Kewangan Incoporated.
Buat masa ini, usaha syarikat pengangkutan kerajaan itu dillihat lebih kepada membeli bas-bas baru sedangkan bas-bas yang berada di jalan raya masih kosong ataupun kurang mendapat sambutan walaupun tambangnya cukup murah.

Kenapa RapidKL masih tidak mendapat sambutan? Sebabnya mudah iaitu bas-bas berkenaan tidak berupayaa mengikut jadual perjalanan dan mengambil masa yng terlalu lama hanya semata-mata tersekat dalam kesesakan jalan raya. Apabila tersekat, orangramai tidak lagi minat menaikinya.
Lorong-lorong khas untuk bas dan teksi yang disediakan di sekitar Kuala Lumpur hanya dihormati pada peringkat awal iaitu apabila pihak polis dan warden DBKL terpacak di sepanjang jalan untuk menyaman pihak yang melanggar peraturan itu.

Apabila sudah tidak ada pihak penguatkuasa, nampaknya semua orang sudah tunjuk kuasa dengan sewenang-wenngnya menggunakan lorong khas berkenaan.
Walau apapun keadaan, harga bahan api tidak dapat dibendung lagi. Yang boleh dibendung hanyalah sikap dan corak hidup kita. Kerajaan pula haruslah menggunakan segala mekanisme yang ada untuk meredakan keadaan.
Badan-badan yang disebutkan lebih awal, harus dilengkapkan dengan pengetahuan dan maklumat sewajarnya untuk membantu kempen kesedaran di kalangan pengguna. Dan, yang lebih mustahak ialah kesedaran harus dipupuk terlebih dahulu sebelum sebarang langkah diumumkan .-6/6/2008

--- end ---

8 ulasan:

Suara Amirul berkata...

Hang ni dah hilang akai ke?. Kalau kat negara lain kerajaan yang memerintah dah pasti tumbang gara-gara kenaikan harga minyaak terlampau ni. Ikut suka hanglah hang nak buat kenduri tujuh hari tujuh malam dek meraikan kenaikan harga minyak ni atau hang nak pangkah tujuh kali kertas undi parti yang memerintah pada pilihan raya akan datangpun aku tak kisah, namun aku tetap merasa dizalimi oleh kerajaan yang ada dan sebagai orang Islam aku berkeyakinan bahawa doa orang-orang dizalimi tiada hijab untuk dimakbulkan. Nak tahu apa doa aku..... Pergi jahanamlah kepada mereka yang menzalimi aku.

Tai berkata...

Terpulanglah apa encik nak cakap. Selalunya, orang yang emosional sahaja akan berkata begitu. Tidakkah mereka tahu bahawa kenaikan harga minyak itu sesuatu yang global? Bukan kita sahaja yang merasainya, malah satu dunia merasainya. Hatta US yang gah itu pun naik pening kepala dibuatnya. Jadi, adakah adil kita menuduh orang menzalimi kita?

Unknown berkata...

Orang Malaysia hari ini sikit-sikit demontrasi. Sejak DSAI terlepas keluarlah, berlaku demo di sana sini. Melalui demolah beliau dan parti PKR dikenali dan disukai oleh generasi muda. Orang muda memang suka kepada demontrasi. Macam ni memang orang muda suka. Macam ni juga disukai oleh pemimpin parti pembangkang kerana cara inilah mereka boleh jatuhkan kerajaan. Kalau cara lain mungkin sukar bahkan secra pilihanraya umum sekalipun. Nak cepat naik mereka buatlah demontrasi yang sebenarnya bukan budaya org Malaysia. Syabas Sedingin Salju!!!!

Tai berkata...

Itulah masalahnya. Orang muda suka sangat nak berdemonstrasi. Parti pembangkang pula, apa lagi, mengambil kesempatan.

Yang kesiannya tu, mereka buat demonstrasi tu, kadang, tidak tahu hujung pangkal. Bila dah kena tangkap, mereka susah. yang kepala-kepala tu, cabut lari. kemudian, ambik lagi groups lain dan demonstrasi lagi.

Cheguman berkata...

Siapa ada simpan perbandingan stok minyak, pengeluaran minyak tong/hari, jumlah penduduk dsb? saya dah print mgu lps, member ambik dan yg dlm simpanan saya sendiri dah hilang...!

Bila tengok fakta tu baru la kita tau realiti sebenar kenapa penstrukturan subsidi sgt penting.

tahniah sedingin salju. jumpa anda di blog waadat.

Tai berkata...

Ok, kalau ada masa, saya pergi ke sana.

pen buruk ™ berkata...

hai

tentang perkara ini kita tidak boleh cakap yang kita sentiasa betul dan tidak sesiapa pun yang betul Kajian ilmiah dan perlaksanaan dasar juga perlu dikaji.

Saya tidak setuju
1. pembangkang asyik salahkan kerajaan.
itu normal coz dalam dunia ada kiri dan kanan, perlu ada check and balance, soalnya masing2 salahkan orang lain. tak bermakna sebuah kerajaan jika tiada pembangkang.. so... ada satu kerajaan yang boleh berdiri tanpa pembangkang iaitu kerajaan autokratik atau komunis. Jadi wujudnya pembangkang harus dilihat dari sudut positif

. Demonstrasi tidak penting..
lihatlah bukanlah negara kita sahaja ada demonstrasi.. lihat negara luar... lihat juga pada 1946 ketika UMNO buat demontrasi membantah Malayan Union oleh British... lihat juga demonstrasi oleh ahli UMNO di Penang baru-baru ini, lihat juga perhimpunan aman UMNO di Terengganu dan seluruh Malaysia bila pembangkang naik dalam 5 negeri. Itulah.. saya dah katakan, semua orang tak sempurna..
emonstrasi aman vs demontrasi tak aman... tidak adil buat tuduhan dengan mengatakan bila pembangkang buat demonstrasi, dikira himpunan haram, tapi bila orang kerajaan buat himpunan dikira himpunan aman... siapa yang tidak adil. Fitrah manusia inginkan kebaikan, maka tidak timbul himpunan untuk gugat keselamatan.. contoh: Himpunan BERSIH tujuannya apa? Ada orang cedera? Siapa yang provokasi? Jawab dengan akal bukan emosi pls...

Mengenai ketua himpunan lari, sila sebutkan nama siapa ketua yang lari? Mat Sabu? Tien Chua? Mahfuz? semua tak lari...

pabila kita tidak puas hati pada sesuatu perkara sudah tentu kita akan menjerit!! kalau diam, menurut pakar ianya akan membawa trauma dan masalah emosi..

Dari segi cara meluahkan pendapat, apakah cara pembangkang mahu suarakan pendapat? media dikongkong, ceramah disekat, kewangan negeri digugat, pentadbiran negeri juga digugat seperti JKKP... So, dimana ruang.. alhamdulillah, setakat ini sudah ada sedikit keterbukaan termasuk blog ni...

www.myazhar4u.blogspot.com

skype:rasasayang79.

Tai berkata...

Ok, terima kasih encik.





Arkit blog